FB PAS NEGERI SELANGOR

FB PAS NEGERI SELANGOR
FB BPPNS - BERKOMUNIKASI SECARA CEPAT DAN MUDAH

Sunday, May 11, 2014

RANG UNDANG-UNDANG PELAKSANAAN HUDUD

Blog Terdahulu - http://jombersamapas.blogspot.com/



Gerakan ekstrem halang hudud, Umno sila jawab

MUHAMMAD FAEEZ AZAHAR | .



TELUK INTAN: Ketua Penerangan PAS Pusat, Datuk Mahfuz Omar menggesa Umno menjelaskan pendirian mereka dengan tindakan biadab Gerakan terhadap usaha PAS melaksanakan hukum hudud selama ini.

Menurutnya, Gerakan bertegas menolak hudud secara tidak demokratik apabila menyerahkan notis saman terhadap PAS untuk membawa satu rang undang-undang persendirian (private bill) berkaitan dengan isu Enakmen Kanun Jenayah Syariah (2) 1993 ke parlimen.

Gerakan juga kata beliau telah membuat demonstrasi di hadapan Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut, Kuala Lumpur di samping mengugut untuk membuat benteng manusia di hadapan parlimen bagi menghalang Ahli Parlimen PAS membawa masuk rang undang-undang itu.

"Adakah Umno sedar Gerakan yang mereka sokong dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Teluk Intan ini lebih teruk menolak hudud dengan cara penentangannya sangat merbahaya dan ekstrem yang boleh menjejaskan keharmonian rakyat di negara ini?

"Saya minta Umno jawab adakah mereka bersetuju dengan segala tindakan Gerakan itu," katanya ketika ditemui Harakah di majlis ramah mesra bersama media anjuran Lajnah Penerangan dan Hubungan Media PAS Pusat di Padang Tembak, semalam. Turut serta ialah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub.

Mahfuz menjelaskan, Umno perlu tahu calon mereka di Teluk Intan adalah presiden kepada parti yang sangat biadab dalam menentang hukum hudud dan bukannya hanya melihat kepada DAP semata-mata.

Tegas beliau, Umno perlu sedar Gerakan lebih teruk menentang hudud berbanding DAP yang menolak atas dasar perlembangaan dengan semangat sistem demokrasi.

Jelas beliau, calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya masih membuka ruang demokrasi dalam pendiriannya tentang hudud berbanding Gerakan yang menafikan hak rakyat PAS untuk membawa rang undang-undang melalui sistem demokrasi. - HARAKAHDAILY 29/5/2014

Sumber HD - 29-5-2014

DNANA - https://www.youtube.com/watch?v=sWnksJI0G9o

Pr Dr AAB -  https://www.youtube.com/watch?v=sPttDUegmvA

YB Dr AF - https://www.youtube.com/watch?v=j7pbil4atL8

Isu hudud tidak jejaskan kesetiaan PAS

HARAKAHDAILY | .




KUALA LUMPUR: Isu hudud tidak akan memisahkan kesetiaan PAS terhadap rakan politiknya malah ia membuka ruang kepada kemunculan politik baru dengan syarat semua parti politik perlu membuat perubahan untuk menampung politik baru generasi muda, kata Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Datuk Dr Mujahid Yusof.

Ketika membentangkan pandangannya dalam majlis forum bertajuk "Perspektif Kemunculan Mengenai Hudud di Malaysia" anjuran Institut Strategi dan Kepimpinan Asia (Asli) dan Pusat Kajian Polisi Awam (CPPS), beliau berkata generasi muda hari ini lebih tertarik dalam membincangkan soal kos sara hidup dan pendidikan.

Selain Dr Mujahid, turut dijemput sebagai panelis ialah Ahli Parlimen Sepang yang juga Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Hanipa Mydin, Ahli Parlimen DAP Kluang, Liew Chin Tong, Exco Pemuda Umno Fathul Bari Mat Jahaya, wakil MCA serta wakil NGO, Gan Peng Siew.

