Hari kekasih dan umat lubang biawak
- Feb 17, 2014
- http://www.mindasuper.com
Sebahagian umat Islam hari ini telah menjadi umat Islam pak turut atau lebih tepat menjadi umat lubang biawak berdasarkan hadis di atas. Mereka tidak lagi berbangga mematuhi landasan Islam sebaliknya lebih berbangga untuk meniru gaya dan cara hidup golongan Yahudi dan Nasara. Salah satu keramaian yang disambut oleh sebahagian umat Islam ialah sambutan hari Kekasih atau St. Valentine’s Day.
Asal usul hari Valentine sering kali dikaitkan dengan amalan golongan pagan jahiliah di zaman Rom Kuno dahulu. Pada bulan Februari mereka mengadakan keramaian yang dikenali sebagai Lupercalia untuk memuja tuhan Lupercus. Pada hari itu nama-nama gadis desa diletakkan dalam sebuah kotak dan setiap pemuda akan mengambil salah satu nama dari kotak tersebut secara rambang. Gadis yang terpilih akan menjadi kekasih pemuda itu sepanjang tahun.
Ketua paderi ketika itu, Paderi Gelasius 1, kemudiannya menjadikannya sebagai satu aktiviti agama Kristian dengan membuat beberapa pengubahsuaian. Antaranya dengan menggantikan nama-nama wanita dengan nama-nama tokoh Kristian di dalam kotak untuk dipilih dengan harapan masyarakat akan menjadikan tokoh-tokoh itu sebagai idola mereka.
(http://www.christianitytoday.com/ct/2000/februaryweb-only/11.0a.html)
Mengikut Catholic Encyclopedia (http://www.newadvent.org/)Hari Valentine atau St. Valentine’s Day dikaitkan dengan tiga orang tokoh pejuang agama Kristian bernama Valentine, iaitu Valentine dari Terni, Valentine dari Rom dan seorang lagi dari Afrika. Wikipedia (en.wikipedia.org) memperincikan tentang ketiga-tiga tokoh ini. Valentine dari Terni ialah ketua paderi di Interamna (kemudiannya dikenali sebagai Terni) lebih kurang pada tahun 197 M. Beliau dibunuh oleh Maharaja Aurelian dan dikebumikan di Via Flaminia. Valentine dari Rom pula merupakan seorang paderi di Rom dan dibunuh pada tahun 269 M dan juga dikebumikan di Via Flaminia. Manakala tentang Valentine dari Afrika tidak banyak maklumat yang diketahui tentangnya.
Sebenarnya golongan Kristian Katolik mengiktiraf sebelas sambutan Hari Valentine salah satunya pada tanggal 14 Februari setiap tahun sehinggalah pada tahun 1969 apabila ia tidak lagi dianggap sebagai aktiviti rasmi Kristian Katolik.
Keputusan Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menyatakan melalui Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor Kali 1/2006 pada 21 Februari 2006 bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Para mufti di Malaysia juga telah bersepakat untuk memutuskan bahawa amalan meraikan Hari Kekasih tidak digalakkan oleh agama Islam seperti yang dibincangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 yang lalu.
Oleh Dr Danial Zainal Abidin
Sumber HD - 17-2-2014
KPN patut ambil tindakan ke atas Nazri Aziz
- Feb 17, 2014
- azmi
KPN Sepatutnya Terlebih Dahulu Ambil Tindakan Ke Atas Nazri Aziz
Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar (gambar) memberi amaran tegas kepada pihak yang cuba memainkan sentimen agama dengan membantah isi kandungan khutbah Jumaat tentang Hari Valentine agar menghentikan tindakan sedemikian, demikian lapor sebuah akhbar tempatan.
Menurutnya, pihak terbabit terutama bukan Islam tidak berhak mengeluarkan pendapat atau komen berhubung khutbah Jumaat yang dikhususkan untuk masyarakat Islam sahaja.
Katanya, Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak teragak-agak mengambil tindakan keras terhadap pihak yang melampaui batas itu.
“Saya memberi amaran dan ingatan terakhir kepada pihak yang cuba menimbulkan kemarahan awam kerana perkara itu boleh mengancam keselamatan mereka," katanya dalam sidang akhbar selepas menghadiri malam penghargaan masyarakat kepada PDRM di sini malam ini.
ULASAN GB
Jika demikian, KPN perlulah terlebih dahulu memberi amaran dan mengambil tindakan keras terhadap seorang menteri kabinet yang bernama Nazri Abd Aziz yang sebelum ini telah dilaporkan berkata:
“Why can’t it be celebrated? I disagree...it is not a form of prayer,” kata beliau.
"What is wrong with Valentines’ day? People just want to express their love to one another.
“How different is it from other days, where we can do the same thing?” kata Nazri
Orang bukan Islam mengkrtik adalah kerana mereka tidak faham ajaran Islam, tetapi bagaimana pula seorang yang beragama Islam?
Justeru itu, pihak polis perlulah rasional dan adil di dalam tindakan mereka.
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily.
Sumber HD - 17-2-2014
Sedap juga cerita ni...
- Feb 16, 2014
- http://paklongonline.blogspot.com
Sedap jugak cerita neh...
Lama sungguh Pak Long tak jenguk blog tua neh, naik bersawang dah... haha... Nak buat camana dah leptop Pak Long lingkup. Ni pun balaih hat anak punya...
