Salahuddin, Suhaizan jumpa menteri Islam Scotland
- Apr 20, 2014
- HARAKAHDAILY
Salahuddin dan Suhaizan ketika bertemu Humza (dua dari kiri) di pejabat beliau di Scotland.
Pertemuan selama satu jam itu turut dihadiri Pengerusi PAS Representative Council (PRC UK), Jubri Bade.
Dalam perjumpaan di The Scottish Goverment itu, Humza menjelaskan perjuangan Scotland untuk mendapatkan kemerdekaan daripada British.
Menurut beliau, satu pungutan referendum rakyat Scotland akan dilaksanakan pada September 2014 bagi meninjau pandangan rakyat sama ada mahukan kemerdekaan atau kekal di bawah kuasa British.
Humza ialah pemimpin Scottish National Party (SNP).
Menurut beliau, berdasarkan tinjauan pendapat yang diusahakan oleh SNP, sokongan terhadap tuntutan kemerdekaan telah meningkat daripada 36% kepada 47%.
SNP ujarnya menyokong usaha mendapatkan kemerdekaan daripada British.
Kerajaan British telah menandatangani perjanjian dengan Scotland untuk membenarkan referendum dilaksanakan.
Jika referendum ini berjaya, Scotland diberi masa 18 bulan untuk persiapan kemerdekaan.
Antara isu-isu yang hangat dibincangkan menjelang referendum adalah penggunaan matawang pound kerajaan British.
"Kerajaan British tidak membenarkan Scotland yang merdeka menggunakan mata wang British. Scotland yang merdeka juga tidak menjadi ahli Kesatuan Eropah (EU).
"Permohonan untuk masuk EU akan berhadapan dengan bantahan daripada British," jelas Suhaizan.
Walaubagaimana pun SNP berkeyakinan penuh bahawa pendapatan hasil negeri daripada sumber petroleum, pertanian, penternakan dan lain-lain akan membolehkan Scotland mampu mentadbir negaranya sendiri, anggota pasukan polis dan tentera akan diberi pilihan sama ada mahu berkhidmat dengan Scotland yang merdeka ataupun kekal bersama British.
"Menariknya SNP diberi hak untuk mempromosi agenda kemerdekaan mereka dalam media arus perdana British. Sesuatu yg tidak berlaku dalam negara kita," kata Suhaizan.
Sumber HD - 20-4-2014
PAC: Jangan hanya panggil tapi tiada tindakan - Salahuddin
- Apr 08, 2014
- ABDUL AZIZ MUSTAFA
"Rakyat tidak mahu lagi ulang tayang apa yang berlaku pada tahun-tahun sebelum ini di mana tindakan PAC memanggil pihak-pihak yang ditegur dalam Laporan Ketua Audit Negara nampak sangat sekadar untuk melengkapkan siri tindakan formal sahaja dan selepas itu tidak kedengaran sebarang tindakan," katanya.
Semalam Pengerusi PAC Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, pihaknya akan memanggil lima kementerian untuk memberikan penjelasan dalam waktu terdekat berhubung Laporan Ketua Audit Negara 2013 Siri 1 yang dibentangkan di Dewan Rakyat semalam.
Katanya, kelima-lima kementerian berkenaan adalah Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Kementerian Kesihatan, Kementerian Kerja Raya, Kementerian Dalam Negeri (KDN) dan Kementerian Pendidikan.
Salahuddin berkata, ramai yang masih ingat pengakuan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bahawa pihaknya hanya mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah ekoran pelbagai kes yang dibangkitkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011.
"Susah hendak dibayangkan apa tindakan berkesan yang mampu dibuat oleh PAC kalau SPRM pun hanya dapat mengemukakan dua kes sahaja ke mahkamah sedangkan kerugian negara yang didedahkan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2011 dahulu bernilai puluhan bilion ringgit," katanya.
Begitu juga, kata Salahuddin, apabila bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, meminta menteri-menteri yang diperlihatkan gagal dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 meletak jawatan.
"Di Jepun bila kapal terbang terhempas di landasan, menteri pengangkutan meletakkan jawatan. Di Malaysia jika kemalangan kapal terbang, itu bukan masalah saya.
"Saya berharap untuk melihat lebih banyak peletakan jawatan," Dr Mahathir dilaporkan berkata.
Salahuddin menambah, bukan sahaja tidak berlaku sebarang perletakan jawatan seperti diharapkan Dr Mahathir, malah tindakan yang diambil berikutan pendedahan dalam Laporan Ketua Audit Negara 2012 itu amat mengecewakan rakyat.
