Zarinah perlu diberi pembelaan
SETIAP wanita mengidamkan rumahtangga yang bahagia, tiada yang lebih bermakna melainkan satu ikatan suci dilangsungkan tanda kasih melayari bahtera hidup suami isteri.
Begitulah hati kecil Zarinah tersenyum pada majlis perkahwinannya namun suasana damai dan harapan membina istana kasih pada hari itu berkecai dan disentak kerana namanya Zarinah binti Abdul Majid menjadi sasaran siasatan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Ada apa pada nama?
Nama Zarinah berada pada tempat yang salah dan pada masa yang salah di sisi Jais kerana Zarinah yang namanya Islam tetapi melangsungkan perkahwinan secara agama dan adat Hindu dengan suaminya seorang penganut Hindu.
siapa Zarinah binti Abdul Majid?
Zarinah Abdul Majid di ‘binti’kan kepada bapanya Abdul Majid. Nama asal bapanya S Mahendran yang berkahwin pada tahun 1980 dengan ibu Zarinah bernama S Vasandamma.
Kemudian bapanya memeluk Islam dengan memakai nama Abdul Majid sedangkan ibunya kekal pada agama asal. Namun pada tahun 1990, Abdul Majid menghilangkan diri meninggalkan keluarganya tetapi sempat menukar status anak-anaknya termasuk Zarinah dalam kad pengenalan mereka.
Setelah ditinggalkan bapanya, Zarinah membesar dengan nama Islam namun kekal mengamalkan agama Hindu bersama ibunya. Mereka tidak menyangka ia akan menjadi masalah besar pada satu hari yang diidamkan oleh setiap wanita, iaitu hari perkahwinan Zarinah.
Siapakah yang patut disalahkan dalam kes ini? Adakah Jais, Zarinah, bapanya atau undang-undang?
Dan dalam semua ini, bagaimana pula Islam dikaitkan?
Islam bukan yang disangkakan
Kes Zarinah perlu diberi keadilan dan perkara pertama yang perlu diperjelaskan adalah keislaman bapanya.
Sebagaimana saya bergembira seseorang memilih Islam, saya juga bersedih kerana Islam agama saya diburukkan persepsinya oleh penganutnya sendiri.
Islam tidak mengizinkan sama sekali kezaliman berlaku apatah lagi kepada anak dan isterinya. Walaupun anak-anak bawah umur perlu berada pada agama ibu atau ayahnya yang beragama Islam namun ia mesti dilakukan dengan penuh rahmat dan kasih sayang sehingga tidak menafikan hak dan kasih sayang ibu atau ayahnya yang belum memeluk Islam.
Begitu juga jika salah seorang pasangan memeluk Islam maka perkahwinannya dibatalkan jika salah seorang tetap kekal pada agama asalnya dan hendaklah dipisahkan.
Itu hukumnya namun perlaksanaannya tidak mewajarkan ketidakadilan dari sudut kasih sayang anak, ibu dan hak isteri atau suami yang dipisahkan. Lebih utama adalah hak ibu atau bapanya yang masuk Islam mestilah mendidik anaknya dengan cara Islam yang betul tanpa menafikan kasih pada mana-mana ibu atau bapanya yang bukan Islam.
Menukarkan status anaknya kepada Islam dalam kad pengenalan kemudian meninggalkan mereka tanpa didikan yang sempurna adalah perbuatan yang tidak wajar dan ia bukanlah daripada ajaran Islam.
Dimana Anda Abdul Majid?
Dalam kes Abdul Majid kita tiada maklumat bagaimana dia melakukannya tetapi yang pasti ia telah melakukan sesuatu yang tidak pernah diajar oleh Islam, iaitu membiarkan keluarganya tanpa pembelaan malah dengan mewariskan masalah besar kepada anaknya.
Jelasnya, Zarinah mendakwa bapanya terus menghilang dan masalahnya juga adalah pendaftaran perkahwinannya tidak dapat dilakukan dengan cara sivil kerana Zarinah seorang Muslimah secara rasmi tetapi seorang Hindu dari segi amalannya.
Dilema Perundangan
Mimpi ngeri Zarinah boleh juga dirujuk kepada undang-undang yang sedia ada dan ia terbukti selama ini Zarinah berusaha menyelesaikan masalah namanya dalam kad pengenalan namun gagal kerana ia membabitkan dua pihak yang masing-masing tidak mahu mengambil tanggungjawab iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Mahkamah Syariah.
JPN tidak mahu menukar namanya sehingga Mahkamah Syariah mengisytiharkan dirinya telah pun keluar dari Islam.
Walaupun demikian sebagai rekod, ada satu kes Mahkamah Syariah berpihak kepada plaintif yang memohon keluar dari agama Islam iaitu, kes Siti Fatimah Abdullah atau nama asalnya Tan Ean Huang lwn MAIPP (Majlis Agama Islam Pulau Pinang) pada tahun 2008.
Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang mendapati plaintif tidak mengamalkan Islam sejak ditinggalkan suaminya seorang Muslim dari Iran. Fatimah Tan memeluk Islam tahun 1998 dan berkahwin sebagai seorang Islam pada tahun 2004.
Asas penghakiman dibuat kerana beliau tidak lagi mengamalkan Islam, namun Mahkamah menolak tuntutan plaintif untuk mengarahkan namanya ditukar kerana ia bukan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Peguam Ahmad Jailani Abdul Ghani mencatat satu sejarah buat pertama kalinya permohonan murtad diizinkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
Adapun kes melibatkan seorang yang telah mati iaitu kes Nyonya Tahir yang selama hidupnya 80 tahun sebelum meninggal telah pun tidak mengamalkan Islam, diisytiharkan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban tahun 2006 sebagai keluar Islam.
Dilemanya adalah dalam keadaan seorang Muslim dibiarkan tanpa pembelaan oleh orang yang bertanggungjawab lalu hidup dengan amalan agama lain, siapakah yang harus dipersalahkan?
Dalam kes Zarinah, di manakah bapanya? Sanggupkah bapanya melihat anaknya menderita terperangkap dalam dilema undang-undang apabila hilang begitu sahaja?
Apa halnya keadaan Zarinah yang sejak 20 tahun lampau tidak pernah mengamalkan Islam dan hanya kenal agama Hindu dalam hidup dewasanya, lalu tiba-tiba muncul penguatkuasa agama Islam menghalang perkahwinannya hanya kerana namanya?
Di mana Jais selama Zarinah membesar cuba menyelamatkan agama Islamnya seperti tertera dalam kad pengenalannya?
Nasib Zarinah
Zarinah perlu diberi pembelaan, Islam adalah agama rahmat pembela kepada yang mahukan keadilan tanpa mengira kulit, warna mahupun agamanya. Jalan terbaik adalah menyatakan apakah sikap Islam pada bapa yang mengabaikan tanggung jawab mendidik anak yang ditukarkan status agamanya kepada Islam.
Sebelum anaknya Zarinah didakwa kerana berkahwin dengan cara yang salah berpandukan pada nama Islamnya, bapanya Abdul Majid perlu tampil ke hadapan untuk menjawab mengapa dia gagal membentuk anaknya sebagai seorang Muslim setelah menukarkan status anaknya tetapi sebaliknya mengabaikan mereka pula.
Kedua, Zarinah mesti mendapat pembelaan di Mahkamah Syariah dengan memohon menetapkan status agama Islamnya berpandukan kepada ia sudah tidak beramal dengan Islam lagi. Zarinah memerlukan satu jawapan dalam kerangka perundangan yang ada untuk menentukan masa depannya.
Jika tidak, undang-undang negara ini akan dilihat menzalimi hak seorang rakyatnya menentukan masa depannya termasuk mendirikan rumah tangga dan menjadi rakyat yang setia kepada negara ini.
Ketiga, isu murtad mesti dibezakan antara yang asal Islam dan yang memeluk Islam kerana berkahwin atau namanya dan status agamanya ditukar menjadi Islam sedangkan dia beramal dengan agama lain.
Pilihan terbaik untuk menerima Islam adalah dengan pilihan sendiri atas kesedaran sendiri dan kerana keyakinan sendiri sebab Islam terbina atas ‘tiada paksaan’.
Memelihara kaedah agung Islam ini lebih utama daripada menjaga sensitiviti atau sentimen kerana Islam tidak terbina atas menyeksa mana-mana pihak tetapi Islam wajib memberi keadilan dengan kaedah dan prinsip yang telah ditetapkan.
Persoalan dalam artikel ini amat penting dilihat dengan sikap terbuka kerana ramai lagi ‘Zarinah’ di luar sana yang memerlukan jawapan. - HARAKAHDAILY, 5/6/2014
______________
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.
Sumber HD - 5-6-2014
Begitulah hati kecil Zarinah tersenyum pada majlis perkahwinannya namun suasana damai dan harapan membina istana kasih pada hari itu berkecai dan disentak kerana namanya Zarinah binti Abdul Majid menjadi sasaran siasatan penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais).
Ada apa pada nama?
Nama Zarinah berada pada tempat yang salah dan pada masa yang salah di sisi Jais kerana Zarinah yang namanya Islam tetapi melangsungkan perkahwinan secara agama dan adat Hindu dengan suaminya seorang penganut Hindu.
siapa Zarinah binti Abdul Majid?
Zarinah Abdul Majid di ‘binti’kan kepada bapanya Abdul Majid. Nama asal bapanya S Mahendran yang berkahwin pada tahun 1980 dengan ibu Zarinah bernama S Vasandamma.
Kemudian bapanya memeluk Islam dengan memakai nama Abdul Majid sedangkan ibunya kekal pada agama asal. Namun pada tahun 1990, Abdul Majid menghilangkan diri meninggalkan keluarganya tetapi sempat menukar status anak-anaknya termasuk Zarinah dalam kad pengenalan mereka.
Setelah ditinggalkan bapanya, Zarinah membesar dengan nama Islam namun kekal mengamalkan agama Hindu bersama ibunya. Mereka tidak menyangka ia akan menjadi masalah besar pada satu hari yang diidamkan oleh setiap wanita, iaitu hari perkahwinan Zarinah.
Siapakah yang patut disalahkan dalam kes ini? Adakah Jais, Zarinah, bapanya atau undang-undang?
Dan dalam semua ini, bagaimana pula Islam dikaitkan?
Islam bukan yang disangkakan
Kes Zarinah perlu diberi keadilan dan perkara pertama yang perlu diperjelaskan adalah keislaman bapanya.
Sebagaimana saya bergembira seseorang memilih Islam, saya juga bersedih kerana Islam agama saya diburukkan persepsinya oleh penganutnya sendiri.
Islam tidak mengizinkan sama sekali kezaliman berlaku apatah lagi kepada anak dan isterinya. Walaupun anak-anak bawah umur perlu berada pada agama ibu atau ayahnya yang beragama Islam namun ia mesti dilakukan dengan penuh rahmat dan kasih sayang sehingga tidak menafikan hak dan kasih sayang ibu atau ayahnya yang belum memeluk Islam.
Begitu juga jika salah seorang pasangan memeluk Islam maka perkahwinannya dibatalkan jika salah seorang tetap kekal pada agama asalnya dan hendaklah dipisahkan.
Itu hukumnya namun perlaksanaannya tidak mewajarkan ketidakadilan dari sudut kasih sayang anak, ibu dan hak isteri atau suami yang dipisahkan. Lebih utama adalah hak ibu atau bapanya yang masuk Islam mestilah mendidik anaknya dengan cara Islam yang betul tanpa menafikan kasih pada mana-mana ibu atau bapanya yang bukan Islam.
Menukarkan status anaknya kepada Islam dalam kad pengenalan kemudian meninggalkan mereka tanpa didikan yang sempurna adalah perbuatan yang tidak wajar dan ia bukanlah daripada ajaran Islam.
Dimana Anda Abdul Majid?
Dalam kes Abdul Majid kita tiada maklumat bagaimana dia melakukannya tetapi yang pasti ia telah melakukan sesuatu yang tidak pernah diajar oleh Islam, iaitu membiarkan keluarganya tanpa pembelaan malah dengan mewariskan masalah besar kepada anaknya.
Jelasnya, Zarinah mendakwa bapanya terus menghilang dan masalahnya juga adalah pendaftaran perkahwinannya tidak dapat dilakukan dengan cara sivil kerana Zarinah seorang Muslimah secara rasmi tetapi seorang Hindu dari segi amalannya.
Dilema Perundangan
Mimpi ngeri Zarinah boleh juga dirujuk kepada undang-undang yang sedia ada dan ia terbukti selama ini Zarinah berusaha menyelesaikan masalah namanya dalam kad pengenalan namun gagal kerana ia membabitkan dua pihak yang masing-masing tidak mahu mengambil tanggungjawab iaitu Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Mahkamah Syariah.
JPN tidak mahu menukar namanya sehingga Mahkamah Syariah mengisytiharkan dirinya telah pun keluar dari Islam.
Walaupun demikian sebagai rekod, ada satu kes Mahkamah Syariah berpihak kepada plaintif yang memohon keluar dari agama Islam iaitu, kes Siti Fatimah Abdullah atau nama asalnya Tan Ean Huang lwn MAIPP (Majlis Agama Islam Pulau Pinang) pada tahun 2008.
Mahkamah Tinggi Syariah Pulau Pinang mendapati plaintif tidak mengamalkan Islam sejak ditinggalkan suaminya seorang Muslim dari Iran. Fatimah Tan memeluk Islam tahun 1998 dan berkahwin sebagai seorang Islam pada tahun 2004.
Asas penghakiman dibuat kerana beliau tidak lagi mengamalkan Islam, namun Mahkamah menolak tuntutan plaintif untuk mengarahkan namanya ditukar kerana ia bukan bidang kuasa Mahkamah Syariah.
Peguam Ahmad Jailani Abdul Ghani mencatat satu sejarah buat pertama kalinya permohonan murtad diizinkan oleh Mahkamah Tinggi Syariah.
Adapun kes melibatkan seorang yang telah mati iaitu kes Nyonya Tahir yang selama hidupnya 80 tahun sebelum meninggal telah pun tidak mengamalkan Islam, diisytiharkan Mahkamah Tinggi Syariah Seremban tahun 2006 sebagai keluar Islam.
Dilemanya adalah dalam keadaan seorang Muslim dibiarkan tanpa pembelaan oleh orang yang bertanggungjawab lalu hidup dengan amalan agama lain, siapakah yang harus dipersalahkan?
Dalam kes Zarinah, di manakah bapanya? Sanggupkah bapanya melihat anaknya menderita terperangkap dalam dilema undang-undang apabila hilang begitu sahaja?
Apa halnya keadaan Zarinah yang sejak 20 tahun lampau tidak pernah mengamalkan Islam dan hanya kenal agama Hindu dalam hidup dewasanya, lalu tiba-tiba muncul penguatkuasa agama Islam menghalang perkahwinannya hanya kerana namanya?
Di mana Jais selama Zarinah membesar cuba menyelamatkan agama Islamnya seperti tertera dalam kad pengenalannya?
Nasib Zarinah
Zarinah perlu diberi pembelaan, Islam adalah agama rahmat pembela kepada yang mahukan keadilan tanpa mengira kulit, warna mahupun agamanya. Jalan terbaik adalah menyatakan apakah sikap Islam pada bapa yang mengabaikan tanggung jawab mendidik anak yang ditukarkan status agamanya kepada Islam.
Sebelum anaknya Zarinah didakwa kerana berkahwin dengan cara yang salah berpandukan pada nama Islamnya, bapanya Abdul Majid perlu tampil ke hadapan untuk menjawab mengapa dia gagal membentuk anaknya sebagai seorang Muslim setelah menukarkan status anaknya tetapi sebaliknya mengabaikan mereka pula.
Kedua, Zarinah mesti mendapat pembelaan di Mahkamah Syariah dengan memohon menetapkan status agama Islamnya berpandukan kepada ia sudah tidak beramal dengan Islam lagi. Zarinah memerlukan satu jawapan dalam kerangka perundangan yang ada untuk menentukan masa depannya.
Jika tidak, undang-undang negara ini akan dilihat menzalimi hak seorang rakyatnya menentukan masa depannya termasuk mendirikan rumah tangga dan menjadi rakyat yang setia kepada negara ini.
Ketiga, isu murtad mesti dibezakan antara yang asal Islam dan yang memeluk Islam kerana berkahwin atau namanya dan status agamanya ditukar menjadi Islam sedangkan dia beramal dengan agama lain.
Pilihan terbaik untuk menerima Islam adalah dengan pilihan sendiri atas kesedaran sendiri dan kerana keyakinan sendiri sebab Islam terbina atas ‘tiada paksaan’.
Memelihara kaedah agung Islam ini lebih utama daripada menjaga sensitiviti atau sentimen kerana Islam tidak terbina atas menyeksa mana-mana pihak tetapi Islam wajib memberi keadilan dengan kaedah dan prinsip yang telah ditetapkan.
Persoalan dalam artikel ini amat penting dilihat dengan sikap terbuka kerana ramai lagi ‘Zarinah’ di luar sana yang memerlukan jawapan. - HARAKAHDAILY, 5/6/2014
______________
Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat.
Sumber HD - 5-6-2014
Bukit Gelugor: Melayu tidak lagi alergik pada DAP
PAS telah melantik saya sebagai pengarah operasi pilihan raya kecil (PRK) Bukit Gelugor dalam mesyuaratnya pada awal Mei untuk menerajui jentera pilihan raya PAS.
Saya menerimanya apatah lagi sebagai Yang Dipertua PAS Bukit Gelugor dan anak tempatan Bukit Gelugor perasaan ingin berkhidmat merangsang saya untuk menerimanya.
Apalah sangat PRK Bukit Gelugor untuk PAS kerana ia hanya bertindak sebagai kumpulan sokongan sahaja kepada gerak kerja utama yang diterajui DAP Pulau Pinang.
Walaupun demikian saya meletakkan gerak kerja PAS seolah-olah PAS yang bertanding manakala Pesuruhjaya PAS Pulau Pinang yang juga Timbalan Presiden PAS mengeluarkan kenyataan awal bahawa ‘calon PAS’yang bertanding dalam PRK Bukit Gelugor dan beliau hanya memakai lambang roket sahaja.
Kenyataan itu mempunyai makna yang mendalam kerana ia adalah deklarasi sokongan penuh PAS kepada calon DAP iaitu Saudara Ram Karpal Singh.
Kenyataan itu mempengaruhi gerak kerja kami dan saya menyampaikan hasrat itu beberapa kali dalam mesyuarat operasi jentera pilihan raya.
masa yang tepat
PRK Bukit Gelugor diadakan atas kematian penyandangnya Saudara Karpal Singh yang maut dalam kemalangan. Beliau memenangi dengan majoriti besar hampir 42,000 dalam pilihan raya umum yang lepas.
Entah apa hikmahnya PRK kali ini datang dalam suasana PAS dan DAP bertegang leher buat sekian kalinya tentang isu hudud yang muncul semula setelah agak lama menyepi.
Ia pada satu tahap telah meretakkan hubungan Pakatan Rakyat yang selama ini terbina atas persefahaman Common Policy Framework (CPF) yang ditandatangani pada tahun 2009 di Shah Alam.
Menyedari situasi ini pengarahan supaya jentera PAS keluar semaksima tenaga membantu calon DAP diharapkan dapat meredakan keadaan.
Begitulah jentera kami didorong untuk bekerja demi PR dan memberi gambaran yang meyakinkan bahawa isu hudud di Kelantan tidak akan menjejaskan hubungan ini.
Teluk Intan pula
Dalam kesibukan menyediakan tapak bekerja bagi Bukit Gelugor, satu lagi PRK terpaksa dijalankan atas kematian penyandang dari DAP juga iaitu di Parlimen Teluk Intan.
Di atas kepentingan strategi, kerana PAS mempunyai satu Dun di bawah Parlimen Teluk Intan yang dimenanginya pada PRU 2008 dan kemudian kalah pada PRU 2013, Jabatan Pilihan Raya PAS Pusat memutuskan untuk membahagikan petugasnya dari seluruh negara antara PRK Bukit Gelugor dan Teluk Intan.
Dengan strategi itu saya sebagai pengarah operasi PRK Bukit Gelugor hanya menerima empat buah negeri untuk bertugas di Bukit Gelugor iaitu Kedah, Perlis, Terengganu dan Kelantan.
Lagipun kerja kami lebih tertumpu kepada empat daerah mengundi yang majoritinya adalah pengundi Melayu yang terdiri daripada 11,000 pengundi.
PRK Bukit Gelugor bermula seminggu lebih awal dari Teluk Intan dan saya berbangga kerana pada malam penamaan calon Tuan Guru Datuk Seri Presiden PAS sudi hadir untuk melancarkan pusat operasi jentera PAS di Sungai Gelugor dan keesokannya bersama pimpinan DAP yang lain mengiringi calon Ram Karpal Singh pada hari penamaan calon.
Presiden PAS kelihatan sungguh bertenaga pada pagi 12 Mei itu dan menunjukkan semangat ‘comrade in arms’ pada calon DAP.
catatan di Bukit Gelugor
Bagi saya, PRK ini penting untuk PR kerana kita boleh membuat satu kayu pengukur kepada keberkesanan dasar Kerajaan Negeri Pulau Pinang khususnya kepada pengundi Melayu.
Penting untuk PAS menilai sejauh mana strategi mendapat sokongan Melayu dalam kerangka Pakatan Rakyat kerana inilah yang menjadi batu penghalang untuk PR menguasai pengundi Melayu.
Apakah isu ‘DAP anti-Melayu’ benar-benar termakan oleh pengundi Melayu atau ianya senjata tumpul Umno?
Secara peribadi saya melihat momokan ke atas DAP tidak banyak mempengaruhi rakyat biasa kerana mengambil sampel Sungai Gelugor sebagai satu daerah mengundi yang majoritinya 80 peratus Melayu, bendera DAP boleh dilihat dipasang merata tempat malah kempen ziarah perdana yang kami lancarkan di situ mendapat sambutan dan tiada insiden memaki hamun DAP berlaku.
Keberadaan DAP dalam ceramah PAS di kawasan Melayu bukan lagi satu babak yang dilihat pelik malah pengundi Melayu keluar mendengar walaupun sesetengahnya berada di sebalik tembok yang gelap.
Kempen ceramah PAS pula terus mengasak politik perkauman yang dimainkan oleh Umno khususnya kebiadapan kelompok Pemuda Umno merempuh dan menceroboh tempat persidangan Dewan Undangan Negeri dan membuat onar di dalamnya.
Alasan bahawa Adun Seri Delima, YB Rayers mengungkapkan kata ‘Pemuda Umno celaka’dengan merujuk kepada perhimpunan di Kepala Batas tempoh hari tidak mewajarkan pencerobohan itu.
Ia melambangkan politik samseng dan tidak bertamadun. Saya menegaskan bahawa jika YB Rayers mengungkap demikian dalam ucapannya di Dewan maka Adun Umno yang mendengarnya mesti membantah dan mematahkan hujah YB Rayers.
Apakah YB Umno terlalu lemah sehingga gagal memainkan peranan berhujah tetapi sebaliknya ‘menjemput’ para samseng untuk menceroboh Dewan?
Bergegas ke Seremban
Aktiviti saya di Bukit Gelugor terganggu seketika kerana temujanji saya yang lebih awal telah dipersetujui untuk saya menghadiri forum hudud di Seremban anjuran Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan gabungan persatuan Cina setempat.
Terlanjur ke Seremban, saya mengambil kesempatan untuk menziarahi Gereja Visitation di tengah bandar Seremban untuk bertemu dengan Father Gregory Chan bagi mendapat penjelasan lanjut kejadian samun yang berlaku di hadapan pintu utama gereja tempoh hari.
Kejadian itu menyebabkan dua biarawati cedera dan salah seorang daripadanya meninggal dunia setelah koma beberapa hari.
Saya telah mengeluarkan kenyataan keras sebelumnya dengan mengutuk kes samun dan ragut membabitkan biarawati warga emas di tempat ibadat.
Ia boleh sahaja berlaku ke atas mana-mana rumah ibadat lain termasuk masjid dan tokong-tokong.
Kehadiran saya ke situ bagi saya menyampaikan mesej bahawa setiap rumah ibadat mesti dipelihara kesuciannya dan dihormati dan perompak dan peragut harus memahaminya.
Saya juga menziarahi biarawati yang koma di hospital dan sempat meminta pihak Kementerian Kesihatan mengirimkan ahli neutrologi untuk mengesahkan laporan kecederaan yang dialami.
Saya berasa sedih kerana keesokannya dalam kesibukan berkempen saya dimaklumkan bahawa biarawati itu telah meninggal dunia.
Dyana Sofia
Aura apakah Dyana Sofia bawa kita tidak tahu, tetapi namanya menggegarkan politik tanah air apabila langkah berani DAP meletakkan calon gadis muda Melayu yang sempurna segala sifat Melayunya.
Beraninya langkah ini mengirimkan satu gelombang kejutan kepada parti politik berasaskan perkauman.
Dyana pula seorang graduan UiTM yang dikatakan kuat doktrin kemelayuannya tetapi sedia menjadi calon DAP yang pada doktrin kemelayuan menganggap DAP sebagai parti chauvinis Cina yang pekat kecinaannya.
Bagaimana Dyana sanggup menjadi peluru maut ini?
Ia mungkin peluru maut kepada Umno, MCA dan Gerakan kerana mencabar asas kewujudan parti-parti ini manakala bagi politik baru yang diterajui oleh Pakatan, Dyana adalah mutiara yang menyinari harapan baru di mana parti politik tidak dicam melalui etniknya tetapi melalui dasar yang diperjuangkan. Siapa sahaja rakyat Malaysia yang yakin dengan dasar ini boleh menyertainya.
Saya pernah mengharapkan lebih ramai calon muda Cina dan India menjadi calon PAS di masa hadapan untuk tujuan memecah tembok perkauman tetapi saya tidak menduga DAP melakukannya dengan pantas pada PRK Teluk Intan dengan meletakkan calon Melayu.
Menang atau kalahnya DAP adalah isu kedua tetapi langkahnya mengetengahkan calon muda Melayu daripada kaum Hawa yang bernama Dyana memberikan politik Malaysia satu makna baru.