Forum dipengerusikan Tan Sri Michael Yeoh dari Asli.

Dalam ucapannya juga, Dr Mujahid yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar menekankan sikap PAS yang terbuka kepada kritikan.

Hanipa pula ketika berucap menjawab persoalan sama ada hudud bertentangan dengan perlembagaan negara atau tidak.

Menurut beliau, perlaksanaan hudud tidak bercanggah dengan peruntukan perlembagaan dan ia boleh dibincangkan tanpa perlu mengubah asas perundangan yang ada.

Liew Chin Tong lebih menekankan bahawa PAS mempunyai isunya tersendiri walaupun DAP menyatakan sikapnya untuk tidak bersetuju dengan PAS.

Fathul Bari pula berkata, hudud perlu difahami dalam konteksnya yang lebih tuntas.

Sambil menyokong pembentukan jawatankuasa teknikal pelaksanaan hudud seperti diumumkan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, beliau menyarankan supaya jawatankuasa teknikal itu turut melibatkan wakil nonmuslim untuk menerima pandangan mereka.

Wakil MCA pula mengakui bahawa isu hudud memberi tekanan kepada parti itu dan berpendapat ia sukar untuk diterima apatah lagi dalam suasana DAP didakwa sebagai penyebab utama pengundi cina lari dari MCA.

Dalam sesi soal jawab banyak soalan diajukan kepada PAS dan DAP serta bagaimana mereka menguruskan perbezaan pandangan ini.

Dr Mujahid menjawab, isu hudud tidak akan memisahkan kesetiaan PAS terhadap rakan politiknya malah ia membuka ruang kepada kemunculan politik baru dengan syarat semua parti politik perlu membuat perubahan untuk menampung politik baru generasi muda.

Kegagalan berubah, ujarnya akan mengancam survival parti-parti politik terbabit dan kemungkinan besar mereka 'akan terhapus'.

Kesemua ahli panel bersetuju bahawa masa depan negara adalah lebih utama dipelihara walaupun terdapat perbezaan pandangan dalam isu-isu tertentu. - HARAKAHDAILY, 28/5/14

Sumber HD - 28-5-2014


Hakim syarie boleh bersidang di Mahkamah Tinggi

ASLANI M | .



KOTA BHARU: Kerajaan Kelantan turut melihat rasionalisasi kesalahan kes hudud boleh bersidang di Mahkamah Tinggi sedia ada dengan penambahan bilangan hakim.

Anggota Exco kerajaan negeri, Datuk Dr Muhammad Fadzli Hassan berkata, dua hakim syarie boleh dibawa untuk duduk bersama hakim mahkamah tinggi sedia ada.

“Hakim syarie boleh bersidang di Mahkamah Tinggi yang ada sekarang.

Dua hakim syarie dan seorang hakim sivil bagi mengadili kes-kes berkaitan jenayah hudud.

“Lagi pun sekarang hukuman di bawah takzir suudah ada di bawah panel code yang diamalkan di negara kita,” katanya ketika membentang kertas kerja pada seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II di Putik hari ini.

Pada sebelah pagi kertas kerja pertama dibentang bekas anggota Exco kerajaan Terengganu, Dr Abu Bakar Abdullah, manakala pengulasnya anggota parlimen Pasir Mas, Nik Abduh Nik Abdul Aziz.

Kertas kerja Dr Fadzli diulang peguam Datuk Wan Mutalib Wan Embong dan Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Dr Mohd Khairuddin Aman Razali.

Dr Fadzli berkata, selain melaksanakan perundangan syariah bagi kesalahan jenayah, proses Islamisasi undang-undang yang ada sekarang juga boleh dilakukan.

Menurutnya juga kerajaan negeri merancang bagi memperkasakan lagi institusi pendakwaan kes syarie dengan mewujudkan satu institusi yang berdikari.

Katanya bahagian pendakwaan boleh dicadang dipisahkan daripada Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kelantan.