Ketika menyatakan hasratnya untuk memanggil lima kementerian itu, Pengerusi PAC berkata, Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani perlu dipanggil berhubung kelewatan Empangan Paya Peda di Besut, sementara Kementerian Pendidikan perlu memberikan penjelasan mengenai pembinaan kampus Sultan Azlan Shah, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang didapati tidak mengikut spesifikasi mengakibatkannya gagal mendapat sijil layak menduduki (CF).
"Kementerian Kesihatan perlu menjelaskan isu perolehan serta penyimpanan rekod aset dan pengurusan program pembelian makanan manakala KDN akan diminta memberi penjelasan berhubung isu pengurusan Rela dan peralatan untuk Rela khususnya sepatu anggota," katanya.
Nur Jazlan berkata demikian dalam sidang media pembentangan Laporan Ketua Audit 2013 Siri 1 selepas bermesyuarat dengan Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang di bangunan Parlimen semalam.
Jelasnya, Kementerian Pendidikan perlu memberi penjelasan mengenai dana penyelidikan asas untuk hasilkan teori, konsep dan idea baharu kerana berlaku ketirisan apabila dana berkenaan dibelanjakan namun tidak ada kajian yang dihasilkan.
Tambah Nur Jazlan selain kelima-lima kementerian berkenaan, PAC akan turut memanggil Kementerian Sumber Manusia, Kementerian Pertahanan dan Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) jika waktu mengizinkan.
"Kementerian Sumber Manusia perlu memberikan penjelasan mengenai pusat latihan belia sementara Kementerian Pertahanan perlu menjelaskan isu pengurusan Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan.
"Biarpun KWSP mempunyai prestasi yang baik, jumlah pelaburan antarabangsanya adalah besar dan bertambah dari tahun ke tahun. PAC perlu penjelasan daripada KWSP mengenai perancangan dan langkah-langkah kurangkan risiko dalam pelaburan antarabangsa," jelas beliau.
Mengenai hasil Laporan Ketua Audit Negara 2012 Siri 1, 2 dan 3 yang dibentangkan tahun lepas, Nur Jazlan berkata 71 peratus audit melibatkan penambahbaikan peraturan dan prosedur proses kerja sementara 29 peratus daripada audit melibatkan salah guna kuasa dan salah laku serta kecuaian dalam pelaksanaan tugas.
Jelas beliau, daripada 29 peratus kes punitif, sebanyak 121 kes dibawa untuk tindakan dengan 92 kes sudah selesai dan 29 kes belum selesai.
"Daripada 92 kes yang selesai,26 kes melibatkan prosiding tatatertib dikenakan ke atas pegawai sementara 53 kes tidak ada unsur 3P (pemantauan penyampaian perkhidmatan)," kata Nur Jazlan.
Mereka yang diambil tindakan melibatkan 152 orang dengan 76 orang dijatuhkan hukuman, seorang dibuang kerja, 41 dikenakan surcaj, dua didenda, 32 diberi amaran dan 76 lagi masih dalam prosiding tatatertib, katanya.
Sumber HD - 8-4-2014
PM Najib cipta rekod baru
- Apr 02, 2014
- ABDUL AZIZ MUSTAFA
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub ketika mengulas dapatan terbaru itu menyifatkan rekod yang dicipta Najib adalah lanjutan kepada pelbagai rekod luar biasa yang dicipta beliau sebelum ini.
"Saya ucapkan tahniah kepada (Tun) Dr Mahathir (Mohamad) kerana Najib sekali lagi membuktikan beliau berupaya mencipta rekod-rekod luar biasa yang dianggap menggembirakan bekas Perdana Menteri itu," kata beliau.
Dr Mahathir dan pengikut-pengikut tegarnya dilihat sebagai pihak yang paling tidak berpuas hati terhadap Najib kini.
Blogger-blogger yang dikenali sebagai pentaksub Dr Mahathir kini adalah pihak yang paling keras mengecam Najib, jauh melebihi apa yang dilakukan blogger-blogger pembangkang.
"Rekod yang paling cemerlang yang dicipta oleh Najib ialah beliau adalah Perdana Menteri kerajaan minoriti yang pertama di negara ini sejak Merdeka," kata Salahuddin.
Dalam pilihan raya lepas, BN hanya berjaya mendapatkan kira-kira 47 peratus sahaja dari keseluruhan undi.
Tinjauan yang dibuat oleh Merdeka Centre baru-baru ini menunjukkan semakin ramai rakyat yang tidak berpuas hati dengan prestasi Najib sebagai Perdana Menteri.
