Linangan air mata pemimpin Ikhwan sambut bantuan PAS
Salahuddin (kanan) menyampaikan sumbangan PAS kepada Dr Jamal sambil diiringi Dr Syed Azman (kiri) dan Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat, Mohd Nasaei Ismail.
KUALA LUMPUR: Air mata mengalir deras di pipi pemimpin Maktab Irsyad Ikhwan Muslimin Mesir, Dr Jamal Abdul El-Sattar ketika menerima sumbangan PAS untuk saudara se-Islam yang kini ditindas regim tentera Mesir.
Sumbangan yang disampaikan Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub itu diharap dapat membantu membeli ubat-ubatan, pakaian, makanan, membiayai anak-anak yatim, ibu tunggal dan sebagainya.
"Kepimpinan PAS di bawah Ustaz Abdul Hadi telah banyak membantu kami di waktu senang dan susah.
"Kami amat menghargai sokongan dan dokongan yang tidak berbelah-bahagi dari PAS kepada Ikhwan.
Kami akan terus membuktikan sifat toleransi dan kesabaran yang tinggi walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan dan ujian," kata Dr Jamal dalam kunjungan singkatnya di ibu negara, semalam.
Pemimpin Ikhwanul Muslimin Mesir itu menyifatkan sokongan dan dokongan yang tidak berbelah bahagi PAS kepada Ikhwan telah memberi semangat yang kuat kepada sahabat-sahabat di Mesir bagi meneruskan agenda perubaha secara aman walaupun berhadapan dengan pelbagai tekanan dan ujian yang amat berat.
Menurut beliau, ramai di kalangan pemimpin Ikhwan yang dibunuh secara kejam dan ribuan kini ditahan di penjara seluruh Mesir sebaik selepas rampasan kuasa (kudeta) tentera yang menggulingkan Presidan Mohamad Morsi.
Beliau juga mengharapkan ahli PAS sentiasa mendoakan kesabaran kepada anggota Ikhwanul Muslimin yang sedang menghadapi ujian.
"Kami sudah biasa di penjara dan diseksa dengan kejam oleh rejim yang ganas. Hanya kesabaran dan keyakinan kepada janji-janji Allah SWT menjadi senjata kami.
"Kami yakin dengan janji-janji Allah SWT, detik-detik kemenangan akan pasti datang dengan kesabaran dalam ujian yang amat mencabar ini. Doakan kesabaran kami dalam menghadapi ujian ini," ujar beliau.
Sementara itu, Salahuddin sekali lagi mengulangi penegasan PAS untuk berdiri teguh bersama Ikhwan Muslimin bagi memperjuangkan masyarakat Islam yang adil dan saksama secara demokratik dan aman.
"Sumbangan yang kecil ini adalah sedikit rasa perkongsian kesedihan dan tangisan umat Islam seluruh dunia terhadap ujian besar yang dihadapi oleh rakyat Mesir selain doa dan munajat yang dipanjatkan setiap hari untuk kesejahteraan mereka di sana," katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat, Dr Syed Azman Syed Ahmad, mengharapkan setiap ahli PAS serta rakyat Malaysia terus membantu rakyat Mesir serta mendoakan kesabaran kepada Ikhwanul Muslimin yang sedang menghadapi ujian yang amat berat.
"PAS tidak akan sekali-kali meninggalkan tanggung jawab membantu sahabat-sahabat di Mesir di waktu mereka sedang di uji dengan ujian yang amat mencabar ini," katanya.
Sumbangan kepada Tabung Kemanusiaan Mesir boleh disalurkan ke akaun Maybank 5640 7070 3248 atas nama Parti Islam Se-Malaysia. - HARAKAHDAILY, 23/5/2014
Sumber HD - 23-5-2014
Ukraine: Krisis terbesar Amerika-Rusia abad ini
- Apr 22, 2014
- DR SYED AZMAN SYED AHMAD|syedazmans@yahoo.co.uk
PERANG Dingin antara blok Barat yang diketuai Amerika Syarikat dengan Soviet Union telah lama berakhir. Namun kepentingan dan sentimen permusuhan antara kedua-dua Kuasa Besar Dunia itu masih segar dalam minda pimpinan dan rakyat di negara terbabit.
