FB PAS NEGERI SELANGOR

FB PAS NEGERI SELANGOR
FB BPPNS - BERKOMUNIKASI SECARA CEPAT DAN MUDAH

Monday, January 20, 2014

PAS WILAYAH PERSEKUTUAN (JILID 2)


KUALA LUMPUR: Dewan Pemuda PAS Wilayah Persekutuan (DPPWP) akan membuat laporan polis dan berjumpa dengan pihak Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dengan Projek Pembangunan Taman Dusun Bandar (City Orchard Park) di Jalan Bellamy, di sini.

Menurut Timbalan Ketuanya, Nurul Islam Mohammed Yusof pada 17 November lalu, DPPWP telah membuat sidang akhbar berhubung penemuan audit yang telah dilakukan sepertimana yang dilaporkan oleh Laporan Ketua Audit Negara 2012 mengenai Aktiviti Kementerian/Jabatan dan Pengurusan Syarikat Kerajaan Persekutuan Siri 1, muka surat 153 hingga 181 di bawah Kementerian Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar.

Menurutnya, perkara tersebut masih lagi didiamkan oleh pihak-pihak terbabit dan DPPWP mengambil ketetapan untuk membuat laporan polis bagi menggesa untuk menjalankan siasatan serta berjumpa dengan pihak SPRM bagi mendapatkan maklumat sama ada mengenai status pendedahan laporan audit berkenaan.

“Tindakan ini dilakukan untuk mendapatkan kebenaran sebenar dan bagi memastikan duit rakyat disalurkan kepada saluran yang betul,” ujarnya dalam satu kenyataan.

Beliau berkata, berikut merupakan isu yang akan dikemukakan kepada pihak polis dan SPRM untuk siasatan:

1. Kontrak bernilai RM17.25 juta telah diberikan kepada Tetuan Zikhtar Associates Sdn Bhd (ZASB) yang dilantik melalui kaedah rundingan terus. Berdasarkan Surat Ketua Setiausaha Perbendaharaan bertarikh 17 April 2002 mengenai Garis Panduan Permohonan Perolehan Secara Rundingan Terus, perolehan secara rundingan terus hanya boleh dilaksanakan setelah mendapat kelulusan daripada Kementerian Kewangan. Perolehan tersebut juga hanya boleh dipertimbangkan atas kriteria tertentu seperti keperluan mendesak, melibatkan keselamatan/strategik dan kontraktor terlibat adalah terhad.

2. Penemuan audit mendapati Tetuan Zikhtar Associates Sdn Bhd dan perunding arkitek landskap iaitu Gold Green Associates Sdn Bhd (GGASB) tidak mempunyai kepakaran khusus dalam pembangunan dusun. Berdasarkan semakan terhadap profil syarikat semasa lantikan, hanya 18% daripada projek kendalian ZASB melibatkan taman rekreasi, namun hanya terhad kepada kerja menanam dan memotong rumput di kawasan rizab jalan. Manakala hanya 8% daripada projek kendalian GGASB melibatkan taman rekreasi, namun hanya terhad kepada padang golf. Apakah justifikasi kontrak projek ini diberikan kepada ZASB?

3. Jumlah rizab tanah yang telah diluluskan untuk projek tersebut. Berdasarkan maklum balas yang diberikan oleh DBKL pada 21 Mac 2013, keluasan projek tersebut menjangkau kepada 76,890.34 meter persegi setelah persempadanan semula dimuktamadkan berbanding hanya 26,951 meter persegi pada asalnya. Dimaklumkan juga, sebahagian besar daripada tapak cadangan pembangunan projek berkenaan berada di luar rizab tanah yang diluluskan dan beberapa kawasan yang hendak dibangunkan oleh DBKL dimiliki oleh agensi lain seperti Jabatan Perdana Menteri, Jabatan Alam Sekitar dan Telekom Malaysia Berhad. Adakah pemilikan tanah tersebut menepati Pekeliling Pesuruhjaya Tanah Persekutuan Bil. 1 Tahun 2003 dan adakah penilaian awal telah dilakukan dengan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Wilayah Persekutuan (JKPTG) yang meliputi status pemilikan, aksesibiliti, kesesuaian lokasi, keadaan fizikal tanah dan perancangan guna tanah sekitarnya.

4. Kontrak pembekalan seperti landskap lembut (softscape) dan landskap kejur (hardscape) tidak mengikut spesifikasi yang ditetapkan malah harganya tidak munasabah. Contoh, kontraktor perlu membekalkan 6 komponen peralatan playground dengan kos berjumlah RM194,200. Namun, penemuan audit mendapati hanya satu komponen sahaja dibekalkan dengan kos yang lebih tinggi iaitu RM230,000. Siasatan perlu dilakukan terhadap sub kontraktor yang membekalkan komponen landskap berkenaan.

Justeru, kata beliau pihaknya mengharapkan agar pihak polis dan SPRM dapat memulakan penyiasatan segera kerana ia melibatkan kepentingan awam.

Beliau berkata, DBKL juga seharusnya bertindak dengan lebih cermat dalam mengurus kewangan dan peruntukan yang diberikan.

Sumber HD - 20-1-2014


Perantau Zon Gombak-Cheras dilancar





GOMBAK: Persatuan Anak Terengganu di Perantauan (Perantau) di Selangor dan Wilayah Persekutuan telah menganjurkan majlis hi-tea bersama Pesuruhjaya PAS Wilayah Persekutuan, Mohd Nor Mohamad di Kolej Universiti Islam Zulkifli Mohamad (KUIZM) di sini, semalam.

Program sempena Pelancaran Perantau Zon Gombak-Cheras disertai kira-kira 50 orang daripada anak-anak Terengganu yang menetap di Gombak-Cheras untuk menubuhkan cawangan Perantau yang pertama di Selangor dan Wilayah Persekutuan.

Mohd Noor dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada penganjur yang menjemput beliau merasmikan penubuhan Perantau Zon Gombak-Cheras dan berharap Perantau mendapatkan maklumat rasmi tentang PAS daripada sumber yang rasmi seperti akhbar Harakah dan Harakahdaily.

Beiau juga berharap Perantau bukan sahaja membantu menyampaikan maklumat yang tepat berkenaan dengan PAS kepada kaum keluarga dan sahabat handai di Terengganu tetapi juga membantu PAS di mana mereka bermastautin sekarang.

Menurut Pengarah Program, Zulkifli Abdul Razak,yang dilantik sebagai Ketua Penaja Perantau Gombak-Cheras, program yang julung kalinya diadakan itu membuktikan sokongan anak Terengganu di perantauan makin teguh bersama dengan Perantau.

Ceramah Maulidur Rasul sempena program itu disampaikan oleh Ustaz Mohd Khalil Abdul Hadi selepas sholat Maghrib berjemaah di Surau Hassan Shukri.

Sebelum itu, Dr Riduan Mohd Noor telah memberikan tazkirah berhubung dengan perjuangan Islam di bumi Terengganu.

Turut hadir memeriahkan majlis adalah Datuk Ismail Hamzah, mantan TKSU Kementerian Dalam Negeri (KDN) serta Setiausaha Perantau Pusat, Suhaimi Embong.

Sumber HD - 19-1-2014

No comments:

Post a Comment