Kajian itu menunjukkan 44 peratus dari 1,005 responden tidak berpuas hati dengan prestasi beliau, meningkat empat peratus berbanding Disember lalu.
Kajian tersebut dibuat antara 7 Mac hingga 20 Mac lalu dan kadar ketidakpuasan tersebut adalah yang tertinggi sejak Najib menjadi Perdana Menteri pada Mei 2009.
Kadar penerimaan terhadap kepimpinan Najib pula tetap tidak berubah iaitu sekadar 52 peratus sahaja, yang dinyatakan sebagai yang terendah.
Mengenai cara kerajaan Najib mengendalikan ekonomi pula, 56 peratus menyatakan rasa tidak puas hati.
Ketika harga barang dan tarif elektrik meningkat, hanya 39 peratus dari 1,005 responden menyatakan mereka berpuas hati dengan cara kerajaan BN pimpinan Najib mengendalikan ekonomi.
Merdeka Centre juga membuat kajian tentang cara kerajaan Najib mengendalikan insiden pesawat MH370.
Tinjauan itu mendapati 50 peratus tidak berpuas hati dengan cara kerajaan mengendalikan insiden itu dan hanya 43 peratus yang berpuas hati.
Tinjauan mengenai cara kerajaan mengendalikan insiden itu dibuat ke atas 513 responden antara 13 Mac hingga 20 Mac lalu.
Sumber HD - 2-4-2014
PAS ucap takziah kepada keluarga mangsa MH370
- Mar 25, 2014
- HARAKAHDAILY
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub (gambar) ketika dihubungi Harakahdaily berkata, PAS memahami dan turut merasai kesedihan yang dialami keluarga mangsa dan berdoa moga mereka diberi kekuatan oleh Allah SWT.
Pengerusi Pusat Pengurusan Bencana dan Kecemasan PAS Pusat itu juga menyeru umat Islam untuk mengadakan solat jenazah ghaib berdasarkan saranan yang bakal dikeluarkan Majlis Fatwa Kebangsaan.
Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak mengumumkan bahawa kedudukan terakhir pesawat MH370 milik Penerbangan Malaysia dikesan di tengah Lautan Hindi di sebelah barat Perth, Australia.
Maklumat berhubung lokasi terakhir pesawat yang hilang sejak 17 hari lalu itu diterima menerusi data Immarsat dan Bahagian Penyiasatan Nahas Udara United Kingdom (AAIB) yang mengesahkan pesawat Boeing 777-200 itu terbang ke jalur selatan isyarat terakhir yang dikesan daripada pesawat itu, umum Najib.
"Ini kawasan yang terpencil, jauh daripada mana-mana tapak pendaratan yang munasabah. Oleh itu, dengan rasa penuh dukacita dan kesal, saya memaklumkan bahawa, berdasarkan kepada data baru ini, penerbangan MH370 berakhir di selatan Lautan Hindi," kata Najib.
MAS dalam kenyataannya menyebut, berdasar maklumat yang diterima, adalah melewati sebarang keraguan yang munasabah bahawa semua penumpang dan krew pesawat berkenaan terkorban.
Pesawat penerbangan MH370 membawa 239 orang, termasuk 38 penumpang dan 12 anak kapal warga Malaysia. Operasi mengesan pesawat ini digerakkan sejak ia hilang pada awal pagi 8 Mac lalu dan disertai oleh lebih 20 buah negara.
Sumber HD - 25-3-2014
Kenyataan Zahid undang campur tangan asing
- Mar 10, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: PAS kesal dengan tindakan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Ahmad Zaid Hamidi yang secara terbuka menyelar kakitangan Imigresen berhubung kes dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat Malaysia Airlines (MAS) MH370 yang dilaporkan hilang.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, para pegawai Imigresen sudah cukup tertekan dengan insiden malang yang berlaku dan tindakan Zahid tidak membantu menyelesaikan masalah.
Beliau seterusnya menasihati Zahid agar mencontohi sikap Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA), Datuk Azharuddin Abdul Rahman yang walaupun diasak media antarabangsa namun tetap 'menjaga mulut' agar tidak 'terlepas cakap' sehingga menjejaskan imej negara.
"Mengapa Zahid amat mudah menyalahkan kakitangan di bawah kementeriannya sedangkan banyak lagi kementerian dan agensi yang terlibat secara langsung tidak bertindak sedemikian?
"Apakah beliau ingin melepaskan tanggung jawab beliau dan membuat kesimpulan mudah dan meletakkan kesalahan terhadap pegawai tertentu?" ujar Salahuddin.
