Sampai ke tulang putih ayah
- Feb 04, 2014
- AZAMIN AMIN
Gambar hiasan.
Warkah ayah buat AdamKehadapan anakku Adam yang dikasihi,
Ketika kau bersiap-siap untuk memulakan hari pertama persekolahan sesi petang, ayah senang melihat dirimu yang begitu bersemangat sambil bertali leher biru dengan mengenakan baju dan seluar sekolah baru.
Dan tatkala, kau mengucup tangan kasar yang pernah hinggap di tubuhmu, luluh dan tersiat-siat hati, melihat kau masih tersenyum biarpun di kakimu tersarung kasut lusuh tahun lalu dan beg sekolah yang sedikit carik di tepi.
Di benak, hanya mampu berdoa agar kau tidak mewarisi segala kelemahan dan kekurangan ayah. Ayah sedar, segala impianmu, masih tidak mampu dan belum ditunaikan. Bersabarlah Adam.
Malam sebelumnya, saat kau lena, ayah sukar melelapkan mata. Sesekali terdengar batuk kecilmu, ayah sedikit resah. Mula berkira-kira untuk ke klinik atau sekadar ke kedai mencari ubat sementara mencairkan kahak.
Runsing, ayah lalu menatap picisan berita. Semakin baca, ayah kurang mengerti cerita ekonomi. Lebih-lebih lagi, guna istilah subsidi atau rasionalisasi. Maaflah Adam, ayah tidak sekolah tinggi.
Tapi ayah yang naif ini tersinggung hati, bila menatap kata-kata Menteri yang cuba menyedapkan naluri atau mengajar cara hidup duniawi.
Ukur baju di badan sendiri dan jimat cermat. Kalau naik harga, janganlah makan ayam. Kalau tak nak bayar tol, ikut jalan lama. Harga minyak naik 20 sen saja, barang dan yang lain semua naik, sebab tidak dapat dielakkan lagi. Tapi tidak harga kangkung, buat ramai yang termenung. Buntu juga ayah, sekuat mana lagi mahu perut diikat batu.
Anakku Adam,
Mengurangkan belanja dan tenaga, ayah pun menaiki bas selepas Subuh ke tempat kerja di ibu kota. Jika tidak, tol pergi balik RM10.20, minyak RM20.00 dan parkir kereta RM6.00 setiap hari, perlu diambil kira. Jadi, selepas turun bas ayah lebih rela berjalan kaki untuk ke stesen LRT. Lepas turun LRT, jalan kaki semula untuk sampai destinasi.
Ayah lakukan itu selain senaman, dapat kurangkan beban. Paling tidak, ada duit lebihan sekali sekala dapatlah ayah beli jajan. Bukan apa, tidak tergamak hati, bila ayah balik tanpa buah tangan, kau dan adik-adikmu sudah menunggu di balik pintu dengan harapan.
Tiap kali ke kedai runcit berdekatan, kau, abang dan adikmu pasti mengekori ayah. Dan setiap kali itulah, semuanya tidak pulang dengan hampa.
Ada saja, air kotak, keropok, aiskrim atau paling sikit pun gula-gula sebagai habuan walaupun adakala hati ayah berdebar di kaunter bayaran, bimbang-bimbang baki tidak cukup di tangan.
Pernah sekali duit tidak cukup untuk lebihan,lantas ayah 'paksa' kau, abang dan adikmu ke surau dekat rumah untuk solat berjemaah. Dan waktu itu jugalah, ayah bergegas seorang diri ke kedai, untuk beli keperluan rumah.
Kalau ikut ayah, pasti macam-macam. Dan ayah tidak sanggup melihat semua berputih mata dan pulang tanpa ada jajan untuk dijamah.