Kini di Ukraine, hal ini terbukti apabila negara bekas Soviet itu dilanda satu krisis politik yang boleh mengakibatkan perang besar di antara kedua-dua Kuasa Besar dunia.
Persoalannya, kenapakah Rusia telah bertindak dengan melakukan campur tangan ketenteraan ke atas semenanjung Crimea di Ukraine? Tidakkah tindakan keras ini akan mengundang satu lagi krisis dunia yang amat merbahaya? Dan apakah akan berlakunya perang besar di wilayah yang sedang bergolak ini?
Blok Barat melihat apa yang berlaku di Ukraine sebagai pencerobohan sebuah negara ke atas kemerdekaan dan kedaulatan sebuah negara lain. Malah Setiausaha Luar British, William Hague dengan penuh kebimbangan menyatakan bahawa; “kekacauan dan krisis politik yang melanda Ukraine sekarang adalah krisis yang terbesar di Eropah pada abad ke-21 ini”.
Kenapa Crimea?
Berpandukan kepada fakta sejarah, Crimea adalah wilayah yang dihadiahkan oleh Kesatuan Soviet kepada Ukraine pada dekad 1950-an selepas Ukraine bersetuju menjadi sebahagian daripada Kesatuan itu.
Bagaimanapun apabila empayar Soviet hancur pada tahun 1991, Ukraine telah mengisytiharkan kemerdekaan mereka sendiri. Walaupun merdeka, Ukraine masih terlalu banyak bergantung hidup kepada Rusia. Malahan Rusia terus mengekalkan pangkalan tentera laut yang besar di Crimea sehingga sekarang.
Kenapa Krisis berlaku?
Ketegangan mula tercetus apabila bekas Presiden Ukraine yang pro-Rusia, Viktor Yanukovych digulingkan oleh anggota-anggota Parlimen yang memilih Oleksandr Turchynovse sebagai presiden sementara.
Pimpinan baru ini dilihat rapat dengan Amerika Syarikat dan pro-EU. Disebabkan penggulingan pemimpin yang pro-Rusia itu, timbul desakan daripada penduduk dalam kalangan etnik Rusia supaya wilayah autonomi tersebut menarik diri atau keluar dari Ukraine.
Kenapakah Rusia mengambil risiko untuk melakukan campur tangan ketenteraan ke atas semenanjung Crimea di Ukraine?
Presiden Vladimir Putin dan Rusia telah dikecam hebat oleh UN dan EU dengan amaran pengasingan politik dan ekonomi yang mungkin dikenakan terhadap mereka. Namun mereka tetap mengambil ‘langkah ketenteraan’ ini untuk ‘menakluk’ kembali sebahagian dari wilayah Ukraine.
Presiden Putin juga sedar bahawa mungkin dengan tindakan ketenteraan ini mereka akan kehilangan kerusi dalam G8 iaitu lapan negara paling berkuasa di dunia jika meneruskan tindak-tanduk agresif di Ukraine.
Putin menegaskan bahawa Rusia terpaksa bertindak di Crimea sebagai langkah untuk melindungi keselamatan etnik Rusia yang berjumlah lebih 60 peratus di semenanjung itu. Mereka telah lama tinggal di sana dan menganggap wilayah ini adalah sebahagian dari wilayah mereka sendiri.
Namun apa yang pasti, selain dari sebab-sebab etno-budaya menjadi alasan Moscow untuk mengekalkan pengaruhnya di Crimea, 2 alasan terpenting adalah;
1. Kepentingan ekonomi
Ekonomi Rusia kini sangat bergantung pada penjualan gas ke Eropah. Adalah dianggarken kini lebih dari 70 peratus dari gas yang di eksport ke Eropah terpaksa melalui saluran paip gas melalui sebahagian dari negara Ukraine. Pelabuhan Sevastopol ini juga menjadi pusat penyaluran gas dan minyak ke sebahagian besar negara Ukraine.