Salahuddin juga inginkan kepastian sama ada siasatan pihak KDN dan Imigresen sudah selesai sehingga menyebabkan Zahid melepaskan kemarahan melalui media?
Paling utama, ujarnya adakah tindakan Zahid ini menepati Prosedur Operasi Standard (SOP) KDN sehingga tidak langsung mengambil kira aspek keselamatan dan maruah negara.
Kenyataan Zahid (gambar), tambah Salahuddin hanya membuka ruang kepada campurtangan langsung pihak asing seperti FBI dan CIA.
"Jika siasatan belum selesai, Zahid harus bertanggungjawab dan berundur dari mengetuai KDN jika beliau sebegini mudah tertekan dan gagal bertindak secara waras," tegas Salahuddin.
Beliau mencadangkan agar prosedur kawalan keselamatan di lapangan terbang diperhalusi ekoran insiden ini.
"Umum mengetahui Imigresen Malaysia amat cekap dalam mengendalikan proses pelepasan masuk dan keluar penumpang di pintu masuk terutama di lapangan terbang.
"Ini sudah pastinya merujuk kepada arahan dari kerajaan untuk kemudahan penumpang terutamanya pelancong apatah lagi negara sedang meraikan Tahun Melawat Malaysia 2014," ujar beliau.
Salahuddin menambah, adakah faktor di atas menyebabkan berlakunya 'kelonggaran' dalam protokol dan SOP untuk memudahkan kemasukan pelancong asing?
KDN juga, tambah beliau perlu menjelaskan sama ada sistem elektronik yang diguna pakai imigresen menepati ciri-ciri keselamatan terkini tanpa menjejaskan dan mengganggu kelancaran proses pelepasan penumpang.
Salahuddin turut mengingatkan bahawa pemalsuan dokumen bukanlah sesuatu yang asing di negara ini dengan merujuk 'Projek IC' membabitkan modifikasi kad pengenalan bermutu tinggi.
Zahid ketika bercakap kepada pemberita semalam memaklumkan satu siasatan dalaman akan dijalankan terhadap Jabatan Imigresen berikutan laporan dua pelancong menggunakan pasport curi bagi menaiki pesawat MH370 yang dilaporkan hilang.
Siasatan secara terperinci itu akan memberi tumpuan khusus kepada Jabatan Imigresen cawangan Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang termasuk dua bayi dan 12 anak kapal itu dilaporkan hilang daripada radar pada pukul 1.30 pagi Sabtu, kira-kira sejam setelah berlepas dari KLIA.
Pesawat itu membawa penumpang dari 14 negara dengan lebih separuh merupakan warga China dan 38 rakyat Malaysia.
Sumber HD - 10-3-2014
Pakatan akan bincang calon alternatif PRK Kajang
- Mar 07, 2014
- KHAIRIL ABDUL RAHIM
JERANTUT: Pakatan Rakyat (PR) akan membincangkan calon yang akan bertanding dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Kajang bagi menggantikan Datuk Seri Anwar Ibrahim sekiranya didapati tidak layak bertanding berikutan keputusan Mahkamah Rayuan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, beliau menjangkakan mesyuarat tersebut akan diadakan selepas Konvensyen PR esok memandangkan masa yang agak suntuk.
Katanya, beliau sedih dengan berita Anwar didapati bersalah.
“Sebab itu kita nyatakan ini sesuatu yang dirancang, konspirasi halus yang pentingnya bagi mereka menghalang untuk PR membuat satu lonjakan di Kajang untuk kita sampai ke Putrajaya.
“Jadi kita mungkin akan bincang sesiapa yang akan bertanding di Kajang bagi menggantikan Anwar Ibrahim, seandainya sesuatu terjadi pada hari penamaan calon seperti diisytiharkan hilang kelayakan,” katanya pada majlis perasmian Pusat Khidmat Komuniti PAS Jerantut di sini petang tadi.
Turut hadir dan berucap ialah Timbalan Pesuruhjaya PAS Pahang, Md Jusoh Darus, Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS (DHHPP) negeri, Balasubramaniam dan Yang Dipertua PAS Jerantut, Yohanis Ahmad.
Mengenai Pusat Khidmat Komuniti, Salahuddin berharap, di samping memberikan khidmat dan kebajikan, apa yang penting untuk dilaksanakan oleh PAS Jerantut ialah memberikan pendidikan politik kepada orang Melayu.
Katanya, itu penting kerana selagi orang Melayu tidak digerakkan ke arah perubahan maka selagi itulah PAS sukar untuk menang di kawasan luar bandar dan Felda.
