Masa harga getah turun mengapa tak puji kerajaan?
- Apr 23, 2014
- http://omakkau.blogspot.com
EDISI RAKYAT YANG TIDAK TAHU BERSYUKUR DAN BERTERIMA KASIH ???? ... MASA HARGA GETAH TURUN MENGAPA TIDAK PUJI KERAJAAN .. INI TIDAK ADIL!!!!
Inilah dia rakyat yang tidak tahu bersyukur dan berterima kasih dengan kerajaan UMNO/BN pimpinan Najib Razak ... sanggup melakukan "bughah" marahkan kerajaan UMNO/BN kerana harga getah turun .. Ini tidak adil!!!!
Itu menunjukkan betapa kehebatan kerajaan UMNO/BN sehingga mampu menurunkan harga getah sehingga menjadi RM1.80sen sekilo.
Pemandangan di atas ialah sekelompok warga peneroka Felda Kg New Zealand, Maran, Pahang yang berani membuat demo dan bantahan aman kerana kerajaan UMNO/BN pimpinan Najib Razak langsung dilihat macam tidak mempedulikan nasib mereka khasnya dan rakyat luar bandar dan kampung lain yang hidup bergantung kepada hasil getah.
Penderitaan dan kesengsaraan mereka tidak mendapat pembelaan sedangkan kelompok inilah yang cukup kuat menyokong UMNO/BN PRU 13 lalu .. kelompok yang bersusah payah memastikan UMNO/BN terus berkuasa di Putrajaya.
Apabila mereka kini sedang susah para pemimpin UMNO/BN semacam tidak ambil endah.
Lakukan sesuatu .. belalah nasib mereka .. kurang beban dan penderitaan kelompk warga yang berjuang untuk UMNO sekian lama ini. Masyarakat Melayu di kampung amat sukar nak berdemo tapi kalau sampai mereka berani berkumpul dan berdemo membuat "bughah" ertinya kesabaran mereka sudah tercabar dan sampai kemuncaknya.
# Harakahdaily tidak bertanggungjawab di atas segala info yang ditulis oleh pihak pengendali blog. Pandangan penulis blog tidak mewakili Harakahdaily
Sumber HD - 23-4-2014
Akhirnya k'jaan timbang wujud harga lantai getah
- Apr 08, 2014
- HARAKAHDAILY
Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Douglas Uggah Embas berkata kerajaan melalui kementerian itu telah mengadakan satu makmal pada Mac lalu untuk membincangkan mekanisme 'Social Safety Net' yang sesuai sebagai satu pendekatan membantu pekebun kecil.
"Cadangan-cadangan (dalam makmal) ini sedang dalam pertimbangan kerajaan dan sama ada kita akan melaksanakan harga lantai atau tidak bergantung kepada hasil rumusan makmal ini," katanya dalam jawapan bertulis kepada soalan Datuk Nawawi Ahmad (BN-Langkawi) di Dewan Rakyat di sini, hari ini.
Nawawi ingin tahu perancangan kementerian untuk menetapkan harga lantai atau cara lain yang difikirkan sesuai agar pihak pekebun getah menerima pendapatan yang stabil bagi menampung kehidupan keluarga mereka.
Uggah berkata kerajaan turut mengkaji opsyen yang sesuai termasuk menggalakkan aktiviti sampingan bagi menjana pendapatan tambahan kepada pekebun kecil getah untuk menangani kesan negatif daripada penurunan harga dan pendapatan. - Bernama
Sumber HD - 8-4-2014
Bela derita pekebun getah, solidariti 5 April di Baling
- Apr 02, 2014
- HARAKAHDAILY
KUALA LUMPUR: Derita pekebun getah ketika zaman kejatuhan harga komoditi itu pada 1974, yang menyaksikan mereka bangkit melalui Demonstrasi Baling, memang sukar untuk dilupakan.
Biarpun sudah mencecah 40 tahun sejarah itu berlaku, namun keperitan serupa kini kembali mencengkam para pekebun getah sejak beberapa bulan lalu.