Adamku,
Sedikit denyut di kepala bila abangmu, menyua kertas yuran RM120.00 termasuk untuk kelas tambahan. Baru selesai membeli buku-buku sekolah kau dan abang-abangmu berharga RM233.00, kemudian sepersalinan pakaian sekolah semua dengan jumlah RM113.00, tiba pula surat kuning amaran pinta jelaskan bil elektrik yang terlewat bayar, hanya RM36.00 sahaja.
Tetapi lapang sedikit dada ayah, tidak perlu bayar yuran bas yang bakal berganda kerana kau, dan abang-abangmu sudah mula berdikari berjalan kaki ke sekolah. Itupun ditemani ibu.
Biarpun belum sejuk peluh ibu menyiap masakan tengah hari di rumah, dengan sabar perlahan-lahan memimpin adik-adikmu untuk mengiringi kau ke pintu pagar sekolah. Oleh itu ingatlah, jika ibumu marah, janganlah kau menyanggah kerana tiap saat, jasanya kau mamah.
Adam anakku,
Sebenarnya liku ini bukan kisah ayah seorang atau cerita meraih simpati, tetapi lembaran kisah ayah-ayah yang lain jua. Kisah ayahnya seorang penoreh getah, peneroka Felda atau membajak sawah.Juga kisahnya ayah-ayah yang kononnya dikatakan tidak terkesan dengan kenaikan harga sebab tidak mampu memiliki kereta.
Mereka ini tidak pandai mereka-reka cerita dan tidak tahu untuk menukilkan pedihnya rasa seperti ayah. Adakalanya mereka cuba meluah tapi selalunya pasrah dengan apa-apa yang diarah atau dikatakan pemerintah. Lebih hina, mereka yang membantah digelar pula 'Bughah' (penderhaka).
Adam,
Janganlah kau sebak, bilamana ayahmu seolah-olah menjadi pekak. Sebenarnya ayah dengar dan cuba menahan perasaan dengan aneka permintaan kau, abang dan adikmu, yang cukup mentah untuk membezakan apa itu perlu, apa itu kehendak.
Hidup kita mungkin sedikit baik Adam, berbanding ayah-ayah yang diberhentikan kerja serta-merta atau tidak mempunyai kerjaya atau gajinya cukup-cukup makan sahaja. Pasti, redup mata mereka untuk merenung sinar mata anaknya.
Oleh itu bersabarlah, Adam anakku. Moga semua berubah, paling tidak pun, di usia matangmu menjengah. Waktu itu, janganlah sekali-sekali alpa perintah Allah dan lupa ibumu yang bersusah payah.
Anakku Adam,
Ayah telah sedaya upaya berusaha namun apakan daya. Tetapi sekurang-kurangnya, kau tidak alami seperti abang sulungmu ketika kecil, ayah terpaksa isi botolnya dengan air suam, kerana tidak cukup wang untuk membeli susu. Ayah tidak dapat melupakan dan memaafkan diri sendiri, atas kesalahan dan kedaifan itu.
Adam bersabarlah, ayah akan terus usaha membesarkanmu, ikhlas, sampai ke tulang putih ayah.
Dan ayah hanya mampu menadah dan sesekali basah di hujung sejadah.
Sumber HD - 4-2-2014
Bebanan kos, ibu nekad jalan kaki hantar anak ke sekolah
- Jan 16, 2014
- ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR: Biarpun sesi persekolahan sudah berlalu hampir tiga minggu, masih ramai ibu bapa yang terus terasa terhimpit dengan kos perbelanjaan persekolahan anak mereka.
Rata-rata ibu bapa yang ditemui, berkata dengan perbelanjaan yang semakin meningkat, menjadikan mereka terpaksa berjimat-cermat sementara menantikan gaji bulanan mereka pada hujung bulan ini.
Seorang suri rumah, Habsah Ahmad berkata beliau terpaksa mengambil keputusan menghantar anaknya dengan berjalan kaki ke sekolah setiap pagi, yang berjarak lebih satu kilometer.
Langkah itu katanya boleh menjimatkan sedikit perbelanjaannya berbanding terpaksa membayar tambang bas sekolah yang meningkat tahun ini.
