FB PAS NEGERI SELANGOR

FB PAS NEGERI SELANGOR
FB BPPNS - BERKOMUNIKASI SECARA CEPAT DAN MUDAH

Wednesday, February 5, 2014

SPR (JILID 2)


PUTRAJAYA: Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil (PRK) DUN Kajang ialah RM1.6 juta, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusoff.

SPR mengumumkan hari ini bahawa PRK DUN ditetapkan pada 23 Mac manakala penamaan calon pada 11 Mac.

Bercakap dalam satu sidang akhbar di Putrajaya hari ini, beliau berkata, 39,278 pemilih berdaftar layak mengundi dalam PRK tersebut, termasuk 1,197 pengundi awal dan 26 pengundi dalam kategori tidak hadir atau berada di luar negara.

"Anggaran kos perbelanjaan bagi pilihan raya kecil ini ialah RM1.6 juta," katanya dalam persidangan media selepas mempengerusikan mesyuarat khas bagi membincangkan kekosongan kerusi DUN Kajang, Selangor berikutan perletakan jawatan secara mengejut wakil rakyat PKR Lee Chin Cheh pada 27 Januari.

Beliau berkata daftar pemilih yang akan digunakan untuk pilihan raya kecil ini ialah Daftar Pemilih Induk 2012 bagi bahagian pilihan raya berkenaan yang digabungkan dengan Daftar-Daftar Pemilih Tambahan Suku Tahun Pertama 2013, Suku Tahun Kedua 2013 dan suku tahun ketiga 2013 yang dikemaskini sehingga 26 Januari 2014, iaitu sehari sebelum peletakan jawatan penyandang.

Lee menang kerusi DUN Kajang pada Pilihan raya Umum ke-13 Mei tahun lepas dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru melibatkan Barisan Nasional (BN), Berjasa dan tiga calon bebas.

PKR telah menamakan Ketua Umumnya Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai calon parti itu untuk bertanding dalam pilihan raya kecil 23 Mac.

Abdul Aziz berkata Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kajang Datuk Hassan Nawawi Abdul Rahman dilantik sebagai pengurus pilihan raya dan beliau akan dibantu oleh tiga penolong pegawai pengurus.

Beliau berkata 673 petugas pilihan raya pula dilantik untuk mengendalikan proses pilihan raya dan Kompleks Sukan MPKJ, Seksyen 15 Bandar Baru Bangi dipilih sebagai pusat penamaan calon serta pusat penjumlahan rasmi undi.

"Sebanyak 18 pusat mengundi akan dibuka untuk tujuan pengundian, iaitu tiga pusat mengundi bagi undi awal, dan 15 pusat mengundi bagi pengundian biasa.

"Tarikh keluar writ ialah 5 Feb (iaitu) hari ini, manakala tarikh notis pilihan raya pada 6 Feb, tarikh penamaan calon 11 Mac, tarikh pengundian awal 19 Mac dan tarikh pengundian biasa 23 Mac," katanya.

Semasa sesi soal jawab, Abdul Aziz berkata pihaknya memerlukan masa untuk membuat banyak perkara bagi memastikan pilihan raya kecil itu berjalan lancar.

"...banyak persediaan perlu dibuat. SPR tidak menjangka langsung adanya PRK ini. Kami memberi tumpuan kepada urusan lain di bawah tanggungjawab SPR.

"Bila ada pengumuman yang tidak disangka, ada wakil rakyat meletak jawatan, kita kena ubah ‘gear’, ubah semua sekali untuk membuat persediaan," katanya.- BERNAMA

Sumber HD - 5-2-2014

No comments:

Post a Comment