Ia bukan soal Dyana ada tarikan pada keterampilannya tetapi jauh daripada itu Dyana lambang kepada usaha memecahkan tembok perkauman dalam membina politik baru merentas kaum dan saya yakin pengundi di Teluk Intan bersedia melakukannya dengan memenangkan Dyana.
'harimau muda' berehat
Saya bersama Saudara Mohamad Sabu hadir di Dewan Sri Pinang pada malam pengisytiharan keputusan PRK Bukit Gelugor pada 25 Mei 2014 lepas.
Ram Karpal menang bergaya walaupun peratus keluar mengundi agak rendah. Kami dari PAS berada di situ untuk meraikan kememenangan ‘calon kita’ dan ingin menyampaikan mesej bahawa Pakatan Rakyat akan kekal berperanan sebagai satu wadah perubahan.
Hudud sama sekali tidak mematahkan semangat kesepakatan Pakatan Rakyat seperti mana yang ditegaskan oleh Presiden PAS bahawa Pakatan Rakyat tetap keutamaan PAS.
Inilah keunikan Pakatan Rakyat bahawa perbezaan ideologi bukan penghalang tetapi alasan untuk membentuk wajah baru politik lebih kuat tarikannya buat Pakatan Rakyat.
Sehingga artikel ini ditulis, saya masih belum berkesempatan untuk menemui mutiara terbaru Pakatan Rakyat di Teluk Intan bagi membantunya, tetapi setelah ‘harimau muda’ Bukit Gelugor berada di ‘belukar’nya seketika, bolehlah saya meninggalkannya untuk beraksi di Teluk Intan pula.
Saya dedikasi pantun ini sebagai penutup catatan saya setakat ini.
Dari Kedah sampai ke Kelantan
Usah dikau gundah gulana
Dari Bukit Gelugor ke Teluk Intan
Hamba merantau mencari Dyana.
Sumber HD - 28-5-2014
Dr Mujahid ziarah jenazah anggota polis terkorban dalam tugas
Dr Mujahid mendengar penjelasan Ketua Polis Daerah berhubung kes rompakan yang meragut nyawa seorang anggota polis di Hospital Parit Buntar.
Rompakan berlaku petang tadi di pekan Parit Buntar dan insiden kejar mengejar berlaku sehingga ke Alor Pongsu, Bagan Serai.
Dua kereta dipercayai digunakan kumpulan suspek dalam kejadian rompakan itu.
Dalam drama kejar mengejar itu, seorang anggota polis yang mengekori kereta pertama suspek dengan motorsikal dipercayai dilanggar oleh kereta kedua suspek rompakan menyebabkan anggota tersebut terhumban dan mati di tempat kejadian.
Hingga kini suspek belum dapat ditahan dalam nilai rompakan dianggarkan RM40,000.
Ketua Polis Daerah, Fauzi Nayan ketika bercakap kepada Mujahid menyatakan keyakinan akan memberkas suspek dalam masa terdekat.
Turut berada di hospital Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kuala Kurau, Abdul Yunus Jamhari.
Mujahid melahirkan rasa sedih atas musibah menimpa anggota polis yang meninggal dunia ketika bertugas dan menganggapnya sebagai satu kehilangan kepada masyarakat di sini.
Anggota polis terbabit diberitakan akan melangsungkan perkahwinan 1 Jun ini. - HARAKAHDAILY, 26/5/2014
Sumber HD - 26-5-2014
Dr Mujahid ziarah biarawati mangsa ragut
KUALA LUMPUR: Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa mengadakan lawatan ke Gereja Visitation Seremban tempat di mana dua biarawati menjadi mangsa ragut.
Salah seorang dari mangsa masih koma akibat hentakan di kepala.
Dalam kenyataan akhbarnya di gereja tersebut beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar melahirkan rasa kesal dan marah di atas insiden yang berlaku.
"Penjenayah tidak berhati perut melakukan ragut di pekarangan rumah ibadat dan ke atas biarawati warga emas.
"Ini amat menyedihkan kerana ia juga boleh berlaku di masjid dan tempat ibadat yang lain," ujarnya.
Dalan lawatan itu Dr Mujahid sempat menziarahi biarawati yang masih koma di Hospital Seremban dan bertemu dengan keluarga mangsa sambil menyampaikan simpati bagi mewakili PAS kepada keluarga mangsa. - HARAKAHDAILY, 20/5/2014
Masa depan PAS:
YB Dr MYR -
https://www.youtube.com/watch?v=08CL5xmYP78
PAS kutuk serangan ke atas biarawati
KUALA LUMPUR: PAS mengutuk keras serangan yang berlaku terhadap dua biarawati di Seremban beberapa hari lalu, yang menyebabkan salah seorang daripadanya masih tidak sedarkan diri.
Selain menyifatkan jenayah yang berlaku hari ini sudah tidak mengenal sesiapa, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, berkata kejadian tersebut juga menunjukkan kawalan keselamatan di rumah-rumah ibadat perlu dilakukan.
"Bayangkan jika di hadapan rumah ibadat, dengan mangsanya adalah golongan agama pun sudah tidak selamat, bagaimana pula di tempat-tempat lain?" soal beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berkata lebih dikesalkan kejadian tersebut berlaku ke atas warga emas, yang masing-masing berusia 69 dan 79 tahun itu.
Biarpun pihak polis mengatakan motif jenayah tersebut adalah samun, Mujahid beranggapan perkara sedemikian perlu diatasi secara progresif dengan meningkatkan tahap keselamatan di tempat-tempat sedemikian.
Dalam pada itu, Mujahid turut berhasrat untuk menziarahi kedua-dua biarawati berkenaan, yang dilaporkan masih dirawat dalam kunjungannya ke Seremban, 18 Mei ini.
Pada 14 Mei lalu, Sister Julianna Lim, 69, dan Sister Marie Rose alias Theresa Teng, 79, diserang dengan topi keledar dan disamun seorang lelaki kira-kira pukul 6 pagi di luar Gereja Visitation.
Mereka didapati tidak sedarkan diri di pintu masuk gereja. Kedua-duanya baru tiba dari rumah dan hendak memasuki gereja apabila diserang.
Lim yang cedera ringan di kepada dan muka masih bergantung kepada alat pernafasan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan masih belum sedarkan diri sementara Marie Rose telah sedar. - HARAKAHDAILY 16/5/2014
Sumber HD - 16-5-2014
Selain menyifatkan jenayah yang berlaku hari ini sudah tidak mengenal sesiapa, Ahli Jawatankuasa Kerja (AJK) PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusuf Rawa, berkata kejadian tersebut juga menunjukkan kawalan keselamatan di rumah-rumah ibadat perlu dilakukan.
"Bayangkan jika di hadapan rumah ibadat, dengan mangsanya adalah golongan agama pun sudah tidak selamat, bagaimana pula di tempat-tempat lain?" soal beliau ketika dihubungi Harakahdaily, hari ini.
Beliau yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat berkata lebih dikesalkan kejadian tersebut berlaku ke atas warga emas, yang masing-masing berusia 69 dan 79 tahun itu.
Biarpun pihak polis mengatakan motif jenayah tersebut adalah samun, Mujahid beranggapan perkara sedemikian perlu diatasi secara progresif dengan meningkatkan tahap keselamatan di tempat-tempat sedemikian.
Dalam pada itu, Mujahid turut berhasrat untuk menziarahi kedua-dua biarawati berkenaan, yang dilaporkan masih dirawat dalam kunjungannya ke Seremban, 18 Mei ini.
Pada 14 Mei lalu, Sister Julianna Lim, 69, dan Sister Marie Rose alias Theresa Teng, 79, diserang dengan topi keledar dan disamun seorang lelaki kira-kira pukul 6 pagi di luar Gereja Visitation.
Mereka didapati tidak sedarkan diri di pintu masuk gereja. Kedua-duanya baru tiba dari rumah dan hendak memasuki gereja apabila diserang.
Lim yang cedera ringan di kepada dan muka masih bergantung kepada alat pernafasan di Hospital Tuanku Ja'afar, Seremban dan masih belum sedarkan diri sementara Marie Rose telah sedar. - HARAKAHDAILY 16/5/2014
Sumber HD - 16-5-2014
Hudud dalam psiki masyarakat Cina
Jiwa dan minda adalah perkara yang sangat penting kerana ia akan membuat tafsiran kepada logik yang akan menjadi sikap seseorang terhadap sesuatu isu. Banyak faktor yang mempengaruhi minda seseorang terhasil daripada persepsi yang diterimanya.
Artikel ini cuba meneroka jiwa dan minda dalam logik masyarakat Cina secara khusus merujuk kepad isu hudud yang hangat diperbincangkan mutakhir ini dalam usaha cuba memahami apa yang dibimbangi, dibincangkan dan dipolemikkan mengikut psiki (psyche) masyarakat Cina.
Psike Cina
kaum cina sokong pas oriPsiki atau situasi jiwa dalam dan minda sesebuah masyarakat berbeza daripada satu kaum kepada satu kaum yang lain. Situasi psiki banyak dipengaruhi oleh budaya yang diwarisi turun temurun serta nilai-nilai moral yang menentukan tindak-tanduk sesebuah masyarakat.
Masyarakat Cina mempunyai psikinya yang tertentu dan oleh kerana sejarah mereka yang panjang serta diaspora Cina tersebar ke seluruh dunia maka kehendak secara semulajadi memelihara budaya dan gaya hidup mereka dalam lautan masyarakat yang ada psikinya tersendiri menjadikan pertembungan budaya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perasaan yang disepakati bersama dalam masyarakat Cina ialah kebimbangan pencairan berlaku di atas sebab ‘pemaksaan secara sistematik’ sesuatu yang mereka tidak memahaminya.
Isu hudud perlu diletakkan dalam perspektif psiki ini dan ia tidak ada kena mengena penerimaan atau penolakannya atas sebab membenci Islam atau suka kepada Islam tetapi ia dihamparkan atas premis sama ada psike mereka dapat menerimanya atau tidak dan ia terpulang kepada sejauh mana kita dapat temukan psiki Melayu dan Cina di atas jalur dan kerangka yang lebih konstruktif dan objektif.
Psiki Bahasa Mandarin
Bahasa memainkan peranan penting untuk membentuk sesuatu kefahaman dan sebab itu setiap penghuraian konsep akan dimulakan definisi secara bahasa dan istilah. Istilah menerangkan secara tepat dan padat keseluruhan kerangka konstruktif kepada sesuatu konsep dan kategori-kategori yang kemudiannya dihuraikan.
Dalam isu hudud dan istilah Islamik yang lain, psiki Bahasa Mandarin yang terbenam dalam kefahaman pembacanya turut mempengaruhi cara mereka memahami sesuatu istilah.
Contohnya agama Islam dalam Bahasa Mandrin yang dipakai ialah “Hui Chjow” yang membawa maksud “agama kaum Hui”. Kaum Hui difahami sebagai etnik Cina yang memeluk Islam sejak zaman-berzaman.
Islam tidak dipakai dalam maksudnya yang asal tetapi dikaitkan kepada sesuatu etnik di negara China. Parti Islam SeMalaysia (PAS) contohnya diterjemahkan sebagai “Hui Chjow Tang” yang membawa maksud “Parti Agama Kaum Hui”.
Meskipun demikian, usaha-usaha untuk mempopularkan perkataan Islam secara terus dan literal iaitu “Ye Si Lan” dalam fonetik bahasa Mandarin sedang giatkan dilakukan. PAS juga mestilah dikenali dalam bahasa Mandarin sebagai “Ye Si Lan Tang” iaitu Parti Islam. Ia penting kerana sesuatu perkataan itu mesti sampai mengikut psiki bahasa asalnya dan bukan psiki penterjemahnya.
Hudud
Memahami kebimbangan masyarakat Cina kepada undang-undang hudud ialah dengan kita cuba memahami terlebih dahulu apakah terjemahan kepada Bahasa Mandrin bagi istilah ‘hudud’.
Mereka menterjemahkannya sebagai “undang-undang memotong anggota badan” atau terjemahan terusnya “amputation law”. Walaupun sesetengahnya menterjemahkan kepada “undang-undang jenayah Islam” tetapi penggunaan yang awal itu digunakan disebabkan kebimbangan terhadap hudud.
Samada kebimbangan itu kerana dianggap kejam atau kebimbangan mereka turut ‘dipaksakan’ untuk menerimanya sebagai hukuman.
Bagi saya terjemahan yang lebih hampir pada roh pada semangat hudud adalah “undang-undang jenayah syariah” dan bukan “undang-undang memotong anggota badan”.
Apakah pula istilah “syariah” dalam bahasa Mandarin? Sedangkan istilah syariah membawa maksud panduan fiqah ke atas seorang Muslim dalam keperluan akidah, ibadah dan muamalatnya.
Hudud adalah aspek punitif kepada keseluruhan rangka syariah yang dimaksudkan. Apakah penghuraian ini diberikan keadilan dalam dalam psiki Bahasa Mandrin sekaligus memberi perspektif yang jauh daripada sekadar potong anggota badan atau mengkudungkan anggota badan?
Psiki bahasa yang agak rumit perlu kepada perbincangan akademik supaya Bahasa Mandarin yang dipengaruhi alam Melayu diberikan terjemahan yang lebih menyegarkan dan positif dalam memahami maksud bahasa asalnya.
Kebimbangan
Kebimbangan ada kepada semua anggota masyarakat dan ia menjadi lebih ‘real’ apabila konflik menuntut hak menjadi asas. Psiki masyarakat Cina amat membimbangi bahasa, budaya dan adat resamnya terhapus dan cair.
bantuan-dap-pas-perlis-pix-650x400Kebimbangan ini terbawa-bawa kepada isu lain yang mereka anggap merampas hak mereka. Bukanlah sangat mereka mempertikaikan hudud hanya untuk orang Islam tetapi mereka sering mengaitkan apa situasinya apabila dua agama yang berlainan Islam dan bukan Islam didapati bersalah maka hanya yang Islam kena hudud dan yang seorang lagi tidak kena hudud. Dualisme perundangan ini dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada pesalah.
Kebimbangan seterusnya ialah apakah jaminan bahawa mereka juga kelak tidak akan dikenakan di bawah undang-undang hudud?
Psiki masyarakat Cina kepada pemerintah juga hasil dari sejarah panjang interaksi mereka bawah pemerintahan dinasti China. Banyak pemberontakan yang berlaku atas nama menentang kerajaan yang tidak adil.
Sifat penentangan ini dalam diaspora masyarakat Cina diterjemahkan dalam perjuangan menuntut hak mereka melalui ruang demokrasi. Hudud bagi psiki politik mereka bukan agenda parti-parti yang mereka bawa ke dalam parlimen.
Mereka mahukan kerajaan yang korup tumbang dan cara mereka ialah menyokong parti yang dapat membawa hasrat ini. Mereka ada hak untuk mempertikaikan hudud melalui parti yang mereka bawa masuk khususnya Pakatan Rakyat (PR) kerana masyarakat Cina mengundi hampir 80 peratus untuk calon PR.
Walaupun hudud di Kelantan tetapi suara yang hendak meluluskannya di Parlimen juga adalah suara mereka. Psike politik demokrasi hari ini adalah warisan sensitiviti dan keprihatinan mereka dalam hubungan dengan kerangka kuasa yang ada.
Pertembungan Psiki?
Saya tidak melihat isu hudud adalah isu Islam dan anti-Islam kerana ia terlalu simplistik dalam dunia yang penuh komplikasi hari ini. PAS khususnya harus mengurus isu hudud ini melampaui jalur hukum tetapi hendaklah merentasi jalur demokrasi, perundangan dan teknikalitinya serta lebih memahami psiki masyarakat selain Melayu bagi menemukan perjuangannya dalam konteks masyarakat plural hari ini.
Artikel awalan ini cuba untuk merentasi jalur psiki untuk mendalami masalah hudud bukan daripada psiki Melayu tetapi dari minda, jiwa dalam dan intelektual masyarakat Cina.
Penulis adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS.
Sumber HD - 11-5-2014
Artikel ini cuba meneroka jiwa dan minda dalam logik masyarakat Cina secara khusus merujuk kepad isu hudud yang hangat diperbincangkan mutakhir ini dalam usaha cuba memahami apa yang dibimbangi, dibincangkan dan dipolemikkan mengikut psiki (psyche) masyarakat Cina.
Psike Cina
kaum cina sokong pas oriPsiki atau situasi jiwa dalam dan minda sesebuah masyarakat berbeza daripada satu kaum kepada satu kaum yang lain. Situasi psiki banyak dipengaruhi oleh budaya yang diwarisi turun temurun serta nilai-nilai moral yang menentukan tindak-tanduk sesebuah masyarakat.
Masyarakat Cina mempunyai psikinya yang tertentu dan oleh kerana sejarah mereka yang panjang serta diaspora Cina tersebar ke seluruh dunia maka kehendak secara semulajadi memelihara budaya dan gaya hidup mereka dalam lautan masyarakat yang ada psikinya tersendiri menjadikan pertembungan budaya sebagai sesuatu yang tidak dapat dielakkan dan perasaan yang disepakati bersama dalam masyarakat Cina ialah kebimbangan pencairan berlaku di atas sebab ‘pemaksaan secara sistematik’ sesuatu yang mereka tidak memahaminya.
Isu hudud perlu diletakkan dalam perspektif psiki ini dan ia tidak ada kena mengena penerimaan atau penolakannya atas sebab membenci Islam atau suka kepada Islam tetapi ia dihamparkan atas premis sama ada psike mereka dapat menerimanya atau tidak dan ia terpulang kepada sejauh mana kita dapat temukan psiki Melayu dan Cina di atas jalur dan kerangka yang lebih konstruktif dan objektif.
Psiki Bahasa Mandarin
Bahasa memainkan peranan penting untuk membentuk sesuatu kefahaman dan sebab itu setiap penghuraian konsep akan dimulakan definisi secara bahasa dan istilah. Istilah menerangkan secara tepat dan padat keseluruhan kerangka konstruktif kepada sesuatu konsep dan kategori-kategori yang kemudiannya dihuraikan.
Dalam isu hudud dan istilah Islamik yang lain, psiki Bahasa Mandarin yang terbenam dalam kefahaman pembacanya turut mempengaruhi cara mereka memahami sesuatu istilah.
Contohnya agama Islam dalam Bahasa Mandrin yang dipakai ialah “Hui Chjow” yang membawa maksud “agama kaum Hui”. Kaum Hui difahami sebagai etnik Cina yang memeluk Islam sejak zaman-berzaman.
Islam tidak dipakai dalam maksudnya yang asal tetapi dikaitkan kepada sesuatu etnik di negara China. Parti Islam SeMalaysia (PAS) contohnya diterjemahkan sebagai “Hui Chjow Tang” yang membawa maksud “Parti Agama Kaum Hui”.
Meskipun demikian, usaha-usaha untuk mempopularkan perkataan Islam secara terus dan literal iaitu “Ye Si Lan” dalam fonetik bahasa Mandarin sedang giatkan dilakukan. PAS juga mestilah dikenali dalam bahasa Mandarin sebagai “Ye Si Lan Tang” iaitu Parti Islam. Ia penting kerana sesuatu perkataan itu mesti sampai mengikut psiki bahasa asalnya dan bukan psiki penterjemahnya.
Hudud
Memahami kebimbangan masyarakat Cina kepada undang-undang hudud ialah dengan kita cuba memahami terlebih dahulu apakah terjemahan kepada Bahasa Mandrin bagi istilah ‘hudud’.
Mereka menterjemahkannya sebagai “undang-undang memotong anggota badan” atau terjemahan terusnya “amputation law”. Walaupun sesetengahnya menterjemahkan kepada “undang-undang jenayah Islam” tetapi penggunaan yang awal itu digunakan disebabkan kebimbangan terhadap hudud.
Samada kebimbangan itu kerana dianggap kejam atau kebimbangan mereka turut ‘dipaksakan’ untuk menerimanya sebagai hukuman.
Bagi saya terjemahan yang lebih hampir pada roh pada semangat hudud adalah “undang-undang jenayah syariah” dan bukan “undang-undang memotong anggota badan”.
Apakah pula istilah “syariah” dalam bahasa Mandarin? Sedangkan istilah syariah membawa maksud panduan fiqah ke atas seorang Muslim dalam keperluan akidah, ibadah dan muamalatnya.
Hudud adalah aspek punitif kepada keseluruhan rangka syariah yang dimaksudkan. Apakah penghuraian ini diberikan keadilan dalam dalam psiki Bahasa Mandrin sekaligus memberi perspektif yang jauh daripada sekadar potong anggota badan atau mengkudungkan anggota badan?
Psiki bahasa yang agak rumit perlu kepada perbincangan akademik supaya Bahasa Mandarin yang dipengaruhi alam Melayu diberikan terjemahan yang lebih menyegarkan dan positif dalam memahami maksud bahasa asalnya.
Kebimbangan
Kebimbangan ada kepada semua anggota masyarakat dan ia menjadi lebih ‘real’ apabila konflik menuntut hak menjadi asas. Psiki masyarakat Cina amat membimbangi bahasa, budaya dan adat resamnya terhapus dan cair.
bantuan-dap-pas-perlis-pix-650x400Kebimbangan ini terbawa-bawa kepada isu lain yang mereka anggap merampas hak mereka. Bukanlah sangat mereka mempertikaikan hudud hanya untuk orang Islam tetapi mereka sering mengaitkan apa situasinya apabila dua agama yang berlainan Islam dan bukan Islam didapati bersalah maka hanya yang Islam kena hudud dan yang seorang lagi tidak kena hudud. Dualisme perundangan ini dikhuatiri tidak memberi keadilan kepada pesalah.
Kebimbangan seterusnya ialah apakah jaminan bahawa mereka juga kelak tidak akan dikenakan di bawah undang-undang hudud?
Psiki masyarakat Cina kepada pemerintah juga hasil dari sejarah panjang interaksi mereka bawah pemerintahan dinasti China. Banyak pemberontakan yang berlaku atas nama menentang kerajaan yang tidak adil.
Sifat penentangan ini dalam diaspora masyarakat Cina diterjemahkan dalam perjuangan menuntut hak mereka melalui ruang demokrasi. Hudud bagi psiki politik mereka bukan agenda parti-parti yang mereka bawa ke dalam parlimen.
Mereka mahukan kerajaan yang korup tumbang dan cara mereka ialah menyokong parti yang dapat membawa hasrat ini. Mereka ada hak untuk mempertikaikan hudud melalui parti yang mereka bawa masuk khususnya Pakatan Rakyat (PR) kerana masyarakat Cina mengundi hampir 80 peratus untuk calon PR.
Walaupun hudud di Kelantan tetapi suara yang hendak meluluskannya di Parlimen juga adalah suara mereka. Psike politik demokrasi hari ini adalah warisan sensitiviti dan keprihatinan mereka dalam hubungan dengan kerangka kuasa yang ada.
Pertembungan Psiki?
Saya tidak melihat isu hudud adalah isu Islam dan anti-Islam kerana ia terlalu simplistik dalam dunia yang penuh komplikasi hari ini. PAS khususnya harus mengurus isu hudud ini melampaui jalur hukum tetapi hendaklah merentasi jalur demokrasi, perundangan dan teknikalitinya serta lebih memahami psiki masyarakat selain Melayu bagi menemukan perjuangannya dalam konteks masyarakat plural hari ini.
Artikel awalan ini cuba untuk merentasi jalur psiki untuk mendalami masalah hudud bukan daripada psiki Melayu tetapi dari minda, jiwa dalam dan intelektual masyarakat Cina.
Penulis adalah Ahli Parlimen Parit Buntar merangkap Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS.
Sumber HD - 11-5-2014
UiTM tabur garam pada luka yang belum sembuh
KUALA LUMPUR: Seminar Kalimah Allah dan Kristologi Nusantara yang berlangsung di UiTM Shah Alam 6 Mei lalu tidak banyak membantu memulihkan luka hubungan antara agama di negara ini malah ia mungkin menambah lagi garam pada luka yang belum sembuh, kata Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa.
Dalam satu kenyataan media, Dr Mujahid mempersoalkan motif penganjuran seminar itu kerana jika ia bertujuan mengukuhkan akidah umat Islam tidak bermaksud "kita diberi lesen untuk mengutuk agama lain".
Tambah beliau, jika seminar itu dibuat untuk menghayati kehidupan agama yang rencam d negara ini, maka wakil daripada agama lain hendaklah dijemput supaya perspektif agama lain dinilai dari kacamata penganutnya sendiri.
"Jika ia bertujuan untuk berdebat kepada rumusan betul dan salah maka suasana yang adil dengan memberi suara kepada agama yang dibincangkan untuk mempertahankan diri perlu ada dan kemudian terpulanglah kepada peserta untuk membuat penilaian sendiri," ujar beliau.
Menurutnya, syarat-syarat tersebut perlu ada bagi memastikan suasana intelektual yang sehat pada seminar itu.
Beliau menambah, tanpa suasana intelektual yang sihat, seminar itu hanya akan mengundang pelbagai keraguan dan mengeruhkan keadaan yang sudahpun tegang hari ini.
Menurut Dr Mujahid, hubungan antara agama di negara ini sedang diuji pada tahap maksimum dan rakyat terpaksa berada pada tahap kesabaran yang tinggi bagi meneruskan cita-cita Malaysia yang terbina atas hormat menghormati antara satu sama lain.
"Walaupun teras negara ini terbina atas Islam sebagai agama rasmi negara dan kebebasan beragama untuk penganut lain namun ada di kalangan kita yang memekakkan telinga mereka dan membutakan mata mereka hanya untuk mendengar dan melihat kepentingan agenda sempit mereka semata-mata," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Dr Mujahid turut memetik mafhum firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 108:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."
Menurut beliau, pihak penganjur seharusnya lebih arif untuk tidak menjadikan seminar itu sebagai wahana mencetuskan benci membenci antara agama sekalipun dalam rangka mempertahankan apa yang dianggap hak umat Islam.