Wan Mutalib pula berkata, semasa PAS mentadbir Terengganu kerajaan negeri ketika itu meminda Undang-Undang Tubuh Negeri Fasal 3 dengan menjadikan syariah sebagai sumber rujukan negeri.

“Kena peruntukan syariah dalam perlembagaan itu sendiri bagi memudahkan pelaksanaan perundangan syariah,” katanya ketika mengulas kertas kerja tersebut.

Beliau juga meluahkan rasa bimbang apabila kerajaan mewujudkan Jawatankuasa Teknikal Pelaksanaan Hudud Kebangsaan akan menyebabkan perundangan tersebut tidak dapat dilaksanakan di Kelantan.

“Kalau ditengok kepada pengalaman lampau apabila kerajaan mewujudkan sesebuah jawatankuasa bagi mengkaji sesuatu bermakna tidak jadilah apa yang hendak dilaksanakan.

“Saya juga mencadangkan selepas sudah 21 tahun enakmen hudud diluluskan di Kelantan beberapa jawatankuasa perundangan perlu diwujudkan. Begitu juga prasarana perundangan perlu disiapkan lagi,” ujarnya.

Nik Abduh berkata, selepas runtuhnya Khalifah Islamiah di Turki kira-kira 90 tahun lalu, perundangan hudud tidak lagi berjalan di kebanyakan Negara umat Islam.

Katanya, selepas penjajah datang hukum Islam hanya berjalan dalam soal nikah kahwin sahaja, manakala kesalahan jenayah menggunakan perundangan ciptaan barat.

Dr Mohd Khairuddin pula berkata, halangan politik dan ugutan daripada Perdana Menteri menghalang Enakmen Kanun Jenayah Syariah II Kelantan dilaksanakan.

“Kelantan telah cuba berusaha mengikut kemampuan maksimum sehingga ditubuh Jawatankuasa Teknikal sebagai langkah ke hadapan bagi melaksanakan perundangan syariah.

“Ini bukan soal perangkap kerana wajib bagi kita melaksanakan perundangan hudud syariah di mahkamah,” katanya. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

Sumber HD - 24-5-2014


RTM tidak bagi laluan Kelantan jelaskan hudud

ASLANI M| FOTO ZAMANI MD ZAIN | .



KOTA BHARU: Sehingga kini RTM tidak memberi sebarang jawapan bagi membolehkan kerajaan negeri menjelaskan mengenai perundangan hudud kepada masyarakat, kata Menteri Besar Ustaz Datuk Ahmad Yakob.

Katanya, permintaan itu dibuat Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat pada persidangan Dewan Undangan Negeri 10 Julai 1994 selepas Enakmen Kanun Jenayah Syariah II dibentang 24 Nov 1993.

“Kita pernah memohon supaya RTM siarkan penerangan mengenai hudud tetapi tidak dijawab oleh RTM. Biar pun begitu kita telah melalui proses yang begitu teliti sebelum enakmen dibentang di persidangan Dun. Malah sebelum dibawa ke persidangan Dun kita juga adakan seminar pada 17 Nov 1993 di Balai Islam.

“Telah banyak kali diadakan bengkel, kolokium, seminar sebelum enakmen dibawa ke persidangan Dun. Prosesnya yang hebat dan mendapat tempat dalam masyarakat yang tidak pernah berlaku pada enakmen lain,” katanya merasmikan seminar Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II di Putik hari ini. (Gambar atas)

Hadir sama Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali, Pemangku Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mahfodz Mohamed, Ketua Penerangan Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali dan Ketua Dewan Ulama PAS Kelantan, Datuk Hassan Mohamood.

Seminar julung kali dianjurkan Dewan Ulama PAS Pusat selepas diwujudkan Jawatankuasa Pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah II Kelantan. Pesertanya datang dari seluruh negara.