Para pekebun kita kini terpaksa melalui fasa kehidupan yang sukar apabila harga getah jatuh mendadak, dan tiada pembelaan daripada kerajaan untuk mencari penyelesaian.
Kini suara-suara kecewa mula berteriak, tidak tahan lagi dengan keadaan yang tak tahu bila akan berkesudahan ini.
Mereka sudah bersedia, untuk memperjuangkan hak mereka seperti apa yang pernah dilakukan orang tua mereka satu ketika dahulu.
Himpunan 'Nostalgia 40 tahun Demonstrasi Baling' yang akan diadakan pada 5 April ini di Baling, bakal menjadi medan luahan rasa perit mereka.
Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiat, pekebun getah kini terpaksa berdepan kerugian setiap kali menjual getah atau lebih tepat "tak balik modal".
Katanya, kos yang ditanggung pekebun getah bagi mendapatkan sekilogram getah skrap adalah RM2.80.
Bagaimanapun getah mereka hanya akan debeli dengan harga RM2.30 sekilogram apabila mereka menjualnya.
"Setiap satu kilogram, mereka akan rugi 50 sen. Memamg tak masuk akal, harga modal tak dapat, malah jatuh ke rugi," katanya kepada Harakahdaily.
Menurut beliau lagi, kerajaan sewajarnya memandang berat nasib warga pekebun getah ini kerana mereka juga aset penting kepada negara.
Suhaizan menjelaskan, pekebun getah ini memberi sumbangan yang besar kepada pendapatan negara dalam bentuk hasil eksport getah.
"Kenapa tak boleh nak bantu mereka sedangkan mereka sudah memberi sumbangan kepada negara.
"Keringat mereka diperah, tapi apa balsan yang mereka dapat," soal Suhaizan lagi.
Himpunan Nostalgia 40 tahun Demonstrasi Baling dianjurkan PAS Kedah bersama NGO rakyat yang prihatin.
Ianya sebagai mengimbau kembali keperitan rakyat Baling telah hidup dalam kemiskinan, ekoran kejatuhan harga getah.
Perhimpunan itu akan bermula jam dua petang dan dijangka berlangsung sehingga lewat malam.
Selain Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, turut dijangka hadir Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Sumber HD - 2-4-2014
Getah: Pekebun tanggung kos tak wajar
- Mar 31, 2014
- ANIS NAZRI
Selain memberi kuasa kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) mendapatkan dokumen kontrak syarikat yang menjadi rujukan harga purata getah, Pemuda PAS turut mendesak kerajaan menetapkan harga lantai yang munasabah bagi pekebun kecil getah, menetapkan harga kos atau harga kilang pada aras RM1 bagi setiap kilogram getah.
Ketuanya, Suhaizan Kaiat, turut menyeru kerajaan agar mengkaji kesesuaian pekebun menanggung kos penyelidikan dan kos tanaman semula dalam keadaan harga getah yang sangat rendah serta memberi bantuan jangka pendek kepada pekebun kecil.
"Berdasarkan rujukan kami di laman web LGM, kami mendapati penentuan harga pekebun kecil mengikut harga getah SMR20. Terdapat 11 syarikat yang menawarkan harga bagi penentuan harga getah, namun LGM hanya menentukan purata harga tawaran belian getah daripada 11 syarikat tersebut yang dijadikan harga getah harian SMR20," kata beliau pada satu sidang media, di Pusat Media PAS, hari ini.
Tambah beliau, pihak LGM sebagai mewakili kerajaan Malaysia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk mengesahkan sama ada harga tawaran yang diberikan syarikat itu mengikut harga pasaran sebenar ataupun tidak.
Beliau turut menyatakan, berdasarkan semakan harga SMR20 pada bulan Januari, Februari dan Mac 2014, terdapat hanya tiga syarikat yang menawarkan harga di atas purata berbanding lapan syarikat yang menawarkan harga di bawah purata.
"Keadaan ini menjadikan semakin rendah tawaran dan semakin banyak syarikat yang menawarkan harga rendah, maka semakin rendahlah purata harga SMR20. Apabila harga SMR20 rendah maka pekebun-pekebun kecil akan menerima harga yang rendah," jelas beliau lagi.