"Adalah lebih berkesan jika pihak Kristian dijemput sama untuk menjelaskan hal yang menjadi kebimbangan umat Islam seperti penggunaan kalimah Allah, supaya sikap prejudis di antara sama lain dapat dikurangkan," ujarnya.
Dr Mujahid yang juga Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara menambah, dakwaan-dakwaan usaha kristianisasi yang dikatakan merebak di dalam masyarakat Islam di Malaysia adalah tuduhan yang amat berat.
Pihak yang mendakwa, ujarnya perlu mendatangkan bukti yang kukuh dan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana penyebaran agama lain selain Islam adalah salah dari sudut artikel 11(4).
Jelas beliau, jika dakwaan kristianisasi dan pemurtadan umat Islam dibuat sebagai kenyataan umum, ia berpotensi menimbulkan kemarahan kedua belah pihak malah menjejaskan kedudukan hubungan Islam-Kristian di peringkat global.
"Kita tidak dapat elak daripada terkesan dengan apa yang berlaku di Malaysia kepada apa yang mungkin berlaku di peringkat antarabangsa di mana sesetengah tempat di bahagian dunia di mana umat Islam adalah minoriti.
"Saya menyeru semua pihak supaya tidak memusing jarum jam ke belakang dalam memperkukuhkan hubungan antara agama di negara ini berpandukan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan usaha semua pihak melihat hubungan damai antara penganut agama di negara Malaysia maju ke hadapan," nasihat beliau.
Seminar yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam itu dianjurkan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group danPantai Bharu Group of Companies. - HARAKAHDAILY, 8/5/2014
Sumber HD - 8-5-2014
Dalam satu kenyataan media, Dr Mujahid mempersoalkan motif penganjuran seminar itu kerana jika ia bertujuan mengukuhkan akidah umat Islam tidak bermaksud "kita diberi lesen untuk mengutuk agama lain".
Tambah beliau, jika seminar itu dibuat untuk menghayati kehidupan agama yang rencam d negara ini, maka wakil daripada agama lain hendaklah dijemput supaya perspektif agama lain dinilai dari kacamata penganutnya sendiri.
"Jika ia bertujuan untuk berdebat kepada rumusan betul dan salah maka suasana yang adil dengan memberi suara kepada agama yang dibincangkan untuk mempertahankan diri perlu ada dan kemudian terpulanglah kepada peserta untuk membuat penilaian sendiri," ujar beliau.
Menurutnya, syarat-syarat tersebut perlu ada bagi memastikan suasana intelektual yang sehat pada seminar itu.
Beliau menambah, tanpa suasana intelektual yang sihat, seminar itu hanya akan mengundang pelbagai keraguan dan mengeruhkan keadaan yang sudahpun tegang hari ini.
Menurut Dr Mujahid, hubungan antara agama di negara ini sedang diuji pada tahap maksimum dan rakyat terpaksa berada pada tahap kesabaran yang tinggi bagi meneruskan cita-cita Malaysia yang terbina atas hormat menghormati antara satu sama lain.
"Walaupun teras negara ini terbina atas Islam sebagai agama rasmi negara dan kebebasan beragama untuk penganut lain namun ada di kalangan kita yang memekakkan telinga mereka dan membutakan mata mereka hanya untuk mendengar dan melihat kepentingan agenda sempit mereka semata-mata," kata Ahli Parlimen Parit Buntar itu.
Dr Mujahid turut memetik mafhum firman Allah SWT dalam Surah Al-An'am ayat 108:
“Dan janganlah kamu cerca benda-benda yang mereka sembah yang lain dari Allah, kerana mereka kelak, akan mencerca Allah secara melampaui batas dengan ketiadaan pengetahuan. Demikianlah Kami memperelokkan pada pandangan tiap-tiap umat akan amal perbuatan mereka, kemudian kepada Tuhan merekalah tempat kembali mereka, lalu Ia menerangkan kepada mereka apa yang mereka telah lakukan."
Menurut beliau, pihak penganjur seharusnya lebih arif untuk tidak menjadikan seminar itu sebagai wahana mencetuskan benci membenci antara agama sekalipun dalam rangka mempertahankan apa yang dianggap hak umat Islam.
"Adalah lebih berkesan jika pihak Kristian dijemput sama untuk menjelaskan hal yang menjadi kebimbangan umat Islam seperti penggunaan kalimah Allah, supaya sikap prejudis di antara sama lain dapat dikurangkan," ujarnya.
Dr Mujahid yang juga Ahli Majlis Konsultasi Perpaduan Negara menambah, dakwaan-dakwaan usaha kristianisasi yang dikatakan merebak di dalam masyarakat Islam di Malaysia adalah tuduhan yang amat berat.
Pihak yang mendakwa, ujarnya perlu mendatangkan bukti yang kukuh dan membuat laporan kepada pihak berkuasa kerana penyebaran agama lain selain Islam adalah salah dari sudut artikel 11(4).
Jelas beliau, jika dakwaan kristianisasi dan pemurtadan umat Islam dibuat sebagai kenyataan umum, ia berpotensi menimbulkan kemarahan kedua belah pihak malah menjejaskan kedudukan hubungan Islam-Kristian di peringkat global.
"Kita tidak dapat elak daripada terkesan dengan apa yang berlaku di Malaysia kepada apa yang mungkin berlaku di peringkat antarabangsa di mana sesetengah tempat di bahagian dunia di mana umat Islam adalah minoriti.
"Saya menyeru semua pihak supaya tidak memusing jarum jam ke belakang dalam memperkukuhkan hubungan antara agama di negara ini berpandukan kepada apa yang telah ditetapkan oleh Perlembagaan Persekutuan dan usaha semua pihak melihat hubungan damai antara penganut agama di negara Malaysia maju ke hadapan," nasihat beliau.
Seminar yang berlangsung di Dewan Agong Tuanku Canselor, UiTM Shah Alam itu dianjurkan Akademi Pengajian Islam Kontemporari (ACIS), Warisan Ibnu Aaby dan Majlis Agama Islam Selangor (Mais) dengan sokongan Utusan Malaysia, Kumpulan Karangkraf, TV Al-Hijrah, Zikay Group danPantai Bharu Group of Companies. - HARAKAHDAILY, 8/5/2014
Sumber HD - 8-5-2014
Cara 'memperundangkan' hudud dari segi syariah
Pelaksanaan undang-undang hudud menimbulkan pelbagai polemik apabila Kelantan yang menjadi negeri pertama yang akan melaksanakannya selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Kelantan diluluskan. Wartawan Harakah, NYZA AYOB mendapatkan kupasan lanjut isu ini bersama Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dato’ Dr Mujahid Yusof Rawa. Ikuti wawancara bersama beliau yang diadakan pada 28 April lalu.
HARAKAH: Apakah halangan yang dihadapi Kelantan dalam melaksanakan undang-undang hudud ini?
DATO’ DR MUJAHID: Sejak 1993 apabila kerajaan Kelantan mula memperkenalkan Kanun Jenayah Syariah, Kelantan telah menubuhkan jawatankuasa yang berperanan memberi aspek penerangan kepada orang ramai tentang bagaimana hendak ‘memperundangkan’ ia melalui falsafah hudud daripada segi syariah secara menyeluruh dan sebagainya . Jadi jawatankuasa itu setiap tahun berseminar mengenai hudud di Kelantan dan dijemput keluar untuk memberikan seminar.
Tetapi setelah beberapa lama usaha itu disempurnakan dan disiapkan perundangan itu, satu perkara yang menyebabkan terhalang undang-undang di peringkat pusat, apa yang dinamakan sebagai Akta Mahkamah Syariah 1965. Itu dianggap sebagai undang-undang yang memberikan batasan di peringkat negeri jika hendak digubalkan, tidak boleh daripada enam kali sebatan, tiga tahun penjara dan lima ribu ringgit denda. Dan oleh kerana undang-undang jenayah syariah Kelantan, hudud itu berasaskan kepada qisas dan sebagainya, perundangan itu melampaui had yang ditetapkan. Maka ia dianggap bercanggah dengan peruntukan Federal.
HARAKAH: Sekatan undang-undang satu hal. Tapi nampaknya orang bukan Islam menentang sebab tidak faham?
DATO’ DR MUJAHID: Perkara ini muncul semula apabila perdebatan di Parlimen persoal tentang peruntukan 635 ini iaitu Akta Mahkamah Syariah 1965. Dengan cara ini perundangan ini dapat dilaksanakan. Tetapi entah macam mana perkara ini ditukar kepada Private Bill. Perkara ini masih di bawah perbincangan, dan bagaimana hendak dibawa dan ia telah diputuskan. Kemudian timbul isu sama ada boleh diamallkan atau tidak perundangan hudud ini daripada sudut infrastruktur iaitu mahkamah, mahkamah rayuan, hakim yang pakar dalam kes yang melibatkan hudud serta peguam-peguam yang mahir. Perkara-perkara itu sentiasa menjadi penghalang sehingga pelaksanaan itu tidak dapat dibuat. Ini termasuklah polis dan penjara.
Presiden PAS juga memperingatkan apabila perkara ini dalam suasana ruang awam yang ada muslim dan non muslim. Maka kita kena bersedia menerima kritikan-kritikan itu.
Bagi saya PAS perlu bersedia untuk menerima kritikan daripada kawan dan lawan dalam cuba memperhalusi aspek yang lebih details dan objektif tentang ‘memperundangkan’ hudud ini. Ia berbeza antara undang-undang hudud dengan ‘memperundangkan’ ia. ‘Memperundangkan’ hudud di Saudi mungkin mengambil atas mazhab Abu Hanifah.
HARAKAH: Bagaimana pula penjelasan yang perlu diberikan kepada pihak yang anti hudud ini?
DATO’ DR MUJAHID: Saya tidak mahu terheret dengan perbalahan mengatakan anti hudud. Saya melihat adakah dia mempertikaikan itu daripada sudut apa. Apa yang berlaku hari ini orang mempertikaikan daripada sudut perundangan. Maknanya ‘memperundangkan’ ia. Contohnya, mencuri potong tangan. Betul! Tapi hendak ‘memperundang’ potong tangan itu daripada cara, saksi dan daripada segi peguam bela orang yang kena tuduh. Perkara-perkara itu telah menimbulkan isu perundangan bukan falsafah hudud itu sendiri. Ini pandangan saya.
HARAKAH: Bagi Dato’, kenapa adanya pihak yang tidak suka dengan undang-undang syariah tertegak di Malaysia walaupun mereka tahu ia undang-undang Islam?
DATO’ DR MUJAHID: Sebab tidak suka ini konotasinya terlalu umum. Kalau kita kata dia tidak suka, dia benci dan atas kebencian dia kepada Islam, kita boleh anggap dia benci. Tapi kalau dia melihat daripada segi perundangan sahaja, daripada segi ‘memperundangkan ia’… teknikaliti ia, orang ini boleh dianggap anti. Isunya daripada segi hukuman jelas dan tiada siapa menafikan, daripada sudut falsafah hudud dan sebagainya. Tetapi orang sekarang membincangkan tentang hendak ‘memperundangkannya’ bagaimana.
HARAKAH: Apakah perlu satu jawatankuasa bagi memperincikan daripada segi ‘memperundangkan’ hudud ini?
DATO’ DR MUJAHID: Saya mencadangkan jawatankuasa melibatkan kelompok yang lebih besar, hakim-hakim, pengamal-pengamal undang-undang bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara yang ada pengalaman undang-undang Islam ini untuk mereka duduk dan memperincikan serta mendalami daripada sudut ‘memperundangkan’ ini. Dan kerajaan harus bersedia menyambut jawatankuasa ini dengan kerajaan sendiri membantu mewujudkan jawatankuasa ini. Bentuk dia macamana…bagi saya daripada satu aspek, Umno mungkin melihat isu hudud ini daripada segi kepentingan politik, daripada satu benda substansi yang satu kandungan yang memerlukan kajian objektif dan lebih details.
Bagi saya Umno, belum ada jaminan Umno akan sokong sebab Jamil Khir sebagai menteri bertanggung jawab hal ehwal agama menyatakan akan sokong dan Najib tidak menunjukkan ke arah itu. Jadi, PAS jangan terperangkap pula dengan jaminan-jaminan ini. Dan kita tahu Umno tidak akan bergerak kecuali melalui apa yang Najib tentukan.
HARAKAH: Salah satu usaha yang akan dilakukan PAS bagi memberi penjelasan dan kefahaman kepada orang ramai termasuk bukan Islam dalam satu seminar yang akan diadakan tidak lama lagi. Apakah keberkesanan melalui seminar seperti ini?
DATO’ DR MUJAHID: Bagi saya mengadakan seminar adalah yang terbaik kerana memberi peluang orang bertanya. Sudah tentu orang yang paling dekat dengan kita di kalangan bukan Islam adalah Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP). Saya berharap perbincangan selain daripada segi falsafah tetapi juga daripada segi ‘memperundangkan’ daripada segi halangan dan cabaran di samping ada ruang untuk orang bertanya. Di kalangan ahli DHPP juga mungkin ada yang belum memahami dan mereka mungkin ingat kalau mencuri dan cukup saksi kena potong tangan. Sedangkan ada proses untuk dia membela diri dia. Jadi ia perlu dilanjutkan secara objektif dan bukan secara emosi sahaja.
HARAKAH: Bagaimana keharmonian dalam Pakatan Rakyat dapat dipelihara memandangkan ada di kalangan rakan Pakatan Rakyat tidak bersetuju dengan pelaksanaan hudud ini?
DATO’ DR MUJAHID: Baru-baru ini telah dikeluarkan kenyataan bersama Pakatan Rakyat tentang isu hudud ini. Saya rasa ia menjadi asas panduan dan pada masa yang sama kita berbincang tentang hudud. Kita akan berhadapan secara terbuka dengan kawan kita mahupun lawan kita dengan berbincang dan menjelaskannya. Perkara ini sudah termasuk dalam lingkungan demokrasi, maka kita bersedia untuk orang mengkritik.
Dan saya seru kepada ahli-ahli PAS jangan cepat melatah apabila ada orang hendak bincang pasal hudud. Jangan kita kata,’tidak boleh bincang…ini anti hudud…’ Ini tidak betul. Kita bukan mempertikai hudud seperti mana mereka bukan mempertikai falsafah hudud itu. Dalam konteks demokrasi ini kita berbincang dalam konteks ruang demokrasi dan perundangan itu. Saya berharap PAS, DAP dan KeADILan menjaga diri daripada membuat kenyataan yang boleh menyebabkan tersinggung. Sebab merujuk kepada keputusan Majlis Presiden menyatakan bahawa PAS bersetuju untuk rakan-rakannya dalam DAP untuk tidak bersetuju.
Maknanya PAS menerima hakikat mereka tidak bersetuju terhadap undang-undang ini dan apa yang terbaik ialah kita mengamalkan konsep bersetuju untuk tidak bersetuju. Itu boleh menamatkan perbalahan dan kalau DAP mengatakan tidak bersetuju, bagi kita itu tidak perlu nak respons sebab kita dah terima mereka berhak untuk tidak bersetuju.
Pada masa yang sama, Umno janganlah cuba memisahkan PAS dengan rakan-rakan dan pada masa yang sama Umno pun hendak menimbulkan yang dia pun Islamik sedangkan belum ada jaminan benda itu akan berlaku. Sudah cukup dia (Umno) gunakan ruang ini untuk belasah kita. Oleh itu semua pihak kena kawal diri dalam keadaan tegang ini. Termasuk orang PAS sendiri jangan cepat melenting.
Artikel ini disiarkan Akhbar Harakah Edisi 2-4 Mei 2014 / 2-4 Rejab 1435 - HARAKAHDAILY 5/5/2014
Sumber HD - 5-5-2014
Mengenang Haji Yusof Rawa: 28 April yang hiba
BAGI orang lain 28 April mungkin tidak membawa apa-apa makna kecuali mereka yang lahir pada hari ini. Setiap seorang mempunyai tarikh tertentu yang memberi sesuatu kesan dalam hidupnya sama ada ia saat kegembiraan mahupun saat kesedihan.
Bagi saya, tarikh 28 April adalah saat saya kehilangan manusia yang paling saya sayangi dan kasih bahkan ramai yang meratapi pemergiannya kerana beliau bukan sahaja milik saya dan keluarga bahkan beliau juga milik umat ini.
Di pagi subuh yang hening bersamaan dengan hari Jumaat tahun 2000 Masehi, insan bernama Yusof bin Abdullah @ Haji Yusof Rawa telah meninggalkan dunia fana ini buat selamanya.
Bagi saya setiap 28 April adalah tarikh istimewa untuk saya memperingati nama yang besar ini dalam hidup saya sebagai ayah, pemimpin dan murabbi pertama saya.
Pagi Subuh Itu
Semua ahli keluarga besar ayahanda Yusof Rawa sudah pun berkumpul di rumah Gelugor sejak dua tiga hari apabila Doktor Ang yang merawatnya meminta kami untuk membawa pulang ayahanda kerana tidak ada apa lagi yang boleh dilakukan.
Kami menyediakan katil yang boleh dinaik turun posisinya seperti yang terdapat di hospital untuk keselesaan ayahanda termasuk alat pernafasan sebab ayahanda sering mengadu nafasnya semput. Hakikatnya ayahanda mengalami pnemounia semenjak dimasukkan di hospital dua tiga bulan yang lalu.
Sejak dua tiga malam setelah kembali dari hospital, ayahanda mengadu sakit perut dan meminta Dr Ang supaya datang dan melihatnya.
Malam 27 April itu Dr Ang datang ke rumah dan memberitahu kepada ayahanda supaya datang ke hospital esoknya (28 April) sambil berjanji untuk membuat pemeriksaan lebih terperinci, ayahanda hanya mengangguk.
Namun sejak kembalinya Dr Ang, ayahanda semakin pendek nafasnya dan senantiasa memakai topeng pernafasan sambil suaranya menjadi semakin lemah. Saya berada di sisinya sepanjang malam bersama kekanda saya yang lain bergilir membaca surah Yasin.
Beliau hanya memandang ke arah setiap kami, mungkin beliau terasa itu adalah pandangan terakhirnya menatap wajah kesebelas anaknya.
Subuh 28 April saya mengimami solat Subuh di rumah kami di Gelugor, ayahahanda minta untuk berwudhuk dan bersolat di katilnya sahaja sambil berbaring. Selesai solat saya mengajak kesemua 11 adik-beradik kami untuk membaca surah Yasin dengan anak menantu dan cucu yang ada.
Belum sempat tamat Yasin, ayah memanggil nama saya dengan nada yang kuat menyebabkan semua kami terkejut. Saya bergegas di sisinya.
Ayahanda memandang saya dengan topeng pernafasan cuba dibuangkan sambil ayahanda mengatakan, “Abah nak habis dah...”sambil beliau memegang tangan saya minta diusap kepalanya seperti lazimnya semenjak beliau terbaring di katil.
Saya patuh sambil matanya saya melihat seolah memandang sesuatu di atas. Selimut yang menutupi ke paras dadanya ditarik-tarik seolah mahu menutup mukanya.
Detik itu saya sudah merasai masanya semakin hampir, saya mentalqinkannya dengan syahadah berkali-kali, bibirnya berkumat-kumit, perkataannya sudah tidak difahami lagi dan lebih kurang beberapa detik sebelum munculnya matahari pertama pagi Jumaat 28 April itu berakhirlah riwayat hidup insan bernama Haji Yusof Rawa.
Insan Biasa
Haji Subky Latif penulis dan wartawan senior pernah menulis tentang Haji Yusof Rawa bahawa dia tidak dilahirkan sebagai manusia agung. Beliau menulis setelah diminta membentangkan pandangannya terhadap ketokohan Haji Yusof Rawa dalam majlis Legasi Haji Yusof Rawa yang dianjurkan oleh Penang Institute beberapa tahun yang lalu.
Beliau membuat penjelasan bahawa jalan pendakian Haji Yusof Rawa sebagai tokoh bermula dengan penuh kesederhanaan dan beliau tidak mendapatinya dengan mudah.
Namanya tidak dikenali ramai sebelum ia mendapat tempat tertinggi dalam heiraki parti tetapi kesetiaannya kepada parti PAS disaksikan melalui pengorbanan yang diberikan untuk bersama sehingga ke akhir hayatnya dengan PAS.
Beliau memikul amanah dan diberi penghormatan sebagai Mursyidul ‘Am PAS yang pertama dan menjadi Presiden PAS yang pertama dalam era kepimpinan ulama awal dekad 80-an.
Keupayaan berbahasa Inggeris dan penguasaanya dalam Bahasa Arab adalah antara keistimewaan Haji Yusof Rawa. Minatnya yang mendalam dalam bahasa membawanya mempelajari Bahasa Perancis dan Parsi secara sendiri dan dapat berinteraksi kadar keperluannya.
Ayahanda dikenali sebagai tokoh sederhana dalam PAS dan membawa nama Malaysia di pesada antarabangsa sebagai Duta Besar dan pernah menjadi perwakilan ke Bangsa-Bangsa Bersatu selama setahun di New York. Seorang yang diplomatik dan disegani kawan dan lawan.
Menolak Gelaran
Pernah saya diberitahu beberapa kali hasrat kerajaan negeri Pulau Pinang semasa hayatnya mencalonkan nama beliau untuk pingat dan anugerah tetapi ditolak, kecuali satu pingat yang diterimanya tanpa membawa apa-apa gelaran iaitu Jaksa Pendamai (JP).
Ayahanda mempunyai alasan menerimanya kerana dengan Jaksa Pendamai beliau ingin membuat khidmat dengan membantu siapa yang memerlukan tandatangannya secara percuma.
Beliau pernah berkata bahawa gelaran lain tidak memberikan seseorang kuasa kecuali JP yang laku tandatangannya untuk perakuan.
Begitu juga sukar pihak Majlis Agama Islam semasa hidupnya mencalonkan namanya sebagai tokoh Maal Hijrah beberapa kali tetapi ditolaknya. Hanya pada tahun 1993 beliau bersetuju menerima anugerah itu setelah dipujuk.
Sikapnya yang tidak mahu mengejar pangkat dan kedudukan menjadikan Haji Yusof Rawa sebagai seorang yang agak sukar tersilau dengan kilauan dunia yang menjadi rebutan kelompok pimpinan sepertinya.
Kesetiaan Dengan PAS
Semasa PAS ditendang keluar dari Barisan Nasional, Haji Yusof Rawa menolak untuk bersama BN walaupun diberikan beberapa tawaran. Beliau memilih untuk bersama PAS ketika senang dan ketika susah.
Misi seterusnya yang tidak akan dilupakan oleh sesiapa sahaja yang membaca transformasi PAS dari era Datuk Asri Muda kepada kepimpinan ulama adalah pengemudian kepimpinan Haji Yusof Rawa membina era baru organisasi dan politik PAS.
Sebagaimana yang pernah disebut oleh mendiang MGG Pillay seorang wartawan politik senior, bahwa Haji Yusof Rawa adalah arkitek yang sebenarnya memastikan kepimpinan baru PAS meneruskan kesinambungan perjuangan parti.
Sebagai orang paling kanan setelah krisis era Datuk Asri berakhir dengan kemunculan kepimpinan ulama, beliau berhati-hati untuk memastikan kelompok lama yang agak terkejut dengan lonjakan baru PAS pada ketika itu tidak ditinggalkan.
Krisis PAS yang agak kritikal pada waktu itu dikawal dengan baik oleh Haji Yusof Rawa melalui kepimpinannya apabila beliau mengambil alih tampuk kepimpinan memangku selama setahun setelah Datuk Asri meletakkan jawatan setahun sebelum pemilihan parti.
Pada waktu itu sikapnya membuat keputusan terpaksa berhadapan dengan berbagai kritikan dalaman dan luaran disambut oleh beliau dengan tenang tetapi penuh ketegasan.
Beliau pernah cuba meletakkan jawatan kerana merasai kepimpinannya tidak mendapat kepercayaan ahli semasa isu penubuhan CCC atau Chinese Consultative Council, namun atas pujukan dan nasihat pimpinan kanan lain khususnya Almarhum DatukUstaz Fadhil Nor dan Almarhum Ustaz Hasan Shukri, Haji Yusof Rawa menarik balik hasratnya.
Pada saat keuzurannya beliau masih lagi bertanya kepada Pejabat Agung PAS sama ada beliau masih lagi tertunggak sumbangan infaknya kepada parti dan melunaskannya. Beliau pernah berpesan kepada saya selaku anak muda yang turut ingin beraksi dalam kancah ini bahawa:
“Janganlah engkau mengharapkan pada perjuangan sesuatu habuan dunia tetapi berilah kepada perjuangan habuan engkau dari dunia.”
Perjuangannya
Walaupun tidak pernah ditahan dan ditangkap sebagai tahanan politik, Haji Yusof Rawa lantang menyuarakan hak golongan tertindas, menolak gagasan perjuangan perkauman sempit dan berani membentuk arus pemikiran alternatif kepada menyampaikan PAS kepada kelompok bukan tradisionalnya daripada pelbagai kaum khususnya kaum Cina.
Sikap keterbukaannya menemukan PAS dengan Umno dalam menyatakan pendirian PAS kepada isu perpaduan Melayu pada pertengahan 80-an dan beliau menolak fahaman kebangsaan sempit.
Beliau banyak menyedarkan keperluan umat Islam mempersiapkan diri dengan kekuatan ilmu, akhlak dan keperluan dunia. Sebagai seorang usahawan yang berjaya sebelum menceburi bidang politik pada awal 50-an, Haji Yusof Rawa antara pengasas awal Dewan Perniagaan Melayu Pulau Pinang dan menceburi bidang percetakan antara yang terawal di Pulau Pinang.
Penanya menitip setiap ruang di majalah Islah yang didirikannya awal 60-an. Kritikannya pada kehidupan masyarakat dimuatkan dalam kolum “Teropong dari Acheh Street”.
Karyanya yang menjadi rujukan hingga ke hari ini ialah Tafsir Juz Amma dalam memenuhi kehendak pencinta ilmu mendalami tafsir mudah dan ringkas dari Juz Amma.
Pernah diberi pilihan untuk mencetak buku yang laris dengan cerita-cerita hiburan tetapi menolaknya kerana biarlah beliau memilih mencetak buku agama yang kurang laris pada waktu itu tetapi mendapat berkat.
