FB PAS NEGERI SELANGOR

FB PAS NEGERI SELANGOR
FB BPPNS - BERKOMUNIKASI SECARA CEPAT DAN MUDAH

Monday, January 20, 2014

TINTA SUKOR HARUN (JILID 3)

Tidak ada perkara yang kebih dibimbangkan masa kini bagi rakyat yang prihatin, selain daripada isu perkauman yang kelihatan ditiupkan begitu kencang sekali oleh pihak tertentu.

Apa saja masalah yag timbul pastilah dihubungkan atau dijadikan isu perkauman. Yang terkini isu kenaikan harga barang, isu harga kangkung turun yang diheret sampai kepada mengadakan demonstrasi di Pulau Pinang di mana ancaman seperti Peristiwa 13 Mei dijeritkan dengan lantang.

Semuanya ini adalah perkembangan yang sangat menakutkan, yang menggambarkan kita telah undur ke belakang dan berusaha mengembalikan semula ke zaman yang tidak menentu, pada hal negara telah merdeka sejak 57 tahun lalu.

Apa untungnya menjeritkan kembali peristiwa berdarah 13 Mei itu dan apakah motif sebenarnya kecuali hendak menimbulkan ketegangan kaum yang tidak menentu. Pada hal isu sebenarnya yang dihadapi rakyat ialah kenaikan harga barang keperluan harian yang sangat menghempet kehidupan rakyat terutama yang berpendapatan rendah.

Tanyalah mereka yang pergi ke pasar biasa, ke pasar mini, ke pasar tani, kedai runcit di kampung akan akan mengetahui keluhan rakyat. Tetapi jika orang-orang besar yang datang sekali sekala ke pasar membuat tinjauan harga barangan dengan membawa bersama kamera TV, tidak mungkin orang-orang besar ini akan mendapat gambaran sebenarnya mengenai situasi harga barang. Maklumlah di depan kamera TV, tentu sukar menyatakan hal sebenar.

Inilah masalah sebenarnya, bukan isu perkauman, buka isu lain. Tetapi jika hendak dieksploit juga menjadi isu perkauman, saya kira, ini langkah yang sangat bahaya dan sangat merugikan negara.

Saya tinggal di Subang Jaya, sebuah bandar kosmopolitan, yang terletak di antara Petaling Jaya, Kelana Jaya dan Shah Alam, Selangor dan saya berjiran dengan bangsa Cina dan India. Kami menjalani kehidupan yang sangat harmonis, jauh dari percikan api perkauman.

Pada musim perayaan, Hari Raya, jiran China memberikan hadiah kepada saya sekeluarga sebakul yang berisi pelbagai barangan – limau, coklat, kacang goreng, biskut dan lain-lain. Demikian juga ketika Tahun Baru Cina, biasanya isteri saya menghadiahkan roti yang dibuat sendiri.

Hubungan kami dengan jiran-jiran sangat mesra sekali. Tetapi ada ketikanya, jiran-jiran itu dengan dahi berkerut menyatakan rasa tertekan dengan suasana perkauman yang ditiupkan dengan kencang di tengah masyarakat.

Apabila kami berbual mengenai isu harga barang naik, kami juga sama-sama mengeluh kerana sama-sama terasa juga kesannya dan kami merasakan ini adalah masalah bersama dan tentunya bukan isu perkauman.

Kami berpendapat, bahawa harga barangan ini naik selepas lapan bulan pilihan raya adalah sesuatu yang tidak diduga sama sekali. Kami merasakan jika kami di kawasan bandar seperti Subang Jaya inipun terasa kesan kenaikan harga barangan itu, betapalah lagi kepada para petani dan nelayan.

Jiran-jiran saya itu sangat memahami masalah ini dan sangat bersimpati dengan rakyat berpendapatan rendah, yang menurut mereka, bukan di kalangan orang Melayu saja yang ada orang miskin, tetapi di kalangan orang Cina dan India juga ada yang miskin.

Dengan kemampuan ilmu Islam yang sangat terbatas, saya berusaha menerangkan kepada jiran-jiran saya mengenai keadilan Islam, menangani soal pembahagian kemakmuran negara yang ada, sumber hasil negara yang wajib diagihkan kepada rakyat secara adil dan tidak boleh sama sekali kekayaan hasil negara itu dimonopoli atau berligar di sekitar golongan tertentu saja.

Ini ajaran Islam yang disampaikan menerusi al-Quran dan dilaksanakan oleh Nabi Muhammad SAW serta sahabat, kata saya menjelaskan. Mereka mulai faham dan saya menjelaskan lagi bahawa Islam melarang jika kekayaan itu dimonopoli oleh sesuatu golongan saja.

Saya memahami kerungsingan jiran saya yang bukan Islam itu mengenai pelbagai kenyataan dan aksi perkauman yang timbul sekarang ini oleh golongan tertentu, lalu saya menyebut bahawa Islam menentang sebarang bentuk perkauman.

Saya sebutkan hadis Nabi SAW yang menyatakan bahawa, “Bukan dari umat aku, mereka yang meneriakkan dan bersikap perkauman.” Ini bermakna Nabi SAW sangat menentang perkauman. Penjelasan saya ini kelihatan melegakan mereka.

Saya menyatakan lagi bahawa tidak mungkin seseorang akan menjadi Muslim yang baik, jika ia mengamalkan rasis (perkauman) kerana rasis itu adalah suatu kejahatan menurut Islam. Penjelasan saya yang singkat itu dapat difahami oleh mereka.

Di sinilah pada pendapat saya, para agamawan, tokoh masyarakat yang memahami tasawuur Islam, serta institusi dakwah sangat wajar memberikan kefahaman mengenai isu-isu yang mengenai kaum dan agama ini kepada yang bukan Islam. Dalam masa yang sama perlu diperbanyakkan dialog dengan kalangan yang bukan Islam supaya kemusykilan dan salah faham mereka mendapat penjelasan yang tepat.

Janganlah membiarkan kalangan politik perkauman dan pemahaman agama yang sempit bertindak sesuka hati mereka, hingga boleh merucingkan hubungan antara kaum dan agama di negara ini. Ertinya dengan membiarkan golongan ini beraksi di tengah masyarakat bermakna kita menyediakan ruang kepada mereka ini untuk mengelirukan masyarakat dengan isu-isu perkauman dan agama yang sempit.

Sudah sampai masanya kalangan pendakwah, para tokoh masyarakat yang berilmu dan berfikiran terbuka tampil menerangkan keluhuran Islam yang menjadi rahmat seluruh alam. Para pendakwah sewajarnya jangan lagi hanya ‘berkurung’ dalam masjid, surau dan markas saja, tetapi pergi kelapangan, berdakwah di tengah masyarakat untuk memberikan kesedaran.

Mereka ini berkewajipan membetulkan kekeliruan yang timbul dari tindakan perkauman dan fahaman agama yang sempit golongan tertentu yang hanya merosakkan nama baik Islam. Golongan ini konon bertindak untuk mempertahankan Islam, tetapi kesannya hanya merosakkan imej Islam.

Semakin lama golongan berkepentingan ini berterusan melakukan aksi perkauman dan fahaman agama yang sempit ini, maka semakin banyak kerosakan yang ditimpakan oleh mereka bukan saja kepada negara tetapi juga kepada agama Islam sendiri.

Untuk ini saya memetik kata-kata seorang pemikir Barat, Pierre Berton:

“Racism is a refuge for the ignorant. It seeks to divide and to destroy. It is the enemy of freedom, and deserves to be met head-on and stamped out.”

Sumber HD - 20-1-2014

No comments:

Post a Comment