- Apr 01, 2014
- JUFRI SALLEH
Sejak beberapa tahun yang lalu, Malaysia dilanda pelbagai tragedi yang misteri atau dengan maksud lainnya sehingga kini tiada jawapan yang diperoleh. Jika Amerika Syarikat terkenal dengan misteri UFO, maka Malaysia juga tidak ketinggalan – mungkin dengan cara yang berbeza.
Yang berikut merupakan antara perkara misteri mengikut pandangan saya.
1.Kes Teoh Beng Hock. Pada 16 Julai 2009, jam 1.30 tengah hari Khamis, Teo Beng Hock ditemui mati di bahagian koridor tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam, Selangor. kematiannya dipercayai akibat terjatuh dari tingkat 14, bangunan itu. Kes ini masih belum ada penghujung yang jelas. Beng Hock tidak membunuh diri dan tidak dibunuh. Sehingga kini kematiannya masih menjadi misteri. Juga tiada sesiapa yang didakwa atau dijatuhkan hukuman kerana membunuhnya.
2.Kes Ahmad Sarbani Mohamed. Beliau ditemui mati dipercayai jatuh dari tingkat tiga bangunan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di Jalan Cochrane, Kuala Lumpur pada 6 April 2011. Ahmad Sarbani pada ketika itu berumur 56 tahun, dan bertugas sebagai Penolong Pengarah Kastam daripada Jabatan Kastam DiRaja Malaysia, Selangor. Kes ini juga masih menjadi misteri kerana tiada tanda-tanda beliau dibunuh atau membunuh diri. Juga tiada sesiapa yang didakwa atau dijatuhkan hukuman kerana membunuhnya.
3. Kes Altantuya Shaariibuu. Kes yang membabitkan warganegara Mongolia ini pernah menggegarkan Malaysia beberapa tahun yang lalu apabila Altantuyaa disahkan mati pada tahun 2006. Siasatan dan perbicaraan telah pun berakhir dan dua anggota polis yang dituduh telah dibebaskan oleh mahkamah. Kes ini juga berakhir dengan tiada yang membunuh walaupun ada yang terbunuh.
4. Kes Zon Bebas Perlabuhan Klang (Port Klang Free Zone – PKFZ). Akibat PKFZ, kerajaan rugi RM12.5 bilion. Mahkamah telah membebaskan tertuduh, bekas menteri Kabinet Tun Dr Ling Liong Sik dan bekas Menteri Pengangkutan, Tan Sri Chan Kong Choy daripada tuduhan menipu bagi projek PKFZ. Sehingga kini isu PKFZ senyap begitu sahaja tanpa ada yang dijatuhkan hukuman dan duit rakyat RM12.5 bilion hangus begitu sahaja.
Mungkin banyak lagi dan saya tidak mampu menyenaraikan semuanya. Saya juga berpendapat kes NFC yang membabitkan RM250 juta masih belum ada penghujungnya. Saya bimbang, sekali lagi duit rakyat hilang dengan cara yang sungguh misteri.
Terkini, kita kehilangan pesawat MH370 dalam keadaan yang membingungkan pakar-pakar penerbangan antarabangsa. Saya berharap, kehilangan MH370 tidak menjadi misteri seperti hilangnya kapal terbang di perairan segi tiga Bermuda.
Saya percaya, rakyat Malaysia tidak putus harap dan terus berdoa agar segalanya selamat.
Sumber HD - 1-4-2014
No comments:
Post a Comment