Hudud: Tahniah MB Kelantan, Terengganu bila pula?
- Apr 04, 2014
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Ianya berikutan kesediaan Kerajaan Pusat untuk memberi laluan kepada penguatkuasaan enakmen ini sebagaimana jawapan yang telah diberikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Parlimen baru-baru ini.
Malah dengan kesediaan Kerajaan Pusat ini, Pemuda PAS berpendirian tiada lagi alasan untuk kerajaan negeri Terengganu terus menangguhkan perlaksanaan kanun Hudud dan Qisas yang telah digazetkan oleh Tuanku Sultan Mizan Zainal Abidin setelah ianya dibentangkan oleh Kerajaan Negeri PAS Terengganu pada tahun 2000 yang lalu.
Ustaz Datuk Ahmad Yakob telah menyahut cabaran perlaksanaan Hudud di Kelantan. Bila pula Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said akan melaksanakan Hudud di Terengganu?
Jangan sekadar lantang bersuara sehingga sanggup menggunakan Al-Quran untuk bersumpah mengenai urusan bola sepak sedangkan hukum Allah yang wajib dilaksanakan para pemimpin diabaikan.
Malah Dewan Pemuda PAS Malaysia mengalu-alukan jika kerajaan Pusat berhasrat untuk meletakkan perlaksanaan undang-undang Hudud ini di bawah makmal transformasi jenayah yang telah ditubuhkan di bawah Pemandu JPM dengan menjadikan Kelantan dan Terengganu sebagai model perlaksanaannya.
Inilah masanya elemen syariah diperkenalkan untuk menangani permasalahan jenayah yang semakin serius.
Komitmen Menteri Besar Kelantan untuk melaksanakan hukum Hudud dengan membawa isu dan pindaan berkaitan melalui suatu bil persendirian ke Parlimen adalah satu langkah yang mencerminkan pendirian Tuan Guru Presiden dan PAS bahawa perlaksanaan Hudud akan melalui proses demokrasi.
Ianya juga sebagai ingatan kepada pihak ketiga termasuklah NGO Islam tertentu yang semacam mempersoal komitmen PAS kepada perlaksanaan Islam yang syumul dan meragui kedaulatan kerajaan negeri yang sebenarnya mempunyai ruang tertentu untuk menguatkuasakan undang-undang Islam seperti hukum Hudud ini dengan kerjasama kerajaan Pusat.
Dan sekadar satu cadangan kecil buat kerajaan negeri Kelantan agar Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang dan Ustaz Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz sebagai ahli-ahli parlimen yang dipertimbangkan untuk menaja bil persendirian tersebut ke Parlimen kelak.
Ini memandangkan Tuan Guru Presiden merupakan tenaga pemikir penting di sebalik penggubalan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan.
Penglibatan Ustaz Nik Abduh di dalam bil persendirian ini pula akan menjadi satu penghormatan simbolik kepada Tuan Guru Mursyidul Am dan mantan Menteri Besar Kelantan yang gigih memperjuangkan hukum Hudud berdepan segala kecaman dan ugutan.
Pemuda PAS siap bersedia untuk turun membantu menerangkan hukum Hudud yang akan dilaksanakan ini kepada rakan-rakan di dalam Pakatan Rakyat, wakil-wakil rakyat BN dan rakyat keseluruhannya.
Semoga Allah mempermudahkan urusan kita semua untuk melihat tertegaknya hukum Allah di bumi Malaysia yang tercinta ini.
Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber HD - 4-4-2014
MH370: Menteri jangan mainkan parlimen dengan jawapan andaian
- Mar 31, 2014
- HARAKAHDAILY
Timbalan Ketuanya, Muhammad Khalil Abdul Hadi (gambar) berkata, pihaknya kecewa dengan jawapan Timbalan Menteri Pertahanan Datuk Abdul Rahim Bakri dalam Parlimen 26 Mac lalu bahawa TUDM sekadar beranggapan bahawa pesawat MH370 yang berpatah balik, mendapat arahan dari menara kawalan.
"Tidak layak bagi sidang Parlimen dan rakyat diberikan jawapan berdasarkan andaian untuk isu pertahanan negara dan tragedi MH370 yang kedua-duanya mempunyai kepentingan nasional.
