PEMILU Indonesia: Analisis jatuh bangun parti-parti politik
- Apr 11, 2014
- MOHD NASAIE ISMAIL
Walaupun parti Megawati ini merosot sebanyak dua kali PEMILU 2004 dan 2009, proses modenisasi parti dan rejuvenasi parti menarik dikaji. Di samping keberanian mereka meletakkan Jokowi seorang kader baru PDIP yang bukan pengikut PDIP sejak awal. Dia dikira bukan hasil perkaderan PDIP sejak awal. Tetapi beliau adalah hasil yang diperolehi PDIP sejak proses rejuvenasi parti dilakukan. Setelah 10 tahun duduk di luar kerajaan dengan tidak menyertai dua penggal kabinet Sosilo, PDIP menubuhkan Relawan Demokrasi Rakyat sebagai NGO atau organisasi massa yang merekrut ahli baru PDIP.
Berlaku pertembungan dalaman PDIP apabila nama-nama baru hendak diletakkan sebagai calon kerana dikatakan mereka bukan original PDIP, tetapi keberanian dan hormat yang tinggi ahli-ahlinya kepada Megawati berjaya menyurutkan tentangan. Termasuk jugalah penentangan terhadap pencalonan Jokowi sebagai calon Presiden. Ahli dan sebahagian pimpinan meragui keaslian ideologi Jokowi, sama ada benar-benar menjiwai PDIP atau sebaliknya. Mereka lebih menginginkan Megawati sendiri sebagai calon Presiden walaupun sudah tewas sebanyak dua kali dalam Pemilihan Presiden. Ataupun setidaknya anak Megawati yang juga Pengarah Pilihanraya PDIP Melyani dipilih sebagai calon Presiden. Tetapi permasalahan itu segera ditangani dengan Sri Melyani sendiri ditugaskan membacakan perutusan Megawati yang mengumumkan Jokowi sebagai calon Presiden.
Golkar yang ditinggalkan Soharto pasca Reformasi 1998 kembali mendominasi undi. Dengan slogan ‘beri bukti bukan janji’, mereka mempromosikan kejayaan pentadbiran mereka di peringkat wilayah. Kejayaan gabenor Sumatera Selatan Alex Nordin daripada Golkar yang memberikan pendidikan dan rawatan kesihatan percuma di wilayah pentadbirannya menjadi pertaruhan Golkar kepada pengundi seluruh Indonesia. Mereka juga mempromosikan untuk mengembalikan zaman ‘tenang’ dibawah pemerintahan Soharto yang berjaya memodenkan Indonesia dan pembaikan demokrasi dibawah pimpinan BJ Habibie. Jadi walaupun ada yang marahkan Soharto, mereka membilang Indonesia yang demokratik hari ini pun datangnya daripada Golkar kerana perubahan yang dibuat oleh Presiden BJ Habibie yang menggantikan Soharto. Di samping itu Golkar juga membentangkan wawasan jangka panjangnya untuk pembangunan Indonesia.
Sedikit permasalahan kepada Golkar yang telah mengumumkan Abu Rizal Bakrie sebagai calon Presidennya ialah pencalonan bekas Timbalan Presiden Indonesia 2004-2009 Jusuf Kalla. Walaupun beliau daripada Golkar, tetapi mutakhir ini beberapa parti dan calon lain sedang mengintai untuk mencalonkan Jusuf Kalla sebagai pasangan Timbalan Presiden mereka. Sama ada berpasang dengan Jokowi atau Probowo daripada Gerindra. Jika ini berlaku, sedikit rumit perjalanan Golkar ke Presiden Indonesia.