Ini pernah diluahkan dalam catatan peribadinya tentang pengalamannya menjadi pencetak. Jikalau Haji Yusof Rawa hidup hari ini, beliau akan menyaksikan suasana sudah berubah di mana buku agama kini menjadi kegemaran ramai. Mungkin juga beliau akan tersenyum kerana perjuangannya memilih menerbitkan buku agama tertuai juga akhirnya oleh generasi penerbit buku hari ini.
Ayah, Rakan dan Pemimpin
Saya menyaksikan kehidupan ayahanda dalam pelbagai dimensi. Sebagai anak, saya berbangga menjadi anggota keluarganya yang besar. Tegas dalam pendidikan anak-anak tetapi kasih dan mesra dalam membimbing kekurangan anak-anak supaya menjadi insan yang berguna.
Kesibukannya tidak menghalang untuk bersama anak-anak setiap hari Ahad mencuci kereta atau berjalan di Padang Kota Lama atau sekadar memotong kuku kami mahupun menikmati juadah makan di gerai Padang Brown.
Pengalaman peribadi saya semasa bersiar-siardi Tehran semasa beliau menjadi duta ke Iran dalam cuaca dingin dengannya tidak mungkin saya lupakan sambil kata nasihatnya menghiasi perjalanan kami.
Siapa yang tidak memperakui kesetiaannya kepada erti persahabatan, malah siapa yang pernah mengenalinya akan menikmati kejujuran dalam bersahabat. Beliau tidak pernah menjanjikan apa-apa sebagai balasan persahabatan melainkan kejujuran dan keikhlasan setiakawan.
Pada masa uzurnya beliau banyak bertanyakan kawan lamanya dan berusaha menziarahi mereka bagi memenuhi erti persahabatan.Tuan punya Kamus Pustaka Arab-Melayu Ustaz Ahmad Badjenid menjadi sahabat setianya diziarahinya walaupun beliau ketika itu juga uzur sambil mereka ketawa mesra menceritakan masa lampau.
Sikapnya yang tidak pernah mengecewakan permintaan kawan yang dalam keperluan sering mencetuskan bertambahnya lagi hormat kawan kepadanya. Bagi mereka yang mengenali Haji Yusof Rawa pasti ada cerita menarik yang hanya diketahui setelah beliau meninggalkan kita untuk mengenangkan kesetiaan persahabatannya.
Sebagai pemimpin dan dua penggal Ahli Dewan Rakyat, kepimpinannya terus berbisa di hati mereka yang pernah mengenalinya. Pembelaannya terhadap orang miskin menjadikan beliau bergelar sang pemurah.
Ada beberapa orang yang menemui saya memberitahu bahawa ayahnya pernah dibantu oleh Haji Yusof Rawa semasa susahnya dan sering menyebut nama Haji Yusof Rawa walaupun mereka tidak pernah mengenalinya.
Saya juga diberitahu oleh orang lama di Parit Buntar bahawa ayahanda saya pernah menyumbang untuk sebuah masjid dengan kadar yang agak besar nilainya pada waktu itu.
Bantuannya kepada sekolah-sekolah agama daripada sudut kemudahan pembayaran buku yang dipesan dari kedainya menjadi sebutan di kalangan penggiat sekolah agama hingga ke hari ini.
Untuk perjuangan parti beliau terkenal sebagai penyumbang utama termasuklah poster-poster semasa pilihan raya umum yang dicetak di gedung percetakannya The United Press.
Al Zai'm
Beliau mendapat jolokan ini di kalangan rakannya di Makkah semasa Haji Yusof Rawa menuntut di sana.
Al Zai'm yang membawa maksud “ketua”. Ini adalah kerana semangat beliau memimpin rakan-rakannya dalam membina semangat kemerdekaan pada waktu itu dan keberanian Haji Yusof Rawa berhadapan dengan pemuda tempatan Makkah yang sering mengejek pelajar-pelajar dari Nusantara pada waktu itu.
Sikap beraninya dan inspirasinya pada rakan pelajar terhadap perjuangan kebebasan di tanah air yang dicintai melalui Persatuan Anak Melayu di Makkah menyebabkan mereka menggelarnya Al Za'im.
Nama itu rupanya meninggalkan bekas pada kehidupannya setelah kembali ke tanah air dan berkat gelaran tersebut dari bumi yang penuh berakah, Haji Yusof Rawa terus kekal dalam ingatan kita sebagai Al Zai'm. Saya berbangga Al Zai'm itu adalah ayah saya dan ayah kepada kesebelasan kami.
Legasi Haji Yusof Rawa
Pada hari ini, 14 tahun sudah berlalu, baru semalam rasanya saya bermesra dengannya. Saya membesar mengetahui bahawa Haji Yusof Rawa bukan sahaja milik kesebelasan kami dan bonda kami, Haji Yusof Rawa milik manusia dan lebih besar dari itu Haji Yusof Rawa adalah milik mutlak Sang Pencipta.
Suaranya yang lemah pada pagi 28 April memberitahu saya, “Abah dah nak habis dah...” seolah menutup perjalanannya selama ini untuk menemui Allah Jalla Fil Ula yang hidupnya dan perjuangannya cuba dipenuhi kerana-Nya dan untuk-Nya.
Pada saya, semangat Al Za'im pada diri Haji Yusof Rawa akan senantiasa kekal sebagai sumber insprasi saya dalam saya menjalani kehidupan yang berbaki sehingga semua kita menemui-Nya nanti.
_____________
Mujahid Yusof Rawa adalah merupakan anak bongsu Haji Yusof Rawa. Kini merupakan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan Ahli Parlimen Parit Buntar.
Sumber HD - 29-4-2014
Belasungkawa: Selamat tinggal 'Harimau Jelutong'
- Apr 22, 2014
- DR MUJAHID YUSOF RAWA
Pertama, secara majazinya ‘Harimau Jelutong’ itu telah meninggalkan belang, kedua secara hakikinya mendiang meninggalkan nama yang besar sebagai ahli politik yang disegani kawan dan lawan.
Jarang seseorang dapat memenuhi perumpamaan ini secara majazi dan hakiki dalam menggambarkan ketokohan seseorang individu yang meninggalkan kita.
Singh is King
Ungkapan ini pernah dipakai oleh Karpal sesuai dengan ugutan yang diterimanya daripada Pemuda Umno. Saya ada di dalam Parlimen semasa mendiang mempertikaikan tindakan beberapa Pemuda Umno yang cuba menghalangnya di Parlimen.
Antara ungkapan lain yang disebut oleh Karpal dalam suasana yang tegang dalam Parlimen semasa itu ialah, “Ini Pemuda Umno celaka!” lalu Yang DiPertua Dewan Rakyat mencelah supaya ditarik balik kata-katanya itu tetapi Karpal enggan.
Setelah didesak beberapa kali Karpal setuju dengan berkata, “Saya tarik balik, tetapi ini Pemuda Umno memang celaka”. Saat itu heboh dewan dengan gelak ketawa.
Karpal memang terkenal dengan perkataan berbisanya seperti “jangan main-main...” apabila beliau ingin mendesak sesuatu tindakan diambil segera.
Dialek Indianya dalam berbahasa Melayu seringkali mencuit hati anggota dewan tetapi isi ucapannya senantiasa mendapat perhatian pihak BN kerana sengatannya yang berbisa kepada Ahli Parlimen BN.
Dewan pastinya akan sunyi selepas ini tanpa SINGH IS KING.
Saya dan DAP
Saya mula mengenali DAP semasa di bangku sekolah menengah lagi melalui poster-poster pilihan raya apabila berlangsung pilihan raya umum. Sebagai anak Pulau Pinang yang membesar di Georgetown, lambang DAP tidak menjadi sesuatu yang menakutkan saya walaupun tanggapan saya terhadap DAP semasa di bangku sekolah adalah stereotype sama macam budak Melayu sezaman dengan saya.
Sebagai seorang yang membesar dalam rumah pemimpin PAS, saya sukar menerima pandangan Umno apatah lagi media menyerang PAS setiap hari tetapi saya juga tidak melihat DAP mempertahankan PAS pada masa itu.
Saya boleh rumuskan semasa di bangku sekolah, saya melihat DAP dari kacamata PAS yang melihat DAP tidak banyak membantu malah sikap ‘anti-Melayu DAP’ begitu mencengkam dalam benak anak muda Melayu pada zaman saya.
Namun zaman berlalu, saki-baki tanggapan kepada DAP semakin terhakis dengan kematangan berfikir generasi hari ini dan terpulang kepada sejauh mana DAP mampu membuktikan sebaliknya.
Saya yakin kemunculan politik baru Malaysia yang menolak sikap perkauman akan memudahkan lagi orang mengenali DAP.
Karpal dan Saya
Jujurnya saya terlalu kerdil secara relatifnya berbanding dengan ketokohan Karpal dalam dunia politik dan perundangan Malaysia. Bermula dari tahun 1974 Karpal memulakan karier politiknya sebagai ADUN di Kedah, saya baru di tahun 4 sekolah rendah.
Nama Karpal hanya saya kenali semasa di sekolah menengah lewat persepsi saya terhadap DAP. Semasa Kelantan memperkenalkan Undang-Undang Kanun Jenayah Syariah, Karpal antara tokoh yang lantang menentang.
Saya mula berminat untuk mengenali tokoh ini pada tahun 90-an dan cuba mencari objektiviti mengapa beliau menentang undang-undang hudud ini. Dari sini saya mula mengenali pemikiran perundangan beliau yang merupakan pengikut tegar kerangka Malaysia sebagai negara sekular.
Pertama Kali Bertemu
Pada tahun 2005 saya telah kembali ke negeri asal saya iaitu Pulau Pinang. Pertama kali saya menemui beliau ialah kunjungan semasa beliau di hospital setelah mengalami musibah. Walaupun saya tak sempat berbicara dengannya kerana keadaaannya, tetapi saya sempat mengucapkan kata-kata semangat kepada isteri beliau bagi mewakili PAS Pusat.
Seterusnya pertemuan saya ialah di bangunan Parlimen setelah dilantik menjadi Ahli Dewan Rakyat, kini saya bersama MP yang lain sebaris dengan MP lama termasuklah Karpal.
Heboh dewan hari pertama mengangkat sumpah apabila MP Kinabatangan mempertikaikan bagaimana Karpal boleh mengangkat sumpah tanpa mengangkat tangannya sedangkan wakil Kinabatangan mengetahui bahawa Karpal mengalami masalah mengangkat tangan.
Berlaku kekecohan dan itu pertama kali kami ditunjukkan bagaimana berbalas-balas kata boleh berlaku di Parlimen Malaysia.
Seterusnya pertemuan saya dengan beliau adalah sebagai ahli Parlimen muda yang cuba mempelajari selok belok berbahas dalam Parlimen. Saya mendapati perbahasan beliau banyak berlegar di sekitar perundangan dan kehakiman serta pendedahan beliau kepada salahlaku kehakiman yang boleh menjejaskan kredibiliti mahkamah di Malaysia.
Ucapan Karpal
Saya juga mengikuti setiap ucapan politik beliau yang sempat saya dengar. Antaranya ialah ketika saya di Melaka semasa hubungan PAS dengan DAP berasaskan kepada perjanjian Barisan Alternatif pada hujung 90-an.
Ucapannya selamba tetapi sarat dengan kritikan pedihnya kepada sistem perundangan negara khusus pada kemuncak kes Anwar Ibrahim ketika itu. Kemudian saya mendengar ucapannya yang lebih serius pada majlis makan malam kemenangan DAP di Pulau Pinang.
Di atas kerusi roda, beliau bersemangat menceritakan intipati perjuangan DAP dan komitmennya pada suasana demokratik dan sekular yang menjadi asas pembentukan negara ini.
Ucapannya serius dengan kata susun atur kalimatnya dikeluarkan satu-satu disambut tepukan gemuruh hadirin yang masih dalam mood kegembiraan dengan kejayaan PR diterajui DAP menawan Pulau Pinang.
“Saya Tidak Menentang Islam”
Di sebalik tekanan tentang sikap Karpal yang dikatakan anti-hudud dan anti-Negara Islam serta kenyataan kontroversinya “langkah mayat saya dahulu...”, Karpal beberapa kali menyatakan bahawa dia tidak pernah menentang Islam.
Saya sendiri ada dalam Konvensyen Pakatan Rakyat 2010 di Kepala Batas. Di hadapan pemimpin PAS dan PKR dan para peserta konvensyen, Karpal menyatakan bahawa beliau menghormati Islam sebagai agama rasmi Persekutuan yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan beliau tidak pernah menentang Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Karpal juga pernah menyatakan dalam satu temuramah bahawa, “I'm not opposed to Islam at all, I'm a god fearing man”.
Sikap Karpal yang sering dituduh sebagai anti-Islam kerana keengganan menerima Negara Islam dan hudud menjadikan beliau sebagai sasaran utama kelompok Melayu dari kedua belah pihak Umno dan PAS atas apa juga perbezaan politik mereka.
Persoalannya ialah, mengapakah Karpal bertindak demikian?
Logik Karpal Tentang Hudud
Karpal adalah ahli undang-undang. Hujah beliau tidak sangat menjurus kepada ideologi menentang penghayatan keagamaan, beliau lebih berminat kepada ideologi perundangan.
Hakikat ini ditegaskan dalam salah satu kenyataannya apabila ditanya mengapa beliau tidak boleh menerima konsep Negara Islam dan hudud. Beliau menjawab, “My opposition to Islamic State and hudud is to preserve and defend the constitution...”.
Memahami logik Karpal dalam hal ini ialah memahami Karpal sebagai orang perundangan dan bukan sebagai seorang yang anti-agama dan mendekati ketegasan beliau dalam hal ini juga ialah dengan menggunakan logik perundangan dan bukan sentimen dan emosi agama.
Bagi saya tidak mudah untuk kita menuduh seseorang sebagai anti-agama Islam hanya kerana asas penolakan Negara Islam dan hudud atas asas perundangan.
Ini adalah kerana bagi saya anti-agama adalah terdorong atas kebencian dan permusuhan kepada apa sahaja makna keagamaan termasuk menolak Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
Kalau begitulah logiknya maka kewujudan Akta Mahkamah Syariah 1965 yang menghalang perlaksanaan hudud di peringkat negeri bolehkah dikatakan sebagai anti-agama Islam?
Adakah Kerajaan Persekutuan di bawah BN yang memerintah dengan PMnya sebagai seorang Islam sekarang juga anti agama kerana membiarkan sekatan ini berlarutan?
Bagaimana pula seorang Islam yang menolak Negara Islam dan hudud atas alasan ekonomi akan mundur dan pelabur asing akan lari malah ada yang menyatakan ianya tidak relevan lagi dalam dunia hari ini?
Saya bukan mempertahankan Karpal dan sikapnya, saya cuma mahu memberi keadilan kepada isu Negara Islam dan hudud yang tidak pernah diberi gambarannya yang jelas kerana terlalu ramai yang ada kepentingan dalam hal ini sehingga ia lebih selesa ditanggap sebagai isu politik daripada isu substantif.
Logik Balas
Logik perundangan juga menuntut kita untuk menjawab persoalan apakah Malaysia sebuah negara sekular atau setengah sekular sedangkan Islam mendapat tempat yang teratas walaupun agama lain bebas diamalkan dengan sekatan tidak boleh disebarkan.
Bagaimana pula halnya senarai negeri-negeri yang antara lainnya memperuntukkan enakmen undang-undang Islam boleh digubal?
Apakah tidak undang-undang Jenayah Syariah II di Kelantan dibuat secara perundangan? Jikalau ia dianggap ultravirus dengan Akta Mahkamah 1965 siapakah yang bertanggungjawab untuk menyemak semula peruntukan?
PAS pernah membawa bil persendirian di Parlimen melalui Presidennya Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang untuk isu murtad tetapi tidak pernah diterima untuk dibahaskan.
Logik perundangan inilah yang harus dijadikan landasan meyakinkan para penggubal undang-undang bahawa akhirnya isu sensitif seperti ini perlu mendapat mandat dan proses politiknya perlu mendapat kefahaman rakyat secara substantif.
Sensitiviti isu-isu agama jika hendak diperundangkan termasuklah hudud pasti akan mendapat pelbagai reaksi aliran pemikiran politik namun Rashid Al Ghanoushi pernah memberikan kerangka bagaimana isu ini perlu digarapkan dengan berkata:
“No one has the right to claim he represent the religion, neither An Nahda or anyone else. Society through its dynamic is the one to formulate and translate religion into policies, laws and culture....the dynamic continues untill there is concensus about the opinion of religion on the issue..”.
(Tidak ada sesiapa yang berhak mendakwa bahawa dialah yang mewakili agama, walaupun parti An Nahda atau sesiapa yang lain. Masyarakat melalui dinamikanya yang akan membentuk dan menterjemahkan agama kepada dasar, undang-undang dan budaya... dinamika ini berlangsungan sehinggalah adanya satu konsensus tentang sikap agama kepada isu tersebut).
Saya amat bersetuju dengan kerangka pemikiran yang demokratik digarap oleh pemimpin An Nahdah tersebut. Dengan kerangka ini jugalah kita harus berhujah dengan logik Karpal yang saya tahu diyakini ramai oleh rakan-rakan dalam DAP apabila isu hudud menjadi perbualan hangat sekali lagi mutakhir ini.
Karpal dan PAS
Pemimpin PAS yang sering dikaitkan bertembung dengan Karpal ialah Dato’ Bentara Setia Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat mantan Menteri Besar Kelantan.
Pertembungan mereka adalah kerana konsistennya Mursyidul Am PAS itu mahu menjalankan enakmen Jenayah Syariah yang telah mendapat mandat persetujuannya oleh Sultan Kelantan tetapi terhalang kerana Akta Mahkamah Syariah (1965).
Begitulah juga konsistennya Karpal menentang hasrat ini atas hujah yang dinyatakan di atas tadi.
Namun demikian seluruh negara telah menyaksikan satu pertemuan bersejarah yang penuh mesra antara kedua-kedua pemimpin hebat ini di rumah Karpal apabila Mursyidul Am PAS itu menziarahi Karpal di Pulau Pinang sambil menerima kek harijadinya daripada Karpal pada 27 Jan 2013.
Kedua-duanya bertemu mesra walaupun mereka mempunyai dua pandangan yang bertentangan antara satu sama lain. Sikap keterbukaan Tuan Guru Nik Abdul Aziz lambang komitmen PAS kepada menghormati hak untuk tidak bersetuju walaupun berada dalam satu kolusi politik.
Karpal pula sentiasa bertanggapan positif kepada PAS dari kata-katanya sendiri boleh membuktikan sikapnya bahawa, “We may have our differences with PAS but it is a solid principled party and an important ally”.
(Kita mungkin ada beberapa perbezaan pandangan dengan PAS tetapi PAS adalah parti yang berprinsip dan rakan yang penting).
Selamat Tinggal Selamanya
Speaker Dewan Rakyat adalah orang yang akan terasa pemergian Karpal kerana suaranya tidak akan kedengaran lagi mengetuk mikrofon meminta ‘point of order’ dibacakan khususnya mempertikai ‘ruling’ yang dibuat oleh Tuan Speaker.
Ketajamannya menimbulkan hujah perundangan dalam akta yang dibahaskan dan kritikannya kepada kehakiman di negara ini sentiasa berbisa dan pedas namun ianya bernas.
Kami MP muda akan hilang seorang senior MP yang membuatkan kawan dan lawan ketawa dan marah ketika beliau berbahas.
Para hakim akan kehilangan peguam yang senantiasa menguji kewibawaan mereka pada tahap maksimumnya.
Ahli DAP akan kehilangan suara semangat yang pernah mengatakan dalam suasana kekalahan DAP di Pulau Pinang satu ketika dahulu, “berhati-hati pada harimau yang tercedera kerana ia lebih merbahaya...”
Masyarakat sivil yang pernah mengenali Karpal tidak akan lupa kata-katanya bahawa, “It is important for every citizens in this country to know that no one is above the law” dan kerana meyakini prinsip moral perundangan ini beliau berhadapan dengan masalah daripada pihak istana.
Bagi seseorang yang tegas dalam dunia politik dan perundangan, Malaysia turut terasa perginya seorang anak Malaysia mempertahankan prinsip Perlembagaan Persekutuan dengan jujur.
Soal salah atau betul beliau mempertahankannya bukan isu, tetapi itulah caranya beliau melahirkan kasihnya pada negara yang tercinta ini.
Sepi seketika hiruk pikuk suara yang menghentam Harimau Jelutong ini pada awal pagi berita kematiannya secara tragis di maklumkan seluruh negara.
Harimau tidak mengaum lagi tetapi belangnya meninggalkan bekas seperti namanya. Kata-kata mendiang akan senantiasa terngiang di telinga kawan dan lawannya,
“You knock out one Karpal Singh, hundred Karpal will rise”.
Selamat Tinggal Komrad Karpal!
_______________
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat dan juga Ahli Parlimen Parit Buntar.
Sumber HD - 22-4-2014
Makan malam kedamaian erat hubungan antara kaum, agama
- Apr 04, 2014
- HARAKAHDAILY
Dari kiri, Dr Mujahid dan Father Sebastian pada majlis makan malam kedamaian.
Majlis yang dikendalikan secara bersama oleh LPN dan Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHPP) Pulau Pinang itu dihadiri Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof dan Uskop Roman Katholik Pulau Pinang, Father Sebastian Michael.
Hadir sama para pemuka masyarakat setempat dari pelbagai kaum dan agama.
Ketika berucap Father Sebastian menjelaskan keperluan keadilan untuk mencapai kedamaian dan keperluan bermaafan untuk mencapai kedamaian.
Dr Mujahid yang juga Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat menyambut baik saranan Uskop dengan menyatakan komitmen PAS untuk membela hak semua kaum dan agama bagi mencapai keadilan.
PAS, jelas Mujahid komited untuk menjangkau sokongan merentasi semua kaum.
Majlis turut diserikan dengan ucapan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat melalui rakaman video yang menegaskan bahawa risalah Islam adalah demi kedamaian untuk semua.
Pengerusi DHPP negeri, Asokan mengulangi komitmennya untuk memperjuangkan slogan "PAS Untuk Semua" dan yakin dengan perjuangan Islam berciri universal yang dibawa PAS.
Beliau menganggap Tuan Guru Mursyidul Am sebagai 'ayah angkat' atas kasih sayang dan prinsip yang ditunjukkan oleh pemimpin tertinggi PAS itu.
Majlis berakhir dengan komitmen semua pihak yang hadir untuk memastikan kedamaian adalah milik semua demi keharmonian negara.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi LPN negeri, Yusof Noor menjelaskan tumpuan lajnah pimpinannya kepada 3P iaitu pendidikan, pekerjaan dan perumahan untuk semua.
Beliau menjelaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan kerajaan negeri untuk memastikan program 3P dapat dilaksanakan.
Sumber HD - 4-4-2014
Doa untuk Egypt 529
- Mar 31, 2014
- DR MUJAHID YUSOF
ARAB Spring sudah sampai kepada satu tahap lain dalam kita melihat perubahan landskap politik di negara-negara Arab.
Sebagaimana yang kita sedia maklum, Mesir adalah antara destinasi awal Arab Spring setelah Tunisia memulakan momentumnya.
Halangan tembok ketakutan yang selama ini menjadi senjata regim kuku besi sudah diruntuhkan maka rejim zalim kini bertembung wajah ke wajah dengan suara rakyat yang mahukan ‘mainan’ kuasa kuku besi diakhiri segera.
Terkini mahkamah telah mengenakan hukuman mati kepada 529 OKT (orang kena tahan) atas dakwaan membunuh dan mengkhianati negara.
Kesemua mereka adalah anggota Ikhwan Muslimin termasuklah Ketua Tertingginya iaitu Sheikh Dr Mohammed Badie’.
Dunia berkabung bukan sahaja kepada tragedi MH370 malah kes 529 orang yang dikenakan hukuman bunuh oleh rejim tentera Mesir juga menyebabkan dunia berkabung kerana matinya demokrasi.
IMBAUAN TAHRIR SQUARE
Tahrir Square terpahat sebagai saksi kebangkitan rakyat menurunkan rejim Mubarak pada tahun 2009. Namun pada tahun 2013 tempat yang sama telah menyaksikan satu lagi kebangkitan menjatuhkan Presiden Morsi yang dilantik secara demokratik oleh rakyat Mesir buat pertama kalinya dalam sejarah politik Mesir.
Proses antara 2009-2013 juga telah menyaksikan proses transisi kuasa dan proses pembentukan asas-asas demokrasi dan dalam proses itu kita dapat melihat bagaimana kesan kediktatoran telah meninggalkan bekas yang buruk kepada budaya politik rakyat Mesir sehingga sukar untuk melakukan perubahan yang tulen.
Dalam artikel saya sebelum ini, saya tidak menolak teori dasar Amerika di Timur Tengah yang keutamaannya adalah memastikan kewujudan Israel di celah negara-negara Arab.
Demokrasi yang mengisi ruang kebangkitan rakyat menjadi ‘duri dalam daging’ kepada kuasa besar kerana seruan yang didengungkan oleh Amerika membuka ruang kepada kebangkitan Ikhwan sebagai sebuah entiti parti politik yang mendapat sokongan rakyat untuk memimpin Mesir.
Dari sini, Arab Spring telah melalui fasa baru seolah-olah berlaku pusingan-U kepada kehendak rakyat yang telah memilih presiden mereka dengan cara yang sah.
PENDAKIAN IKHWAN
Nama Ikhwan sememangnya nama yang gah dan senarainya kekal sebagai sebuah gerakan Islam yang paling ramai pengikut dan paling tersusun struktur dan aktivitinya.
Dahulunya Ikhwan dianggap gerakan dakwah yang disegani tetapi apabila Arab Spring berlaku, kecurigaan kepada Ikhwan sebagai kelompok terkuat berpotensi menguasai suara rakyat mula menjadi kebimbangan. Kebimbangan itu kepada pihak tertentu menjadi kenyataan apabila melalui Freedom and Justice Party (FJP) terbukti Ikhwan menguasai kerusi di Parlimen dan menang pilihan raya Presiden.
