FB PAS NEGERI SELANGOR

FB PAS NEGERI SELANGOR
FB BPPNS - BERKOMUNIKASI SECARA CEPAT DAN MUDAH

Thursday, April 24, 2014

PRK BUKIT GELUGOR

PUTRAJAYA: Pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gelugor, Pulau Pinang ditetapkan pada 25 Mei, penamaan calon, 12 Mei manakala pengundian awal pada 21 Mei, demikian diumumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) hari ini.

Pengerusi SPR Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata pilihan raya kecil itu akan menggunakan Daftar Pemilih Induk 2012 yang digabungkan dengan daftar pemilih 2013 suku tahun pertama, kedua, ketiga dan keempat.

"Sebanyak 21 pusat pengundian akan dibuka, 17 daripadanya untuk pengundian biasa dan selebihnya untuk pengundian awal" katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat khas berkaitan kerusi berkenaan di sini.

Pilihan raya itu diadakan ekoran kematian penyandangnya Karpal Singh, dalam kemalangan jalan raya di Kilometer 306.1 Lebuhraya Utara-Selatan berhampiran Gua Tempurung di Kampar, Perak pada 17 April lepas.

Pada pilihan raya umum Mei 2013, Karpal Singh, 74, menang kerusi itu dengan majoriti 41,778 undi menewaskan calon Barisan Nasional, Teh Beng Yeam.

Abdul Aziz berkata bagi Pilihan raya kecil (PRK) itu, Dewan Sri Pinang, Georgetown dipilih sebagai pusat penamaan calon dan pusat penjumlahan rasmi undi.

"Bagi tujuan PRK kali ini juga seramai 1,095 orang petugas akan dilantik dan membabitkan kos perbelanjaan RM1.9 juta," katanya.

Sebanyak 82,431 pemilih berdaftar terdiri daripada 82,255 pengundi biasa, 148 pengundi awal dan 28 pengundi tidak hadir (PTH) luar negara.

Daftar Pemilih Pilihan Raya bagi PRK itu akan mula dijual pada 6 Mei.

Pengundi yang ingin membuat semakan boleh melayari laman sesawang www.spr.gov.my serta melalui khidmat pesanan ringkas SPR <jarak>SEMAK<jarak>NO KAD PENGENALAN dan hantar ke 15888 mulai tarikh sama.

Pada PRK kali ini juga Abdul Aziz berkata SPR hanya akan melantik pemerhati tempatan dan tidak iktiraf pemerhati lain.

"Pemerhati dilantik dalam kalangan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan dibenarkan membuat pemerhatian seperti di pusat penamaan calon, pusat mengundi awal, pusat mengundi, tempat pengiraan undi dan proses penjumlahan undi," katanya.

Bagi memastikan proses pelaksanaan pilihan raya itu berjalan lancar, beliau berkata semua pihak diminta mematuhi arahan polis dalam menjaga ketenteraman awam dan keselamatan urusan pilihan raya.

"Pemimpin parti politik, calon, petugas dan penyokong, NGO dan mana-mana individu terlibat semasa berkempen hendaklah mematuhi undang-undang dan peraturan pilihan raya serta tata etika berkempen semasa tempoh rasmi kempen," katanya. - Bernama

Sumber HD - 24-4-2014

No comments:

Post a Comment