'Atuk' lawat 5 beradik yatim piatu
Abdul Khalid bermesra dengan lima anak yatim piatu ketika melawat mereka yang baru kematian ibu bapa di Taman Desa, Cheras. Foto Selangor Kini.
KUALA LUMPUR: Kisah duka lima beradik yang bergelar yatim piatu dalam sekelip mata baru-baru ini mendapat perhatian Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Bandar Tun Razak semalam hadir menziarah kelima-lima adik beradik yang kemudian memanggilnya dengan panggilan ‘atuk’.
Abdul Khalid yang turut membiasakan dirinya dengan panggilan itu sepanjang pertemuan juga memilih untuk duduk bersila dan memangku serta berkongsi cerita bersama kelima-lima anak itu.
“Sebagai Ahli Parlimen, saya akan terus memantau dan membantu serba sedikit agar anak-anak ini terjaga dengan baik.
“Tumpuan kita adalah memastikan mereka mendapat bantuan jangka masa panjang terutama dari segi persekolahan, tempat tinggal serta kos sara hidup,” katanya kepada pemberita.
Terdahulu beliau hadir di rumah peninggalan arwah ibu bapa lima anak-anak malang itu di Taman Desa Cheras di sini.
Walaupun anak-anak itu letih baru pulang dari Perak, mereka masih petah berkata-kata dan melayan setiap pertanyaan Abdul Khalid.
“Atuk juga ada cucu berusia tiga tahun, sama dengan awak tetapi dia main patung ‘power rangers’,” guraunya dengan anak perempuan yang paling kecil berusia tiga tahun.
Selepas hampir sejam meluangkan masa, Abdul Khalid kemudian terpaksa minta diri untuk urusan penting dan berkesempatan menghulurkan sumbangan peribadi kepada wakil penjaga.
Kelima-lima anak itu yang berusia antara tiga hingga 16 tahun kini berada di bawah jagaan saudara terdekat dengan bantuan jawatankuasa surau pangsapuri berkenaan.
Jumaat lepas, bapa mereka, Jefri Mohd Zain 46 dan isterinya, Norsalawati Ibrahim 40, terlibat dalam satu kemalangan maut ketika dalam perjalanan ke tempat kerja di Jalan Loke Yew.
Jenazah suami isteri itu selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Sungkai, Perak. - Selangor Kini
Sumber HD - 28-5-2014
Bekas wakil rakyat PAS Kelantan tubuh Wira
- Apr 22, 2014
- ASLANI M
KOTA BHARU: Seramai 52 bekas wakil rakyat PAS Kelantan termasuk yang pernah bertanding pada pilihan raya umum pertama selepas merdeka iaitu pada 1959 kini bernaung di bawah sebuah persatuan.
Badan bukan kerajaan tersebut dikenali Persatuan Bekas Wakil Rakyat PAS (Wira) diketuai bekas anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Omar Mohamad.
Anggota parlimen Rantau Panjang, Abdul Fatah Haron sebagai timbalan dan naib-naib pengerusi, bekas Adun Pasir Mas, Hashim Omar, bekas Adun Limbongan, Drs Zainuddin Awang Hamat dan bekas senator, Hunaizah Mohd Nor.
Manakala bekas anggota parlimen Kota Bharu, Datuk Wan Abdul Rahim Wan Abdullah sebagai setiausaha, bekas Adun Wakaf Bharu, Ramli Abu Bakar (bendahari) dan bekas Adun Melor, Wan Ismail Wa Jusoh (ketua penerangan).
Wan Abdul Rahim berkata, keahlian persatuan terbuka kepada semua bekas wakil rakyat yang pernah bertanding di atas tiket PAS biar pun sekarang mereka menyertai parti lain.
“Malah kita merancang memperluaskan sebagai ahli bersekutu termasuk isteri-isteri bekas wakil rakyat yang telah meninggal dunia dan anak mereka.
“Kita juga akan turut libatkan bekas-bekas calon dan wakil-wakil calon PAS untuk menyertai Wira sama ada sebagai ahli bersekutu atau tidak.
“Wira akan didaftarkan di bawah Pendaftaran Pertubuhan sebagai sebuah NGO yang sah. Tujuan utamanya bagi mengeratkan lagi hubungan silaturahim,” katanya pada perlancaran persatuan itu di Pejabat Perhubungan PAS Kelantan di sini, semalam.
Ia disempurnakan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob. Hadir sama Speaker Dun Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kob dan Setiausaha Badan Perhubungan PAS Kelantan, Zulkifli Mamat.
Menteri Besar pula berharap Wira dapat membantu wakil-wakil rakyat yang ada sekarang memandangkan mereka mempunyai banyak pengalaman dalam perjuangan.
“Pemimpin dahulu terpaksa berdepan dengan pelbagai halangan dan rintangan termasuk pernah dihalang batang kayu dan dan dilempar telor ketika hendak pergi berceramah.
“Pengalaman itu wajar dikongsi bersama untuk membolehkan wakil-wakil rakyat yang ada sekarang berkhidmat lebih baik kepada rakyat,” ujarnya.