Bagi sesetengah pihak dalam lingkungan Ikhwan sendiri mereka berpendapat pendakian Ikhwan seharusnya lebih berhati-hati kerana respons negatif akan memungkinkan pihak tentera kembali berkuasa dan sekaligus membawa Mesir ke zaman gelapnya kembali.
Walaupun isu tersebut menjadi perbualan hangat dalam lingkungan Ikhwan dan sememangnya pada peringkat awal Ikhwan tidak berminat untuk meletakkan calonnya sebagai Presiden, namun entah bagaimana pada saat yang lewat Ikhwan melalui FJP mengisytiharkan calonnya Mohammed Morsi.
KEMENANGAN SATU BALA?
Kemenangan Ikhwan bukan sahaja disambut dengan optimis seluruh pendokong demokrasi tetapi ia juga disambut dengan penuh pesimis terhadap komitmen Ikhwan kepada lunas demokrasi pemerintahan.
Kuasa besar lebih berminat untuk melihat sejauh mana kepentingan dasar rantaunya dapat dipelihara.
Dalam suasana pesimistik ini pihak tentera mengambil kesempatan mensabotaj suara rakyat dan setiap langkah diambil menjatuhkan Morsi dirancang bagi mencapai maksud kegagalan Ikhwan dan pengkhianatan Ikhwan bagi mewajarkan hukuman bunuh dan menindas Ikhwan dengan restu Arab Saudi dan Negara Teluk yang lain kecuali Qatar dan Bahrain.
REJIM ANJING MUBARAK
Mubarak mungkin tiada kuasa lagi tetapi sejak awal lagi kejatuhan Mubarak sebahagiannya memang dirancang oleh tentera untuk menghidupkan generasi baru kuasa tentera. Ini termasuklah Jeneral Al Sisi. Mereka hanya memerlukan alasan untuk bertindak pada masa dan waktunya yang sesuai sahaja.
Jikalau pihak sekular yang menguasai kerajaan mungkin tentera akan melakukan rundingan secara halus untuk mereka terus menguasai keadaan.
Namun pendakian Ikhwan ke persada kuasa akan memberi ‘peluang’ bagi tentera untuk memenuhi kehendak teori kuasa besar dan kepentingan dirinya.
Kita jangan terkejut selepas ini Mubarak akan dibebaskan atas alasan jasa yang telah dibuat ataupun dibuang negara ke sebuah tempat yang selesa.
DUNIA HARUS KUTUK
Perampasan kuasa tentera di Mesir adalah sesuatu yang tidak dapat diterima kerana ia adalah rompakan ke atas hak rakyat dan pencerobohan kepada lunas demokrasi.
Malangnya negara kuasa besar tidak berapa minat untuk membawa isu Mesir ke persada masyarakat antarabangsa mungkin kerana mangsanya adalah Ikhwan yang disenaraikan Amerika Syarikat sebagai gerakan teroris.
‘Double standard’ kuasa besar ke atas Mesir mesti juga dikutuk kerana ia tidak menghormati hak rakyat Mesir yang telah memilih sebuah kerajaan yang sah.
Hukuman bunuh ke atas 529 anggota Ikhwan termasuk pemimpin tertingginya Dr. Badie’ adalah satu pencabulan hak asasi manusia kerana mereka dikenakan hukuman atas motif politik dan sebagai pakej kepada rampasan kuasa tentera.
Kemarahan rakyat telah menjadikan negara Mesir dalam keadaan huru-hara, dan kemarahan itu bukan sebab Ikhwan tetapi kerana rakyat menuntut hak mereka yang telah dirampas. Apakah dunia boleh membiarkan Mesir huru-hara jika benar masyarakat dunia merangkul demokrasi sebagai asas kerukunan sesebuah negara.
MALAYSIA HARUS KUTUK
Malaysia sepatutnya mengutuk hukuman bunuh yang dikenakan rejim tentera ke atas 529 anggota Ikhwan kerana sebagai sebuah negara demokrasi adalah menjadi hak Malaysia untuk memastikan setiap negara tidak merampas hak rakyatnya untuk membuat keputusan.
Sekurangnya rampasan kuasa tentera mesti dikutuk kerana ia boleh dianggap sebagai senjata politik barbarik pada masa dunia menuju kepada membina struktur kuasa atas prinsip demokrasi dan suara rakyat.
Sebagai masyarakat dunia yang cintakan demokrasi, tindakan rejim tentera merampas kuasa dan hukuman bunuh ke atas anggota Ikhwan mesti diberi tekanan antaranya adalah menarik balik ribuan pelajar Malaysia di Mesir dan memutuskan segala kepentingan perniagaan dengan Mesir dan mengetatkan visa untuk warga Mesir datang ke sini.
Saya yakin rakyat Malaysia akan menyokong tindakan kerajaan untuk menyatakan solidariti sebahagian besar rakyat Malaysia yang cintakan demokrasi dan menyatakan sikap antirampasan tentera kita.
Doakan untuk EGYPT 529.
Sumber HD - 31-3-2014
Generasi tajdid Malaysia ditemukan di Jordan
- Mar 19, 2014
- DR MUJAHID YUSOF|SIRI AKHIR
9 Mac 2014
Pagi ini semuanya bangun awal, saya, Zolkifly dan Dr Alinor bersiap awal dan sarapan di rumah tumpangan kami kerana program wacana akan bermula pukul 9 pagi.
Dr Alinor akan membentangkan kertas kerjanya awal pagi dan sesi saya pula pada pukul 11.30 pagi. Majlis diadakan di dewan kuliah yang boleh memuatkan 300 pelajar dan apabila saya sampai di dewan saya melihat dewan sudah penuh melimpah dan melebihi 300 orang.
Menurut urusetia jumlah peserta yang mendaftar dan hadir adalah sekitar 400 orang. Inilah pertama kali saya berucap kepada pelajar di luar negara dalam bilangan yang begitu besar dan dewan yang diisi penuh.
PELAJAR MALAYSIA
Pelajar Malaysia di Jordan sekitar 3,000 orang tertumpu di beberapa universiti di Amman, Mafraq, Irbid dan Mu'tah.
Selain daripada Mesir, Jordan merupakan antara negara pilihan utama Malaysia untuk menghantar pelajar melanjutkan pengajian di Timur Tengah. Oleh kerana situasi Mesir kini agak gawat maka secara tidak langsung Jordan kini menjadi pilihan utama pihak kerajaan dan ibu-bapa di Malaysia.
Namun apa yang menarik dari apa yang saya perhatikan, pelajar di Jordan lebih terbuka untuk menerima ide-ide pembaharuan dan mampu berbicara dengan nada yang lebih praktikal kepada kondisi di Malaysia.
Ide-ide saya yang sering dikaitkan dengan pandangan yang penuh kontroversi diterima sebagai bahan perbincangan walaupun tak semesti mereka menerimanya, namun kenyataan bahawa ia diskusikan secara intelek dan terbuka adalah proses kematangan berfikir.
Tajuk saya toleransi agama yang menyinggung persoalan sensitif iaitu daerah hubungan Muslim dan non-Muslim.
Setelah dibentangkan secara konstruktif dan ilmiah, ianya mendapat respons yang baik dari sudut perbincangan pro dan kontra, namun berlangsung dalam suasana penuh adab keilmuan.
Tidak syak lagi Jordan akan membentuk satu lagi aliran pemikiran Islam yang bersaing dengan sekolah pemikiran tradisi Mesir bagi melengkapkan proses tajdid di Malaysia.
DEWAN PENUH
Penyertaan wacana intektual kali ini menyaksikan dewan yang penuh daripada pelajar Malaysia yang pelbagai latarbelakang. Pihak penganjur iaitu PRISMA berjaya mengumpulkan pelajar dengan kempen yang agresif selama dua bulan dan wajah Pengarahnya, Ashraf Hadi pada hari itu nampak selesa dan berpuashati.
Saya juga teruja dengan melihat kedatangan begitu ramai pelajar menjadikan saya lebih bersemangat dalam cuaca Jordan yang sejuk.
Saya memulakan pembentangan dengan menjelaskan kerangka negara yang menentukan hubungan antara agama di Malaysia. Saya menjelaskan Artikel 3 dan Artikel 11 dalam perlembagaan serta bagaimana hubungan antara agama diuji dengan pelbagai isu yang berpotensi menjejaskan toleransi agama.
Bahagaian kedua pembentangan adalah tentang falsafah Islam dan panduan syara’ tentang hubungan antara agama. Saya mengharapkan perspektif tersebut dapat mengimbangi aspek praktikaliti hubungan dalam mencari kedamaian.
SUASANA PERBINCANGAN
Suasana soal jawab amat menggalakkan. Persoalan dibentuk dari pelbagai perspektif termasuk pandangan had toleransi dan soalan panas tentang usaha kristianisasi.
Nampaknya agenda kristianisasi tetap menjadi hipothesis kepada keperluan menggunakan kalimah“Allah” oleh pihak Katolik.
Contoh Indonesia sebagai negara yang tiada undang-undang menyekat kalimah“Allah” dan digunakan oleh penganut Kristian menjadi alasan kepada kebimbangan ini dengan dakwaan hampir dua juta penganut Islam telah murtad di sana.
Saya menjawab secara objektif. Pertama saya tidak menolak ide kristianisasi, kedua apakah pemurtadan yang berlaku kerana sebab penggunaan kalimah“Allah” oleh pihak gereja atau faktor kemiskinan atau desakan hidup atau pilihan sendiri secara sedar?
Setiap faktor perlu kepada remedi, adapun melonggokkan semuanya kerana penggunaan kalimah “Allah” adalah satu kezaliman kepada teori attributif.
Semua yang saya jelaskan kerangka toleransi agama bukan bermakna kita meninggalkan usaha dakwah berterusan untuk memelihara umat Islam dari dimurtadkan.
Saya juga menyebut tentang evangelism yang lebih banyak menimbulkan kekeruhan hubungan dan tidak adil untuk menghukum keseluruhan mazhab Kristian sebagai bertanggungjawab kepada pemurtadan.
Saya juga menegaskan Artikel 11(4) yang melarang sebarang bentuk penyebaran dan jika ada mana-mana pihak yang berbuat demikian hendaklah dikenakan tindakan undang-undang seperti yang diperuntukkan.
Soalan nakal tentang politik memang sudah diduga, iaitu persoalan UG (Unity Goverment) vs KN (Konsensus Nasional), PAS bergabung dengan Umno dan lain-lain.
Saya menjelaskan model perpaduan semua kaum dan menyebut tentang model Umno bergabung dengan PAS sebagai model kuno yang sudah tidak relevan lagi dalam kemunculan lanskap baru.
Saya menegaskan model mengurus perbezaan politik lebih utama dari mengajak kepada perpaduan antara parti politik.
Lantas konsensus yang diperlukan ialah atas reformasi demokrasi berpilihan raya dan demokrasi parlimen, media bebas dan bertanggungjawab, ekonomi yang progresif dan bersatu menentang kemunculan ekstrimism politik dan fanatik kaum dan agama.
Hanya setelah persetujuan ini barulah sistem negara berjalan lancar dan parti politik masing-masing tidak perlu lari dari posisinya yang ada untuk bersatu. Bersatu dalam model ini ialah untuk menjayakan empat konsensus yang disepakati semua pihak.
KE GEREJA ST JOSEPH
Di bandar Mafraq ada sebuah gereja Katolik berumur lebih seratus tahun. Pihak penganjur telah membuat satu temu janji untuk saya bertemu dengan ketua paderi di situ iaitu Father Francis.
Saya berhasrat untuk menyampaikan risalah kedamaian saya melalui buku Engaging Christianity: A Travelog of Peace yang sudah diterjemahkan ke bahasa Inggeris dengan judul asalnya dalam bahasa Melayu ialah Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian.
Alhamdulillah pukul 1.30 petang kami disambut di pintu gereja oleh Father Francis dan terus masuk ke dewan tetamu bersebelahan dewan sembahyang mereka.
Kami disambut dengan kopi tradisi Jordan yang pahit tanda menghormati tetamu. Saya memperkenalkan diri sebagai Ahli Parlimen dan berhasrat menyampaikan mesej kedamian saya kepada komuniti Kristian di sini.
Kami bertukar pandangan tentang kebebasan beragama dan isu kalimah “Allah”. Menurut Father Francis, penganut Kristian di Jordan telah menggunakan kalimah “Allah” sejak turun temurun dalam sembahyang mereka dan Injil mereka.
Beliau menghadiahkan saya senaskhah Injil dalam bahasa Arab sebagai balas kepada buku yang saya berikan kepadanya.
Kami berpisah dengan masing-masing berjanji bahawa kita perlu menanam harapan untuk masa depan hubungan antara agama berasaskan kerukunan dan kedamaian bukan kebencian dan permusuhan.
PENAT TETAPI BERBALOI
Sambungan wacana berlangsung hingga ke malam dan kerana kepenatan saya tidak terdaya untuk menulis pada malamnya.
Esok petang dijangka sampai di tanah air namun saya masih ada satu lagi hajat yang belum tertunai, iaitu membeli kitab Fathul Bari karangan Al Asqalani.
Harganya jauh lebih murah dari Malaysia.
Buku 13 jilid itu saya harap dapat membantu saya dalam panduan kitab Sahih Bukhari. Alhamdulillah saya berkesempatan ke
Maktabah Dandish bagi menambah koleksi perpustakaan mini saya dan tengahari tadi adalah perhentian terakhir saya selama empat hari di Jordan.
Saya meninggalkan Jordan jam 3.55 petang tadi dengan seribu harapan supaya generasi muda akan datang meneruskan terjahan ilmu mereka dalam rangka membentuk Fiqh Malaysia menggarap kepelbagaian agama dan bangsa yang ada di bumi tercinta kita semua.
Selamat tinggal bumi Jordan.
#9 Mac 2014
Sumber HD - 19-3-2014
Jihad pelajar Malaysia di bumi Jordan
- Mar 17, 2014
- DR MUJAHID YUSOF|SIRI 2
9 Mac 2014
Lawatan ke kem pelarian Syria dijadualkan pada hari Jumaat 7 Marc 2014. Ada pelbagai kem di sini dan yang terbesar sepanjang 10km kawasan dikendalikan oleh PBB untuk pelarian di Za'tari.
Kem ini dikawal ketat oleh kerajaan Jordan dan tidak ada siapa yang boleh masuk melainkan dari izin pihak pemerintah. Kem lain berselerak di sekitar sempadan dengan Syria dari sekecil 20 keluarga hingga 5 keluarga.
Penempatan sama ada berbentuk kawasan perkemahan ataupun perumahan yang dibina mengikut kemampuan keluarga pelarian.
KEM UWAIJA
Kami ke kem Uwaija yang menempatkan sekitar 20 keluarga dikendalikan oleh badan yang ditubuhkan oleh pelajar di sini iaitu NGO Tabung Tangisan Syria di Bumi Jordan.
Badan ini bermula dengan cara kecil-kecilan atas keprihatinan pelajar Malaysia dengan penderitaan pelarian Syria. Musa Kamaruzaman, susuk tubuh yang tidak padan dengan jiwanya dan cita-citanya beserta dengan sahabat beliau memulakan langkah menghulur simpati.
Usaha ini berbaloi apabila promosi tabung ini berjaya menarik minat para penyumbang seluruh negara sehingga mampu mengendalikan kem kecil seperti Uwaija.
Saudara Musa dan rakan-rakan mengendalikan sekolah dengan menggajikan guru dari kem itu dan dari luar. Mereka menampung perbelanjaan untuk elektrik, air dan keperluan kesihatan yang lain.
Namun paling utama ialah sekolah dari khemah ini berjaya memberikan pendidikan asas yang baik dalam bahasa Inggeris dan bahasa Arab serta pengajian Islam.
Gurunya Abu Anas yang datang ke sini setahun sudah bersama keluarganya kini menjalankan tugas suci untuk anak bangsanya dan dalam keadaan serba kekurangan buku dan bahan, Abu Anas telah menjalankannya dengan baik.
Beliau menunjukkan kepada kami pada permulaan mereka menggunakan kotak lama untuk jadikan papan hitam tapi kini beliau bersyukur kerana Musa dan rakan-rakan pelajar Malaysia telah menyediakan ruang dan fasilitas yang lebih baik termasuk kini kelas itu dibekalkan dengan pemanas (heater) dan tikar tebal serta buku-buku pengajian.
Syabas buat Musa Kamaruzaman. Anda telah membuat kami bangga apatah lagi bendera Malaysia dan laungan terimakasih Malaysia dilaungkan apabila kami masuk ke dalam kelas mereka.
SOLAT JUMAAT
Sebelum ke solat Jumaat kami meninjau kem lain seperti kem Ubaidah yang juga dikendalikan oleh pihak NGO ini. Kem Ubaidah adalah penempatan rumah dan keadaannya lebih baik dari kem Uwaijah, namun kerana kesuntukan masa kami hanya lihat dari luar sambil diberi taklimat oleh rakan Musa iaitu Ubaidah Abdul Basit.
Mereka adalah harapan, betapa anak muda Malaysia gagah mengharumkan nama negara dengan sifat kemanusiaan dan usaha yang tinggi membantu saudara mereka yang menderita sebagai pelarian.
Van kami meluncur laju ke kampus Universiti al-Bayt untuk solat Jumaat di masjid kampus. Khatib hari itu bercakap tentang berbuat baik kepada ibu-bapa, entah mengapa dalam kedinginan masjid itu saya berasa sayu terkenangkan ibu bapa saya. Adakah saya telah menjadi anak yang baik untuk mereka?
Ibu yang diangkat atas bahu seorang anak untuk melakukan haji tidak akan sama beratnya dan seksanya ibu yang melahirkan kita. Aduh... Banyaknya kurang saya membalas jasa ibu, entah mengapa air mata saya mengalir dingin sambil hati saya mendokan pada ibu bapa saya.
Saya ambil kesempatan untuk bersalaman dengan dengan khatib yang merupakan Ketua Jabatan Syariah University Al-Bayt sambil menyatakan betapa saya tersentuh dengan khutbahnya tadi.
Saya bertanya khabar pelajar Malaysia di sini dan dia memuji mereka kecuali satu sahaja katanya, pelajar Malaysia jarang berinteraksi dengan pelajar tempatan lantas kekurangan mereka dari kemahiran bertutur bahasa Arab dengan fasih.
Saya terus menasihati pelajar Malaysia yang ada bersama saya supaya mengambil berat tentang perkara tersebut.
Kami berpisah sambil beliau berjanji untuk menjemput saya menyertai persidangan yang akan diadakan dalam jangka masa terdekat tentang bantuan kemanusiaan antara tuntutan syariat dan undang-undang.
Saya menyatakan kesediaan saya, semoga saya dapat bertemu lagi dengan pensyarah hebat ini.
KE UMMU QAYS
Dalam perjalanan ke Irbid kami dibawa ke Ummu Qayys di mana peninggalan teater Rom dan kesannya menjadi kebanggaan penduduk di sini.
Sepanjang perjalanan saya memerhatikan orang di sini keluar beramai-ramai dengan keluarga seolah olah untuk berekreasi.
Kiri kanan jalan kereta berhenti sambil mereka bersantai minum dan bermain. Sebaik sampai di Ummu Qayys jalan mula jem teruk. Kawasan peninggalan Rom itu dipenuhi orang ramai.
Kami sempat melawat tapak bersejarah ini yang kemudiannya menjadi tapak gereja setelah Rom memeluk agama Kristian. Dari puncak bukit kami dapat melihat arah Syria, Lebanon dan Jordan.
Sebuah tasik kelihatan samar-samar dikatakan tempat Nabi Isa a.s. dilihat berjalan di atas air setelah baginda hilang setelah disalib. Kisah ini merupakan versi Injil kerana mereka menyatakan Nabi Isa a.s. hidup semula menyempurnakan risalahnya setelah disalib dan kemudian hilang.
Apapun saya menikmati pandangan yang cukup indah dari atas puncak bukit dan berasa segar kerana badan saya yang kurang sihat tempoh hari semakin baik dan berjalan sekitar kawasan berbukit seolah berjogging di dataran Kerian yang saya amat rindui.
IRBID
Selesai lawatan, kami menuju ke Irbid untuk bertemu pelajar di sana. Mereka terdiri dari pelajar perubatan dan pengajian ekonomi serta pengajian Islam.
Kami disambut oleh Marwan Bukhari pelajar tahun tiga Syariah dan seorang pelajar perubatan. Marwan Bukhari antara penulis muda kritis dan mempunyai pandangan yang cuba keluar daripada kepompong tradisional namun berada atas asas ilmu Islam yang kukuh.
Beliau pernah disebut oleh sebahagian ustaz ulama pelapis PAS sebagai “liberal dan plural” apabila penulisannya dimuatkan dalam koleksi artikel buku bertajuk Pemikiran Reformis yang disunting oleh Dr Farouk Musa terbitan IRF.
Saya berkesempatan untuk bersembang panjang dengan Marwan dan mendapatinya seorang yang kuat fundamental ilmu Islamnya tetapi mahukan pembaharuan dalam ruang ijtihadat yang terdedah kepada idea baru dan keluar dari kerangka tradisional.
Bagi saya pemikiran ini perlu digilap asalkan ia tidak tergelincir dari perkara fundamental dan memperlihatkan kejujuran dan amanah ilmu.
Saya turut menasihati beliau bahawa pemikiran yang terbuka dalam lingkungan yang diizinkan disiplin keilmuan Islam mesti terbina dari dalam jiwa yang kukuh hubungan dengan Allah sehingga lahir sikap rendah diri dan takwa kepada Allah. Hanya itu jambatan kejujuran kita apabila terpaksa mencabar status-quo ilmu yang ada dan amalan yang sudah diterima selama ini.
Hakikatnya itulah erti “tajdid pemikiran” iaitu mengekalkan keaslian dalam suasana hari itu tanpa hilang asas rohani yang kukuh dan sikap berendah diri dengan ilmu yang ada.
Sekurangnya saya telah menasihati kepada mereka yang saya kagum berani melakukan perubahan ilmu namun ia bukan bererti mengubah sikap tegas kita dalam hubungan diri dengan Allah.
Majlis malam itu berjalan lancar dan selesai majlis kami dijemput oleh keluarga seorang pelajar Jordan di Malaysia yang merupakan anak murid kepada Dr Alinor Abdul Kadir yang berasal dari Irbid.
Kami dilayan penuh hormat dan menikmati makanan berat ala Arab pada saat lewat malam dan keletihan bukanlah sesuatu yang menyeronokkan, tetapi besar hati keluarga ini atas pensyarah kepada anak mereka yang sedang menyempurnakan ijazah Sarjananya amat dihargai dan kami menumpang ‘syafaat’ Dr Alinor sebagai salah seorang panel jemputan atas layanan malam itu.
HASNAN DAUD
Hasnan Daud pelajar tahun 2 adalah bekas pelajar Darul Quran (DQ). Beliau mengenali saya kerana banyak mengikuti ide-ide penulisan saya khusus dalam buku Menuju PAS Baru dan Rejuvenasi PAS.
Kebanyakan forum saya dihadiri semasa beliau menuntut di DQ. Beliau salah seorang anak muda yang gigih mentelaah pemikiran Islam dalam konteks hari ini malah pernah menganjurkan diskusi buku saya di Kelantan dan telah berjaya mengumpulkan hampir 30 anak muda untuk membedah buku saya.
Semasa pelancaran buku Rejuvenasi PAS di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur beliau membawa bersama 10 pelajar lain untuk bersantai dengan saya di PWTC bertanyakan soalan dari ibadah hingga ke persoalan demokrasi, politik dan kepimpinan.
Pertemuan saya dengan beliau bolehlah diibaratkan sebagai pertemuan guru dengan murid, betapa saya mengharapkan benih intelektual ini mampu memurnikan cita-cita perubahan yang sedang kami bina.
Saya yakin ramai lagi Hasnan dan Marwan di luar sana, marilah kita berhimpun atas menberdayakan kekuatan intelektual supaya tidak diheret dengan argumentasi sentimen dan emosi malah tanpa disedari memperkukuhkan erti kuku besi keilmuan dan taksub pandangan yang merosakkan masa depan negara.
ESOK ACARA KEMUNCAK
Esok adalah hari kemuncak kerana majlis program satu hari pembentangan dengan ahli panel yang lain akan berlangsung.
Kembali dari Irbid lewat malam menyebabkan saya tidak berupaya melakukan apa-apa lagi melainkan tertumpu ke alam selimut bagi menyediakan diri untuk program esok.
Satu hari di Jordan pelbagai pengajaran yang tak tertitip di sini.
Satu hari di bumi Jordan pelbagai ragam manusia tak terdaya tersimpan semuanya dalam memori.
Satu hari di Jordan hanya satu yang terpahat iaitu harapan dan motivasi untuk meneruskan perjalanan ini.
Bertemu esok di dewan kampus.
Sumber HD - 17-3-2014
Bertandang ke bumi Jordan
- Mar 13, 2014
- DR MUJAHID YUSOF | SIRI 1
Hari pertama di Jordan banyak masa yang terluang di rumah tumpangan kami. Program bersama mahasiswa dijangka dalam masa dua hari lagi maka kami hanya tertumpu kepada program kunjungan hormat terhadap Duta Malaysia ke Jordan dan bersiar di sekitar bandar Amman.
Pagi ini saya mengambil ruang masa yang ada untuk membuat sedikit persiapan pembentangan 8 Mac 2014 nanti.
PERSIAPAN
Cuaca dalam bilik saya menumpang sejuk dan saya baru nak kebah daripada demam dan batuk yang saya alami sepanjang perjalanan dari Kuala Lumpur ke Amman.
Saya bangun awal kerana mata tidak boleh lelap semalaman walaupun dibekalkan selimut tebal. Sepanjang malam saya asyik batuk dan asma saya pula mula mengeluarkan “wizzing sound”nya.
Setiap kali saya tersedar kedengaran ‘irama suara yang tidak diundang’ dari rakan saya Zolkifly Lazim yang nyenyak menikmati tidurnya.