"Ianya menjatuhkan maruah dewan yang mulia dan mandat rakyat yang mahukan jawapan yang telus dan benar ketika soalan ditanyakan secara rasmi di dalam Parlimen," kata beliau.
Khalil mempersoal, sudah lebih 20 hari insiden ini berlaku, apakah yang terlalu sukar untuk kerajaan mendapat kepastian tentang apa yang berlaku di stesen radar tentera pada malam kehilangan MH 370 sehinggakan kerajaan masih memberi jawapan berdasarkan andaian?
Sesungguhnya isu MH 370 ini kata beliau, terus mendedahkan sikap kerajaan yang memandang enteng institusi Parlimen dengan memberikan jawapan-jawapan yang santai.
"Sekiranya benar andaian tersebut, apakah bukan menjadi protokol keselamatan untuk pihak tentera mengesahkan dengan pihak menara kawalan penerbangan awam (DCA) bahawa terdapat penerbangan awam yang mencurigakan?
"Apakah terlalu sukar untuk kawalan perintah tentera membuat panggilan telefon ke menara kawalan DCA untuk pengesahan," soal beliau lagi.
Beliau turut menuntut pengesahan dari pihak kerajaan Malaysia serta Singapura, Thailand dan Amerika Syarikat mengenai status latihan ketenteraan yang berlangsung di Trang dan Korat, Thailand, dari 2 hingga 11 Mac dan 10 hingga 21 Mac baru-baru ini.
Latihan tentera udara di Korat sebagai contohnya melibatkan 76 pesawat dan 42 sistem pertahanan darat ke udara dari AS, Thailand dan Singapura.
"Apakah latihan ketenteraan tersebut telah menyebabkan pihak tentera kita membuat terlalu banyak andaian sehinggakan fokus pengesahan, pengesanan dan pencarian MH 370 terganggu?
"Oleh itu saya bersetuju dengan cadangan Ahli Parlimen PAS Pokok Sena agar panel penyiasatan di Raja ditubuhkan bagi menyiasat insiden ini.
"Aspek pertahanan negara harus menjadi sebahagian dari proses siasatan ini kelak dan tidak boleh disisihkan agar rakyat jelas dengan kronologi tragedi MH370 ini," tegas beliau.
Sumber HD - 31-3-2014
Pemuda PAS syor wujudkan fiqh dakwah versi Malaysia
- Mar 05, 2014
- HARAKAHDAILY
“Walau bagaimanapun, inisiatif ini harus diperhalusi terutamanya mengenai modus operandi yang akan dijalankan termasuk peruntukan perundangan sekiranya ia berkaitan,” ujar Timbalan Ketuanya, Mohd Khalil Abdul Hadi kepada Harakahdaily.
Beliau menekankan perkara itu rentetan daripada beberapa isu yang dibangkitkan sebelum ini berkaitan dengan pengawasan moral individu atau masyarakat dan penguatkuasaan undang-undang oleh pelbagai institusi Islam.
Contohnya, kata beliau artikel ‘Jangan Perlekeh Institusi Agama’ dalam segmen Fikrah oleh Yang Dipertua Yadim (Sinar Harian, 19 Februari 2014), cadangan penubuhan polis Syariah oleh KDN dan artikel Battle violent crime, not moral transgression (The Star, 17 Februari 2014).
Dari satu sudut, katanya sudah ramai pihak yang mengambil serius mengenai kebejatan masalah sosial dalam kalangan masyarakat terutamanya golongan remaja dan belia.
Oleh yang demikian, ujar beliau satu pelan konkrit perlu dibincangkan bersama untuk mengagendakan perkara ini dan seterusnya memberikan perincian serta garis panduan yang jelas untuk memulihkan masalah sosial yang sangat kritikal di negara ini.
Menurutnya, antara isu yang dijangka timbul adalah tuntutan hak kebebasan individu, prosedur pencegahan pihak penguatkuasa, pelaksanaan kawalan moral, pemerkasaan badan dakwah bukan kerajaan, dan peruntukan undang-undang.
“Oleh yang demikian, saya mencadangkan agar manual Fiqh Dakwah Versi Malaysia harus diwujudkan oleh para ilmuan Islam untuk menuntun ke arah pelaksanaan kewajiban Islam ini.