Kali ni Pak Long nak kongsi ngan hangpa semua satu cerita dari Mak Long hang. Lupa pulak nak tanya tang mana Mak Long hang gagau cerita neh... hehe...
Zaman dedulu kala kat satu negeri yang bernama entah panama tah, pernah la ada tradisi membuang orang yang dah tua pi ke hutan. Depa-depa yang dibuang tu selalunya orang-orang tua yang dah tak larat, yang tak boleh nak sumbang apa-apa lagi dalam bentuk tenaga. Kalau disimpan pun orang-orang tua neh buat semak ja, mungkin jugak nampak akan memberatkan lagi kehidupan anak-anak depa.
Pada suatu hari, ada la sorang pemuda yang berniat nak buang mak dia ke hutan, pasainya mak dia ni dah lumpuh dan agak tua.
Mai time nak buang mak dia tuh, si pemuda ni pun buat-buat kalut... bergegaih masuk hutan sambil dukung mak dia. Si mak ni yang jelaih kelihatan tak berdaya punya pulun dok gagau setiap ranting pokok yang boleh dia capai lalu dia patahkannya dan taboq di sepanjang jalan yang dah depa lalu.
Sampai ja dalam hutan yang sangat tebai tuh, si anak pun turunkan mak dia dari dukungan dan teruih ucapkan kata-kata perpisahan kat mak dia. Celah-celah tu pulak pemuda tadi berusaha jugak tahan kesedihan pasai dia sendiri pun tak sangka sanggup buat lagu ni kat mak dia...
Tapi mak dia relax ja tersenyum... dalam senyum mak dia kata:
“Nakk.. mak sangat sayang kat hang... Dari kecik sampai la hang dah besaq panjang camni, mak selalu jaga hang dengan penuh rasa cinta dan kasih sayang. Waima sampai hari ini pun rasa sayang mak kat hang tak berkurang sikit pun."
"Tadi neh mak dah tandai sepanjang jalan yang kita dah lalu ngan ranting-ranting kayu. Bukannya apa, mak takut hang tersesat, ikutlah tanda tu masa hang nak balik nanti supaya hang selamat sampai di rumah.”
Lepaih dengaq ja kata-kata dari mak dia, si anak tadi teriak meraung-raung. Kuat betoi tangisan dia lalu dia peluk mak dia dan tanpa pikiaq panjang dia pun cempong balik mak dia, didukungnya lalu dibawa balik semula ke rumah.
Pemuda tuh akhirnya merawat mak dia dengan penuh kasih sayang... sampai la maknya meninggal.
Ingatlah... hanya “Orang Tua” kita ja yang kenai akan kita dan batinnya langsung tak akan tenteram malah akan menderita kalau kita susah. “Orang Tua” kita tak pernah meninggalkan kita walau bagaimanapun keadaan kita, walaupun kita pernah kurang ajaq kat depa. Namun “Orang Tua” kita akan tetap mengasihi kita.
Mulai sekarang mai la kita lebih mengasihi “Orang Tua” kita selagi depa masih hidup dan bagilah depa doa yang tulus ikhlas untuk kebahagiaan mereka.
Moga mak bapak kita akan teruih kuat berjuang di jalan Allah SWT... amin.
Akhir katanya, tak penting sebenaqnya berapa lama kita neh hidup. Yang penting bagaimana keadaan kita semasa hidup.
Wassalam...
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily
Sumber HD - 16-2-2014
Fahami larangan sambut Hari Memperingati Kekasih
- Feb 13, 2014
- ANIS NAZRI
KUALA LUMPUR: Budaya berkasih sayang antara lelaki dan perempuan bukan mahram sudah berlaku sejak zaman-berzaman sehingga tidak menimbulkan rasa bersalah terhadap larangan yang ditentukan Allah SWT.
Atas sebab itu, usaha kesedaran harus dipupuk di kalangan anak-anak remaja hari ini agar memahami mengapa larangan itu dibuat, khususnya ketika menjelang Hari Memperingati Kekasih atau Valentine's Day yang diagungkan sesetengah pihak pada setiap 14 Feb.
Pegawai Hal Ehwal Islam (Bahagian Fatwa), Jabatan Mufti Negeri Selangor, Ustaz Mat Jais Kamos, menegaskan usaha memupuk kesedaran itu perlu dilakukan secara berterusan bagi memastikan semua pihak memahami tentang larangan tersebut.
"Biarpun masalah sosial ini tidak mengira hari tertentu, biasanya pada hari-hari seperti hari ingati kekasih ini lebih ramai pihak yang teruja meraikannya dan akan menjerumuskan kepada perkara yang tidak baik," tegas beliau ketika dihubungi Harakahdily, hari ini.
Sehubungan itu, kata beliau Jabatan Mufti Selangor telah mengeluarkan fatwa yang menyatakan larangan bagi mana-mana pihak meraikan sambutan Valentine, khusus kepada mereka yang tidak mempunyai hubungan yang sah di sisi Islam.
Beliau ketika dihubungi sedang giat menyebarkan risalah berkaitan fatwa tersebut di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Puncak Alam petang tadi.
Sebelum itu, kumpulan beliau seramai 10 orang turut menyebarkan risalah fatwa tersebut di Sekolah Menengah Seksyen 22, Shah Alam.
Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day.
Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.
Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam dan roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.
Sumber HD - 13-2-2014
No comments:
Post a Comment