Sumber HD - 22-4-2014
MH370: Ahli Parlimen PAS kunjungi kedutaan China
- Apr 01, 2014
- NAZRI ABDULLAH
KUALA LUMPUR: Anggota Parlimen PAS hari ini mengadakan kunjungan hormat ke Kedutaan Besar Republik Rakyat China, di Jalan Ampang di Sini.
Ianya sebagai menzahirkan rasa simpati berhubung isu kehilangan pesawat MH370 yang membawa 12 kru dan 227 penumpang, majoriti darinya adalah warga China.
Deligasi yang diketuai Ketua Whip Ahli Parlimen PAS Datuk Mahfuz Omar (Pokok Sena) bersama Datuk Kamarudin Jaffar (Tumpat) selaku Timbalan Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat itu tiba di sini kira-kira jam 12.30 tengah hari tadi disambut Timbalan Ketua Perwakilan (DCM) Ma Jia, merangkap Kaunselor Politik bagi kedutaan itu.
Turut serta dalam pertemuan kira-kira 20 minit itu, Datuk Takiyuddin Hassan (Kota Bharu), Idris Ahmad (Bukit Gantang), Datuk Mujahid Yusof (Parit Buntar), Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad (Kuala Terengganu) serta Siti Mariah Mahmud (Kota Raja).
Dalam pertemuan itu juga, mereka turut menyerahkan warkah simpati mewakili 21 ahli parlimen PAS, selain menjelaskan beberapa inisiatif yang dilakukan di peringkat PAS khususnya melalui suara di parlimen.
Ianya termasuk menggesa kerajaan Malaysia menubuhkan Suruhanjaya Diraja serta Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) bagi menyiasat secara keseluruhan insiden malang itu.
Mahfuz dalam pada itu berkata PAS menyokong penuh usul yang dikemukakan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung isu itu di parlimen minggu lalu termasuk segala usaha mencari dan menyelamat (SAR) yang sedang giat dijalankan pihak kerajaan.
Bagi PAS kata beliau, sedia menawarkan sebarang bentuk kerjasama dalam membantu kerajaan dalam isu itu.
Ma Jia dalam pada itu mengucapkan terima kasih di atas kunjungan hormat dan rasa bersama yang ditunjukkan wakil PAS itu.
Wakil Kedutaan China itu berkata, pihaknya sangat menghargai segala sokongan yang ditunjukkan oleh semua pihak sejak insiden itu berlaku 8 Mac lalu.
Menurutnya, terdapat 154 warga China termasuk masing-masing seorang dari Taiwan dan Hong Kong dalam pesawat malang itu.
Sehingga kini ujarnya, terdapat 40 keluarga dari negara itu berada di Kuala Lumpur sejak dua minggu lalu, dan selebihnya masih berada di Bejing.
Mengulas sama ada insiden ini mengeruhkan hubungan Malaysia-China, beliau berkata pihaknya sedang sedaya upaya berusaha agar ianya tidak berlaku.
Namun beliau mengakui, berdepan sedikit sukar bagi menenangkan segelintir rakyat negara itu yang masih tidak boleh menerima hakikat apa yang sedang berlaku.
Penerbangan MH370, berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 tengah malam 8 Mac dan hilang daripada paparan radar kira-kira sejam kemudian ketika merentasi Laut China Selatan.
Ia sepatutnya mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari yang sama.
Sumber HD - 1-4-2014
Adun Gombak Setia anjur majlis hargai jasa polis
- Mar 27, 2014
- HARAKAHDAILY
GOMBAK: Bagi menghargai jasa dan pengorbanan pihak polis, Pusat Khidmat Masyarakat Dun Gombak Setia telah menganjurkan majlis keraian Hari Polis Ke-207 yang diadakan di Balai Polis Gombak, malam tadi.
Adun Gombak Setia, Hasbullah Ridzwan berkata majlis makan malam itu dianjurkan sebagai sokongan atas jasa dan pengorbanan pihak polis terutama Polis Balai Gombak yang banyak membantu penduduk Gombak Setia dalam menjaga keamanan dan keselamatan penduduk yang berkesesuaian dengan tema "Komuniti Sejahtera Komitmen Kami".
Dalam majlis itu, Ketua Polis Daerah Gombak, ACP Ali Ahmad yang baru sahaja ditugaskan di IPD Gombak menyatakan penghargaan kepada Hasbullah kerana mengadakan majlis itu.
Pada majlis yang dihadiri kira-kira 200 orang itu, beliau berharap dengan sokongan Adun dan ketua kampung dapat mengurangkan jenayah di Dun Gombak Setia.
Penyampaian cenderahati turut diadakan sebagai kenang-kenangan antara kedua-dua pihak.
Sumber HD - 27-3-2014
Tolak kunjungan, PAS anggap duta Mesir angkuh
- Mar 26, 2014
- NAZRI ABDULLAH | FOTO WAN ZAHARI
KUALA LUMPUR: PAS menyifatkan pihak Kedutaan Mesir sebagai angkuh apabila enggan menerima kunjungan secara baik beberapa ahli parlimen mereka ke bangunan kedutaan itu hari ini.