“Mudah-mudahan dengan wujudnya manual ini, ia mampu menjadi asas yang baik untuk diterjemahkan di lapangan sebenar dengan menggabungkan kombinasi tanggungjawab dalam Islam dan realiti sosio-politik (pentadbiran) di Malaysia,” ujarnya lagi.
Sumber HD - 5-3-2014
Zakat: Pengagihan setempat lebih berkesan
- Feb 27, 2014
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Allah SWT telah menjelaskan golongan yang berhak menerima zakat iaitu melalui firmannya yang bermaksud;
"Sesungguhnya zakat-zakat itu hanyalah untuk orang-orang fakir, orang-orang miskin, pengurus-pengurus zakat, para mu'allaf yang dijinakkan hatinya, untuk (memerdekakan budak), orang-orang yang berhutang, untuk jalan Allah dan orang-orang yang sedang dalam perjalanan, sebagai sesuatu ketetapan yang diwajibkan Allah, dan Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana." (Surah at-Taubah : ayat 60).
Tafsiran ayat di atas jelas menunjukkan terdapat lapan golongan manusia yang berhak menerima zakat. Mereka adalah al-fuqara' (orang fakir), al-masakin (orang miskin), amil, orang mualaf yang dijinakkan hatinya, al-riqab (hamba), algharimin (orang yang dibebani hutang), fi-sabilillah (orang yang berjuang di jalan Allah) dan akhirnya ibnsabil (musafir yang sedang dalam perjalanan).
Sistem pengutipan zakat di negara boleh dikatakan berada pada tahap yang maju. Jika dilihat kepada kepelbagaian kaedah dan cara kutipan zakat maka tidak menghairankan jika jumlah hasil zakat saban tahun mencatatkan kenaikan. Pembayaran di kaunter, kemudahan potongan gaji, bayaran melalui pos, bayaran secara atas talian dan mewujudkan kiosk pembayaran zakat di masjid-masjid terpilih adalah antara fleksibiliti yang diwujudkan oleh pusat pungutan zakat negeri bagi mengalakkan pembayaran zakat.
Apabila jumlah kutipan meningkat, maka kita boleh mengandaikan jumlah zakat yang diagihkan kepada fakir miskin juga akan meningkat. Ini akhirnya akan memberi kesan positif kepada taraf sosio-ekonomi asnaf zakat melalui peningkatan jumlah dan jenis bantuan zakat lantas memberdaya golongan asnaf khususnya daripada kalangan fakir dan miskin untuk keluar dari belenggu kemiskinan. Namun perkara ini tidak berlaku. Kenapa? Sebab utamanya adalah kerana masalah di dalam sistem pengagihan zakat yang terlalu ketara.
Jika dilihat kepada kes-kes kemiskinan umat Islam yang didedahkan oleh pihak media, pastinya para pembayar zakat terfikir ke manakah wang bayaran zakat mereka pergi? Ditambah pula dengan tindakan sesetengah pusat zakat yang melaksanakan operasi secara mewah dan membeli hartanah kononnya di atas nama pelaburan. Pembayar zakat hilang selera untuk membayar zakat kepada pusat zakat lantas membayar terus kepada asnaf. Lebih malang lagi, apabila ada golongan yang langsung tidak membayar zakat atas alasan kerana hilang kepercayaan kepada sistem zakat sedia ada. Apakah yang berlaku apabila para pembayar zakat terus membayar kepada asnaf? Kebanyakan pembayar zakat akan menumpukan kepada fakir miskin yang dikenali sahaja. Ini menyebabkan pengagihan zakat tidak menyeluruh dan asnaf-asnaf lain terpinggir.
Oleh hal yang demikian saya mencadangkan agar perlaksanaan kaedah kutipan dan pengagihan zakat dilakukan secara setempat berdasarkan kariah. Hal ini kerana hanya orang tempatan lebih mengetahui keperluan dan masalah asnaf di tempatnya. Di dalam sistem sedia ada, petugas atau amil secara tidak sedar membawa zakat yang dikutip ke tempat lain sedangkan penduduk asal memerlukannya. Oleh hal yang sedemikian sebaiknya pihak berkenaan mengembalikan zakat kepada penduduk di kawasan zakat dikutip terlebih dahulu sebelum dibawa ke tempat lain seperti amalan zakat yang dilakukan sewaktu zaman Khalifah Umar Abdul Aziz.