Waktu Subuh di Jordan pukul 4.30 pagi, saya bangun dalam keadaan tidak sihat dan cuaca yang sejuk untuk menunaikan solat.
Setelah solat Zolkifly kembali ke alam selimutnya dengan irama tidurnya, saya mencapai laptop dan mula membuat persediaan.
Tajuk yang saya akan bentang adalah “Toleransi Agama di Malaysia: Peranan Mahasiswa”. Tajuk tersebut sememangnya tidak asing bagi saya dan saya berasa teruja kerana konsep dan pendekatan damai antara agama yang saya perjuangkan di Malaysia disambut oleh pelajar Malaysia di Jordan.
PERPUSTAKAAN MINI
Sambil membuat persediaan saya terpaksa merujuk kepada hadis-hadis berkaitan dan saya beruntung kerana bilik yang kami tumpang daripada pelajar Malaysia ini memiliki perpustakaan mini dari rujukan-rujukan ilmu Islam.
Adanya kitab Fathul Bari, Subul Assalam, dan Hayatus Sahabah selain buku rujukan lain yang sangat bermanfaat bagi saya.
Hampir semua bilik di sini ada perpustakaan kecil sepertimana kami dahulu semasa belajar di Mesir.
Cuma di Mesir harga buku dulu jauh lebih rendah dari negara Arab lain jadi kami boleh memiliki buku yang lebih banyak.
Saya bergerak-gerak dari meja saya untuk memanaskan badan kerana bilik saya tidak ada pemanas walaupun diluar tidaklah berapa sejuk berbanding dengan di Tehran tempoh hari.
KISAH PEMANDU KAMI
Kunjungan hormat kami terhadap Duta Besar di pejabatnya tertangguh kerana kereta van kami terlambat dan perjalanan ke Amman dari Mafraq tempat saya menginap memakan masa 45 minit untuk sampai.
Pemandu kami pula kurang mahir jalan di bandar Amman. Beliau yang bernama Nawwaf berbangsa Syria. Datang ke Jordan setelah melarikan diri dari peperangan di Syria dua tahun sudah.
Pelajar yang mengiringi kami, Ashraf Hadi terpaksa menggunakan GPS walaupun pernah beberapa kali ke sana. Mungkin jalan di Amman yang mempunyai banyak bulatan menyebabkan kekeliruan.
Pemandu kami cuba berbicara dengan kami menceritakan pengalaman beliau selaku pelarian Syria. Oleh kerana saya dan Ashraf yang boleh berbahasa Arab, saya yang banyak mengambil kesempatan bertanyakan pengalaman beliau sebagai pelarian.
Matanya dalam dan senyumannya agak jarang walaupun dalam mood berjenaka.
Saya tahu trauma sebagai pelarian kerana pengalaman saya di Peshawar sewaktu berkhidmat sebagai sukarelawan PAS semasa perang Amerika ke atas Afghanistan di sana menunjukkan orang pelarian jarang memberikan senyuman. Sesekali dia seolah-olah membawa semua ingatannya ke tempat asalnya walaupun sedang berbicara perkara lain dengan kita.
Begitulah keadaan Nawwaf sambil mulutnya mencerca Basyar dan sekutunya dari Iran dan Hizbullah.
Saya amat memahami perasaannya yang terpaksa lari daripada kesengsaraan dan mendapati kesengsaraan lain di khemah pelarian.
Dia bertugas dengan satu badan kebajikan manakala van kami adalah hasil sumbangan rakyat Malaysia digunakan untuk membawa pelawat dan untuk keperluan lain oleh pelarian.
Saya tidak banyak komen dalam perbualan malah memberi ruang untuknya meluahkan perasaanya sebagai ‘terapi’ ringkas.
Dia datang dari bandar Homs iaitu tempat yang awal diranapkan oleh Basyar untuk menghapuskan penentangnya.
Dia mengharapkan tentera pembebasan Syria akan menghancurkan regim Basyar kerana sedih dengan pembunuhan, penyembelihan dan kehormatan wanita yang dirobek berleluasa mengiringi kezaliman Basyar.
Saya hanya mendoakan kepadanya kesabaran sambil memberi harapan.
KUNJUNGAN HORMAT
Jam 4.30 petang kami sampai di pejabat kedutaan setelah berpusing beberapa kali mencari bulatan yang tepat ke arah pejabat kedutaan.
Dari jauh berkibar Jalur Gemilang, dan ini memudahkanpelawat untuk mengecam. Setelah menulis dalam buku lawatan, kami dijemput ke bilik menunggu di atas dan beberapa minit kemudian susuk tubuh kecil dengan senyuman menghulurkan tangan mesra sambil bertanya khabar. Beliau ialah Dato' Abdul Malik Abdul Aziz, orang Selangor yang agak senior dalam perkhidmatan diplomatik.
Kami bertukar kad nama sambil mengungkap kata mukadimah para diplomat. Dato’ Duta adalah seorang yang disukai para pelajar Malaysia kerana sifat ramahnya. Saya mengambil kesempatan untuk mengucapkan terimakasih kepada beliau yang berjaya menjadi ‘ayah’ kepada ‘anak-anaknya’ seramai hampir tiga ribu pelajar di Jordan.
Saya cuba memahamkan beliau bahawa jemputan saya oleh pelajar adalah atas sifat saya sebagai Ahli Parlimen dan bukannya mewakili parti.
Hal ini berlatarbelakangkan sikap pihak Education Malaysia Jordan (EMJ) yang cuba mengaitkan kedatangan saya sebagai “orang parti politik”. Saya mengisyaratkan kepada Duta bahawa ahli politik berbeza dengan ahli parlimen walaupun untuk menjadi ahli parlimen anda mesti menjadi ahli parti politik tertentu.
Ahli Parlimen diberi kuasa secara berperlembagaan membentuk tiga rangkai pentadbiran negara melengkapkan eksekutif dan kehakiman.
Mesej saya adalah jangan menyempitkan pemikiran pelajar yang kini sudah terbuka mindanya untuk mendengar pandangan dan pendapat dari ahli legaslatif tak kira dari mana parti politik mereka wakili.
Isyarat saya jelas untuk disampaikan kepada pegawai-pegawai di Education Malaysia seluruh dunia bahawa mereka disitu adalah untuk “memudahkan urusan pelajar” bukan menjadi pegawai yang “mengawal politik pelajar”.
Dato’ Duta terkesan dengan perbincangan ini. Saya mengatakan bahawa politik baru yang akan ditampung oleh anak pelajar kita adalah keupayaan kita menguruskan perbezaan pendapat dan bukan menyekatnya.
Kami berpisah setelah hampir sejam berbual untuk ke lapangan terbang menyambut kedatangan Dr Alinor Abdul Kadir pensyarah UKM yang akan turut menjadi pembentang dalam program 8 Mac nanti.
PENYEGARAN MINDA
Kami terus ke tengah bandar (Wasat Balad) untuk mencari beberapa buku kerana sememangnya niat saya kali ini ke Jordan adalah untuk ‘membeli-belah’ buku, tidak seperti lazimnya saya lebih banyak bawa balik buah tangan untuk isteri dan anak-anak jika ke luar negara.
Puas kami berjalan mencari Maktabah Dandis tetapi kedainya tutup. Kami ke Masjid Hussein di mana berdekatan masjid ada kedai-kedai buku agama.
Saya menikmati landangan pelbagai kitab baru dan lama dan tertumpu untuk membeli kitab yang bicara hal ‘ahli dzimmah’ dan seni politik Islam.
Tak banyak yang saya pilih hanya empat buah antaranya Ahkam Ahlu Dzimmah oleh Ibnu Qayyim al Juziah.
TIDUR LENA
Sampai di rumah sudah jam 9.00 malam dan setelah merehatkan diri, kami dikunjungi beberapa pelajar antaranya Huzaifah yang ayahnya merupakan kawan baik saya di Mesir semasa kami pelajar dahulu.
Perbincangan kami berputar soal pengalaman politik dan kehidupan serta yang penting adalah bagaimana ‘membawa’ Islam dalam suasana hari ini yang lebih kompleks.
Saya mengundurkan diri lebih awal kerana waktu sudah lewat. Esok awal pagi kami akan ke beberapa kem pelarian Syria untuk meninjau keadaan.
Keletihan berjalan mencari buku tadi dan saki baki ‘jetlag’ menyebabkan saya terus terlena dalam lipatan selimut dan malam ini lebih baik keadaannya kerana pelajar kita menyediakan ‘heater’ dalam bilik dingin saya ini.
Saya nyenyak dan ‘irama lagu’ tidur rakan saya tidak lagi menjadi masalah kerana malam itu saya langsung tidak mendengar apa-apa dan saya harap Zolkifly juga tidak mendengar apa-apa ‘irama’ yang tidak diingini daripada saya.
Esok ke kem pelarian...
Sumber HD - 13-3-2014
Memahami maksud kepalbagaian agama
ISU dialog saya dengan komuniti gereja di Sungai Petani pada 28 Februari 2014 yang lalu telah mendapat reaksi daripada pelbagai pihak dengan motif dan tujuan masing-masing.
Reaksi spontan itu adalah susulan pelaporan berita apa yang saya ucapkan dalam dialog tersebut sebagaimana yang tersiardi dalam portal The Malaysian Insider (TMI) dan Malaysiakini.
Saya tidak berminat untuk mengetahui motif daripada mereka kerana pujian atau kejian adalah nikmat Allah SWT bagi menguji sejauh mana kesyukuran kita dan kesabaran kita dalam membawa apa yang kita yakini.
Namun, kepada yang sebahagian yang mengkritik, apa yang saya boleh jelaskan ialah cara respon dan diskusi di media sosial yang berlegar menampakkan manhaj ‘melabel’ dan ‘menghukum’ daripada manhaj ‘tabayyun’ atau mendapat penjelasan.
Tanggapan awalan yang sudah tertampung dalam minda mereka menghalang mereka untuk bersikap hormat dan penuh sopan untuk bertanya pada saya sedangkan pihak ketiga telah pun membuat pelbagai andaian.
Andaian yang dilapik, "jika Mujahid betul berkata demikian maka ini adalah fahaman golongan pluralis" dan sebagainya.
KERANGKA FIKIRAN ILMIAH
Minda kepada pemikiran bercirikan ilmu menuntut supaya apa saja ide yang dilontarkan mesti dihadam dengan hujah dari sumber ide itu dan bukan apa yang dipetik dari laporan berita walaupun kononnya berlapik dengan frasa “... kalau betul apa yang dilaporkan maka...”
Apatah lagi dalam isu yang berpotensi dirumuskan pendapat seseorang itu sebagai ‘keluar Islam’ dan sebagainya.
Memberi pandangan dalam hal sensitif seperti ini yang dipetik daripada kenyataan pemberita adalah cukup tidak ilmiah kalau ada pun ciri-ciri ilmiah, tahapnya adalah amat rendah sekali.
Kedua, pandangan dalam melanggani sesuatu permasalahan terbentuk dalam suasana kontekstual apa yang dikatakan.
Perkataan dan ide jika dinilai secara umum tanpa melihat dalam suasana apa dan konteks apa penghujahan itu dikeluarkan adalah satu kesilapan ilmiah dalam memberi keadilan kepada orang yang melontarkan ide.
Malangnya komentar daripada laporan berita tidak membekalkan suasana konteks yang amat diperlukan sebelum sesuatu rumusan itu perlu dibuat.
Ketiga, ide atau pandangan tidak boleh dinilai tanpa memberi keadilan kepada gambaran menyeluruh atau pandangan sarwajagat yang memandu tuan tubuh yang memberikan ide.
Susunan pemikiran yang konstruktif dipandu dengan asas prinsip yang diyakini oleh sipemikir sebagai petunjuknya dalam berhujah dan memberi ide.
Malangnya laporan berita tidak cukup ruang untuk membekalkan pandangan sarwajagat orang yang membuat sesuatu kenyataan.
Saya tidak menyalahkan pemberita semata-mata tetapi saya akan menyalahkan kononnya para ‘ilmuan’ yang tak ikut standard KPI untuk bagaimana menjadi seorang ilmuan yang dihormati.
Kalau mahu menjadi ilmuan/ulama/pemikir whatsapp, twitter dan facebook, saya belum menemui KPInya lagi.
APA SAYA KATA
Berpandukan kepada kerangka berfikir yang tersusun ini, saya akan menjawab para ‘ilmuan’di alam maya serta ‘tukang api’nya dalam landasan yang akan jadi ikutan untuk masa hadapan apabila kenyataan saya menjadi tajuk yang paling digemari oleh ‘penggemar-penggemar’ saya yang selagi tidak tercapai hasrat mereka menjayakan pelabelan saya sebagai pluralis dan liberal, selagi itulah mereka akan terus mengambil peluang, teruskan usaha anda.
Sebenarnya, tulisan ini adalah daripada sumbernya dan saya harap ia dapat memandu mereka kepada pencerahan khususnya dalam bidang berdakwah kepada non-Muslim.
Memetik laporan TMI:
"Mujahid berkata tidak siapa yang boleh mengaku agama yang dianuti lebih daripada agama orang lain. Katanya memadai manusia hidup sebagai hamba Tuhan yang baik menerima dan mengiktiraf perbezaan dan menyerahkan kepada Tuhan dalam membuat keputusan tentangnya.
Tambahnya seseorang itu tidak boleh mempersoalkan dewa agama lain atau kepercayaan yang dianggap syirik oleh agamanya. Tuhan mengarahkan bahawa tidak sesiap pun dibenarkan menghina dewa agama lain, ada sebab mengapa Tuhan mengatakan sesuatu,renungkanlah..."
KONTEKS
Konteks ucapan saya adalah berpandukan kepada isu perbalahan dan permusuhan antara agama yang berlaku hasil daripada masing-masing agama menghina antara satu sama lain.
Untuk mengelakkan tindak balas antara agama dengan penghinaan yang serupa atau lebih teruk lagi, Allah SWT melarang umat Islam memaki hamun tuhan-tuhan (dalam laporan menyebut dewa-dewa) golongan musyrikin kerana kelak mereka akan membalas maki hamun mereka kepada Allah dengan penuh permusuhan dan tanpa ilmu.
Allah SWT juga menerangkan betapa setiap penganut itu mahu mempertahankan amalan mereka walaupun sesat. Lalu mereka (golongan yang sesat) akan kembali kepada Allah dan Allah akan khabarkan kepada mereka apa yang telah mereka lakukan daripada perbuatan mensyrikkan diri dengan Allah (saya memetik surah Al Ana'am:108).
Konsep mengelak ‘balas membalas’ adalah supaya suasana damai yang wujud membuka kepada dialog dan dakwah dengan cara yang penuh kondusif.
Kalau kita sibuk tuduh menuduh dan caci mencaci, suasana kondusif bagi mewujudkan suasana berdialog dan debat dengan cara yang baik pastinya akan tenggelam.
Konteks suasana ucapan saya juga berpandukan kepada tanggung jawab Muslim supaya menyampaikan dan bukan dalam kaedah menghukum kerana Allah yang akan menjadi kata pemutus seperti mana yang ada dalam surah An Nahl:125.
Jadi apabila saya mengatakan apa yang di atas, saya sedang bercakap suasana permusuhan dan kebencian antara agama tidak akan berakhir selagi semua pihak mendabik dada kebenaran agamanya, tetapi tidak menjurus kepada perdebatan sihat sehingga menyebabkan hubungan antara agama terbentuk berasaskan kebencian dan permusuhan.
Untuk memberi keadilan kepada apa yang saya kata, saya menegaskan dalam konteks ini, prinsip ‘bagi kamu agama kamu, bagi kami agama kami’ bukan untuk memberhentikan usaha dialog dan debat sihat tetapi sebagai melahirkan suasana ‘gencatan senjata’ daripada terus tuduh menuduh antara satu sama lain.
KONTEKS DAN RUMUSAN YANG BETUL
Konteks ucapan saya tidak langsung mengisyaratkan bahawa seseorang Muslim tidak boleh bangga dengan agamanya atau berasa mulia dengan agamanya kerana jika ini yang saya maksudkan ia akan bertentangan dengan pandangan sarwajagat saya terhadap prinsip hubungan antara agama yang akan saya jelaskan dan huraikan.
Malah kerana kemuliaan agama sayalah yakni Islam, saya mengusahakan dialog dengan pihak gereja sejak tahun 2010 lagi.
Fahamilah konteks saya bahawa saya berinteraksi dalam suasana bercakap bagi melahirkan atmosfera kondusif untuk berdialog, jauh sekali ingin menegaskan bahawa semua agama adalah sama.
Islam menyuruh kita menyediakan suasana kondusif bukan menyuruh kita menggadaikan prinsip agama kita, saya amat jelas hakikat ini.
Disebalik pelaporan TMI, apa yang tidak dicatat (mungkin kerana tidak cukup ruang atau sebagainya) ialah saya menyatakan bahawa Islam tidak mungkin menerima konsep ‘trinity’ dalam apa jua bentuknya dan lantas kita (penganut Islam) tetap berbeza dengan penganut Kristian.
Dengan penjelasan kenyataan saya, apa yang saya cuba lakukan ialah untuk memenuhi tiga syarat makna “hormat menghormati”, iaitu melalui ilmu (dengan penuh kesedaran), kejujuran (saya datang ke tempat mereka) dan berendah diri (dengan menyediakan suasana kondusif ini).
Selain daripada rumusan di atas dalam konteks yang saya tuturkan, saya menganggap ia hanya telahan-telahan dan kadang-kadang tuduhan liar yang tidak berasas apatah lagi daripada mereka yang hanya pandai melabel tetapi kaku di alam dakwah kepada non-Muslim.
KATA PEMUTUS DARI ALLAH
Allah SWT menentukan sesuatu kebenaran dan kebenaran bagi saya adalah Islam. Teks al-Quran daripada surah ali-Imran ayat 19 menjelaskan hakikat ini, dan saya meyakininya dengan penuh keyakinan.
Namun saya juga berhadapan dengan penjelasan Allah SWT terhadap kepelbagaian yang wujud khusus daripada surah Hud ayat 118-119.
Kenyataan daripada dua teks ini bukanlah perbezaan dan penentangan antara satu sama lain tetapi satu kesejajaran dalam menegaskan kewujudan kepelbagaian dengan paksi Islam yang berperanan menampungnya melalui dialog dan perdebatan secara sihat (saya memetikdaripada surah Al-Ankabut ayat 46).
Dalam hal perbalahan yang tidak selesai antara agama di dunia, Allah menetapkan bahawa keputusan mutlak ada di tangan Allah dan semua amalan yang mensyrikkan diri dengan Allah pada pandangan Islam akan didedahkan oleh Allah di akhirat kelak.
MENJADI HAMBA TUHAN
Menjadi hamba Allah yang baik ialah masing-masing berinteraksi dengan asas hormat, kemanusiaan dan memberikan keadilan kepada siapa yang berhak.
Isyarat dalam konteks ini tidak menjuruskan kepada mengatakan hanya Allah SWT yang menentukan kebenaran tanpa titik tolak yang kukuh atau daripada sesuatu yang lompang.
Titik tolak kukuh saya ialah kebenaran Islam yang saya imani tanpa syak dan ragu-ragu. Kewujudan kepelbagaian di dunia adalah realiti namun adalah satu realiti juga bahawa yang benar itu hanya satu.
Jika di dunia saya terpaksa berhadapan menegakkan kebenaran dalam suasananya yang nisbi kerana masing-masing mendakwa benar (atas kepelbagaian yang wujud) maka di hari akhirat kebenaran mutlak akan diputuskan oleh Allah SWT dan sebagai orang yang beriman saya meyakini kebenaran mutlak itu adalah daripada Islam.
Sebab itu apabila seorang peserta non-Muslim bertanya dalam majlis yang sama, “Apakah agama sifatnya eksklusif (bertentangan dengan inklusif) sehingga menjadi penghalang kepada hidup dalam suasana kerukunan dan damai?"
Saya menjawab ia tidak benar bagi Islam, kerana sifat eksklusif dan inklusif mesti kena pada tempatnya.
Bagi Islam akidah dan keyakinannya serta amalannya adalah eksklusif untuk penganutnya namun sifat Islam juga adalah inklusif dalam soal menegakkan keadilan, kemanusiaan, hormat agama lain dan seruan berdialog dengan cara yang sihat, sedangkan pluralisme agama mengandaikan tiada eksklusifism dalam beragama.
PANDANGAN SARWAJAGAT SAYA
‘World-view’ atau pandangan sarwajagat saya kepada isu-isu hubungan antara agama terbentuk dalam suasana yang jelas sejak awal penglibatan saya berdialog dengan gereja.
Terma rujukan utama saya ialah al-Quran dan Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. manakala pandangan-pandangan daripada ulama dan pimpinan parti saya sentiasa menasihati dan memberi bimbingan kepada saya.
Selain itu rujukan buku-buku dari pengarang muktabar banyak memberikan saya keyakinan bahawa saya berada di landasan yang betul.
Menerokai bidang dakwah kepada non-Muslim tidaklah mudah bagi saya kerana sering tanggapan serong terhadap peribadi politik yang melekat pada diri saya menjadi sasaran.
Antaranya ialah saya cuba meraih undi simpati untuk PAS, malah ada yang menuduh saya ‘berlunak’ dalam pendekatan dialog sehingga menggadai prinsip dan ada pula yang menuduh saya tidak berkelayakan dan sebagainya.
PENDEKATAN SAYA
Pendekatan saya bukan debat untuk membuktikan siapa yang benar dan siapa yang salah kerana itu adalah ruang perdebatan teologi.
Penglibatan saya lebih kepada pendekatan mewujudkan suasana damai dalam hubungan antara agama menggunakan kaedah berkongsi proses kedamaian yang dipersetujui bersama tetapi pada waktu yang sama berada pada posisi agama masing-masing.
Pendekatan saya ialah berdialog bagi memahamkan penganut lain bahawa cara menghina, mencaci dan mengutuk antara satu sama lain tidak akan membantu mewujudkan suasana harmonis dan hormat menghormati antara agama.
Saya mengharapkan dalam proses itu Kerahmatan Islam akan terserlah bagi menguruskan hubungan antara agama dan bagaimana agama memainkan peranan menentukan bentuk masyarakat dan negara yang kita mahu.
PRINSIP SAYA
Dalam proses menjalankan pendekatan ini, saya menegaskan beberapa prinsip yang membentuk pemahaman saya dalam konteks hubungan antara agama:
Pertama - Menolak fahaman bahawa agama itu semua sama atau apa yang mudah diungkapkan sebagai pluralisma. Saya berhujah dengan mudah bahawa jika semua agama adalah sama mengapa kita perlu menjadi Muslim atau Kristian atau Budhha? Malah penganut lain pun menolak konsep pluralisme agama ini kerana bahayanya boleh mencairkan erti pegangan kepada sesuatu keyakinan.
Kedua - Menerima kepelbagaian agama sebagai realiti dan mencari penyelesaian untuk hidup dalam kepelbagaian ini dan bukan lari daripadanya. Wujud kepelbagaian agama adalah supaya Islam menguruskannya dengan panduan yang ditunjukkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. melalui prinsip kerahmatan Islam.
Ketiga - Membina jambatan falsafah hubungan antara agama melalui dialog bagi melahirkan suasana hormat mengormati. Jambatan praktikal hubungan antara agama dibina atas isu kemanusiaan seperti berganding bahu membela golongan susah dan memerlukan, memberi pendidikan kepada yang susah dan menziarahi yang sakit. Dalam konteks negara bersetuju untuk membenteras rasuah dan kefasadan politik dan membina secara bersama masyarakat yang terhindar dari kerosakan akhlak. Jambatan falsafah dan praktikal ini tidak terbentuk melainkan wujud saling percaya antara satu sama lain.
Keempat - Meyakini penyelesaian masalah konflik agama perlu diselesaikan di meja rundingan dengan melihat merit permasalahan dan bukan dipandukan sentimen dan emosi. “Engagement” (menaut) memerlukan “disengagement” (bebas) daripada apa persepsi yang terpahat selama ini untuk memahami permasalahan supaya mendapat penyelesaian yang tuntas.
Kelima - Menentang fahaman pelampau agama dan sikap rasis yang mewarnai hubungan samada melalui tingkahlaku atau kata-kata atau tindakan kerana ini akan mencemarkan nama baik Islam yang melimpahi Rahmatnya kepada alam ini. Semua agama mesti menentang fahaman melampau yang berpotensi mencetuskan keganasan atas nama agama walaupun hakikatnya agama tidak ada kena mengena dalam soal ini.
SEMOGA JELAS
Laporan TMI mungkin tidak sempat melakarkan keseluruhan konstruk pemikiran saya dalam hubungan antara agama di negara ini.
Saya mengharapkan daripada artikel ini mereka yang bertanya mendapat jawapannya walaupun panjang tetapi ia bukan semudah menjawab ya atau tidak atau paling kurang saya menyalahkan laporan berita yang melaporkan.
Hubungannya kompleks kerana ia memerlukan fahaman kontekstual dan pemikiran besar yang memandu saya.
Saya tidak menyalahkan pengkritik saya kerana mungkin mereka membuat perbandingan dengan pendekatan debat teologi yang mereka pernah baca dan lihat seperti tokoh hebat Ahmad Deedat atau Zakir Naik.
Saya yang bernama Mujahid punya pendekatan tersendiri dan mengharapkan ini adalah sumbangan daripada kerja dakwah menjadikan Islam sebagai asas titik tolak dalam menguruskan kepelbagaian agama yang ada.
_____________________
Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan Pengerusi Lujnah Perpaduan Nasional PAS Pusat. Sejak isu kalimah “Allah” tercetus, beliau telah melawat dan mengadakan dialog dengan lebih 20 gereja di seluruh negara. Pengalaman beliau ini telah dirakamkan di dalam buku Berdialog Dengan Gereja: Sebuah Travelog Kedamaian dan telah diterjemahkan ke dalam Bahasa Inggeris dengan judul Engaging Christianity: A Travelogue of Peace.
Sumber HD - 10-3-2014
Dari Zaafaranieh Street ke Tajrish Square
- Mar 05, 2014
- DR MUJAHID YUSOF|BAHAGIAN AKHIR
Delegasi parlimen Malaysia diketuai Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia mengadakan kunjungan hormat terhadap Presiden Iran, Dr Hasan Rohani. Dr Mujahid paling kiri.