Kebangkitan Parti Kebangkitan Bangsa PKB yang diasaskan Gus Dur cukup memeranjatkan. Pengamat politik menjangkakan PKB tidak mampu bangkit kembali disebabkan tidak ada pemimpin sehebat Gus Dur yang menggantikan kepimpinan PKB. Parti yang diasaskan gerakan Nahdatul Ulama ini mencalonkan seorang artis dangdut terkenal Indonesia iaitu Rhoma Irama sebagai calon Presidennya. Di samping itu mereka juga berdepan dengan halangan menggunakan gambar Gus Dur yang dilarang oleh isteri dan anaknya. Walaupun bapanya pengasas PKB, tetapi anak Gus Dur menyertai parti Gerindra pimpinan Probowo. Agak unik, dicelah kesulitan itu, mereka boleh meningkatkan undi mereka. Adakah faktor artis popular yang dijadikan ikon baru parti atau pluralis PKB yang disenangi rakyat pelbagai agama. Wallahuaklam. Ia benar-benar mengejutkan.
Gerindra satu lagi parti baru yang ditubuhkan pada tahun 2008. Dalam usia setahun itu, dia berjaya memperolehi undi 4.46 peratus dalam PEMILU 2009. Ia suatu yang cukup besar. Parti yang diasaskan Probowo bekas menantu Soharto itu disertai oleh bekas kader-kader Golkar dan juga kalangan ahli akedemik seperti Ketua Umumnya Prof Suhardi. Kejayaan mereka memenangi pilihan raya perbandaran Jakarta melalui calonnya Ehok yang berganding dengan Jokowi sebagai Gabenor dan Timbalan Gabenor telah memberi nafas baru kepada mereka. Kejayaan tersebut meletakkan Gerindra berani menampilkan calon Presiden mereka iaitu Probowo sendiri. Harapan Probowo, Jokowi sedia berganding dengan beliau sebagai calon Timbalan Presiden sebagaimana gandingan Jokowi-Ehok di Jakarta. Tetapi agak mengecewakan apabila Jokowi sendiri dicalonkan oleh PDIP sebagai calon Presiden dan dilihat mereka berdua sebagai saingan terdekat untuk pilihan raya Presiden Julai nanti. Demikianlah empat parti tertinggi yang mendapat undi dalam PEMILU 9 April ini.
Kesemua faktor modenisasi parti, rejuvenasi kader baru dan penyegaran penampilan yang dilakukan setiap parti telah membuahkan hasil. Walaupun tidak dapat dinafikan kelebihan lain yang ada pada parti lama seberti Golkar dan PDIP yang mempunyai jentera yang kuat di peringkat akar umbi, dokongan kewangan yang kuat daripada tokoh korporat mereka dan tauke serta juga ada disebutkan sokongan Amerika kepada beberapa parti yang disenangi mereka.
Bagaimana pula dengan parti-parti Islam. Parti Persatuan Pembangunan PPP atau dikenali sebagai parti Kaabah pimpinan Hamzah Haz pernah menghantar calon mereka memenangi Timbalan Presiden Indonesia. Hamzah Haz sendiri menjadi Timbalan Presiden yang berganding dengan Megawati selepas pengunduran Gus Dur. Manakala Parti Bulan Bintang PBB yang dipimpin Yusril Ehya Mahendra pernah menghantar ketuanya itu sebagai Menteri Kehakiman Indonesia. Malah Yusril hampir hampir dicalonkan sebagai Presiden Indonesia oleh pakatan jalur tengah untuk menggantikan Habibie jika sekiranya Gus Dur menarik diri ketika itu.
Parti Keadilan Sejahtera PKS pernah menghantar Presidennya menjadi Speaker Parlimen Indonesia. Dr Hidayat Norwahid menjadi speaker parlimen daripada tahun 2004 hingga 2009, menggantikan Amein Rais hero ‘reformasi’ daripada Parti Amanat Nasional PAN. Malah dalam tempoh pemerintahan penggal kedua Sosilo, PKS menghantar tiga pimpinannya menjadi Menteri Kabinet SBY iaitu bekas Presidennya Tifatul Sembiring yang menjadi Menteri Penerangan, dan dua orang lagi menjadi Menteri Pertanian dan Menteri Sosial.