Lebihan zakat dari sesuatu kariah yang dibawa keluar hendaklah disalurkan ke kawasan yang mengalami defisit dalam pengagihan zakat diakibatkan oleh jumlah asnaf yang mengatasi jumlah hasil zakat yang ada. Secara tidak langsung wang zakat yang disalurkan ke kariah/daerah/negeri lain akan mengurangkan jurang perbezaan ekonomi umat Islam di seluruh negara.
Selain itu, lantikan amil tempatan berjawatan tetap dan berlatarbelakangkan pendidikan berkaitan pengurusan zakat juga boleh meningkatkan kredibiliti pengurusan dan pengagihan zakat. Amil tempatan juga perlu mahir tentang keadaan sosio-ekonomi tempatan dan diupayakan dengan kuasa untuk memutuskan jenis dan jumlah bantuan yang perlu diberikan kepada setiap asnaf yang ada.
Proses pencarian asnaf juga akan menjadi lebih mudah sekiranya pusat komuniti bagi urusan zakat diwujudkan di setiap masjid.
Muhammad Khalil Abdul Hadi ialah Timbalan Ketua, Dewan Pemuda PAS Malaysia
Sumber HD - 27-2-2014
Renungan bersama buat pejuang Islam
- Feb 01, 2014
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Surat Al-Ankabut: 2-3: “Apakah manusia itu mengira bahwa mereka akan dibiarkan (saja) hanya dengan mengatakan: “Kami telah beriman”, sedang mereka tidak diuji lagi? Dan sesungguhnya, Kami telah menguji orang-orang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia pasti mengetahui orang- orang yang dusta.”
2-Kenapa aku tidak mendapatkan apa yang aku idam-idamkan?
Surah Al-Baqarah ayat 216: “Boleh jadi kamu membenci sesuatu, padahal ia amat baik bagimu, dan boleh jadi (pula) kamu menyukai sesuatu padahal ia amat buruk bagimu; Allah mengetahui, sedang kamu tidak mengetahui.”
3-Kenapa ujian seberat ini?
Surah Al-Baqarah ayat 286: “Allah tidak membebani seseorang melainkan sesuai dengan kesanggupannya.”
4-Bagaimana menghilangkan rasa kekecewaan?
Surah Al-Imran ayat 139: “Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah (pula) kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi (derajatnya), jika kamu orang-orang yang beriman.”
5-Sungguh, aku tak dapat bertahan lagi…!!!!!
Surah Yusuf ayat 87: “Dan jangan kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya tiada berputus asa dari rahmat Allah, melainkan orang-orang yang kafir.”
6-Bagaimana aku harus menghadapi persoalan hidup?
Surah Ali-Imran ayat 200: “Wahai orang-orang yang beriman, bersabarlah kamu dan kuatkanlah kesabaranmu dan tetaplah bersiap siaga (di perbatasan negerimu) dan bertaqwalah kepada Allah supaya kamu beruntung.”
7-Apa jawapannya?
Surah Al-Baqarah ayat 45-46: ”Dan mohonlah pertolongan (kepada Allah) dengan sabar dan shalat. Dan (shalat) itu sungguh berat kecuali bagi orang-orang yang khusyuk, (yaitu) mereka yang yakin, bahwa mereka akan menemui Tuhannya, dan bahwa mereka akan kembali kepada- Nya.”
8-Siapa yang menolong dan melindungiku?
Surah Ali-Imran ayat 173: “Cukuplah Allah (menjadi penolong) bagi kami dan Dia sebaik-baik pelindung.”
9-Kepada siapa aku berharap?
Surah At-Taubah ayat 129: “Cukuplah Allah bagiku; tidak ada AIlah selain Dia. Hanya kepada-Nya aku bertawakkal, dan Dia adalah Tuhan yang memiliki ‘Arsy (singgahsana) yang agung.
Sumber HD - 1-2-2014
Gong Xi Fa Cai! untuk menghadapi "Tahun harga barang naik"
- Jan 30, 2014
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
"Wahai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kalian dari laki-laki dan perempuan, dan Kami menjadikan kalian berbangsa-bangsa dan bersuku-suku agar saling mengenal. Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian adalah orang yang paling bertaqwa di sisi Allah."