Sumber HD -7-3-2014
Ops Banjir: PAS tubuh Rangkaian Radio Amatur
- Feb 18, 2014
- WAN NORDIN WAN YAACOB
KUALA LUMPUR: PAS telah melancarkan penubuhan Rangkaian Radio Amatur (RRA) dalam melancarkan lagi operasi bantuan banjir di beberapa daerah terjejas di Sabah.
Rangkaian RRA ini bertujuan untuk melancarkan komunikasi semasa kecemasan dan bencana alam seperti yang sedang dihadapi kini.
Pengerusi Pusat Pengurusan Kecemasan dan Bencana Alam Malaysia (MEDM) PAS Pusat, Salahuddin Ayub berkata, pelancaran itu dibuat pada 18 Februari sebaik anggota MEDM tiba di sana bagi menyelaraskan misi bantuan banjir yang berpengkalan di Beuford.
"Kita sedia maklum beberapa daerah di sini antaranya Keningau, Tenom mengalami masalah komunikasi, justeru perkara yang rasanya kita bentuk adalah jaringan komunikasi.
"Masih ramai mangsa yang terputus hubungan, dan kita memerlukan perkembangan semasa mereka dalam misi bantuan ini," ujarnya kepada Harakah pada 18 Februari lalu.
Beliau berlepas ke Beuford pada 17 Februari bersama Timbalannya, Husin Ismail serta Pengarang Logistik, Affandi Mohamed serta Pengarah Komunikasi, Zulkifli Mohd Akin.
"Saya telah mengadakan mesyuarat dengan Badan Perhubungan PAS Sabah yang diketuai Pesuruhjayanya, Aminuddin Aling dan kita telah merencanakan beberapa pelan tindakan untuk membantu mangsa di sini.
"Sebelum ini kerja bantuan dilakukan oleh Pemuda PAS Sabah yang dikepalai pengarah operasi, Lahirul Latigu dan Unit Amal," katanya.
PAS Pusat menyusul kemudian untuk memperkemaskan lagi operasi bantuan mangsa banjir dengan saluran bantuan yang lebih besar termasuk dana yang disediakan oleh Harakah.
Ditanya mengenai keadaan mangsa banjir, Salahuddin yang juga Naib Presiden PAS berkata, setakat ini lebih 3000 mangsa banjir berada di beberapa buah pusat pemindahan.
PAS antara pihak yang paling awal memberi bantuan, sebelum jabatan kerajaan menyusul kemudian, katanya.
Menurut Salahuddin, misi bantuan banjir ini akan berterusan sehingga pasca banjir termasuk untuk membantu mangsa kembali ke rumah masing-masing.
Sumber HD - 18-2-2014
Waythamoorthy: Mungkin sabotaj terhadap Najib
- Feb 10, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR: Peletakan jawatan P Waythamoorthy sebagai Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri menggambarkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak sedang mengalami era kejatuhan.
Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, tindakan Waythamoorthy meletakkan jawatan memburukkan lagi imej Najib yang sedang mengalami kemerosotan.
"Peletakan jawatan ini menunjukkan berlakunya krisis kepimpinan yang menjadi indikator yang menunjukkan betapa Najib sedang mengalami era kejatuhan," kata beliau ketika dihubungi harakahdaily hari ini.
Salahuddin juga berkata, ada kemungkinan tindakan Waythamoorthy itu merupakan perancangan di peringkat dalaman BN sendiri kerana menganggap Najib mungkir janji terhadap orang India.
"Saya tidak boleh nafikan ini satu perancangan rapi di peringkat dalaman BN itu sendiri bagi mengurangkan sokongan orang India kepada kepimpinan Najib," katanya lagi.
Waythamoorthy yang juga Pengerusi Persatuan Hindraf Malaysia dilaporkan menghantar surat perletakkan jawatan bagi jawatan timbalan menteri dan senator kepada Perdana Najib tengah hari tadi.
Tambah Salahuddin lagi, tindakan Wathamoorthy dijangka akan menjejaskan sokongan Orang India kepada BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dun Kajang, 23 Mac ini.
"Keputusan ini sudah pasti akan mempengaruhi keputusan PRK Kajang.
"Di saat Najib dalam usaha mendapatkan sokongan orang India tetapi dari segi moral, Orang India merasakan tiada apa-apa tindakan Najib yang membela kaum India. Ini sudah pasti akan menjejaskan undi mereka dalam PRK Kajang," katanya.
Wathamoorthy sebelum ini mendakwa BN tidak menunaikan janji yang dibuat kepada kaum India walaupun memenangi Pilihan Raya Umum ke-13.
Sumber HD - 10-2-2014
No comments:
Post a Comment