Tambah Suhaizan lagi, perbezaan antara tawaran harga daripada syarikat yang paling tinggi dengan yang paling rendah juga ketara iaitu pada bulan Januari sebanyak 64 sen, Februari sebanyak 51 sen dan Mac sebanyak 44 sen bagi setiap kilo SMR 20.
Dalam pada itu, Suhaizan beranggapan pekebun kecil seumpama tempat pelupusan beban pengilang dan kerajaan apabila mereka terpaksa menangung kos proses kilang, kos penyelidikan dan kos tanaman semula.
Malah, katanya mereka juga terpaksa menanggung kerugian apabila harga modal bagi satu kilogram 'cuplump' adalah RM2.80, sementara berdasarkan Memorandum Pekebun Kecil Getah Generasi Ke-2 Kampung Nyalas Melaka adalah RM3.21.
"Jika mengikut harga modal yang ditetapkan oleh LGM pun pekebun kecil sudah rugi RM0.47 bagi setiap kilogram 'cuplump'.
"Justeru, kami menuntut kerajaan untuk memenuhi lima tuntutan di atas bagi memastikan golongan ini benar-benar dapat dijamin kehidupan mereka," tegas beliau.
Sumber HD - 31-3-2014
Getah: Majoriti bawah paras miskin, kais pagi makan pagi
- Mar 07, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR: Majoriti penoreh getah di seluruh negara berada di bawah paras kemiskinan apabila pendapatan bulanan mereka hanya sekitar RM500 hingga RM600 sebulan.
Menurut Pengerusi Gerakan Pekebun Kecil Getah Gen 2, Kampung Nyalas, Melaka, Abdul Halim Majid, kejatuhan harga getah sehingga RM2.40 sekilogram ditambah musim kemarau amat menjejaskan pendapatan harian dan bulanan penoreh getah.
Lebih terjejas ialah pekebun kecil getah yang mengupah orang lain menoreh getah kerana hasil yang tidak seberapa terpaksa dibahagi dua.
"Dengan kejatuhan harga getah sekarang memang rata-rata pekebun kecil yang memiliki kebun sekitar empat hingga lima ekar memang di bawah paras kemiskinan.
"Mereka dengan pendapatan RM500 hingga RM600 sebulan. Itu yang kebun sendiri dan usahakan sendiri. Bagi yang kebun sendiri tapi tak mampu nak usahakan sendiri dan minta orang lain usahakan, terpaksa bahagai dua jadi masing-masing dapat RM200 hingga RM300 sebulan," kata beliau ketika ditemui selepas sesi dialog bersama Lembaga Getah Malaysia (LGM) di Jalan Ampang, dekat sini semalam.
Sesi dialog dan penyerahan meorandum itu turut diwakili Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kaiyat.
Abdul Halim yang juga penoreh getah turut berkata, walaupun terdapat penoreh khususnya di bahagian Pantai Timur bertindak menyimpan getah sekerap, namun dalam keadaan kemarau ini, mereka terpkasa juga menjual getah sekerap walaupun harga rendah.
"Ada dua senario. Ada sebahagian tempat terutama Pantai Timur, sistem bekerja mereka jenis simpan seminggu, kumpul baru jual.
"Tapi di bahagaian Selatan dan Zon Tengah mereka toreh hari ini dan jual hari ni. Jadi kais pagi makan pagi, kais petang makan petang.
"Dalam keadaan kemarau sekarang dan harga getah jatuh dan keluaran kurang jadi tak ramai yang menyimpan. Dalam keadaan yang terpaksa mereka kena jual juga walaupun harga rendah untuk sara hidup.
"Yang suka menyimpan getah sekerap adalah kilang sebab mereka ada kuantiti tertentu jadi tunggu harga naik baru mereka jual. Tapi bagi pekebun kecil mereka tak ada kemampuan untuk menyimpan, terpaksa jual dalam keadaan harga rendah," katanya.
Jesteru beliau menyeru kerajaan peka terhadap permasalahan yang dialami pekebun kecil dan mengambil tindakan segera bagi membantu meningkatkan pendapatan mereka.