PKS yang dilihat maju dalam PEMILU 2004 dan 2009 sehingga menempatkan mereka dalam turutan keempat parti-parti di Indonesia. Walaupun tidak mencapai target 100 kerusi parlimen dalam PEMILU 2009, tetapi perolehan sekitar 60 kerusi sudah menunjukkan satu peningkatan memberangsangkan sehingga menguasai hampir 10 peratus kerusi di parlimen. Kekuatan PKS terbukti apabila mereka tidak dikesampingkan dalam pakatan Sosilo-Bodiyano untuk pencalonan Presiden dan Timbalan Presiden 2009-2014. Hasilnya PKS menerima tiga kementerian untuk diketuainya. Era PKS berada dalam kerajaan telah bermula dan semestinya mendekatkan lagi mereka dengan rakyat.
Namun sedikit malang, kebangkitan PKS tersekat dengan penangkapan Presidennya Lutfi Hasan Ishak atas tuduhan bersubahat dengan rasuah. PKS melihat dakwaan tersebut sebagai konspirasi untuk menyekat kemaraannya. Walaupun ia masih bersifat dakwaan, tetapi serangan media yang dikenakan kepada PKS dengan isu tersebut yang paling tinggi kekerapan beritanya di media Indonesia. Berbanding dengan PDIP, Golkar, Demokrat pimpinan Sosilo dan juga parti lain yang mempunyai berpuluh kes rasuah melibatkan pemimpin mereka, tetapi serangan medianya tidak seteruk yang dikenakan kepada PKS. Walaupun hanya satu kes dan paling kecil berbanding parti lain di Indonesia, hatta masih bersifat dakwaan, imej bersih PKS telah dikotori.
Tindakan drastik PKS melantik bekas Setiausaha Agungnya yang muda Anis Matta sebagai Presiden baru dilihat memberi nafas baru. Anis yang menjadi Setiausaha Agung PKS dibawah tiga Presiden iaitu Dr Hidayat Norwahid, Tifatul Sembiring dan Lutfi Hasan Ishak dilihat sangat matang walaupun muda dan imejnya menampakkan inklusif PKS. Dalam tempoh yang singkat PKS berjaya memenangi pilihanraya tiga gabenor wilayah iaitu mengekalkan Gabenor Jawa Barat, memenangi Sumatera Barat dan Maluku. Ia kejayaan mengejutkan di tengah kekalutan akibat kes bekas Presidennya dan juga kekalahan PKS dalam pilihan raya gabenor Jakarta.
Selain terpalit dengan tuduhan rasuah tersebut, PKS juga masih dilihat sebagai parti yang eksklusif yang hanya memfokus kepada kader kader dakwahnya sahaja. Walaupun PKS sangat berjaya dalam kerja kebajikan dan kesukarelawanannya kepada masyarakat imej tersebut tidak mampu membantu secara besar untuk memberikan gambaran keterbukaan PKS. Di bawah Presiden Anis Matta beliau yang kerap berseluar jeans dan berkemeja itu cuba membuka ruang penampilan yang lebih inklusif dalam partinya. Namun masanya agak suntuk, kesannya tidak dapat dirasakan dalam PEMILU kali ini. Walaupun kiraan undi sudah melebihi 90 peratus setakat ini, nampaknya PKS tidak mampu bertahan sebagai empat parti utama Indonesia dan jumlah kerusi dan undinya juga tidak mampu bertahan seperti sebelumnya.
Memasuki pilihan raya Presiden pada bulan Julai ini, belum pasti kesediaan PKS untuk meletakkan calon Presidennya sebagaimana kehendak mereka sebelum PEMILU. Tiga nama yang mengungguli pilihan raya dalaman PKS iaitu Anis Matta, Pak Hidayat Norwahid dan Gabenor Jawa Barat Ahmad Heryawan dilihat tidak segagah Probowo dan Jokowi daripada Gerindra dan PDIP.