25 Feb 2014
PERJALANAN pulang dari Tehran adalah perjalanan membawa pulang resolusi-resolusi yang terbeban atas pundak semua ahli parlimen negara Islam.
Walaupun entah berapa resolusi yang telah dibawa pulang sebelum ini dari Nigeria, Negara Arab Bersatu (UAE) mahupun Indonesia, ia tetap terpikul atas pundak para perwakilan yang hadir.
Perjalanan ke Tehran kali ini bukan sahaja membawa misi negara tetapi ia adalah perjalanan peribadi setelah saya meninggalkan bumi Iran sejak tahun 1975-1979.
Ia adalah umpama kembali ke jalan memori silam mengimbau kenangan membesar selama 4 tahun di perantauan.
MENYUSURI ZAFARANIEH
Zafaranieh mungkin nama jalan biasa dari beribu nama di kota Tehran, namun bagi saya ia adalah nama yang terpahat sejak umur saya 10 tahun kerana rumah Duta Besar Malaysia waktu itu terletak di sana.
Mendiami rumah agam dengan bendera Malaysia berkibar pukulan angin sejuk dari pergunungan Albaz adalah ingatan patriotik bercampur peribadi.
Rumah itulah menjadi tuan rumah setiap kali sambutan hari kebesaran negara diadakan seperti majlis sambutan kemerdekan 31Ogos, malah rumah itu juga pernah menjadi tuan rumah kepada malam negara Asean untuk perpaduan serantau.
Sebagai anak kecil yang berumur 10 tahun lebih yang sudah pandai erti bersosial, kami selaku anak-anak duta tidak ketinggalan meraikankannya dengan kawan-kawan dari pelbagai negara yang turut datang bertandang.
Kami kanak -kanak akan bermain di keliling kolam mandi jikalau musim panas dan jikalau musim sejuk akan bermain permainan monopoly atau hanya menonton televisyen di ruang bilik yang selesa sementara bapa-bapa kami bersosial seperti mana para diplomat bersosial.
Saya berkesempatan menjenguk ke rumah lama kami yang kini didiami oleh Duta Besar Syria.
TAJRISH SQUARE
Tajrish Square begitu sinonim dengan saya kerana di pekan inilah ibu saya akan membeli-belah untuk keperluan harian kami.
Saya sering mengikuti ibu saya kerana membantu ibu berurusan dalam bahasa Parsi yang saya lebih petah sebagai kanak-kanak.
Bau sayur yang segar dan buah “peach” atau tembikai susu membuatkan siapa sahaja ke Bazar Tajrish berasa segar di sebalik hiruk-pikuk para penjual dan pembelinya.
Saya ke sana bersama rombongan lain dan buat seketika seolah saya menjadi jurutunjuk pelancong sambil cuba membuat rekoleksi ingatan saya sedikit demi sedikit.
Saya terus membayangkan ibu saya dengan pembantu kami membawa bakul sambil ibu memilih dengan celotehnya meminta dikurangkan harga.
Memori itu cukup segar dan perasaan saya bercampur baur dengan perasaan seronok dan sayu mengenangkan bonda saya Hajjah Kalsom Ali sambil saya diam seketika mendoakan kesejahteraannya di sana.
Ayahanda saya akan mengajak saya berjalan pada petang-petang hari dari Zaafaranieh Street ke Tajrish Square yang hanya memakan masa 40 minit pergi dan balik.
Kami akan mengenakan pakaian yang tebal siap bersarung tangan di musim sejuk sambil berjalan pantas sepertimana gaya orang Iran berjalan.
Ayah akan banyak bertanya khabar tentang sekolah saya, kawan-kawan saya dan diselang seli dengan nasihat-nasihat.
Tanpa kami sedari perjalanan kami membawa kami ke kedai aiskrim Bostani Tajrish.
Tempat itu terkenal sebagai pusat aiskrim lokal dan anehnya dinikmati semasa musim sejuk.
Saya juga dalam sembang-sembang saya dengan ayahanda saya akan cuba memujuknya untuk mendapatkan sesuatu sebagai kanak-kanak semasa kami “window shopping” di kedai-kedai berhampiran dan kadang-kadang saya berjaya mendapatkannya.
Semasa kereta kami menyusur dari Zafaranieh ke Tajrish mata saya merenung ke arah kaki lima dan membayangkan saya dan ayahanda berjalan sambil mulut kami berasap kesejukan dan wajah ayah yang penuh kasih sayang segar dalam ingatan saya memerhatikan saya seoalah-olah terfikir masa itu apakah nasib dan masa depan anaknya ini?
Kalaulah saya boleh menjawab persoalannya yang tidak diluahkan itu nescaya dia akan senyum bangga hari ini.
Dr Mujahid mengunjungi bekas sekolahnya di Syariati Road, Tehran.
Saya diberitahu oleh pegawai kedutaan bahawa British International School kini menjadi German International School.
Saya dengan susah menerangkan kepada pemandu kami Aghaye (bermaksud saudara) Isa nama jalan yang masih saya ingat tapi malangnya ia telah bertukar kepada nama jalan baru selepas revolusi iaitu Syariati Road.
Lanskapnya pun telah berubah, pintu hadapan tempat kami masuk kini jejambat tiga tingkat manakala kedai kecil tempat kami membeli jajan sambil menunggu kereta kami sudah tidak ada.
Van kami melalui pintu belakang yang kini sudah menjadi pintu utama dan dikawal ketat untuk kami masuk ke dalam sekolah.
Saya memperkenalkan diri sebagai bekas pelajar dan menyatakan hasrat untuk masuk ke dalam bersama ahli rombongan lain bagi meninjau sekolah lama saya.
Pintu utama yang dulunya bahagian belakang bangunan sekolah membawa kami ke padang bola dan beberapa bangunan baru yang semasa saya bersekolah dahulu hanyalah kawasan kosong tempat kami bermain.
Kami disambut oleh pegawai wanita daripada bahagian pentadbiran dan setelah saya memperkenalkan diri, wanita tersebut berbesar hati membawa kami melawat perkarangan sekolah.
Bangunan gimnasium masih seperti keadaannya manakala bilik kelas potery kini menjadi kelas tadika.
Saya teruja untuk melihat kelas saya dan bangunannya masih disitu kecuali sebahagian besar tingkat atas bangunan dua tingkat itu dijadikan perpustakaan. Kami turut melawat perpustakaan dan sempat bermesra dengan pegawai disitu.
Saya menerangkan kepada ahli rombongan keadaan sekolah dan lokasi-lokasinya sambil mereka memberi perhatian malah pegawai yang mengiringi kami juga tidak dapat membayangkan keadaan sekolah ini 30 tahun yang lalu.
Di bahagian depan sekolah yang kini jadi belakang telah dipecahkan sebahagian bangunannya untuk memberi jalan kepada jalanraya bertingkat bernama Ayotullah as-Sadri yang boleh dilihat dari dalam perkarangan sekolah.
Dewan tempat kami membuat pertunjukan masih ada cumanya kini ia bertukar menjadi kelas untuk pra-sekolah.
Malangnya sungai kecil yang kami namakan “jube” kini sudah tidak mengalir lagi, mungkin kerana pembangunan di sekitar kawasan di situ menyebabkan air bukit yang segar itu sudah tidak lagi bermaya untuk mengalir.
Saya menceritakan kepada rombongan kami bahawa pada musim sejuk apabila airnya beku, kami akan main luncur ais hanya dengan kasut sekolah kami sambil dimarahi oleh guru-guru yang bertugas kerana takut bahagian aisnya yang nipis akan membahayakan kami.
Itulah hari-hari saya semasa musim sejuk bermain semasa rehat.
Sekolah yang dulunya sibuk dengan pelajar dari pelbagai negara kini sunyi dan hanya tinggal 100 pelajar sahaja.
Saya sempat bertanya hal ini kepada timbalan pengetua bahagian akademik Mr Karl akan keadaan ini yang sangat ketara.
Beliau yang berbangsa Jerman mengeluh, sambil berkata, “Panjang ceritanya...”
Walhasil pihak kedutaan Jerman mengambil alih sekolah setelah Kerajaan Iran mengarahkan sekolah British ditutup atas alasan keselamatan dan oleh kerana Iran lebih mesra dengan kerajaan Jerman maka kedutaan Jerman mengambil alih sekolah dengan kurikulum baru dan menyerap masuk pelajar ke dalam sistem Jermannya.
Ramai yang kemudiannya terpaksa pindah ke sekolah lain, apatah lagi bilangan warga luar negara di Iran semakin sedikit.
Karl terus mengeluh bahawa tahun depan tamatnya kontrak sewa tapak dari Kedutaan British dan mereka terpaksa memikirkan tempat yang baru.
Kami simpati dan hanya sempat menyatakan harapan kami supaya sekolah ini terus dipelihara. Karl membawa kami hingga ke pintu masuk kami tadi, sambil saya mengucapkan selamat tinggal kepada sekolah lama saya di mana saya kenal erti kepelbagaian agama, bangsa dan warga dunia Timur dan Barat.
SELAMAT TINGGAL TEHRAN
Penerbangan kami pagi 20 Feb 2014 meninggalkan pelbagai kenangan membawa nama negara di persada Persidangan Ahli Parlimen Negara Islam dan buat saya ia adalah perjalanan teristimewa yang memberi saya peluang mengimbau sejarah di zaman kanak-kanak membesar di bumi asing.
Saya terkenangkan wajah pemandu kami Mr Karim, tukang kebun kami Mr Ahmad dan pembantu-pembantu kami, Mr Gohari, Mr Boshe dan lain-lain.
Kalau mereka masih hidup pun pastinya umur mereka terlalu lanjut namun pohon dan sungai kecil kiri-kanan jalan utama ke rumah kami akan menjadi saksi bahawa mereka pernah melihat saya, ayah saya dan ibu saya serta kakak saya melalui jejak-jejak ini.
Apakan daya kedatangan kali ini bukan “Mujahid kanak-kanak nakal berumur sepuluh tahun” tetapi “Mujahid yang kini mewakili ahli parlimen Malaysia di mana Tehran adalah tuan rumahnya”.
Hingga kita bertemu lagi wahai Tehran.
___________
Dr Mujahid Yusof ialah Ahli Parlimen Parit Buntar dan anak kepada bekas Mursyidul Am PAS dan bekas Duta Besar Malaysia ke Iran, Almarhum Ustaz Yusof Abdullah ar-Rawi.
Sumber HD - 5-3-2014
Bahaya fatwa takfir hasilkan Resolusi Tehran
- Mar 04, 2014
- DR MUJAHID YUSOF RAWA|BAHAGIAN KE-4
Dr Mujahid berbincang dengan para perwakilan parlimen negara-negara Islam di luar dewan persidangan. Turut kelihatan Speaker Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia (duduk, dua dari kiri).
25 Feb 2014
Hari keempat ialah kemuncak konferensi kerana kesemua Speaker Dewan dari Kesatuan Parlimen Negara Islam (PUIC) akan berhimpun dan akan membuat ucapan tentang sikap parlimen negara Islam terhadap isu semasa sama Ada di peringkat serantau atau merentas serantau.
Lebih utama konferensi yang akan dihadiri hampir 1,000 perwakilan akan dirasmikan oleh Presiden Iran iaitu Hassan Rouhani.
Ucapannya dinanti-nantikan untuk mendorong suasana konferensi dan halatuju ucapan para speaker nanti.
PALESTIN
Isu Palestin tetap mendapat tempat yang utama dalam ucapan-ucapan bersemangat yang didengungkan oleh para speaker dunia Islam walaupun tidak ada yang baru dari segi penyelesaiannya.
Malaysia melalui Speakernya Tan Sri Pandekar Amin Mulia menyatakan sikap Malaysia bersama dengan negara Islam lain iaitu “tiada negara Palestin tanpa Quds”.
Sikap kebersamaan dengan tuntutan Palestine adalah sebenarnya sikap dunia Islam keseluruhannya.
SYRIA DAN IRAQ
Sepertimana yang saya sebut sebelum ini, isu Iraq dan Syria telah diangkat ke satu tahap baru dengan teori penglibatan Saudi menjadi sebab utama kepada keadaan buruk yang melanda dua wilayah ini.
Hampir semua negara terlibat menyatakan dengan terus terang kebimbangan mereka termasuk negara lain yang membuat isyarat akan wujudnya penjajahan baru dengan kata-kata mereka, “dari negara saudara kita sendiri”.
Amat menarik kerana sebelum ini teori konspirasi Amerika dan kuasa Barat menguasai perbahasan tetapi kini penjajahan baru dari kelompok takfir dikatakan didorong dan disokong secara kewangan oleh kerajaan Saudi Arabia.
Konflik mazhab kini berangkat ke tahap teori penjajahan Saudi.
Ia kini dilihat sebagai konflik kepentingan penguasaan antara Sunni dan Syiah dan Amerika tetap dilihat sebagai pencatur utama dalam apa yang dinamakan kini sebagai “proxy war” atau perang secara wakil iaitu Saudi dianggap sebagai proksi Amerika.
PEWAJARAN FATWA
Oleh kerana latarbelakang keganasan mazhab menjadi asas yang menguasai konflik di Syria dan Iraq, peranan besar yang dimainkan oleh ulama adalah penting.
Oleh kerana itu beberapa siri fatwa takfir telah dikeluarkan oleh ulama salafi dari Arab Saudi khususnya bahawa perang di Syria dan Iraq menentang Syiah adalah jihad dan menggalakkan anak muda untuk mengangkat senjata di sana.
Bahkan bukan hanya sekadar fatwa malah Arab Saudi dikatakan memberi sokongan senjata dan kewangan kepada pejuang-pejuang sunni di sana. Mereka digelar tentera takfiriyin.
Perbahasan dalam konferensi parlimen negara Islam ini berligar di sekitar tindak-tanduk dan kesan beberapa fatwa yang menghalalkan darah sesama saudara Islam.
RESOLUSI TEHRAN
Berasaskan kepada beberapa perbincangan dalam jawatankuasa pengkhususan yang Malaysia adalah juga salah satu anggota kekal; Resolusi Tehran telah diistiharkan semasa penutupan konferensi.
Antara yang ditegaskan adalah bahaya fatwa takfir yang mencetuskan keganasan antara mazhab dan penghalalan darah sesama Muslim.
Keperluan untuk mencari jalan secara dialog dari semua pihak adalah antara resolusi yang dikeluarkan supaya pihak parlimen negara Islam berusaha menyekat suasana yang memungkinkan sebab kepada keganasan mazhab.
Selain itu menggunakan kekerasan dalam membuat perubahan politik juga ditolak kerana ia akan merugikan penduduk dalam negara Islam sendiri dan semua perubahan hendaklah dibuat melalui cara demokrasi.
SUNNI LWN SYIAH
Isu ini seolah menguasai suasana perbahasan dan sekaligus membayangkan bahawa wabak penyakit sudah tersebar.
Tidak syak lagi keadaan ini hanya akan menguntungkan kuasa besar ke atas dunia Islam.
Apa yang menyedihkan ialah semua negara mahu dipisahkan dengan sebab permusuhan ini.
Saya memerhatikan bahawa isu Sunni lwn Syiah di Malaysia sudah mula merebak dan melalui media sosial gambaran kekejaman kedua belah pihak yang dipaparkan lebih daripada sensasi daripada satu fakta atau kebenaran.
Umat Islam tidak memerlukan semua ini, apa yang mereka perlukan ialah melihat kepentingan bersama Islam tanpa pengecaman mazhab.
Quran yang satu, Tuhan yang satu dan Nabi yang satu adalah asas kepada benteng perpecahan ini.
MESEJ KEDAMAIAN
Kedamaian dan kedaulatan negara Islam adalah asas mesej yang hendak disampaikan dan perlu dijadikan sebagai perjuangan ahli parlimen negara Islam termasuk Malaysia.
Kebebasan memberi pandangan dan kebebasan berbeza pandangan adalah hak yang perlu menjadi budaya demokrasi yang diperjuangkan.
Namun persoalan kewibawaan negara-negara Islam dan pemimpinnya yang akan membawa mesej ini adalah sama pentingnya dengan kekuatan resolusi Tehran 2014.
Inilah yang dibincangkan oleh negara-negara Islam seperti Turki, Iran, Indonesia dan Malaysia yang mana keadaan politiknya dari sudut kestabilan adalah lebih baik berbanding dengan negara Arab dan Afrika.
Negara-negara Arab dan Afrika mengalami pelbagai kocakan dan sesetengahnya menjadi kerajaan yang tidak berfungsi malah pembentukan parlimennya juga sering mengalami kegagalan.
Negara Teluk pula hampir sinonim dengan ruang demokrasi yang sempit malah apa yang berlaku di Bahrain terkini adalah tuntutan suara rakyat yang dinafikan haknya atas asas mazhab.
Syria tidak berfungsi dan Palestin masih belum mencapai kata sepakat antara Hamas dan Fatah.
Apakah resolusi Tehran akan terus menjadi suara retorik seperti sebelumnya dari negara-negara Islam?
Hanya perkembangan peristiwa-peristiwa mendatang akan menjawabnya.
Sumber HD - 4-3-2014
Menzahirkan budaya dialog dan kedamaian di sidang Tehran
- Mar 03, 2014
- HARAKAHDAILY
Dr Mujahid (dua dari kiri) ketika mewakili Parlimen Malaysia dalam sidang antarabangsa di Tehran.
16 Februari 2014
BILIK Mesyuarat Zamrud masih kosong dari kehadiran perwakilan walaupun jam sudah menunjukkan pukul 9 pagi waktu tempatan. Hanya pihak penganjur sibuk memastikan bilik kecil para penterjemah dan alat pendengar siap digunakan.
Tanda nama Malaysia sebagai anggota tetap siap di tempatnya. Saya mengambil tempat duduk di sebelah diapit oleh negara Oman dan Maghribi manakala di depan saya adalah perwakilan Mesir dan Indonesia.
Kertas sikap Malaysia dan cadangan untuk tambahan berselerak di depan saya, apatah lagi tajuk dialog tamadun dan antara agama sememangnya menjadi minat utama saya selama ini.
MESYUARAT BERMULA
Wakil Senegal dilantik menjadi pengerusi manakala pihak sekretariat sebagai setiausaha. Agenda mesyuarat adalah membaca draf resolusi dalam tiga bahagian iaitu Budaya,Dialog dan Pemeliharaan Bangunan Bersejarah di mana ada 10 draf resolusi yang perlu dibaca dan diberikan persetujuan untuk dibawa ke Jawatankuasa Induk lalu diadaptasi nanti dalam resolusi konferensi besar pada 18 dan 19 Februari nanti.
Kami akan bahas dan jika ada butiran baru untuk ditambah akan diberi peruntukan untuk dibaiki dalam deraf yang muktamad nanti.
PANDANGAN IRAQ DAN SYRIA
Syria bukanlah anggota tetap jawatankuasa ini, mereka adalah anggota pemerhati begitu juga Iraq namun atas kepentingan isu mereka diberi ruang untuk bercakap dahulu.
Kedua-dua negara ini bercakap tentang peranan beberapa negara Arab yang mendorong berlakunya suasana huru-hara di negara masing-masing.
Kemasukan pejuang luar Syria dan luar Iraq dikaitkan mendapat sokongan kewangan dari Arab Saudi dan beberapa negara Teluk termasuk fatwa takfir dari Saudi yang menghalalkan darah sesama muslim menjadi tajuk perbahasan.
Syria bercakap menggunakan teks manakala Iraq menuntut supaya draf resolusi memasukkan isu takfir dan campurtangan sebahagian Negara Teluk yang menyebabkan pembunuhan sesama muslim di kedua negara ini.
Saya bercakap kemudian dengan menjelaskan sikap Malaysia dalam hal hubungan antara agama dan realiti yang Malaysia hadapi berbeza dari negara Islam lain dari sudut komposisi.
Saya menyatakan pengalaman Malaysia masih di tahap lebih baik dalam menguruskan hubungan ini dengan mengambil sikap terbuka walaupun tidak dinafikan ada pihak yang telah salah guna isu ini.
Malaysia mencadangkan supaya sebab kepada keganasan antara agama dan kaum mesti diselesaikan juga melalui perundangan yang melibatkan hak kebebasan memberi pandangan dan kebebasan beragama.
Negara OIC (Organization of Islamic Conference) perlu ada perundangan ini di sebalik pendekatan dialog yang melibatkan semua pihak.
Saya berkongsi konsep Artikel 3 dan 11 yang diperuntukkan dalam Perlembagaan Persekutuan termasuk UNDHR dan resolusi PBB mengecam sebarang bentuk indiskrimanasi atas sebab agama.
PERBAHASAN WEHDAH UMMAH
Pandangan saya dipersetujui oleh Oman, Iran dan Iraq namun isu perbalahan antara mazhab dan sesama muslim tidak ditegaskan. Fatwa yang memudaratkan hubungan termasuk takfir perlu diberi perhatian dalam resolusi.
Saya menambah bahawa dialog antara mazhab juga penting dan semua ulama yang berpengaruh diminta untuk mengadakan pertemuan, lalu semua pihak mengeluarkan sikap kedamaian yang dianjurkan Islam bagi melahirkan kesatuan tanpa mengira mazhab termasuk sunni ataupun syiah.
Kesatuan Parlimen OIC mesti mendesak seruan dialog antara mazhab dan pertemuan ulama bagi memberhentikan kegilaan membunuh sesama saudara muslim di Iraq dan Syria termasuk di Yaman.
Jadi tambahan baru Malaysia ini bersesuaian dengan semangat wasatiyyah dan politik dialog telahpun dipanjangkan pada persada dunia Islam.
Tiada bangkangan dan oleh kerana Iraq dan Syria bukan anggota tetap maka Malaysia meminta cadangan mereka secara bertulis untuk dimasukkan dalam draf akhir nanti bagi mewakili pandangan mereka.
Alhamdulillah Malaysia juga memainkan peranan mendamaikan pandangan untuk dimurnikan selari dengan semangat Kesatuan Parlimen ini dan mencadangkan supaya diterima pandangan Iraq dan Syria dari Malaysia dengan tambahan dialog antara mazhab dan pertemuan ulama untuk semangat wehdah ummah.
BERSIAR
Pada waktu tengahari mesyuarat ditangguhkan dan kebanyakkan isu dan khususnya memperbaiki draf resoulsi dengan tambahan hanya perlu dibuat oleh jawatankuasa teknikal sekretariat.
Kami bebas pada hari itu dan bersetuju untuk makan tengahari di luar dan mengambil kesempatan melihat bandaraya Tehran dan kawasan luarnya yang berbukit diselaputi puncaknya dengan salji.
Encik Muhammad Ridzuan Abu Yazid pegawai dari kedutaan Malaysia di Tehran dan Syed seorang lagi pegawai membawa kami di tempat yang indah untuk menikmati makan tengahari kami dengan makanan tempatan.
Kabab Bakhtiari dengan nasi digaul margerin dan terung lenyek dan zaitun jeruk bersama roti taftun semuanya membawa kenangan lama semasa saya membesar selama empat tahun di Iran.
Kami juga bersiar di kawasan Firdausi yang kedainya penuh dangan jualan buatan kulit tempatan Mashadi yang terkenal.
Matawang Riyal Iran (IRR) menjunam kesan dasar boikot masyarakat dunia sehingga 1USD bersamaan 25.000.00 IRR. Kami menjadi jutawan segera dengan menukar duit ke IRR dan terpaksa tunjuk duit kami untuk beli barang kerana wang kertasnya yang bernilai besar.
BANGGA
Kami balik ke hotel keletihan kerana tidak cukup tidur dan “jet-lag”, saya sendiri menepuk bantal awal dan tidak ingat apa mimpi saya tetapi yang pasti, impian ke Iran kini sudah menjadi kenyataan dan saya bangun awal hari ini, 16 Februari 2014.
Semasa umur saya 10tahun saya berpeluang berada di Iran bersama ayahanda saya. Saya juga sering membuat persembahan budaya ketika majlis hari kebesaran negara Asean dan Malaysia mewakili anak-anak kedutaan dunia.
Dulunya saya amat bangga walau dengan memperkenalkan karipap di festival makanan antarabangasa anjuran sekolah saya British International School.
Kini perasaan bangga menjadi rakyat Malaysia di persada konferensi rasmi antarabangsa kekal bertambah. Bezanya saya tidak memperkenalkan karipap atau tarian zapin tetapi saya memperkenalkan ide Malaysia ke pasaran dunia untuk melahirkan budaya dialog dan kedamaian sebagai jambatan dalam dunia yang serba kecoh dengan permusuhan dan peperangan yang kita hadapi hari ini.
Sumber HD - 3-3-2014
Persidangan di penghujung musim sejuk
- Feb 27, 2014
- DR MUJAHID YUSOF RAWA | BAHAGIAN 2
16 Februari 2014
MASA perjalanan ke Iran yang direntasi agak panjang iaitu enam jam ke Dubai dan hampir 3jam dari Dubai ke Tehran. Sebelumnya memang ada penerbangan terus dari KL-Tehran namun perjalanan itu berhenti buat seketika. Kami menaiki pesawat MAS dan tiba di Dubai 5.45ptg jam tempatan.
ANGGOTA ROMBONGAN
Bersama dalam rombongan kami ialah Timbalan Speaker Dewan Rakyat, Dato’ Ismail Mohamed Said bersama isteri dan Dato’ Seri Reezal Merican, Ahli Parlimen Kepala Batas manakala pegawai yang menyertai kami dari Parlimen ialah Dato' Rosmee Hamzah sebagai Setiausaha Dewan dan Tengku Nasarudin sebagai pegawai dari pejabat protokol.
MP Kalabakan Datuk Seri Panglima Haji Ghapur Salleh terpaksa menarik diri saat akhir kerana sakit mata. Seorang lagi anggota delegasi ialah MP Masjid Tanah, Puan Mas Ermiyati yang menyertai kami keesokan harinya melalui Istanbul kerana urusan lain.