"Saya sendiri penoreh jadi saya rasa keperitan penoreh-penoreh kebun kecil lebih-lebih lagi yang mempunyai tanggungan yang ramai.
"Mereka bergantung sepenuhnya kepada hasil jualan getah untuk perbelanjaan harian. Kerajaan cepatlah ambil langkah bagi membantu penoreh-penoreh ini," rayunya.
Sumber HD - 7-3-2014
Getah: Pemuda PAS Perak kunjungi LGM Wilayah Utara
- Mar 06, 2014
- HARAKAHDAILY
IPOH: Kebajikan rakyat bukan sekadar memastikan taraf kehidupan dalam keadaan baik bahkan meliputi semua aspek yang agar mata pencarian rakyat juga perlu diberikan perhatian serius.
Atas dasar itu, satu dialog antara wakil Dewan Pemuda PAS Negeri Perak dengan Pengarah Lembaga Getah Malaysia (LGM) Wilayah Utara, Sabran Ibrahim diadakan hari ini.
Kunjungan yang diketuai Timbalan Ketua Dewan Pemuda PAS Negeri Perak, Akmal Kamarudin membincangkan isu berkaitan dengan penurunan harga getah yang membebankan pekebun kecil.
Pertemuan yang berlangsung dalam suasana penuh mesra selama hampir dua jam di Pejabat Lembaga Getah Malaysia Wilayah Utara.
Perbincangan yang bermula pukul 10 pagi itu membuktikan Dewan Pemuda PAS Negeri Perak memandang serius masalah berkenaan.
"Nasib pekebun kecil mesti dibela yang terpaksa berhadapan dengan kemelut ini. Ada di antara anak mereka yang tidak mempunyai duit belanja ke sekolah kerana faktor kesempitan kewangan.
“Tambahan dengan cuaca kemarau yang melanda menyebabkan susu getah berkurangan. Terdapat juga dalam kalangan mereka yang hanya sekadar mengambil upah menoreh," ujar Akmal ketika ditemui selepas perjumpaan itu.
Lebih menghairankan, katanya, pihak yang terlibat dengan industri getah seakan tidak terkesan dengan situasi yang berlaku.
“Satu persoalan yang timbul ialah syarikat dari negara luar membeli getah dengan harga yang tinggi dari negara kita kerana kualiti getah kita berbanding negara lain namun tetap berlaku penurunan harga getah," tambah beliau lagi.
Turut serta dalam perbincangan dan pertemuan itu ialah Fakhrulrazi Mokhtar dan Faisal Fuad yang merupakan Exco Dewan Pemuda PAS Perak.
Kunjungan yang disambut baik oleh Pengarah LGM Wilayah Utara itu membuktikan keterbukaan dalam memastikan rakyat sentiasa diutamakan.
"Kami mengucapkan terima kasih kepada tuan pengarah LGM wilayah utara kerana sudi menerima kunjungan mesra dari pihak kami," tambah Akmal.
Sumber HD - 6-3-2014
Pemuda PAS tuntut harga lantai getah RM4 sekilogram
- Mar 06, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia bersama beberapa NGO hari ini menyerahkan memorandum kepada Lembaga Getah Malaysia (LGM) bagi mendesak harga getah di Malaysia dinaikkan.
Memorandum tersebut ekoran penurunan harga getah beku yang pernah mencatat harga RM2 sekilo pada Februari lalu.
Memorandum yang mengandungi lapan tuntutan itu diterima Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Salmiah Ahmad selepas sesi dialog bersama.
Lapan tuntutan tersebut adalah menuntut penggubalan mekanisma penentuan harga penutupan fizikel (FOB), penetapan harga lantai getah beku, penetapan harga kos proses atau kos kilang, penggunaan alat penyukat Dry Rubber Content (DRC), penyelidikan produk berasaskan getah asli, penerokaan pasaran berasaskan getah asli, peranan aktif dalam International Tripartrate Rubber Council (ITRC), dan kebajikan pekebun kecil getah.
Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat, pendapatan pekebun-pekeun kecil getah tidak seimbang dengan kenaikan harga barang pada waktu ini.
