FB PAS NEGERI SELANGOR

FB PAS NEGERI SELANGOR
FB BPPNS - BERKOMUNIKASI SECARA CEPAT DAN MUDAH

Sunday, February 23, 2014

LAJNAH KEBAJIKAN DAN KEMASYARAKATAN - YB DR SITI MARIAH MAHAMUD (JILID2)


SHAH ALAM: Lajnah Kebajikan dan Kemasyarakatan PAS Pusat (LKKP) akan mewujudkan 'Tabung Murabitun' bagi menampung keperluan petugas parti sepenuh masa dan ahli-ahli yang kurang berkemampuan.

Pengerusi LKKP, Dr Siti Mariah Mahmud (gambar) berkata, dalam pada melakukan kebajikan kepada masyarakat, LKKP akan turut memberikan perhatian yang serius kepada kebajikan ahli sendiri.

Beliau berkata, tabung khusus untuk menyokong pendapatan petugas parti amat penting supaya mereka tidak berasa diabaikan dan dapat melaksanakan tugas parti tanpa gangguan masalah kewangan.

"Tabung murabitun ini khusus untuk menampung keperluan petugas sepenuh masa PAS, untuk keperluan ahli keluarga mereka dan duit tabung juga akan disalurkan kepada ahli yang menghadapi masalah kewangan untuk membantu parti.

"Kita tidak mahu lajnah kebajikan hanya membantu masyarakat di luar sedangkan kebajikan petugas dan ahli kita sendiri terabai. Tabung ini memang khusus untuk keperluan petugas parti," katanya pada Retreat LKKKP di Hotel De Palma, dekat sini semalam.

Selain itu, LKKP juga akan menitikberatkan pendidikan anak-anak ahli PAS dengan mengadakan program-program akademik dan pembentukan akhlak dan sahsiah setiap kali cuti sekolah.

Bagi mencapai matlamat ini, LKKP akan bekerjasama dengan beberapa konsultan bagi mengadakan Kem Anak Soleh mengikut peringkat umur, dua kali setahun.

"Ada di kalangan ahli kita tidak mampu menghantar anak-anak mereka ke kem cuti sekolah kerana yuran yang mahal, jadi kita akan kumpul anak-anak yang kurang berkemampuan dan hantar ke Kem Anak Soleh setiap kali cuti sekolah pada bulan Mei dan hujung tahun.

"Kita akan tanggung kos dan mungkin mereka kena bayar 20 peratus sahaja daripada kos yang dikenakan. Ini bagi memastikan anak-anak ahli juga berpeluang menyertai kem sebagai nilai tambah kepada diri mereka," katanya lagi.

Sebanyak 12 unit dalam LKKP berjaya membentangkan hala tuju dan pelan tindakan mereka pada retreat hampir sehari itu.

Unit-unit dalam LKKP ialah Unit Semarak Kasih Ramadan, Qurban Perdana, Skuad Prihatin, Baitul Muslim, Kem Anak Soleh, Sekretariat Prihatin OKU, Ziarah Prihatin, Jaringan Kebajikan Sivil @ NGO, Asnaf, Kebajikan Antarabangsa (Mustadh'afin), Dana dan unit dokumentasi.

Retreat dihadiri wakil-wakil LKKP Pusat selain wakil-wakil LKKP negeri-negeri.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi LKKP, Dr Riduan Mohd Nor berkata, LKKP akan bergerak aktif dengan jaringan NGO dalam dan luar negara bagi mengembangkan lagi kebajikan kepada masyarakat.

"Di Malaysia ada banyak NGO berbentuk kebajikan dan LKKP akan mengadakan kerjasama dengan mereka bagi memudahkan saluran bantuan kepada masyarakat dalam negara dan juga luar negara seperti Syria, Palestin dan Myanmar kerana kebajikan dan dakwah kita merentas sempadan," katanya.

Dalam pada itu, selama enam tahun berturut-turut LKKP mengadakan program Semarak Kasih Ramadan Lorong Haji Taib sehingga program tersebut menjadi sebutan dan ditunggu-tunggu warga Lorong Haji Taib setiap kali tibanya Ramadan.

"Program ini bermula sewaktu Allahyarham Dr Lo' Lo' pegang LKKP lagi dan beliau yang memulakan program ini.

"Pada mulanya agak sukar untuk mendekati dan menarik pekerja-pekerja seks, anak-anak gelandangan di Lorong Haji Taib untuk bersama kita tapi tahun demi tahun, mereka semakin mesra dan tidak takut lagi untuk mendekati kita.

"Ini satu kejayaan bagi LKKP dalam mendekati masyarakat bermasalah kerana kebajikan dan dakwah kita bukan boleh dilakukan dalam sekelip mata tetapi untuk kesan jangka masa panjang juga," kata Dr. Mariah.

Sumber HD - 23-2-2014

No comments:

Post a Comment