[maksud dari Surah al-Hujurat:13].
Dewan Pemuda PAS Malaysia amat berbesar hati dengan kesempatan yang ada bagi meraikan rakan-rakan kita dari masyarakat Tiong Hua yang akan menyambut perayaan Tahun Baru Cina tidak lama lagi. Di dalam keresahan berdepan kenaikan kos sara hidup dan kebuntuan pemerintah yang telah menjadikan 2014 sebagai tahun harga Barang Naik, kita semua berkongsi harapan seraya ucapan "Gong Xi Fa Cai" yang sering diucapkan agar kerja keras kita tertebus dengan kekayaan dan kemakmuran.
Dan sebagaimana tradisi, sambutan ini juga adalah peluang untuk ahli keluarga besar berkumpul bagi merapatkan hubungan yang mungkin terpisah atas tuntutan kehidupan. Maka ada wajarnya kemurnian tradisi tersebut dilihat dari sisi pandang kepelbagaian kaum di Malaysia dengan perayaan seperti sambutan Tahun Baru Cina ini menjadi tika penting bagi semua pihak kembali sebagai sebuah "keluarga besar".
Meskipun diasak kepentingan politik sempit yang memperbesar-besarkan perbezaan, ahli-ahli keluarga besar ini tidak harus mudah disinggung dan kekal yakin dengan iltizam tokoh-tokoh pengasas kenegaraan bahawa bersekutu bertambah mutu yang seterusnya boleh menjana penghasilan kekayaan dan kemakmuran Malaysia.
Dikala PAS menggiatkan usaha pembaharuan dan dakwah, nilai-nilai penting yang begitu sinonim dengan masyarakat Cina seperti kecelikan politik, keusahawanan dan sokongan setiakawan yang diibaratkan seperti ‘jaringan buluh' amat wajar diteladani oleh Pemuda PAS khususnya.
Maka di dalam suasana sambutan perayaan ini, Dewan Pemuda PAS Malaysia ingin mengambil peluang tersebut bagi mempertegaskan komitmen PAS untuk menjadi gerakan yang lebih inklusif dan berharap masyarakat Cina di negara ini terus bersama PAS dan Pakatan Rakyat sebagai sekutu penting ke arah menjadikan Malaysia negara yang lebih baik.
Bagi mereka yang mengambil peluang dari cuti panjang untuk pulang ke kampung halaman masing-masing, semoga berhati-hati di jalan raya. Kami Pemuda PAS mendoakan keselamatan kepada semua dengan pengharapan tulus agar sambutan cuti ini menjadi kenangan gembira yang mendamaikan.
Gong Xi Fa Cai. Xin Nian Kuai Le.
Muhammad Khalil Abdul Hadi
Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia
Sumber HD - 30-1-2014
Belasungkawa: Perginya seorang ulama dan murabbi
- Jan 26, 2014
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Sabda Nabi sallallahualaihi wasallam:
"Sesungguhnya Allah tidak menarik ilmu dengan tarikan sekaligus daripada manusia, akan tetapi ditarik ilmu dengan kematian ulama sehingga apabila tidak ada ulama, manusia akan mengambil daripada ketua-ketua yang jahil, orang bertanya dan mereka memberikan fatwa tanpa asas ilmu lalu mereka sesat dan menyesatkan orang lain." (Hadis sahih riwayat Imam Muslim)
Umat Islam di Malaysia pada hari ini menyaksikan pulangnya ke Rahmatullah seorang lagi tokoh ulama dan murabbi, Allahyarham Tuan Guru Datuk Harun Taib akibat keuzuran dari penyakit yang beliau hidapi. Al Marhum Tuan Guru adalah Ketua Dewan Ulama' PAS Pusat dan ahli Majlis Syura Ulamak PAS.
Nama Al Marhum Tuan Guru begitu sinonim dengan tarbiyah dan perkaderan. Boleh dikatakan majoriti pimpinan yang mengisi saf kepimpinan jamaah pada waktu ini pernah merasa didikan tarbiyah secara langsung dari beliau. Buah fikiran Al Marhum, antaranya yang berkaitan siasah, qiadah dan wala' serta taadud jamaah melatari silibus usrah PAS.