Mas Ermiyati juga adalah Ketua Pergerakan Puteri Umno. Nampaknya hanya saya seorang sahaja peserta delegasi dari blok Pakatan Rakyat namun kami semua menyedari bahawa kami membawa misi negara dalam isu yang ada kepentingan negara Islam walaupun sesekali senda gurau kami sepanjang perjalanan ada insuniasi kepartian berbentuk humor.
SINGGAH DI DUBAI
Penerbangan ke Tehran 15 Feb 2014 adalah di awal pagi iaitu pukul 12.55am dan kami ada 5-6 jam transit dan terpaksa berpindah ke terminal lain kerana menaiki penerbangan Emirates untuk ke destinasi akhir kami.
Kami disambut oleh Konsul Jeneral Malaysia Dato' Ahmad Fadil Shamsudin bersama beberapa pegawainya. Kami membuat keputusan untuk keluar meninjau sekitar bandar Dubai sebelum menunggu 6 jam lagi untuk kembali ke lapangan terbang. Semuanya telah disediakan dan kami menikmati jamuan makan malam di Dubai Mall.
Dubai adalah syurga pelabur kerana infrastruktur yang disediakan dan pelaburan besar yang disuntik oleh kerajaan United Arab Emirates (UAE) dan sektor persendirian.
Dubai juga telah terkesan dengan krisis ekonomi dunia dalam sub-prima krisis yang melibatkan kejatuhan perbankan dunia namun Dubai bangkit dalam kadar pertumbuhan yang agak sederhana.
Ini tidak menghalang infrastruktur bangunan yang sedia ada menjadi tarikan. Dubai juga menarik dari sudut populasi kerana majoriti penduduknya adalah pekerja asing daripada pelbagai sektor.
Pekerja Malaysia di pelbagai sektor saja ada hampir 15,000 orang namun undang-undang ketat di Dubai boleh sahaja mematikan visa pekerja seseorang walaupun sudah beberapa tahun melabur di sana.
Salah seorang yang menduga nasib di sana ialah peguam muda yang telahpun mengukir nama di Malaysia dan kini bertindak sebagai konsultan perundangan dan pelaburan untuk pelabur-pelabur dari Dubai datang ke Malaysia.
MENIKMATI “FOUNTAIN DANCE”
Hari Jumaat malam Sabtu memang hari para pekerja pelbagai warganegara turun bersiar di sekitar Dubai Mall. Tempat menarik ialah tasik besar yang diperhiasi dengan pancutan air berirama.
Lagu suprano dan rentak baili Arab dan Cina menguasai sekitar dataran sambil pancutan air mengikut rentak lagu setiap setengah jam.
Orang ramai berpusu-pusu di dataran dan sekitarnya sedangkan kami menikmati makan malam bersama orang ramai walaupun semasa pertunjukan pancutan air berirama semua perbualan terpaksa diberhentikan kerana terlalu kuat bunyinya.
Kami bergegas setelah menikmati perbualan dari pelbagai tajuk termasuk politik dalam suasana tanpa tekanan dan jam 10.00 malam waktu tempatan kami sudah berada di terminal bersedia untuk ke Tehran.
DINGIN MALAM TEHRAN
Jam 2.45 pagi pesawat EK 975 mendarat di Imam Khomeni International Airport dalam suasana yang penuh kedinginan. Kami dibawa ke bilik VIP untuk menunggu urusan bagasi sementara diperkenalkan kepada pihak kedutaan yang menanti kami.
Setiausaha pertama Muhammad Ridzuan Abu Yazid memberikan sedikit taklimat melalui soal jawab kami tentang negara Iran dan beberapa isu keselamatan.
Selesai urusan, kami bersedia menuju ke tempat konferensi iaitu di Chamran yang memakan masa satu jam untuk ke sana.
Di luar cuaca amat sejuk mencecah 5 darjah selsius seolah-olah kami berada dalam bilik berhawa dingin pada tahap minimum sejuk, bezanya kami tak boleh keluar kerana keseluruhan bumi Iran berada pada penghujung musim sejuknya.
Nasib baik isteri saya menyediakan jaket tebal dalam bagasi tangan saya, sekurang-kurangnya kemeja tangan pendek yang saya pakai sejak kelmarin mendapat ‘perlindungan’ dari cuaca sejuk yang tidak mengenali mangsa.
BERSEDIA UNTUK MESYUARAT
Jadual kami sebenarnya lambat satu hari. Jadi kami tiada waktu rehat kerana pagi 15 Februari 2014 pukul 9 pagi waktu tempatan mesyuarat jawatankuasa pengkhususan akan bermula.
Kami sampai di hotel Azadi pukul 5.30pagi, waktu sarapan pukul 7.30 dan mesyuarat bermula pukul 9.00 pagi.
Jadual agak ketat jadi saya ambil keputusan untuk tidak rehat apatah lagi saya perlu membaca “talking points” untuk mesyuarat nanti.
Saya diminta berada dalam Jawatankuasa Budaya, Dialog Tamadun dan Agama dan Malaysia menduduki jawatankuasa sebagai anggota tetap yang diputuskan dalam mesyuarat di Palembang pada tahun 2012.
Jawatankuasa lain ialah Jawatankuasa Ekonomi dan Alam Sekitar, Jawatankuasa Politik dan Demokrasi dan Jawatankuasa Hak Wanita dan Kekeluargaan. Dato’ Seri Reezal berada dalam Jawatankuasa Ekonomi dan Persekitaran, Dato’ Ismail dalam Jawatankuasa Politik dan Demokrasi manakala Puan Mas Ermieyati dalam Jawatankuasa Wanita dan Keluarga.
Jam 9.00 pagi, saya sudah berada dalam bilik mesyuarat Zamrud untuk menyatakan sikap Malaysia dalam isu-isu berkenaan jawatankuasa saya.
Sumber HD - 27-2-2014
Perjalanan ke Iran
- Feb 26, 2014
- DR MUJAHID YUSOF RAWA|BAHAGIAN 1
Medan Izadi, Tehran
4 Februari 2014
SEJAK meninggalkan bumi Iran pada tahun 1978, saya tidak pernah kembali ke sana lagi walaupun Iran adalah negara luar yang kedua masa paling panjang saya menghabiskan masa menetap yang mana pertamanya adalah Mesir.
Untuk Mesir saya tinggal hampir tujuh tahun lamanya kerana menuntut ilmu di Universiti Al-Azhar tetapi saya berpeluang beberapa kali menziarahi semula bumi anbiya tersebut.
Untuk Iran inilah pertama kali saya menziarahinya semula setelah menetap di sana dari 1975-1978. Ayah saya waktu itu bertugas atas misi negara sebagai Duta Besar di sana dan saya mengikutinya pada umur 11 tahun.
TERSUNGKURNYA SHAH
Iran waktu itu bukan Iran sekarang kerana namanya sahaja sudahpun menjadi Islamic Republic of Iran dan bukan lagi semasa saya di sana sebagai The Royal Kingdom of Iran. Iran sebelum revolusi terkenal dengan rajanya yang menggelar dirinya sebagai “Shahanshah Aryamerh”yang membawa konotasi Raja kepada segala Raja Aryan sebagai kebanggaan bahawa baginda adalah dari keturunan mulia.
Malangnya kebongkakan Shah Iran terungkai apabila ia dibuang oleh rakyatnya sendiri dalam satu revolusi terhebat abad ke-20 yang dikenali sebagai The Islamic Revolution of Iran pada tahun 1979.
PASCA REVOLUSI
Keseluruhan perjalanan sejarah Iran berubah dan Iran menjadi satu-satunya negara Islam yang berani mencabar hegemoni kuasa besarAmerika dan sekutunya malah tersenarai salah satu daripada tiga negara dalam senarai Amerika sebagai negara 'bahaya' yang mana selebihnya ialah Korea Utara dan Cuba.
Keberanian Iran mempertahankan program nuklearnya dibayar dengan harga yang mahal apabila dikenakan sekatan ekonomi sejak dari tahun 90-an walaupun hingga ke tahap ini, Iran masih lagi bertahan dan terpaksa bergantung kepada sumber utamanya dari minyak melalui pasaran gelap yang tinggi permintaannya.
KHOMEINI
Ayatollah Ruhollah Khomeini adalah figura yang telah mengubah persepsi dunia terhadap kemampuan Islam muncul sebagai kuasa dunia yang disegani dalam era moden ini.
Berbekalkan semangat revolusi dan ucapannya yang mampu menggoncang jiwa yang mahukan kebebasan daripada diktator Shah dan renungan matanya yang tajam menggambarkan keazaman yang tak mungkin diruntuhkan, Khomeini telah mencipta sejarah Iran yang baru.
Seorang ulamak Syiah yang mendapat gelaran Ayatollah hanya perlu berucap dari rumah kecilnya di Perancis sebagai orang buangan dan disebarkan ucapannya melalui kaset-kaset sehingga tiada isi rumah yang tidak mendengar ucapannya melainkan semuanya terkesan dan bangkit kemudian untuk menggulingkan diktator Shah.
Khomeini juga membawa Iran mempertahankan sempadannya dengan Iraq sehingga tercetus perang Iran-Iraq dekad 80-an. Khomeini mempertahankan golongan pelajar yang menawan premis Kedutaan Amerika yang anti-Iran berpanjangan sehingga beberapa bulan.
Khomeini juga mengeksport Revolusi Islamnya ke seluruh dunia Islam sehingga musim haji menjadi gelanggang mesejnya dalam menentang “Mustakbirin Amerika".
Kini tokoh agung revolusi Islam Iran terus menjadi ikon kebangkitan dan diabadikan nama lapangan terbang yang dulunya dikenali sebagai Mehrabad kepada Imam Khomeini International Airport.
POLITIK IRAN
Asef Bayyat seorang ahli akademik berketurunan Iran yang kini berada di Amerika membuat kajian secara konseptual tentang suasana politik Iran pasca revolusi pada tahun 1996.
Antara dapatan awalnya beliau merumuskan bahawa zaman mengekalkan momentum revolusi semakin perlahan dan tekanan kepada aspek realiti pemerintahan dan persoalan ekonomi menuntut ideal dan perlaksanaan dicerakinkan.
Persoalan masa depan dari sejarah kebangkitan dan persoalan demokrasi dan prinsip Islam seolah perlu mendapat persepakatan termasuk hak kewarganegaraan dan hak asasi manusia.
Beliau menamakan tesis beliau sebagai “Post-Islamism” yang kini diperluaskan perbahasannya kepada mengulas siri kebangkitan Arab Spring yang dipelopori antara lainnya oleh kelompok Islamik.
Dari sudut Islam dan pemerintahan, Iran dianggap unik kerana merintis kebangkitan rakyat menentang diktator dan mengasaskan Islamic Republic pertama di dunia dalam kerangka negara bangsa.
IRAN MENJADI TUAN RUMAH
Perjalanan saya kali ini mewakili Parlimen Malaysia ke konferensi Kesatuan Parlimen Organisasi Negara Islam (PUIC) yang dihoskan oleh Iran. Menarik kerana Iran adalah antara negara yang aktif mempromosikan Kesatuan Parlimen ini dan banyak menyuarakan isu semasa umat Islam melalui platform ini.
Saya masih ingat ketika sidang di Palembang, Indonesia pada tahun 2012, ucapan Speaker Dewan Iran telah mencetuskan kemarahan peserta dari negara-negara Teluk kerana Speaker An-Nouri mengucapkan tahniah kepada kebangkitan Arab Spring dan berbangga bahawa Iran telah memulakan sejak 1979 menggulingkan pemerintah beraja yang diktator.
Ucapan itu amat pedih didengari oleh ahli ahli delegasi Parlimen negara-negaraTeluk lalu mereka keluar dewan tanda boikot.
BALIK KAMPUNG
Saya teruja untuk menghadiri konferensi di Tehran kerana sejak menjadi ahli parlimen pada tahun 2008 saya dilantik oleh Speaker Parlimen Malaysia untuk menjadi ahli jawatankuasa ke persidangan ini.
Selain mengharapkan dapat menjalankan tugas negara dan mengharumkan nama negara, saya ada misi lain yang saya tunggu selama ini... menziarahi tempat yang saya pernah bermain, bersekolah dan membesar dari tahun 1975-1978 di Iran.
Sumber HD - 26-2-2014
Gamis anjur dialog keharmonian 24 Feb
- Feb 20, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
Menurut presidennya, Abdul Malik Ab Razak, forum tersebut akan menampilkan Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusuf Rawa yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar, seorang wakil gereja dan seorang wakil dari Gamis sendiri.
Beliau berkata, dialog itu dirancang ekoran kesedaran wujudnya api perkauman yang sedang dimarakkan oleh pihak-pihak tertentu.
Kejadian terbaru berlaku pada 16 Februari lalu, apabila daging yang dipercayai daging babi dilempar ke perkarangan Masjid Cherok Tokun, Machang Bubuk, Pulau Pinang.
Pada 26 Januari lalu, lima gereja menerima kain rentang misteri yang bertulis "Allah maha besar, Jesus anak Allah" yang digantung di perkarangan gereja mereka dan pada keesokan harinya, gereja Catholic Assumption dilempar dengan bom api.
"Perpaduan antara kaum menjadi teras penting dalam sesebuah negara. Perpaduan juga merupakan jaminan kestabilan politik dan ekonomi Malaysia.
"Polemik politik perkauman yang cuba dicetuskan oleh mana-mana pihak wajar ditentang. Gamis dengan tegas menyelar dan menolak sebarang tindakan provokasi yang melampau sehingga mampu mengganggu gugat keamanan negara," katanya kepada Harakahdaily.
Sumber HD - 20-2-2014
Konsensus Nasional: Jalan ke hadapan
- Jan 31, 2014
- DR MUJAHID YUSOF
Konflik dan pertumpahan darah sesama anak bangsa mahupun peperangan yang dilaluinya dengan penceroboh demi memelihara kedaulatan negara adalah proses pembentukan jatidiri negara bangsa.
Dalam menghayati perkembangan ini, negara terdesak untuk memperbaharui komitmennya terhadap masa depan negara atau istilah patriotiknya memelihara bahtera merdeka.
Untuk mencapai maksud ini satu konsensus atau kesepakatan dan persetujuan bersama amat diperlukan supaya negara bangsa ini mara mencipta nasibnya di persada alam. Ada beberapa faktor utama yang menentukan kejayaan konsensus nasional yang amat diperlukan pada tahap ini.
Artikel ini cuba menghuraikan beberapa pra-syarat dan faktor yang akan menjayakan konsensus nasional ini.
Latar Belakang Kemerdekaan
Malaysia berbanding dengan negara bangsa lain secara relatifnya adalah negara yang masih muda. Perkataan negara bangsa hanya muncul dengan kemaraan kolonialisme Barat.
Serentak dengan tuntutan merdeka dari British, negara bangsa menjadi tema kebangkitan rakyat dan Islam/Melayu menjadi asas kebangkitan menyatukan negara bangsa yang kelak akan muncul apabila pada tahun 1957 Tanah Melayu mencapai kemerdekaannya dari penguasaan kolonial British selama beberapa abad.
Faktor dan latar belakang yang membentuk kemerdekaan Malaysia amat signifikan untuk semua pihak akur dan menerimanya sebelum bersetuju untuk menjayakan cita-cita murni melonjakkan negara ini ke hadapan.
Perlembagaan Persekutuan
Konsensus mesti juga menghayati dokumen penting yang menentukan nasib dan masa depan negara. Perlembagaan negara adalah faktor penyatu kepada janji setia kita untuk memelihara negara melalui prinsip-prinsip yang disepakati dan dijunjung bersama.
Perlembagaan Persekutuan meletakkan raison d'etre negara ini dengan menamakan tiang utama negara yang tidak boleh dikompromi dalam apa jua konsensus yang akan dilakukan iaitu;
1. Islam sebagai agama rasmi Persekutuan.
2. Agama lain bebas diamalkan mengikut semangat Perlembagaan.
3. Hak keistimewaan orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu.
4. Hak kewarganegaraan semua kaum dengan semangat kebebasan yang perlu dipertahankan bersama.
Perlembagaan persekutuan adalah faktor penyatu perpaduan nasional, cumanya interpretasi dan pemahaman prinsip-prinsip keperlembagaan kadangkala tergelincir dari semangatnya dan kerana itu kebebasan kehakiman perlu menentukan interpretasi yang betul kepada artikel dan semangat yang memberikan ‘kehidupan’ kepada perlembagaan kita.
Sosio-Ekonomi
Kesan penjajahan telah meninggalkan kita menjadi negara multi-ethnic dan sekaligus multi-cultural.
Istilah ‘pendatang’ atau ‘bangsa asing’ walaupun sudah terhapus dengan konsep kewarganegaraan, namun ia tetap dibibir sesetengah pihak apabila sesuatu konflik antara kaum muncul dan ini boleh memberi gambaran betapa rapuhnya situasi serta berupaya mencetuskan ketegangan.
Dalam konteks ekonomi, dasar ekonomi baru atau DEB membentuk pengagihan kek ekonomi yang mengakibatkan strata masyarakat menampakkan jurang antara penguasaan kaum Cina, Melayu dan India.
Perlaksanaan DEB walaupun semangat dan rohnya adalah pengimbanagan strata dan penstrukturan semula jurang masyarakat namun amalannya telah melahirkan sikap prejudis yang berbau perkauman.
Suasana sosio-ekonomi ini adalah antara faktor utama kepada sebab perlunya konsensus nasional nanti.
Perjalanan Politik
Perlembagaan negara walaupun menjadi panduan tetapi ianya kaku apabila tiada aktor yang mencabar kesahihannya dan keutuhannya.
Peranan aktor dalam membentuk lanskap politik negara adalah signifkan kerana para aktor politik akan menentukan dan mendefiniskan maksud yang terkandung dalam prinsip negara ini.
Malaysia memilih jalan demokrasi melalui pilihanraya umum yang berperanan untuk membentuk anggota parlimen bagi membahas halatuju negara lewat demokrasi ala Westminster di mana pembahagian kuasa legaslatif, eksekutif dan kehakiman menjadi kerangka para aktor politik bergerak.
Demokrasi adalah tema utama perjalanan politik dan ia mengambil bahagian yang besar kepada desakan konsensus nasional hari ini kerana ketempangannya hasil pencabulan ke atas demokrasi di Malaysia.
Apakah Konsensus Nasional
Konsensus adalah daripada perkataan Inggeris iaitu “concensus” yang membawa makna agreement, harmony, concord, like mindedness, concurrence, consent, common consent, accord, unison, unity, unanimity, oneness, solidarity, concert more general opinion/view, majority opinion/view, dan common opinion/view.
Dari perkataan itu diambil maknanya dalam Bahasa Malaysia iaitu persetujuan bersama, permuafakatan bersama, halatuju bersama, pandangan yang sama hampir dipersetujui oleh semua pihak.
Sebab itu ia adalah satu pendekatan politik tahap nasional bagi semua pihak bersetuju tanpa mengira fahaman politik bahawa negara ini perlu kepada satu kaedah baru, pendekatan baru bagi menangani situasi yang sedang dihadapi hari ini di mana semua pihak perlu bersetuju untuk memikirkan kaedah itu bersama.
Apa yang mewarnai lanskap politik dari tuntutan demokrasi yang lebih berfungsi, tuntutan kerajaan yang telus dan berwibawa serta kemunculan suara sivil yang semakin lantang mengkritik dasar dan perjalanan kerajaan adalah satu bentuk desakan kepada perlunya sebuah konsensus nasional supaya kerajaan dan parti politik bersatu hati mengeluarkan negara dari kemelut politik, sosial dan ekonomi hari ini.
Pemikiran Baru Perpaduan Nasional
Sekarang isu perpaduan tidak lagi berkisar kepada gabungan wadah seperti di awal 70-an ketika negara ini memerlukan kekuatan politik untuk menjayakan agenda nasional seperti pembentukan Barisan Nasional tetapi perpaduan terkini bentuknya adalah lebih matang dapat direalisasikan melalui kesatuan kepada kepentingan negara dengan cara menguruskan perbezaan pendapat dan bukan menyekat perbezaan pendapat.
Untuk melaksanakan ini konsep by-partisan atau sokongan menjangkau kelompok atau kumpulan perlu dibudayakan untuk mencapai sesuatu kepentingan nasional.
Konsensus nasional menuntut supaya parti politik mengimbangi keperluan politiknya dengan keperluan nasional.
Ia bukan satu helah politik untuk mengekalkan kekuatan mana-mana pihak tetapi ia adalah untuk memastikan kepentingan nasional terpelihara dengan masing-masing mengekalkan ideologi masing-masing.
Isu perpaduan Melayu secara relatifnya kepada gambaran yang lebih besar ini nampaknya seperti slogan yang agak kuno dan lebih cenderung untuk helah politik semata-mata.
Perpaduan yang harus diajukan ialah perpaduan nasional dalam gambaran agenda nasional dan bukan agenda politik tertentu.
Isu Ketaksamaan Pendapatan
Isu ketaksamaan pendapatan atau “inequality income” tidak lagi berkisar kepada kaum tetapi ia berkisar kepada peratus pengagihan pendapatan yang kini terjulat antara peratus pendapatan tinggi dan peratus pendapatan rendah di mana 60 peratus rakyat duduk di paras pendapatan rendah dan 40 peratus daripadanya adalah paras kemiskinan.
Jurang besar pendapatan ini dikecilkan lagi dengan penduduk luar bandar dan penduduk bandar serta gender.
Implikasi isu ini menentukan gaya hidup dan keperluan hidup melibatkan isu keperluan perumahan, bebanan hutang dan inflasi yang disebabkan harga barang dan pendapatan yang tidak seimbang.
Ia bukan lagi soal Melayu ketinggalan tetapi keperluan untuk mengimbangi kesan ketaksamaan pendapatan dan keperluan membela peratus yang terperosok di bawah.
Faktor ini semakin mendesak kepada satu konsensus untuk menyelamatkan keadaan kerana isu inflasi, kesan sosial dan ketidakpuasan hati rakyat akan menjadikan negara ini terjerumus dalam krisis hilang kepercayaan kepada kerajaan.
Kemunculan Ekstremisme Politik
Keseimbangan perkembangan negara mestilah dengan kematangan anak bangsanya untuk melihat kepentingan yang lebih besar.
Pelbagai isu perkauman, agama dan politik berpotensi menjadi isu yang diambil kesempatan oleh pihak tertentu dari kelompok ekstrim agama mahupun ekstrim kepuakan.
Rasisme dalam segala bentuknya perlu disekat dan tidak menjadi umpan pihak tertentu untuk menggunakannya apabila perlu untuk kepentingan puak atau kelompoknya.
Suasana ini mendesak kita kepada konsensus nasional yang meletakkan ekstrimis politik dan agama jauh dari menjadi faktor penentu keputusan-keputusan politik.
Ambil contoh isu kalimah “Allah”, betapa politik ekstrem dan rasis menguasai keadaan sehingga pihak kerajaan tidak berani menegaskan komitmennya kepada “Penyelesaian 10 Perkara” atau sepuluh perkara yang disepakati antara kerajaan dan penganut Kristian di negara dalam isu penggunaan kalimah ‘Allah’ yang termeterai pada 2011.
Ini melambangkan kelemahan pihak kerajaan terhadap komitmennya sendiri dan membiarkan tembakan rasis yang tidak terkawal membunuh cita-cita perpaduan nasional yang dipupuk selama ini.
Tajuk Yang Perlu Konsensus
Tidak syak lagi, konsensus adalah satu keperluan negara bagi menjamin perjalanan negara ini diteruskan, namun biarlah perbincangan kepada konsensus ini terfokus kepada perkara besar dan penglibatannya tidak meninggalkan mana-mana pihak di belakang.
Fokus utama adalah persetujuan semua pihak kepada perjalanan demokrasi yang perlu dirungkai semula dalam konteks berpilihanraya dan demokrasi berparlimen.
Kedua adalah merungkai semula hak mendapat maklumat dari segi akta media yang perlu dibebaskan dari cengkaman penguasa dan kawalan yang ketat untuk melahirkan media bebas dan bertanggungjawab.
Ketiga adalah konsensus kepada medan ekonomi mengawal ketaksamaan dan inflasi melalui pendekatan progresif dan bukan regresif yang membebankan rakyat serta mengubah tatakelola kewangan yang lemah dan dipalit rasuah.
Keempat adalah menangani rasisme dan ekstremisme melalui kawalan ke atas entiti rasis dan ekstremis melalui rundingan dan meletakkan aktiviti mereka di bawah semangat perlembagaan persekutuan.
Hal ini juga melibatkan reformasi total kepolisian yang perlu dikembalikan tujuan utama mereka iaitu untuk memelihara keselamatan negara dan bukan memelihara parti politik tertentu atau pihak tertentu untuk terus kekal berkuasa.
Harapan Kepada Konsensus
Langkah awal konsensus bermula dengan pengiktirafan semua pihak kepada masalah dan bersedia untuk mengenalpasti prioriti negara.
Langkah seterusnya ialah gencatan senjata fitnah media yang tidak banyak membantu melicinkan proses dan seterusnya ialah memahamkan orang ramai keperluan konsensus ini dijadikan agenda utama negara pada tahap ini.
Selain itu parti-parti politik harus bersedia untuk membawa dirinya dalam kerangka ini dengan mereka sendiri membuat reformasi dalaman tak kira dari segi strukturnya, budayanya mahupun cara ia menyampaikan hasratnya untuk menjadi kerajaan.
Konsensus akan menjadi satu mercu tanda bagi penunjuk aras bahawa negara ini bersedia menyelesaikan kerumitan yang ia sedia hadapi dan mampu mengakui segala kelemahan yang menyebabkan terbantut proses pembentukan seterusnya bahtera merdeka yang sama-sama kita tatang.
Buat masa ini harapan kita semua ialah kepada terlaksananya langkah awal dan mula tertumpu kepada empat fokus utama tajuk konsensus, sudahkah rakyat Malaysia bersedia untuk memasuki fasa baru ini?
___________________
Dr Mujahid Yusof Rawa ialah Ahli Majlis Konsultansi Perpaduan Negara (MKPN).
Sumber HD - 31-1-2014