"Getah asli Malaysia adalah antara yang terbaik di dunia tetapi malangnya pengusaha getah berada di bawah paras kemiskinan.
"Pihak kerajaan sewajarnya mengambil peranan untuk membantu mereka. Justeru kami kemukakan lapan tuntutan ini bagi perhatian pihak kerajaan," katanya.
Mengulas lanjut mengenai tuntutan mekanisma penentuan harga penutupan fizikel (FOB), Suhaizan berkata, mekanisma penentu FOB yang lebih mantap perlu digubal serta merta bagi menggantikan sistem penetapan harga yang sedia ada sekarang.
"Operasi panel penetapan harga di bawah LGM mestilah dijalankan secara telus dan perlu melibatkan NGO pekebun kecil yang berpengaruh bagi mewakili mereka yang menerima akibat penurunan harga getah di pasaran dan penentuan FOB harus didedahkan keapda rakyat," katanya.
Tambah beliau juga, harga lantai getah beku perlu ditetapkan pada RM4 sekilogram dan kerajaan perlu menyediakan subsidi kepada pekebun-pekebun kecil yang telah membantu negara mengeluarkan getah asli.
"Berdasarkan kajian yang dibuat oleh Persatuan Pekebun Kecil Getah Gen 2, Kampung Nyalas, Melaka, anggaran kos operasi sekilogram getah beku adalah RM3.21.
"Justeru kami mendesak LGM mencadangkan kepada kerajaan untuk menetapkan harga lantai pada harga RM4 sekilogram," katanya.
Turut hadir pada penyerahan memorandum tersebut ialah Pengerusi Gerakan Suara Orang Kampung, Sulaiman Ibrahim, Pengerusi Gerakan Pekebun Kecil Getah Gen 2, Kampung Nylas, Melaka, Abdul Halim Majid, Pengerusi Jaringan Anak Petani Semalaysia (Anak Tani), Mohd Idris Mohd yussof, Timbalan Presiden Panglima Malaysia, Fadhil Mohd Noor Sahani, Presiden Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis) Abdul Malik Ab Razak dan Pengerusi Gerakan Turun Harga barang (Turun), Azan Safar.
Sumber HD - 6-3-2014
Gerakan Suara Orang Kampung akan ke seluruh negara
- Mar 06, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR: Pemuda PAS Malaysia hari ini melancarkan Gerakan Suara Orang Kampung bagi memperjuangkan nasib petani, penternak dan nelayan di seluruh negara.
Pelancaran gerakan tersebut dibuat dalam piket di hadapan bangunan Lembaga Getah Malaysia (LGM) Jalan Ampang, dekat sini tengah hari tadi.
Kira-kira 50 wakil petani, penternak dan nelayan bersama Pemuda PAS Malaysia berkumpul di hadapan Wisma Central sebelum berarak ke bangunan LGM.
Mereka berpakaian petani dan membawa basikal sambil memegang plakad bertulis 'Naik Harga Padi' 'Harga Padi Murah, Harga Beras Mahal', 'Orang Tengah Untung Atas Angin' dan beberapa sepanduk lain lagi.
Pengerusi Gerakan Suara Orang kampung, Sulaiman Ibrahim atau Leman Raja Lawak dalam piket tersebut mengajak rakyat Malaysia turun ke Demonstrasi Baling 2.0 yang akan diadakan di Baling pada 5 April depan.
"Tujuan demonstrasi ini untuk membela nasib penoreh-penoreh getah yang sedang menghadapi kejatuhan harga getah.
"Penurunan harga getah beku di bawah paras harga kos pengeluaran RM3.21 sekilogram menyebabkan ramai penoreh menderita," katanya.
Selain isu harga getah, turut menjadi kebimbangan mereka adalah mengenai pesawah padi yang berada di bawah paras kemiskinan.
Menurut Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat, ketiadaan sistem pengurusan bendang yang baik menyebabkan sebahagian daripada 172,230 pesawah padi berada di bawah paras kemiskinan.
"Pengeluaran padi negara masih rendah dengan purata 4.2 tan semusim, penggunaan tanah bendang untuk tujuan komersial dan pelbagai masalah tanaman padi menyebabkan beras sebagai food security negara berada dalam keadaan terancam," katanya.