Komitmen Al Marhum terhadap ilmu amat jelas. Seorang penulis karya dakwah yang prolifik, Al Marhum merupakan antara segelintir kecil anak Melayu ketika zamannya yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran ke peringkat PhD di Universiti al-Azhar yang memang diketahui umum sebagai sangat-sangat sukar. Keilmuan yang ada pada Al Marhum menjadikan beliau antara pakar rujuk utama penggubalan Enakmen Jenayah Syariah Negeri Kelantan dan Terengganu.
Al Marhum juga terkenal dengan sikap tegas di dalam menjelaskan pendirian jamaah sehinggakan di dalam banyak isu, beliau dianggap sebagai menongkah arus. Ianya dapat disaksikan di dalam komentar beliau mengenai isu kerajaan perpaduan pasca PRU ke 12, penggunaan kalimah Allah dan peningkatan fahaman liberal dan plural di dalan masyarakat. Pada waktu ramainya ahli-ahli politik masa kini yang mengambil pendirian populis, Al Marhum tidak apologetik dan berani di dalam keyakinannya melahirkan pandangan yang boleh menjelaskan jatidiri Islam dan PAS.
Sesungguhnya pemergian murabbi agung ini adalah satu lagi tanda Allah swt sedang menjemput pulang mereka yang fakih akan agamaNya dan semakin dekat pula hari penentuan.
Al Marhum Tuan Guru Datuk Harun Taib meninggalkan seorang balu Datin Fatimah Ibrahim dan 5 orang anak. Anak al Marhum, YB Ustaz Hilmi Harun kini menyandang kerusi Dun Manir yang pernah disandang oleh Al Marhum.
Semoga roh beliau dilimpahkan dengan kebaikan dan ditempatkan di kalangan para syuhada' dan solihin. Al Fatihah.
23 Rabiulawwal 1435 / 25 Januari 2014
Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber HD - 26-1-2014
Rakyat Mesir terus bangkit
- Jan 22, 2014
- MUHAMMAD KHALIL ABDUL HADI
Mereka turun berkampung di Dataran Tahrir selama 18 hari dan di jalan-jalanraya seluruh negara bertepatan pada hari tersebut yang merupakan Hari Polis peringkat negara.
Rakyat Mesir telah berjaya membebaskan negara dari cengkaman toghut Mubarak dengan menikmati erti kebebasan, keadilan dan memperjuangkan prinsip demokrasi dalam revolusi tersebut.
Maka rakyat Mesir melangkah ke hadapan dengan melakarkan episod baru sejarah negara mereka dengan menyertai lima kali pilihanraya yang telus dan adil termasuk Pilihanraya Parlimen (November 2011), Pilihanraya Presiden (Jun 2012) dan pungutan suara terhadap pindaan perlembagaan negara mereka pada Disember 2013.
Semua ini disertai oleh pelbagai pertubuhan dan parti politik sama ada dari aliran Islam atau sekular termasuk Ikhwan Muslimin, gerakan Islam yang digeruni oleh dunia.
Maka, calon mereka, Dr.Muhammad Mursi telah menyertai Pilihanraya Presiden dengan semangat demokrasi lalu menang dalam pilihanraya yang diakui dunia sebagai telus dan bebas. Proses pilihanraya ini turut diikuti oleh bekas Presiden Amerika Syarikat, Jimmy Carter sebagai pemerhati.
Namun, kehendak rakyat ini telah dirampas dalam sekelip mata oleh tentera yang diketuai Menteri Pertahanan, Jeneral Abdul Fatah As-Sisi pada 3 Julai 2013. Menyingkirkan Presiden yang sah, memansuhkan perlembagaan negara, membubarkan Parlimen dan menangkap Presiden Mursi.
Lebih menyayat hati, mereka melakukan tindakan ketenteraan terhadap penyokong pro Mursi yang berhimpun di seluruh negara termasuk operasi besar-besaran di dataran Rabi'ah pada 14 Ogos 2013 yang membunuh lebih 5,000 nyawa.
Selain menangkap sebahagian besar penentang mereka yang dianggarkan kini lebih 20,000 orang, mereka turut memperkudakan semua institusi kerajaan bagi kepentingan nafsu serakah mereka.