Ustaz Ahmad yang juga Pemangku Ketua Dewan Ulama PAS Pusat berkata, selepas dilulus kerajaan negeri tidak dibenarkan melaksanakan Kanun Jenayah Syariah melalui sepucuk surat yang dihantar Perdana Menteri ketika itu.

“Kita mendapat surat yang begitu mendukacitakan daripada Tun Dr Mahathir, malah beliau juga menuduh sebagai hudud PAS.

“Biar pun kita dihalang namun ia tidak mematikan usaha kita. Kerajaan negeri menganjurkan pelbagai seminar lagi bagi mencari jalan ke arah pelaksanaannya. Dan hasil daripada rumusan seminar 2012 ada pakar melihat Kelantan ada peluang untuk melaksanakan hudud.

“Dan sekarang kita berusaha untuk membawa private bill ke parlimen selepas dilihat ada sokongan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Jamil Khir sebelum ini,” ujarnya.

Menurutnya menteri dalam ucapannnya di parlimen memberi jaminan untuk menyokong mana-mana negeri yang hendak melaksanakan hudud dan ia perlu dibawa sendiri pembangkang.

“Maka Kelantan pada 2 April menyambut baik dan membuat keputusan untuk bawa private bill ke parlimen,” katanya.

Menurutnya juga pada tahun lepas kerajaan negeri memasukkan dalam bajet 2013 sebanyak RM1 juta untuk menyediakan prasarana ke arah pelaksanaan hudud di Kelantan.

Sumber HD - 24-5-2014


Hudud: Media berbahasa Cina perlu beri gambaran jelas

ASLANI M | .

KOTA BHARU: Media-media tempatan terutamannya berbahasa Cina diharap memainkan peranan menjelaskan isu hudud bagi membolehkan masyarakat bukan Islam lebih faham.

Timbalan Menteri Besar, Datuk Mohd Amar Abdullah berkata, media sewajarnya memainkan peranan proaktif bagi menjelaskan segala kekeliruan yang timbul.

“Apa yang berlaku sekarang didapati masyarakat bukan Islam kurang memahami apa yang dimaksudkan sebagai perundangan hudud.

“Keadaan tambah mengelirukan lagi apabila laporan media tidak jelas mengenai perkara itu. Sepatutnya kalau media tidak tahu mereka datang berjumpa kami.

“Editor perlu mendapat kefahaman yang lebih jelas,” katanya kepada media selepas program penjelasan Enakmen Kanun Jenayah Syariah II kepada masyarakat bukan Islam di sebuah hotel di sini malam tadi.

Hadir sama anggota-anggota Exco, Datuk Dr Mohamad Fadhli Hassan, Datuk Nassurudin Daud, Timbalan Pengerusi Dewan Himpunan Penyokong PAS, Lim Guan Seng.

Selain itu Pengerusi Gabungan Persatuan Tionghua Kelantan, Ooi Poh Chung, Pengerusi Dewan Perniagaan Cina Kelantan, Lee Sing Loong.

Lebih 100 masyarakat bukan Islam termasuk India dan Siam serta penghulu-penghulu tanpa mukim hadir pada program tersebut.

Petang semalam difahamkan MCA turut menganjurkan program penerangan mengenai hudud di pejabat parti tersebut yang dihadiri kira-kira 50 ahli parti itu.

Sebelum ini kerajaan negeri mengumumkan akan membawa private member’s bill ke parlimen bagi membolehkan Kelantan dapat melaksanakan perundangan hudud bagi masyarakat Islam di Kelantan.

Mohd Amar juga berkata, kerajaan negeri sedia berbincang dengan sesiapa sahaja termasuk Umno bagi menjelaskan mengenai hukum hudud.

“Kami bersedia pada bila-bila masa sahaja bagi menjelaskan perundangan tersebut kepada mana-mana pihak.

“Bagaimanapun penjelasan kepada masyarakat bukan Islam akan dipertingkat lagi memandangkan masih ramai masih keliru lebih-lebih lagi laporan media yang agak mengelirukan,” katanya.