Bagi penternak pula, mereka mengalami masalah kecurian banyak binatang ternakan akibat ketiadaaan sistem pengenalan binatang ternakan.
Penternak secara komersial menghadapi masalah tempat untuk membina ladang ternakan kerana tempat yang diluluskan kerajaan terhad.
Kos pengeluaran racun, baja, makanan ternakan, diesel, sewa jentera dan pula semakin meningkat.
Sementara itu, isu-isu bagi nelayan pula melibatkan pemberian subsidi diesel yang tidak mencukupi menyebabkan nelayan tidak mampu turun ke laut.
Penggunaan pukat hanyut daripada nelayan negara jiran menyebabkan ikan berkurangan serta masalah ruang penempatan bot nelayan di jeti yang tidak mencukupi.
Perkara-perkara ini disebabkan kelemahan agensi kerajaan yang berkaitan dengan petani, penternak dan nelayan.
Jesteru, Pemuda PAS Malaysia sedia menerima sebarang aduan rakyat di talian 019-3940959.
Pemuda PAS juga akan melancarkan Gerakan Suara Orang Kampung ke seluruh negara mengikut jadual berikut:
1. Selangor - 11 Mac 2014
2. Perak - 19 Mac 2014
3. Pulau Pinang - 20 Mac 2014
4. Negeri Sembilan - 21 Mac 2014
5. Pahang - 22 Mac 2014
6. Melaka - 23 Mac 2014
7. Kelantan - 28 Mac 2014
8. Johor - 29 Mac 2014
9. Terengganu - 30 Mac 2014
10. Kedah dan Perlis - 5 April 2014
Sumber HD - 6-3-2014
Gerakan Suara Orang Kampung dibawa ke ibu negara
- Mar 04, 2014
- HAZAYANI ZAKARIA
KUALA LUMPUR: Gerakan Suara Orang Kampung bagi membela nasib petani, penternak dan nelayan akan dilancarkan pada Khamis, 6 Mac ini.
Menurut pengarah gerakan tersebut, Sulaiman Ibrahim pelancaran tersebut akan diadakan di hadapan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang, dekat sini pada jam satu tengah hari, bersesuaian dengan waktu makan tengah hari bagi pekerja pejabat.
Beliau berkata, setakat ini lebih 200 wakil pekebun kecil, penternak dan nelayan menyatakan kesediaan menghadiri himpunan tersebut.
Himpunan yang mendapat sokongan Pemuda PAS Malaysia itu akan diisi dengan penerangan isu getah dan perarakan ke Bangunan Lembaga Getah bagi menyerahkan memorandum mengenai isu harga getah yang tidak stabil.
"Kami akan cuba membawa lebih ramai wakil pekebun kecil, penternak dan nelayan ke himpunan tersebut bagi menyuarakan permasalahan mereka.
"Mereka akan berpakaian yang menunjukkan identiti masing-masing termasuk membawa alatan asas untuk menoreh, berkebun dan turun ke laut," katanya ketika dihubungi Harakahdaily hari ini.
Tambah beliau lagi, penyerahan memorandum akan diiringi Ketua Pemuda PAS Malaysia, Suhaizan Kayat.
Sebelum ini, Pemuda PAS Malaysia mencadangkan kerajaan memperuntukkan sejumlah subsidi kepada penoreh getah sebagai penyelesaian jangka pendek sementara proses kajian dan semakan yang lebih terperinci dijalankan bagi mengatasi masalah kejatuhan harga getah.
Pemuda PAS juga mendesak kerajaan bertindak segera merangsang usaha penyelidikan menghasilkan produk berasaskan getah untuk pasaran domestik dan antarabangsa.
1.SK - https://www.youtube.com/watch?v=fBy9YUio7bA
2. SK - https://www.youtube.com/watch?v=FoW6DPx3Vto
3. IBRAHIM AB MAJID -
https://www.youtube.com/watch?v=tjex2jq6UfE
Sumber HD - 4-3-2014
No comments:
Post a Comment