2. Lokasi strategik Pelabuhan Sevastopol
Pelabuhan ketenteraan ini telah menjadi pangkalan tentera laut Rusia sejak dari tahun 1783 lagi. Catatan menunjukkan, armada ketenteraan Rusia yang berpengkalan di Sevastopol di Laut Hitam adalah amat penting bagi Rusia untuk menghadapi sebarang kemungkinan serangan dari pihak musuh.
Apah kesudahannya krisis di Ukraine?
Akibat dari krisis ini, hubungan di antara Rusia dan Amerika Syarikat kini menjadi semakin tegang.
Amerika Syarikat berkemungkinan akan ‘membantu’ Ukraine untuk memulihkan keadaan di sana.
Ramai pemerhati melihat oleh kerana kebanyakan negara yang bersempadan dengan Ukraine adalah sekutu Amerika Syarikat (termasuk Romania, Hungary, Poland, dan Slovenia), Amerika Syarikat berkemungkinan besar akan membantu pentadbiran di Ukraine bukan sahaja dalam bentuk bantuan ekonomi tetapi juga secara ketenteraan.
Namun ramai pemerhati melihat bahawa Presiden Putin tidak akan berganjak dengan sikap keras beliau.
Rusia dijangka akan terus ‘menakluk’ kembali bukan sahaja wilayah Crimea yang kini di bawah pentadbiran Rusia; tetapi juga sebahagian besar wilayah di Timur Ukraine yang dianggap sebagai sebahagian dari Rusia.
Persoalannya, apakah kesudahan ketegangan yang sedang berlaku di Ukraine ini? Apakah akan berlaku ‘perang proksi terbesar’ di antara kedua-dua kuasa besar ini selepas apa yang sedang berlaku di Syria?
_______________
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Antarabangsa PAS Pusat
Sumber HD - 22-4-2014
Pasca Arab Spring dan ”bahaya dari gunung”
- Apr 09, 2014
- DR SYED AZMAN SYED AHMAD| syedazmans@yahoo.co.uk
Bermula dari Sidi Bouzid sebuah bandar kecil di Tunisia, ia terus merebak ke Moroko, Libya, Syria, Mesir dan negara-negra Arab lain. Tuntutan mereka adalah perubahan politik yang lebih besar serta kembali kepada asas sistem demokrasi yang bertunjangkan rakyat.
Perubahan ini juga telah memberi nafas baru kepada pertubuhan Ikhwan Muslimin. Gerakan ini yang telah sejak sekian lama dinafikan hak mereka, kembali bergiat secara terbuka dan berjaya menguasai kepimpinan politik di beberapa negara seperti Moroko, Tunisia dan Mesir. Di Mesir, Presiden Mubarak telah digulingkan selepas berlakunya kebangkitan rakyat yang keluar ke jalan-jalanraya membantah pemerintahan diktator beliau.
Namun perubahan ’Arab Spring’ ini amat menggerunkan pemimpin-pemimpin di negara-negara Teluk seperti UAE, Bahrain, Kuwait, Jordan dan Arab Saudi. Ini ditambah lagi dengan apa yang dilihat sebagai ’kebangkitan semula Ikhwan Muslimin’ di dunia Arab. Negara-negara teluk yang kaya dengan hasil minyak dan gas ini juga telah lama menjadi sekutu rapat pemerintah Amerika Syarikat dan Kuasa Barat.
NASIB GERAKAN ISLAM
Kini segala-galanya telah berubah. Kerajaan Presiden Morsi yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya yang adil hanya mampu bertahan selama setahun sahaja. Beliau telah diguling oleh junta tentera yang di ketuai Jeneral Abdul Fattah Sisi.