Pada program itu beberapa wakil masyarakat Tionghua mahu kepastian perundangan hudud benar-benar tidak dikenakan terhadap masyarakat bukan Islam di Kelantan.

Merungkai masalah itu Mohd Amar berkata, analogy yang mudah untuk difahami seperti juga dengan sembahyang dan puasa tidak dikenakan terhadap orang bukan Islam.

Bagaimanapun bagi orang beragama Islam yang didapati bersalah tidak akan terlepas dengan perundangan hudud kerana mereka menganut agama Islam.

Dr Fadhli pula menjelaskan hanya enam kes sahaja yang boleh dikenakan hukuman hudud iaitu mencuri, merompak, berzina, menuduh orang berzina, minum arak dan murtad.

Menjawab soalan lain Mohd Amar berkata, pelabur tidak perlu gusar terhadap pelaksanaan perundangan hudud kerana keadaan negeri lebih aman dan sentosa daripada perlakuan jenayah.

“Pelabur hanya akan berminat datang untuk melabur apabila berlaku kestabilan politik dan keselamatan mereka terjamin.

“Hudud akan menjamin untuk melahirkan keamanan dalam negeri. Ini boleh dilihat di Arab Saudi, Emeriah Arab Bersatu dan Qatar yang melaksanakan perundangan Islam tetap didatangi pelabur-pelabur dari barat,” ujar Mohd Amar. - HARAKAHDAILY 24/5/2014

Sumber HD - 24-5-2014


Hudud: Adakah Mah setuju kenyataan Shabery?

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Adakah calon BN pada PRK Teluk Intan, Datuk Mah Siew Keong bersetuju dengan kenyataan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berhubung pelaksanaan hudud?

Ini berikutan kenyataan Shabery di Putrajaya semalam yang berkata jika DAP menang jelas menunjukkan bahawa rakyat menolak hudud.

"Kalau begitu, kita tanya Shabery adakah dengan menyokong calon BN daripada Gerakan bererti menyokong atau bersetuju dengan pelaksanaan hudud?

"Adakah Mah yang juga Presiden Gerakan setuju dengan kenyataan Shabery itu?" tanya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.

Beliau berkata, rakyat umumnya mengetahui bahawa Gerakan menentang keras pelaksanaan hukum hudud.

Pada 24 April lalu, sekumpulan Pemuda Gerakan menyerahkan notis kepada PAS, mengugut untuk mengambil tindakan undang-undang jika Kelantan meneruskan hasrat melaksanakan Kanun Jenayah Syariah II (1993) melalui Rang Undang-Undang Persendirian di Parlimen.

Notis itu diserahkan ketuanya Tan Keng Liang bersama 12 anggotanya kepada Penolong Setiausaha Dewan Pemuda PAS Malaysia, Yusapiza Yaakob di Pejabat Agung PAS.

Justeru, Mustafa mengingatkan Shabery selaku menteri agar tidak membuat kenyataan seperti itu lagi.

"Tak kanlah taraf menteri membuat kenyataan serendah itu," ujarnya kepada Harakahdaily.

PRK Teluk Intan diadakan ekoran kematian Seah Leong Peng daripada DAP di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) kerana mengidap barah pada 1 Mei lalu.

Pada PRK yang berlangsung 31 Mei ini, Mah menentang calon DAP yang mewakili Pakatan Rakyat, Dyana Sofya Mohd Daud.

Pada PRU13 lalu, Seah Leong Peng yang memperolehi 27,399 undi menng dengan majoriti 7,313 undi menewaskan calon BN, Datuk Mah Siew Keong daripada Gerakan yang mendapat 20,086 undi dan K Moralingam (Bebas) yang mengutip 279 undi. - HARAKAHDAILY 21/5/2014

Sumber HD - 21-5-2014


Hudud: Ikram perhebat penerangan untuk bukan Islam

HARAKAHDAILY | .