Untuk meletakkan calon Presiden dan Timbalannya, setiap parti ataupun gabungan parti-parti mestilah membentuk 20 peratus kerusi di parlimen. Wujudkah gabungan ini antara PKS, PBB, PPP dan lain-lain parti aliran tengah, sama-sama kita nantikan. Apapun, politik Indonesia yang rencam tidak memustahilkan sebarang kemungkinan. PKB yang dilihat hampir mati pun boleh bangkit kembali. Gerindra yang baru ditubuh pun boleh cepat melonjak. Lalu tidak mustahil masa depan PKS dan Parti Islam lain boleh cerah di masa depan. Hal ini kerana Indonesia yang sudah terbuka demokrasinya masih lagi berdepan dengan kemiskinan pengundinya. Segala keberangkalian boleh berlaku kepada pengundi seumpama ini, kerana asas undi mereka tidak hanya maklumat dan ilmu, tetapi juga makanan dan survival untuk hidup. Semoga ada kemajuan dimasa mendatang buat Indonesia.
Mohd Nasaie Ismail ialah Setiausaha Pemuda PAS Malaysia
Sumber HD - 11-4-2014
UMcedel: 56 peratus kata PRK Kajang wajar diadakan
- Feb 20, 2014
- HARAKAHDAILY
Sebaliknya hanya 32 peratus menyatakan ianya tidak wajar dan bakinya 12 peratus adalah tidak pasti.
Pengarah UMcedel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman ketika membentangkan hasil kajian yang dibuat 14 dan 15 Februari itu berkata, data itu menunjukkan tidak timbul isu bahawa rakyat Kajang menolak PRK yang akan diadakan seperti yang dimainkan oleh sesetengah pihak dan media.
"Orang pun tahu, bila datang PRK banyak projek datang.
"Sekarang pun polis dah ramai turun di Kajang. Saya pun rasa lebih selamat sedikit dari sebelum ini.
"Kalau orang tak setuju itu sesuatu yang pelik lah," kata beliau.
Selain itu, kajian tersebut juga mendapati 50 peratus dari responden bersetuju bahawa PRK Kajang adalah untuk menyelamatkan pentadbiran kerajaan Pakatan Rakyat di Selangor.
Mereka juga menolak dakwaan bahawa PRK Kajang hanya satu pembaziran.
Hasil kajian tersebut juga mendapati 48 peratus bersetuju bahawa tempoh yang lama sebelum pengundian menjejaskan wibawa Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).
"Tak pernah dalam sejarah SPR ambil masa sampai 60 hari.
"Dari percakapan responden kepada kita, mereka juga tidak boleh terima alasan SPR bahawa tak sempat bersedia kerana PRK Kajang ini mengejut," kata beliau lagi.
Anwar sebagai MB
Hasil kajian itu juga menunjukkan bahawa 59 peratus responden mengatakan wajar diadakan PRK Kajang bagi membolehkan Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi Menteri Besar Selangor.
Sebaliknya hanya 18 peratus mengatakan tidak dan 24 peratus memilih tidak pasti.
Isu kritikal
Dalam pada itu, beliau juga merumuskan bahawa isu harga barang boleh memberi kelebihan kepada Pakatan Rakyat.
Sebaliknya isu kalimah Allah, dan pemberian BR1M tidak menjadi faktor besar untuk mendorong kemenangan kepada BN.
Bagaimanapun menurut Dr Redzuan, masih terlalu awal untuk membuat kesimpulan kecenderungan pengundi kerana waktu kempen belum bermula.
Apatah lagi katanya, ketika ini hanya satu pihak sahaja yang sudah mula turun bertemu pengundi.
"Ada masa lebih kurang 20 hari lagi, dan dalam tempoh ini macam-macam boleh berlaku.
"Kita bercadang akan membuat satu lagi kajian selepas penamaan calon," kata beliau.
Mengulas soal calon beliau berkata, rata-rata pengundi mahu calon BN yang akan melawan Anwar haruslah juga seorang tokoh nasional yang dikenali.
"Bagi calon bebas, kalu dapat 100 undi tu pun pada saya sudah banyak," ujar beliau.
Sumber HD - 20-2-2014
UMCEDEL ramal Anwar menang besar di DUN Kajang
- Feb 03, 2014
- Norhayati Umor
Pengarah Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya (Umcedel), Prof Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman (gambar), berkata isu dalaman yang berlaku dalam PKR tidak akan mempengaruhi undi kepada Ketua Umum PKR itu.