Di Tunisia, pelbagai cara juga telah digunakan bagi ’melemahkan’ serta ’mensabotaj’ kerajaan yang di kuasai oleh parti Nahdah yang dilihat rapat dengan Ikhwan sehingga memaksa mereka ’berundur’ dari menerajui kerajaan di Tunisia.
Begitu juga dengan apa yang berlaku di Moroko. Institusi kerajaan yang masih ’setia’ dengan pemerintah diktator di negara-negara tersebut seperti badan kehakiman, ekonomi dan pelaburan serta polis dan tentera telah digunakan sepenuhnya bagi menjatuhkan kerajaan yang di pimpin oleh Ikhwan Muslimin.
Malah perkembangan terbaru kini, selain dari junta tentera di Mesir, Kerajaan Arab Saudi dan UAE juga telah menyenaraikan Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi ‘pengganas’ kerana dilihat memberi ancaman kepada kepentingan pemerintahan ‘monarki’ mereka serta negara antarabangsa.
KEPENTINGAN STRATEGIK AMERIKA
Di Britain, Perdana Menteri David Cameron juga turut mengarahkan pihak keselamatan negara tersebut melakukan penyiasatan rapi keatas kegiatan Ikhwan Muslimin di negara tersebut kerana di syaki terlibat dalam kegiatan ’terroris’ serta membantu kelompok ekstremis melakukan keganasan di Mesir.
Amerika Syarikat pula dengan keringat pakar-pakar strategik mereka juga telah membuat penilaian semula terhadap ruang demokrasi yang ’dibenarkan’ sejak Arab Spring ini serta kesan kemenangan parti-parti Islam dalam pilihanraya di Timur Tengah. Namun realitinya kepentingan strategik Amerika Syarikat mengatasi proses pendemokrasian yang mereka war-warkan sendiri.
Kini Ikhwan Muslimin berada di ”kandang orang salah” walaupun sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah menunjukkan sifat toleransi dan kesabaran yang tinggi. Pertubuhan ini telah sejak sekian lama bergiat cergas diserata dunia secara aman dah telah menyumbang kepada dunia Islam. Mereka tetap konsisten bersama terlibat secara aman walaupun ramai kalangan pimpinan mereka yang dibunuh dan di penjara.
Ikhwan Muslimin juga telah sejak sekian lama terlibat dalam proses demokrasi di negara-negara seperti Jordan, Yemen, Kuwait dan Bahrain. Mereka telah terbukti melakukan perubahan sosial dan politik secara aman. Pertubuhan ini telah sejak sekian lama bergiat cergas diserata dunia dan telah menyumbang kepada dunia Islam. Mereka tetap konsisten bersama terlibat secara aman walaupun ramai kalangan pimpinan mereka yang dibunuh dan di penjara.
REFORMASI POLITIK
Realitinya, walaupun agenda reformasi politik Ikhwan Muslimin adalah secara aman dan melalui demokrasi, namun mereka seolah-olah dilihat tidak mempunyai tempat di dalam politik demokrasi. Kayu-ukur yang digunakan oleh Amerika Syarikat bagi melaksanakan keadilan antarabangsa ini terutamanya terhadap Ikhwan Muslimin adalah menjaga kepentingan ‘minyak’, melindungi negara Zionis Israel serta meneruskan hegemoni mereka terhadap negara-negara umat Islam.
Ya, inilah nasib Ikhwan Muslimin dan mana-mana parti Islam didalam mengharungi kancah politik dunia kini. Walaupun ia bergerak secara aman dan menolak kekerasan; ia akan tetap dilihat sebagai ancaman yang amat bahaya sebagaimana penjajah British menilai kewujudan Hizbul Muslimin di Tanah Melayu sebagai ”bahaya dari Gunung”.
____________________
Penulis ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok.
Sumber HD - 9-4-2014
No comments:
Post a Comment