Dr Mujahid (tiga dari kiri) dalam forum hudud di Seremban.

SEREMBAN: Bagi memberikan gambaran sebenar tentang hukum jenayah syariah khususnya hudud, satu forum berhubung topik tersebut telah diadakan dewan kuliah Sekolah Chung Hwa, dekat sini.

Forum anjuran gabungan badan bukan kerajaan (NGO) Negeri Sembilan yang diterajui Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Dewan Himpunan Cina Negeri Sembilan itu membariskan lima ahli panel.

Panelis ialah Pengerusi Lajnah Perpaduan Nasional PAS Pusat, Dr Mujahid Yusof, aktivis hak asasi manusia, Malik Imtiyaz Sarwar, Haris Ibrahim dan Wong Kong Fatt serta aktivis Islam, Zaid Kamarudin.

Dr Badlishah Sham dari Ikram Negeri Sembilan bertindak sebagai moderator.

Pada sesi soal jawab, Dr Mujahid menerima pelbagai pertanyaan daripada peserta yang majoritinya bukan Islam berhubung hasrat PAS Kelantan untuk melaksanakan hukum jenayah syariah.

Menurut beliau, PAS bersedia untuk dikritik apabila isu pelaksanaan hudud menjadi perdebatan dalam jalur demokrasi.

Dr Mujahid malah menegaskan bahawa membincangkan perundangan hudud oleh bukan Islam tidak semestinya bererti menentang Islam.

PAS ujarnya bersedia menerima kritikan dengan berlapang dada.

"Banyak soalan diajukan dan kesemua peserta berpuas hati dengan jawapan yang diberikan.
"Perbincangan terbuka dapat memastikan perbahasan hudud tidak dikuasai hanya sentimen dan emosi," ujar beliau.

Menurutnya, gabungan NGO diterajui Ikram berhasrat menganjurkan 'road show' di seluruh negara bagi membolehkan masyarakat mendapat peluang mendengar berbagai pandangan berhubung pelaksanaan hukum jenayah syariah di negara ini.- HARAKAHDAILY, 20/5/2014

Sumber HD - 20-5-2014


Hudud: Ikram syor beri masa kepada JK Teknikal

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ianya dari dipolitikkan.

"Ikram bersedia menawarkan segala kepakarannya bagi menjayakan usaha ini," ujar Presidennya, Dr. Mohd Parid Sheikh Ahmad kepada Harakahdaily.

Justeru, Ikram juga mengalu-alukan keputusan untuk tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian pada Persidangan Dewan Rakyat pada Jun ini.

Ini, ujarnya memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

Ikram, jelas beliau akan menggerakkan ahlinya dalam memberi penerangan mengenai keindahan syariat Islam serta terus iltizam dalam usaha ke arah penegakan syariat Islam yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.

Berikut kenyataan penuh beliau.

Islam sebagai ad-deen adalah satu sistem kehidupan yang lengkap. Ia merangkumi semua persoalan kehidupan manusia sama ada individu atau masyarakat yang akhirnya membawa kepada kehidupan akhirat.

Keindahan undang-undang dan syariat Islam tidak dapat dilihat dan dinikmati sepenuhnya melainkan ia dilaksanakan seluruhnya. Islam tidak boleh dilihat dari satu aspek semata-mata. Islam bukan sekadar akidah. Islam juga bukan hanya ibadah tetapi juga akhlak. Islam bukan setakat mengurus persoalan kekeluargaan tetapi juga kemasyarakatan. Islam bukan terbatas kepada isu kewangan atau perbankan malah merangkumi isu keadilan sosial dan memerangi penindasan serta kezaliman.

Pelaksanaan syariat Islam termasuk melaksanakan hukuman hudud, menuntut beberapa fasa dan tindakan demi menjamin keadilan dan kesejahteraan semua.