Selain itu, beliau juga terpaksa menghadkan pembelian buku-buku untuk anaknya.
"Seperti biasa, saban tahun kita akan dapat senarai buku-buku yang perlu dibeli. Saya biasanya akan periksa senarai tersebut terlebih dahulu sebab adakalanya tidak semua buku itu digunakan.
Ada juga buku tulis yang tahun lepas yang belum terpakai, jadi saya gugurkan beberapa naskhah. Terpaksa buat macam tu, kalau tidak banyak yang terpaksa dihabiskan," kata beliau.
Rohaya Arshad (gambar), 35 tahun, pula berkata bagi sesi persekolahan baru ini, beliau menghabiskan kira-kira RM1000 untuk dua anaknya yang bersekolah, tidak termasuk duit belanja yang diberikan kepada anak-anaknya.
"Anak saya bersekolah dua orang. Sekolah kebangsaan dan sekolah agama. Untuk sekolah kebangsaan sahaja, saya sudah berhabis hampir RM500 untuk buku-buku, walaupun tiada sebarang yuran sekolah dikenakan," cerita beliau kepada Harakahdaily, hari ini.
Beliau yang bekerja di sebuah syarikat swasta di Selayang, berkata tahun ini beliau terpaksa menumpangkan anaknya ke sekolah bersama jiran, berbanding menaiki van seperti tahun-tahun sebelumnya.
Tambah Rohaya, dengan pelbagai kenaikan kebelakangan ini, beliau tidak mempunyai pillihan lain selain menumpangkan anaknya dengan jiran berdekatan.
"Bayangkan, harga tambang untuk van atau bas sekolah sudah dinaikkan. Apabila kerajaan menaikkan harga minyak, sudah tentu pengusaha bas terpaksa juga naikkan tambang bagi menampung kos operasi mereka.
Jadi, tahun ini saya pilih untuk tumpangkan anak-anak saya dengan jiran untuk ke sekolah," luah beliau lagi, yang turut menghadapi kos kenaikan sewa rumah daripada tuan rumah.
Seorang lagi ibu yang ditemui, Nooraini Kusri (gambar), 33, turut mengakui menghabiskan kira-kira RM1000 untuk persekolahan yang dibuka awal bulan lalu.
Katanya, masing-masing dua anaknya yang bersekolah kebangsaan dan agama berhabis hampir RM400 untuk buku dan yuran bagi kedua-dua sekolah tersebut.
"Belanja pula, seorang RM2 untuk sekolah pagi, manakala RM 2 untuk sekolah agama. Belum lagi yuran PIBG yang akan menyusul kemudian," tambah beliau yang bekerja di sebuah syarikat penerbangan di negara ini.
Bagi seorang kerani bank, Norhanidah Ahmad, 30, beliau berhabis kira-kira RM500 untuk sesi persekolahan baru-baru ini untuk dua orang anaknya.
"Untuk sekolah kebangsaan, tidak banyak sangat berhabis. Tapi sekolah agama, untuk buku dan yuran habis juga hampir RM300. Pengangkutan mereka ke sekolah dalam RM50 sebulan, dan beri belanja kepada anak-anak antra RM2 ke RM5 sehari," kta beliau.
Biarpun mengakui tiada sebarang yuran dikenakan pihak sekolah, namun beliau sedar bahawa beliau juga terpaksa membayar yuran PIBG dan juga perlu mengeluarkan sumbangan untuk aktiviti sekolah.
"Memang sekolah tidak mengenakan sebarang yuran, tapi biasanya yuran PIBG akan kena bayar. Dan adakalanya sekolah terpaksa meminta sumbangan ibu bapa jika ingin melaksanakan apa-apa aktiviti. Kasihan sekolah tiada peruntukan, mungkin kerajaan kena fikirkan sesuatu," kata beliau.
Sumber HD - 16-1-2014
No comments:
Post a Comment