Pejabat Pendakwaraya negara digunakan bagi mencipta tuduhan palsu untuk dibicarakan pimpinan Ikhwan Muslimin termasuk Muhammad Mursi, hakim-hakim pula diperalatkan untuk menjatuhkan hukuman sewenang-wenangnya dan pasukan keselamatan digunakan sepenuhnya untuk membantai demonstrasi aman di seluruh negara, menggempur kawasan universiti dan membunuh para pemuda hingga di dalam dewan peperiksaan.
Setelah memansuhkan perlembagaan yang diluluskan di zaman pemerintahan Muhammad Mursi, kudeta membentuk anggota panel penggubal dengan meminda perlembagaan mengikut kehendak mereka.
Lalu, pada 14 dan 15 Januari lalu, mereka menyeru kepada rakyat untuk turun bagi menyertai pungutan suara bagi mengesahkan perlembagaan versi mereka.
Ikhwan Muslimin dan Gabungan Kerjasama Kebangsaan Menolak Rampasan Kuasa meminta rakyat memboikot pungutan suara ini kerana ia tidak sah kerana kerajaan yang meminda perlembagaan ini juga tidak sah.
Selama dua hari pengundian dijalankan, pusat-pusat mengundi didapati lengang. Lalu, mereka merancang melakukan penipuan. Ia kembali mengingatkan kita kepada penipuan pilihanraya yang dilakukan ketika pemerintahan rejim Mubarak. Sebagai contoh di wilayah Ismailiyiah, terdapat laporan beberapa individu dibenarkan mengundi lebih dari sekali, kanak-kanak berusia 6 tahun dibenarkan mengundi dan pelbagai penyelewengan lain.
Keputusan pungutan suara diumumkan oleh pihak kudeta 3 hari berikutnya. Mereka mengumumkan hampir 40 peratus daripada 56 juta pengundi menjayakan pungutan suara dna memberikan alasan peperiksaan sebagai sebab kononnya ramai golongan belia tidak keluar. Sedangkan beberapa hari sebelum itu, beberapa pertubuhan bebas telah mendedahkan bilangan keluar mengundi hanya 11 peratus sahaja. Hakikatnya, bukan kerana faktor peperiksaan tetapi secara jelas rakyat telah memboikot pungutan suara mereka.
Oleh itu, rakyat Mesir akan terus mempertahankan kebebasan yang mereka miliki dan tidak akan berundur sama sekali walaupun selangkah. Kita dapat saksikan walaupun telah lebih 6 bulan rampasan kuasa berlaku tetapi rakyat terus bersabar dan meneruskan bantahan aman di jalan-jalanraya.
Penulis ialah Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Malaysia.
Sumber HD - 22-1-2014
Sabah indah dan subur untuk kerja dakwah - Khalil
- Jan 19, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Timbalan Ketua Pemuda PAS Malaysia, Muhammad Khalil Abdul Hadi berkata, bumi Sabah begitu indah dan subur untuk kerja-kerja dakwah.
Beliau menyatakan demikian menerusi facebook selepas lima hari meluangkan masa bersama-sama dengan sahabat-sahabat seperjuangan di negeri itu.
“Sebelum pulang, saya berpesan kepada mereka bahawa saya berasa 'irihati' dengan mereka yang mempunyai komitmen yang tinggi untuk melakukan kerja-kerja jihad dakwah dengan penuh pengorbanan,” tulisnya.
Katanya, mereka sanggup bersusah-payah ke sana ke mari melalui jalan-jalan yang penuh berliku, meredah hutan belantara dan bukit bukau untuk menghidupkan program-program jamaah PAS.
Ini, tambah beliau khususnya apabila mengingatkan hadis Nabi s.a.w yang mafhumnya; penat lelah, langkah-langkah orang yang berjihad, naik turun gunung dan bukit, hatta debu-debu yang melekat pada tubuh mereka digantikan dengan pahala yang melimpah ruah di akhirat kelak.
“Semoga Allah mengurniakan keikhlasan di atas amalan yang kita lakukan. Teruskan perjuangan wahai sahabat-sahabatku,” tulis beliau selanjutnya.
Sumber HD - 19-1-2014
No comments:
Post a Comment