Pertama: Masyarakat perlu diberi penjelasan agar memahami falsafah dan tujuan sebenarnya sistem jenayah syariah;

Kedua: Pemerintah perlu memastikan kebajikan rakyat didahulukan sehingga rakyat tidak terdorong melakukan jenayah atau maksiat;

Ketiga: Pemerintah perlu memastikan segala usaha atau dorongan ke arah maksiat dikurangkan;

Keempat: Pemerintah perlu berusaha agar unsur-unsur yang mempamerkan keindahan Islam turut dilaksanakan seperti sistem ekonomi yang adil dan tidak menindas, ketelusan, tadbir urus yang baik, pertanggungjawaban dan kebebasan bersuara.

Adalah menjadi kewajipan serta tanggungjawab pemerintah memastikan masyarakat tidak melakukan jenayah atas sebab tekanan atau terpaksa. Hukuman sepatutnya disasarkan kepada mereka yang sengaja melakukan jenayah. Bagi orang Islam, melaksanakan hukum seperti yang ditetapkan di dalam al-Qur'an dan as-Sunnah Nabi Muhammad s.a.w. adalah tuntutan agama.

Enakmen Kanun Kesalahan Jenayah Syariah (II) Negeri Kelantan telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri Kelantan pada tahun 1993. Maka adalah wajar orang Islam diberi peluang untuk melaksanakan tanggungjawab ini. Ia meliputi hukum qisas, hudud dan takzir. Enakmen ini hanya terpakai ke atas orang Islam sahaja.

Pertubuhan IKRAM Malaysia (Ikram) menyokong usaha ke arah perlaksanaan Enakmen Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.

Pelaksanaan enakmen ini sebaiknya hendaklah melalui semua fasa yang dinyatakan di atas.

Ikram mengalu-alukan penubuhan Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk memastikan enakmen ini bertepatan dengan kehendak syariah, mencari pendekatan yang terbaik dan mengelak ianya dari dipolitikkan. Ikram bersedia menawarkan segala kepakarannya bagi menjayakan usaha ini.

Ikram juga mengalu-alukan keputusan untuk tidak membentangkan Rang Undang-undang Persendirian pada Persidangan Dewan Rakyat bulan Jun 2014. Ini memberi masa yang lebih kepada Jawatankuasa Teknikal dan rakyat untuk mengemukakan pandangan dan cadangan.

Ikram akan menggerakkan ahlinya dalam memberi penerangan mengenai keindahan syariat Islam serta terus iltizam dalam usaha ke arah penegakan syariat Islam yang akan membawa kesejahteraan kepada seluruh masyarakat.

Ikram menyeru semua lapisan masyarakat agar bersikap positif dalam menghadapi apa jua isu dan saling bantu membantu untuk memastikan Malaysia terus aman, maju dan makmur.

Sumber HD - 12-5-2014


PAS tangguh hasrat bawa undang-undang persendirian laksana hudud

HARAKAHDAILY | .

KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat yang bersidang hari ini mengambil keputusan tidak akan meneruskan cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada persidangan Jun ini bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal yang bakal ditubuhkan untuk mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.

Dalam satu kenyataan media tiga perenggan yang ditandatangani Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, beliau berkata mesyuarat telah membuat pertimbangan dalam isu Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan dan mencapai keputusan berikut:
  1. PAS Pusat mengambil maklum dan bersetuju dengan cadangan penubuhan satu Jawatankuasa Teknikal antara Kerajaan Pusat dan Kerajaan Negeri Kelantan untuk meneliti dan mengemukakan cadangan tindakan ke arah pelaksanaan Kanun Jenayah Syariah (II) 1993 Negeri Kelantan.
  2. Oleh kerana itu cadangan membawa Rang Undang-Undang Persendirian di Dewan Rakyat pada Persidangan Bulan Jun 2014 ini tidak akan diteruskan. Ini bagi memberi ruang kepada Jawatankuasa Teknikal di atas untuk merumuskan cadangan dan tindakan selanjutnya.
Berita lanjut menyusul.

Sumber HD - 11-5-2014

No comments:

Post a Comment