FB PAS NEGERI SELANGOR

FB PAS NEGERI SELANGOR
FB BPPNS - BERKOMUNIKASI SECARA CEPAT DAN MUDAH

Wednesday, April 9, 2014

LAJNAH HAL EHWAL ANTARABANGSA PAS PUSAT - YB DR SYED AZMAN SYED AHMAD NAWAWI

ARAB SPRING yang melanda seluruh benua Arab sejak beberapa tahun lalu telah menyaksikan rakyat secara spontan bangkit dan keluar ke jalan-jalanraya menuntut hak dan kebebasan mereka.

Bermula dari Sidi Bouzid sebuah bandar kecil di Tunisia, ia terus merebak ke Moroko, Libya, Syria, Mesir dan negara-negra Arab lain. Tuntutan mereka adalah perubahan politik yang lebih besar serta kembali kepada asas sistem demokrasi yang bertunjangkan rakyat.

Perubahan ini juga telah memberi nafas baru kepada pertubuhan Ikhwan Muslimin. Gerakan ini yang telah sejak sekian lama dinafikan hak mereka, kembali bergiat secara terbuka dan berjaya menguasai kepimpinan politik di beberapa negara seperti Moroko, Tunisia dan Mesir. Di Mesir, Presiden Mubarak telah digulingkan selepas berlakunya kebangkitan rakyat yang keluar ke jalan-jalanraya membantah pemerintahan diktator beliau.

Namun perubahan ’Arab Spring’ ini amat menggerunkan pemimpin-pemimpin di negara-negara Teluk seperti UAE, Bahrain, Kuwait, Jordan dan Arab Saudi. Ini ditambah lagi dengan apa yang dilihat sebagai ’kebangkitan semula Ikhwan Muslimin’ di dunia Arab. Negara-negara teluk yang kaya dengan hasil minyak dan gas ini juga telah lama menjadi sekutu rapat pemerintah Amerika Syarikat dan Kuasa Barat.


NASIB GERAKAN ISLAM

Kini segala-galanya telah berubah. Kerajaan Presiden Morsi yang dipilih oleh rakyat melalui pilihanraya yang adil hanya mampu bertahan selama setahun sahaja. Beliau telah diguling oleh junta tentera yang di ketuai Jeneral Abdul Fattah Sisi.

Di Tunisia, pelbagai cara juga telah digunakan bagi ’melemahkan’ serta ’mensabotaj’ kerajaan yang di kuasai oleh parti Nahdah yang dilihat rapat dengan Ikhwan sehingga memaksa mereka ’berundur’ dari menerajui kerajaan di Tunisia.

Begitu juga dengan apa yang berlaku di Moroko. Institusi kerajaan yang masih ’setia’ dengan pemerintah diktator di negara-negara tersebut seperti badan kehakiman, ekonomi dan pelaburan serta polis dan tentera telah digunakan sepenuhnya bagi menjatuhkan kerajaan yang di pimpin oleh Ikhwan Muslimin.

Malah perkembangan terbaru kini, selain dari junta tentera di Mesir, Kerajaan Arab Saudi dan UAE juga telah menyenaraikan Ikhwanul Muslimin sebagai organisasi ‘pengganas’ kerana dilihat memberi ancaman kepada kepentingan pemerintahan ‘monarki’ mereka serta negara antarabangsa.


KEPENTINGAN STRATEGIK AMERIKA

Di Britain, Perdana Menteri David Cameron juga turut mengarahkan pihak keselamatan negara tersebut melakukan penyiasatan rapi keatas kegiatan Ikhwan Muslimin di negara tersebut kerana di syaki terlibat dalam kegiatan ’terroris’ serta membantu kelompok ekstremis melakukan keganasan di Mesir.

Amerika Syarikat pula dengan keringat pakar-pakar strategik mereka juga telah membuat penilaian semula terhadap ruang demokrasi yang ’dibenarkan’ sejak Arab Spring ini serta kesan kemenangan parti-parti Islam dalam pilihanraya di Timur Tengah. Namun realitinya kepentingan strategik Amerika Syarikat mengatasi proses pendemokrasian yang mereka war-warkan sendiri.

Kini Ikhwan Muslimin berada di ”kandang orang salah” walaupun sejarah telah membuktikan bahawa mereka telah menunjukkan sifat toleransi dan kesabaran yang tinggi. Pertubuhan ini telah sejak sekian lama bergiat cergas diserata dunia secara aman dah telah menyumbang kepada dunia Islam. Mereka tetap konsisten bersama terlibat secara aman walaupun ramai kalangan pimpinan mereka yang dibunuh dan di penjara.

Ikhwan Muslimin juga telah sejak sekian lama terlibat dalam proses demokrasi di negara-negara seperti Jordan, Yemen, Kuwait dan Bahrain. Mereka telah terbukti melakukan perubahan sosial dan politik secara aman. Pertubuhan ini telah sejak sekian lama bergiat cergas diserata dunia dan telah menyumbang kepada dunia Islam. Mereka tetap konsisten bersama terlibat secara aman walaupun ramai kalangan pimpinan mereka yang dibunuh dan di penjara.


REFORMASI POLITIK

Realitinya, walaupun agenda reformasi politik Ikhwan Muslimin adalah secara aman dan melalui demokrasi, namun mereka seolah-olah dilihat tidak mempunyai tempat di dalam politik demokrasi. Kayu-ukur yang digunakan oleh Amerika Syarikat bagi melaksanakan keadilan antarabangsa ini terutamanya terhadap Ikhwan Muslimin adalah menjaga kepentingan ‘minyak’, melindungi negara Zionis Israel serta meneruskan hegemoni mereka terhadap negara-negara umat Islam.

Ya, inilah nasib Ikhwan Muslimin dan mana-mana parti Islam didalam mengharungi kancah politik dunia kini. Walaupun ia bergerak secara aman dan menolak kekerasan; ia akan tetap dilihat sebagai ancaman yang amat bahaya sebagaimana penjajah British menilai kewujudan Hizbul Muslimin di Tanah Melayu sebagai ”bahaya dari Gunung”.
____________________



Penulis ialah Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Antarabangsa PAS Pusat dan juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Batu Burok.

Sumber HD - 9-4-2014

No comments:

Post a Comment