Kunjungan jam 11.30 pagi tadi itu disertai Ahli Parlimen Bukit Gantang, Idris Ahmad, Datuk Dr Khairuddin Aman Razali (Kuala Nerus), Nasrudin Hassan (Temerloh) dan Nik Mohd Abduh Nik Abdul Aziz (Pasir Mas).
Ianya bagi menyatakan rasa kecewa PAS terhadap keputusan mahkamah Minya yang menjatuhkan hukuman mati ke atas 529 ahli Ikhwan Muslimin termasuk Mursyidul Amnya Dr Mohamad Badie.
Kedatangan mereka bagaimanapun tidak dilayan malah pihak kedutaan hanya menghantar pengawal keselamatan untuk menerima memorandum yang diserah di pagar.
"Apa yang berlaku hari ini menunjukkan bentuk sikap regim di Mesir.
"Ini indikator yang kita dapat lihat," kata Idris pada sidang media di Parlimen hari ini.
Mengulas hukuman mati yang disifatkan bermotif politik itu, beliau berkata, perkara itu seharusnya tidak berlaku di zaman moden ini lebih-lebih lagi dengan jumlah besar sedemikian.
Sementara itu, Nasrudin pula menjelaskan, hukuman yang dikenakan kepada pepimpin dan penyokong Ikhwan Muslimin tersebut sebagai episod malang dalam sejarah Mesir.
"Ini lebih kejam dari regim Hosni Mubarak.
"Kalau kita bersedih dengan MH370 melibatkan 239 hilang, (529) ini jumlah yang lebih besar.
"Ini perlu dilihat isu bersama, isu kemanusiaan dan keadilan," kata beliau.
Sehubungan itu, beliau turut menyeru semua masyarakat prihatin untuk menyertai himpunan aman di hadapan Kedutaan Mesir, Jumaat ini.
Sumber HD - 26-3-2014
Persidangan wakil rakyat PAS, 8 Mac
- Feb 18, 2014
- MUHAMMAD FAIZAL
Pengerusinya, Datuk Mahfuz Omar berkata, Persidangan Wakil Rakyat PAS (Perwira) ini akan melibatkan ke semua Ahli Parlimen, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun), Ahli Dewan Negara, Menteri Besar dan kesemua exco kerajaan negeri dari PAS.
Menurut Mahfuz, dalam persidangan ini wakil-wakil rakyat PAS akan berbincang bagaimana untuk meningkatkan prestasi pimpinan PAS dalam menjaga kepentingan rakyat.
"Ini bertujuan untuk tingkatkan prestasi mereka sebagai wakil rakyat, untuk pastikan misi perjuangan PAS dan kepentingan perjuangan kepada rakyat akan terus dimainkan oleh mereka," katanya di Pejabat Agung PAS semalam.
Ketua Whip Parlimen PAS itu juga mengharapkan agar persidangan ini diteruskan setiap kali bermulanya penggal pertama Persidangan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri bagi memantapkan kecemerlangan mereka.
"Ini sebagai usaha untuk menetapkan hala tuju wakil-wakil rakyat kita serta memantapkan kecemerlangan dalam perbahasan mereka membawa isu-isu berkaitan rakyat," sambung beliau.
Mahfuz turut memberitahu pada persidangan Perwira itu, PAS akan turut menjemput panel-panel bebas untuk memberi nasihat dan komen serta apa yang dirasa perlu diaminkan oleh wakil rakyat PAS
Sumber HD - 18-2-2014
Derita ibu tunggal sembilan anak berakhir
- Jan 29, 2014
- SELANGOR KINI
BANGI: Keperitan seorang ibu tunggal mencari nafkah dengan mengharap ihsan orang bagi menyara sembilan anak akhirnya berakhir dengan bantuan daripada Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Bangi, Shafie Ngah.
Noraya Yaacob, 52, menerima sebuah mesin jahit tepi empat benang Shafie bagi meneruskan usaha yang dilakukannya untuk mencari rezeki menyara keluarga.
Sebelum ini, Noraya sekadar mengambil upah menjahit menggunakan mesin yang dipinjamkan majikan yang menyebabkan pendapatannya juga tidak menentu.
“Pendapatan saya memang tidak menentu kerana saya bergantung kepada majikan dan adakala tidak sempat menyiapkan tugasan kerana mesin jahit berada di rumahnya.
“Jadi, saya ucapkan ribuan terima kasih kepada Adun Bangi atas keprihatinan beliau terhadap kami sekeluarga,” katanya.
Sementara itu, Shafie berkata, bantuan yang diberikan kepada Noraya adalah sebahagian daripada program Bangi Mesra Wanita yang diwujudkan bagi menghargai golongan terbabit.
“Melalui program ini, kita menyediakan peluang ekonomi bagi meningkatkan taraf hidup wanita dalam bidang pendidikan, di samping usaha lain untuk memelihara kebajikan wanita.
“Untuk melaksanakan agenda ini bersama lapan program lain, kami menubuhkan 18 buah Pusat Khidmat Masyarakat Setempat (PKMS) bagi memberi perkhidmatan yang lebih cekap dan efisyen,” katanya.
Sumber HD - 29-1-2014
No comments:
Post a Comment