Katanya, kehadiran pemimpin itu sebagai calon di DUN Kajang adalah penyelesaian kemelut isu terbabit.
“Isu krisis dalaman parti itu tidak memberi kesan kepada pengundi di Kajang, malah beliau akan menang dengan majoriti yang besar.
“Mengikut kajian sejak 1999, pilihanraya adalah perkara yang ditunggu rakyat, tidak ada soal tidak suka atau sebaliknya,” katanya memetik laporan Umdecel.
Dalam laporan itu juga memaklumkan, isu dalaman PKR perlu diselesaikan segera sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 akan datang.
Beliau berkata tindakan terbabit juga membabitkan Putrajaya, sehubungan itu wajar meletakkan Anwar di DUN Kajang untuk menyelesaikan kemelut yang akan mencetuskan pelbagai masalah di negeri itu masa depan.
Anwar diumumkan menjadi calon DUN Kajang oleh Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim selepas Adunnya, Lim Chin Cheh meletak jawatan.
Pada pilihan raya umum ke-13 Mei tahun lepas, PKR menang kerusi itu dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, Berjasa dan tiga calon bebas. - Selangor Kini
Sumber HD - 3-2-2014
PR, BN tidak dapat kelebihan isu kalimah Allah - UMcedel
- Jan 17, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMcedel) telah mengenal pasti kecenderungan sokongan 57 peratus responden Melayu yang tidak bersetuju dengan penggunaan Kalimah Allah oleh penganut agama lain.
“Daripada 57 peratus ini, pola sokongan terhadap parti digunakan untuk menentukan parti manakah yang mendapat manfaat daripada isu Kalimah Allah ini,” jelas Umcedel daripada hasil kajian yang dilakukan terhadap isu berkenaan.
Hasilnya, 45 peratus responden memihak kepada Barisan Nasional, 40 peratus responden berpihak kepada Pakatan Rakyat dan bakinya 15 peratus tidak pasti.
Oleh itu, jelas Umcedel kedua-dua parti ini dilihat tidak mendapat kelebihan daripada isu Kalimah Allah ini kerana perbezaan antara Barisan Nasional dan Pakatan Rakyat hanya 5 peratus sahaja.
Kesimpulan berhubung kajian isu kalimah Allah sebagaimana di bawah.
Penggunaan Kalimah Allah merupakan satu isu yang sangat sensitif dalam kalangan responden Melayu berbanding responden Cina dan India.
Secara keseluruhannya, seramai 77 peratus responden Melayu menyatakan bahawa Kalimah Allah tidak boleh digunakan oleh penganut agama lain.
Bagi responden Cina dan India pula, masing-masing 21 peratus dan 28 peratus tidak bersetuju Kalimah Allah digunakan oleh penganut agama lain selain daripada Islam.
Isu yang paling kritikal berkaitan dengan polemik penggunaan Kalimah Allah oleh penganut bukan Islam ialah parti manakah yang mendapat paling banyak manfaat jika isu ini dijadikan bahan kempen pada pilihan raya yang terdekat.
Walaupun majoriti responden Melayu yang terdiri daripada pelbagai aspek latar belakang tidak bersetuju mengenai penggunaan Kalimah Allah oleh penganut agama lain, namun hasil kajian UMcedel menunjukkan hanya 45 peratus responden sahaja memihak kepada Barisan Nasional, 40 peratus kepada Pakatan Rakyat dan 15 peratus tidak pasti.
Dalam konteks politik Malaysia, perbezaan 5 peratus tidak mampu memberi kelebihan kepada mana-mana parti jika isu ini dieksploitasi untuk tujuan politik.
Jelas menunjukkan bahawa isu Kalimah Allah yang hangat dimainkan oleh pihak media ini tidak membawa kepada perubahan secara drastik sokongan pengundi Melayu kepada parti yang disokong sebelum ini.
Isu ini lebih banyak menimbulkan ketegangan hubungan antara kaum daripada mendapat manfaat politik kepada mana-mana parti jika terus dimainkan.
Sumber HD - 17-1-2014
No comments:
Post a Comment